Sabtu, 29 Mac 2014

MENEMPAH LAHAD SENDIRI



     “Ada surat untuk kau kat atas meja depan tu Suraya.” Ujar  Kalsom dari arah dapur apabila melihat Suraya turun dari tingkat atas rumah teres dua tingkat itu. Suraya sebenarnya baru pulang dari penggambaran drama terbarunya di sebuah stesen televisyen tempatan. Tubuhnya berasa sungguh letih. Maklum sahajalah, dia perlu berkampung di Terengganu selama tiga hari untuk penggambaran drama itu.
     Apabila pulang sahaja ke rumah, dia terus masuk ke biliknya. Dia hanya bersalam dengan ibunya sahaja kemudian dia terus ke bilik untuk melelapkan mata. Pada pukul lapan malam itu barulah dia turun. Itu pun untuk mengisi perutnya yang sudah menyanyikan lagu keroncong berentak kelaparan.
     “Surat? Surat apa?” Soal Suraya.
     “Mana la mak tahu. Kau bacalah dulu surat tu. Nanti kalau mak baca surat kau, kau marah.” Jawab Kalsom.

    Suraya lantas mencapai surat yang terletak di atas meja di ruang tamu itu. Dia jarang menerima surat. Kalau ada pun surat dari bank atau insurans dirinya. Dia membuka sampul yang berwarna putih itu dan mengeluarkan sehelai kertas yang juga berwarna putih. Dia membaca dan memahami isi kandungan surat itu dan tiba tiba dia bersorak kegembiraan.
     Kalsom yang memasak di dapur terkejut apabila mendengar jeritan Suraya dari ruang tamu itu. Boleh gugur jantungnya akibat terlalu terkejut. Nasib baik dia tidak ada sakit jantung jika tidak sudah tentu dia sekarang berada di dalam liang lahad.
     “Apa yang terjerit jerit tu Suraya?” Soal Kalsom bingung. Dia melihat Suraya berlari lari ke arahnya.
     “Mak, saya dapat tawaran untuk menyertai rancangan Fear Factor Selebriti Malaysia.” Jawab Suraya dengan kegembiraan. Terpancar jelas riak kegembiraan di wajah bujur sirehnya.
     “Kau ni buat mak terkejut saja. Mak ingat apa tadi. Rancangan apa? Fear Factor?” Soal Kalsom ingin tahu.
     “Ya. Rancangan Fear Factor Selebriti Malaysia. Rancangan ini akan dimasuki oleh ramai selebriti yang terkenal kat Malaysia ni dan salah seorangnya adalah saya.” Jawab Suraya.
     “Kenapa kamu masuk rancangan yang merbahaya macam tu? Tak ada rancangan lain ke yang kamu nak masuk?”
     “Apa salahnya mak. Rancangan ni bagus tau. Mancabar minda dan keberanian kita.”
     “Memanglah… tapi kamu tahu tak apa agenda Yahudi disebalik rancangan ni?” Soal Kalsom dan Suraya hanya menggeleng gelengkan kepalanya tanda tidak tahu.
     “Orang Yahudi buat rancangan ni sebab nak hina orang Anglo Saxon Amerika dan orang kulit hitam Amerika supaya buat apa sahaja untuk mendapatkan duit. Dan sekarang kamu pula yang sudah terjebak dengan permainan Yahudi laknatullah itu.”
     “Ala… mak. Saya bukan ikut orang Yahudi pun. Saya hanya masuk rancangan tu saja. Mak janganlah fikir yang bukan bukan.
     “Mak bukan apa. Mak cuma nak beri peringatan saja.” Ujar Kalsom.
     “Lagipun rancangan tu kan bahaya. Kalau jadi apa apa pada kamu siapa yang susah?” Kalsom menyambung.
     “Tak ada apa apalah mak. Mak kenalah fikir positif. Mak janganlah fikir bukan bukan. Mak doalah supaya saya selamat kat sana dan menang dalam pertandingan tu.” Kata Suraya.
     “Ada saja jawapan budak ni. Bila kamu nak pergi? Kat mana rancangan tu dibuat?” Soal Kalsom lagi.
     “Kat Afrika Selatan. Minggu depan saya pergi. Mak bagi kan saya pergi?” Soal Suraya sambil merengek rengek manja. Dia melentokkan kepalanya di bahu Kalsom.
     “Kalau ikutkan memang mak tak nak kamu pergi sebab bahaya. Tapi kamu kena janji dengan mak yang kamu akan jaga diri kamu kat sana.”
     “Baiklah. Saya janji. Terima kasih mak.” Suraya mencium ibunya beberapa kali sambil melompat kegirangan.
     “Sudah! Sudah! Perangai macam budak budak. Umur dah 29 tahun tapi perangai macam budak 19 tahun. Pergi senduk nasi tu. Kejap lagi kita makan sama.” Arah Kalsom.
     “Baik mak.” Balas Suraya. Dia mengambil sebuah bekas yang besar untuk diletakkan nasi di dalamnya. Hatinya benar benar gembira. Dia berazam untuk menang dalam pertandingan itu.
     Pada minggu depannya, Suraya berangkat ke Afrika Selatan untuk membuat penggambaran Fear Factor itu. Hatinya sangat gembira apabila melihat pemandangan yang cantik di negara yang pernah ditadbir oleh mendiang Nelson Mandela – penentang dasar Apartied itu. Namun begitu, dia sedar bahawa kedatangannya di negara itu bukanlah untuk suka suka sahaja. Ada misi penting yang menantinya di situ. Misi untuk mendapatkan wang sebanyak RM 1000 000.
      Kendatipun dia sedar bahawa untuk mendapatkan wang itu bukanlah satu perkara yang mudah. Pelbagai cabaran, onak dan duri yang perlu dilaluinya untuk mendapatkan wang sebanyak itu. Ujian yang bakal dilaluinya itu bukanlah seperti ujian yang diadakan di sekolah dan universiti. Ujian yang dilaluinya ini lebih sukar daripada ujian dalam UPSR, PMR, SPM malah STPM!
     Ujian yang akan ditempuhinya ini menguji keberanian, kecekalan dan kecekapan. Setiap kesilapan akan membawa kepada kekalahan atau mungkin membawa kepada kecelakaan. Dia tidak mahu perkara itu berlaku. Jadi, dia perlu berhati hati untuk melakukan semua ujian itu. Bagi memasuki rancangan seperti ini, dia perlu mempunyai semangat yang kuat untuk melepasi semua cabaran itu. Jika tidak, dia hanya akan menempah kekalahan atau lahad sendiri.
     Konsep rancangan Fear Factor itu adalah setiap peserta akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang dianggotai oleh dua orang setiap kumpulan. Jika sesebuah kumpulan itu gagal dalam mana mana cabaran, kumpulan itu akan disingkirkan dari rancangan itu. Jika kumpulan itu berjaya melepasi cabaran itu, wang RM 10 000 akan menanti mereka sebagai hadiah.
     Suraya telah dipasangkan dengan seorang pelakon lelaki kacak bernama Rahimi Rahmat. Rahimi Rahmat yang sememangnya seorang yang tinggi dan bertubuh sasa dijangka akan memberi kelebihan kepada kumpulan mereka. Suraya senang kerana dapat berpasangan dengan pelakon lelaki yang agak popular di Malaysia itu. 
      Ujian pertama yang perlu dilalui oleh Suraya dalam rancangan itu adalah ujian membuka kunci dalam timbunan lipas dan ulat sampah. Ujian itu juga sudah cukup sukar untuk Suraya kerana dia amat takut bercampur geli dengan serangga serangga seperti itu. Berkali kali dia muntah dan menangis ketika menghadapi ujian itu namun dengan takdir Allah dia berjaya mengharungi cabaran itu dengan baik dan seperti diduga wang RM 10 000 itu berjaya didapatnya bersama Rahimi Rahmat.
      Ujian kedua pula, Suraya perlu memanjat bangunan yang tinggi untuk mendapatkan sebanyak mungkin bendera yang disangkut pada bangunan yang setinggi enam belas tingkat itu. Rahimi pula bertindak sebagai pemberi arahan dan pemandu arah kepada Suraya untuk mencari dan mendapatkan bendera yang disangkut pada bangunan itu.
     “Ke kiri sikit Suraya. Bendera tu kat sebelah kiri awak sahaja.” Ujar Rahimi memberi arahan kepada Suraya. Suraya yang sememangnya takut pada ketinggian itu cuba untuk ke kiri untuk mendapatkan bendera itu. Dia terpaksa berjalan di atas pelebas yang sempit untuk menuju ke arah bendera itu.  Dia berjalan dengan perlahan lahan dan berhati hati. Untung sahaja ada tali keselamatan yang disangkut di belakangnya.
     Tali keselamatan itu adalah untuk memastikan peserta akan tergantung dan tidak akan terjatuh ke bawah seandainya terjadi apa apa kepada peserta. Namun, ketika mahu mendapatkan bendera itu, kaki Suraya telah tergelincir dan dia terjatuh ke bawah. Dia menjerit ketakutan. Sangkanya dia hanya tergantung di atas bangunan itu namun rupa rupanya tidak. Tali itu terputus dengan sendirinya dan dia telah terjatuh di tingkat tiga bangunan itu.
     Suraya telah mengalami kecederaan yang parah. Tulang belakangnya patah. Apabila dibawa ke hospital, doktor mengesahkan bahawa dia telah lumpuh separuh badan. Apabila mendengar berita itu, dia lantas menangis tidak berlagu namun sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Nasi bukan sahaja sudah menjadi bubur namun sudah menjadi nasi basi.
     “Mak… saya dah lumpuh mak. Saya dah tak boleh berjalan lagi. Macam mana saya nak berlakon macam ni mak... Tolonglah mak...” Suraya menatap pilu apabila ibunya, Kalsom datang melawatnya sebaik sahaja mendapat berita daripada pihak penerbit rancangan yang menempah maut itu.
     “Itulah, kan mak dah kata jangan masuk rancangan ni tapi kau degil. Kau nak juga. Sekarang kau tengoklah apa akibatnya.” Kata Kalsom yang turut menangis mengenang nasib anak tunggalnya.
     Kalsom yang sememangnya tidak berpuas hati telah mengambil tindakan undang undang ke atas penerbit rancangan itu. Setelah siasatan dibuat, ternyata tali keselamatan yang digunakan pada waktu itu telah melebihi tempoh yang ditetapkan dan telah reput. Itulah sebab musabab mengapa tali itu terputus apabila Suraya jatuh. Namun, dia tidak mampu berbuat apa apa kerana Suraya telah menandatangi kontrak dengan penerbit itu iaitu sekiranya terjadi apa apa kepada peserta, peserta tidak boleh mengambil tindakan undang undang kepada penerbit rancangan itu.
     Namun, peserta telah dilindungi dengan insurans sebanyak RM 1000 000. Pihak insurans telah membayar wang itu kepada Suraya namun apalah gunanya duit yang banyak jika nikmat berjalan itu sudah ditarik dari dirinya dan Suraya pula benar benar menyesal kerana tidak mendengar nasihat ibunya. 





































Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.