Sabtu, 29 Mac 2014

MENEMPAH LAHAD SENDIRI



     “Ada surat untuk kau kat atas meja depan tu Suraya.” Ujar  Kalsom dari arah dapur apabila melihat Suraya turun dari tingkat atas rumah teres dua tingkat itu. Suraya sebenarnya baru pulang dari penggambaran drama terbarunya di sebuah stesen televisyen tempatan. Tubuhnya berasa sungguh letih. Maklum sahajalah, dia perlu berkampung di Terengganu selama tiga hari untuk penggambaran drama itu.
     Apabila pulang sahaja ke rumah, dia terus masuk ke biliknya. Dia hanya bersalam dengan ibunya sahaja kemudian dia terus ke bilik untuk melelapkan mata. Pada pukul lapan malam itu barulah dia turun. Itu pun untuk mengisi perutnya yang sudah menyanyikan lagu keroncong berentak kelaparan.
     “Surat? Surat apa?” Soal Suraya.
     “Mana la mak tahu. Kau bacalah dulu surat tu. Nanti kalau mak baca surat kau, kau marah.” Jawab Kalsom.

Rabu, 26 Mac 2014

AKHIRNYA MH370 TELAH DIJUMPAI

      Sebenarnya saya mahu menulis artikel ini dalam 'Suara Ahad' di blog ini namun akibat tugas sebagai seorang pelajar tidak dapat ditinggalkan maka saya menulis sahaja rencana ini pada hari ini. Saya tidak mahu ketinggalan dalam membahaskan isu isu semasa yang berlaku di sekeliling saya. Sebagai seorang penulis, menjadi kewajipan saya untuk menyampaikan kebenaran walaupun dengan sepotong ayat sesuai dengan seruan Nabi Muhammad s.a.w.

     Penulisan novel saya sendiri turut tergendala berbulan lamanya akibat daripada peperiksaan akhir semester sudah bermula. Jadi saya perlu menghadkan masa saya menulis semata mata untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran yang menjadi kewajipan saya sebagai seorang pelajar. Namun bagitu, asakan naluri seorang penulis itu begitu menyentak nyentak hati saya. Seorang penulis akan sentiasa menulis. Jika tidak menulis rasa janggal dan dangkal kerap menghantui hidup saya. Rasa ada sesuatu yang hilang jika saya tidak memegang pena.

     Sebaik sahaja mendengar pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengenai penemuan kapal terbang MH370 yang dikatakan kali terakhir dijumpai di Lautan Hindi, begitu menggemparkan rakyat Malaysia dan seluruh penduduk dunia. Kehilangan pesawat selama tujuh belas hari itu akhirnya terbongkar apabila satelit Peranchis berjaya mengesan rangka kapal itu yang berada di Lautan Hindi - antara lautan yang kurang dilalui oleh manusia.

KEMENANGAN WANG AZIZAH SUDAH DIJANGKA

     Apabila pihak SPR mengumumkan kemenangan calon PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail di dalam pilihanraya kecil DUN Kajang, saya sudah tersenyum lebar. Ini bukan kerana saya gembira atas kemenangan itu sebaliknya tekaan saya sebelum ini sudah menjadi kenyataan bahawa isteri Ketua Pembangkang itu akan menjadi ADUN Kajang.

      Kemenangan itu pada hemat saya mungkin kerana undi simpati yang diberikan oleh penduduk Kajang kepada beliau terutama pengundi Cina akibat masalah yang dihadapi oleh suami beliau. Saya tidak fikir faktor calon yang menjadi taruhan utama untuk kemenangan Wan Azizah itu. Wan Azizah adalah seorang doktor. Beliau bukan seorang ahli politik. Beliau langsung tidak kelihatan seperti seorang ahli politik. Beliau berpolitik atas desakan penyokong PKR sewaktu Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA dahulu.

Isnin, 24 Mac 2014

SUAMI, DEMOKRASI DAN PENGUNDI


    Tiba tiba sahaja pada pagi itu kawasan Pekan Wangi menjadi sibuk dengan kenderaan yang berpusu pusu untuk menuju ke destinasi masing masing atas pelbagai urusan. Ada yang mahu ke tempat kerja, ada yang mahu ke kolej dan universiti, ada yang mahu ke klinik dan tidak kurang juga ada yang mahu menghantar penumpang ke tempat yang diminta atas tugasnya sebagai seorang pemandu teksi.
     Pekan Wangi bukanlah sebuah bandar yang besar namun bandar itu yang lebih dikenali sebagai bandar pendidikan kerana begitu banyak universiti, kolej dan kolej universiti didirikan di situ. Tempat itu dikunjungi oleh mahasiswa dari seluruh negara untuk menimba ilmu di situ. Bandar itu juga merupakan bandar perindustrian kerana terdapat banyak kilang didirikan di kawasan itu sama ada dari dalam dan luar negara.

Khamis, 20 Mac 2014

USTAZAH SYARIFAH



     Ustazah Syarifah – satu nama yang cukup terkemuka di sekolah saya. Mengapa? Ada tiga sebab yang saya boleh berikan di sini. Pertama kerana dia seorang guru yang garang. Kedua dia seorang guru disiplin dan ketiga dia pandai bertutur dalam Bahasa Arab kerana ijazahnya adalah dalam Bahasa dan Kesusasteraan Arab. Namun, pada hemat saya sebab utama dia menjadi terkenal adalah kerana dia seorang guru disiplin.
     Tubuh Ustazah Syarifah kecil sahaja namun suaranya tidak sepadan dengan tubuhnya. Tubuh yang kecil itu mengandungi suara bagai halilintar membelah bumi terutama apabila dia marah. Ramai murid terutama yang nakal dan bermasalah memang anti dengan dirinya. Dia memang ditakuti oleh ramai pelajar.
      Sejujurnya saya adalah peminat kepada ustazah ini. Mengapa? Ini kerana dia adalah berasal dari keturunan yang baik baik. Keturunan Rasulullah s.a.w. Bagaimana saya bisa tahu? Ada  ‘syarifah’ pada pangkal namanya dan ‘syed’ pada pangkal nama bapanya. Bapa saya selalu berpesan agar sentiasa mencari guru yang datangnya dari keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Mengapa? Kerana ilmu dari keturunan junjungan besar ini lebih bersanad memandangkan datangnya terus dari Rasulullah.
     Minat saya bertambah kepada beliau apabila mendengar dia berucap dalam Bahasa Arab ketika sambutan Hari Guru sewaktu saya di tingkatan satu dahulu. Belum pernah lagi seumur hidup saya, saya mendengar orang Melayu boleh bertutur dalam Bahasa Arab sefasih dan selancar dirinya. Itulah kali pertama. Sejak itu, saya menanam azam untuk berguru dengan dirinya.
     Saya ada mendengar dari anak anak muridnya yang mengatakan ustazah ini garang dan tegas. Dia juga selalu menampar pipi pelajar pelajar yang nakal. Sudah ramai pelajar yang menjadi mangsany. Namun,  saya buang tanggapan negatif itu jauh jauh. Pada saya seorang guru mesti tegas jika tidak mahu anak muridnya memijak kepala. Walaupun ada orang mengatakan perkara yang tidak baik tentang dirinya, saya ambil tidak peduli sahaja.

Isnin, 17 Mac 2014

BERSALAH


         Cuaca panas yang membakar diri Yaya itu telah membuatkan tubuhnya menjadi lemah dan tidak bermaya. Entah mengapa sejak turun dari teksi pagi tadi tubuhnya seperti mahu demam. Kepalanya tiba tiba sakit. Mungkin kerana cuaca panas yang melanda bumi Malaysia pada waktu ini telah menyebabkan kepalanya diserang sakit. Selepas tamat kuliah Undang Undang Perniagaan bersama Puan Ida tadi dia lantas menuju ke perpustakaan kolej.
     Niatnya mahu membuat nota Bahasa Arab dan kalau boleh mahu melelapkan mata seminit dua dalam perpustakaan yang dihiasi dengan pendingin hawa yang sungguh sejuk itu. Harapannya hancur dan luluh apabila melihat nota di pintu perpustakaan itu yang mengatakan bahawa perpustakaan terpaksa ditutup buat sementara waktu kerana bekalan elektrik terputus.

Ahad, 16 Mac 2014

KEHILANGAN MH370 : PERINGATAN ALLAH BUAT KITA

      Bermula dengan cuaca panas yang melanda bumi Malaysia selama berminggu minggu, kemudian berlaku satu fenomena pelik di Kuala Krai di mana suhu di situ menjadi sejuk secara tiba tiba ditambah pula dengan masalah kekurangan air sehingga perlu dicatu di sesetengah kawasan sekitar bandaraya Kuala Lumpur serta Selangor dan kini pula kehilangan pesawat MH370 secara tiba tiba yang bukan sahaja mengejutkan rakyat Malaysia malahan penduduk dunia?

     Sedarkah kita wahai rakyat Malaysia bahawa kita telah ditimpa dengan pelbagai musibah dan mala petaka? Adakah ini semua hanya satu kebetulan semata mata? Apakah sebab musabab yang tersirat dan tersurat di sebalik semua ini? Tepuk dada dan tanya iman. 

Jumaat, 14 Mac 2014

KUCING ADIK

     “Buang kucing ni sekarang. Asyik terkencing saja dalam rumah ni.” Jerit ibu kepada angah yang sedang menonton televisyen bersamaku, abah dan acik. Mendengar sahaja suara ibu bak halilintar membelah bumi itu, angah lantas berlari ke dapur untuk mendapatkan Bebot – kucing kesayangannya. Bebot merupakan kucing betina yang kecil dan comel.
      Sesiapa pun akan terpesona dengan kecomelan yang dimiliki oleh Bebot. Bebot mempunyai bulu yang berwarna hitam bercampur coklat. Bulunya tidaklah secantik mana kerana menurut abah, sejak kecil lagi Bebot sudah makan nasi putih dengan ikan goreng. Kami tidak pernah beri Bebot makan makanan kucing yang berada di pasaran itu kerana kami bukanlah orang senang. Tambahan pula, Bebot tidak pernah minum susu ibunya kerana ibunya hilang entah ke mana saat kami menemuinya di stor rumah.

Khamis, 13 Mac 2014

PERANG DEMOKRASI DI KAJANG

     Selain daripada misi mencari dan menyelamat pesawat MAS – MH 370 yang sudah masuk hari keenam dan masih menemui jalan buntu, tumpuan rakyat Malaysia kini tertumpu kepada pilihanraya kecil DUN Kajang yang akan berlangsung 23 Mac ini. Pertandingan yang menemukan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Ketua Wanita MCA iaitu Datin Paduka Chew Mei Fun.

      Kalau diikutkan, Datuk Seri Anwar Ibrahimlah yang akan bertanding di situ. Ini kerana – menurut beliau, beliau mahu memastikan keamanan dalam kerajaan negeri Selangor yang ditadbir oleh PKR itu. Ada desas desus mengatakan beliau mahu menjadi Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim. Sama ada perkara itu betul atau tidak, sukar untuk dipastikan.

Sabtu, 8 Mac 2014

MISTERI DI SEBALIK KEHILANGAN MH 370

     Semalam sewaktu menaiki KTM (Kereta Api Tanah Melayu Berhad) dari stesen UKM ke KL Sentral untuk pulang ke rumah saya mendapat satu mesej dari laman Whatsapp yang dihantar oleh seorang rakan sekelas di dalam Bahasa Inggeris. Saya tidak membaca dan hanya melihat sekali imbas sahaja mesej yang panjang itu. Bukan kerana malas membaca namun kerana mesej itu ditulis dalam Bahasa Inggeris dan pada saya mesej itu tidak berapa penting. Saya hanya ternampak perkataan 'MAS' sahaja kemudian saya terus menyimpan telefon bimbit saya ke dalam poket.

     Tatkala sampai sahaja di rumah, saya melihat kedua dua ibu bapa saya sedang menonton Astro Awani. Saya agak tersentak apabila membaca tajuk berita itu. Saya sudah lupa tajuknya namun apa yang saya ingat berita itu adalah mengenai kehilangan pesawat MAS - MH 370 yang hilang secara tiba tiba dari radar. Siaran berita pada waktu itu memaparkan Pemangku Menteri Pengangkutan iaitu Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein sedang memberi kenyataan media. Saya lantas bertanya kepada bapa saya bagaimana pesawat itu boleh hilang namun bapa saya dengan cara berseloroh mengatakan. "Kapal terbang tu masuk dalam poket Hishammudin kot! Manalah aku tahu." Begitulah kata bapa saya.

Sabtu, 1 Mac 2014

RANCANGAN HIBURAN DI MALAYSIA : SATU KETANDUSAN IDEA

     Pertama sekali saya ingin menyusun sepuluh jari kepada para pembaca kerana saya tidak sempat untuk mengemaskini blog ini memandangkan kesibukan saya sebagai seorang pelajar amat membataskan masa saya untuk terus berkarya. Namun begitu, ini bukanlah bermaksud saya tidak akan menulis cerpen lagi di blog ini. Tidak lama lagi cuti semester akan bermula. Maka di kesempatan itu nanti saya akan terus menulis cerpen cerpen yang berkualiti untuk tatapan pembaca semua.

     Sebagai seorang mahasiswa dan penulis, saya ingin melemparkan kritikan terhadap rancangan rancangan hiburan yang ada di Malaysia ini. Pada hemat saya, rancangan hiburan yang ada di Malaysia ini sudah ketandusan idea. Mengapa saya berkata sedemikian? Cuba kita lihat rancangan rancangan yang disiarkan di stesen stesen televisyen tempatan seperti RTM, TV3 dan ASTRO. Asyik rancangan yang hampir sama sahaja disiarkan. Rancangan yang sudah disiarkan di saluran televisyen lain kemudian diubah format dan disiarkan pula di televisyen lain.