Tiba tiba sahaja pada pagi itu kawasan
Pekan Wangi menjadi sibuk dengan kenderaan yang berpusu pusu untuk menuju ke
destinasi masing masing atas pelbagai urusan. Ada yang mahu ke tempat kerja, ada yang mahu
ke kolej dan universiti, ada yang mahu ke klinik dan tidak kurang juga ada yang
mahu menghantar penumpang ke tempat yang diminta atas tugasnya sebagai seorang
pemandu teksi.
Pekan Wangi bukanlah sebuah bandar yang
besar namun bandar itu yang lebih dikenali sebagai bandar pendidikan kerana
begitu banyak universiti, kolej dan kolej universiti didirikan di situ. Tempat
itu dikunjungi oleh mahasiswa dari seluruh negara untuk menimba ilmu di situ.
Bandar itu juga merupakan bandar perindustrian kerana terdapat banyak kilang
didirikan di kawasan itu sama ada dari dalam dan luar negara.
Pagi yang datang seperti biasa itu tiba
tiba dihambat keluarbiasaan kerana berlaku kesesakan lalu lintas di kawasan itu
yang sangat luar biasa sesaknya. Belum pernah lagi jalan jalan di kawasan Pekan
Wangi itu mengalami kesesakan yang sebegitu rupa. Lebih parah lagi apabila
pihak polis menutup beberapa buah jalan sehingga pengguna jalan raya
terperangkap di dalam kesesakan itu hampir satu jam lamanya.
Mereka
tertanya tanya dan menjadi bingung mengapa perkara itu bisa berlaku? Sudah
pasti ada perkara besar yang terjadi di kawasan itu sehingga jalan jalan di
Pekan Wangi itu boleh sesak sebegitu rupa. Tambah menghairankan begitu banyak
pihak polis yang berkeliaran di kawasan itu seperti lebah yang menjaga sarang.
Rupa rupanya pada pagi itu hari penamaan calon untuk kawasan Kertas Kajang kerana
pilihanraya kecil akan berlangsung di kawasan tersebut.
Sepatutnya kawasan Kertas Kajang itu tidak
perlu ada pilihanraya kecil kerana wakil rakyatnya bukan mati atau hilang
kelayakkan sebagai seorang wakil rakyat tetapi wakil rakyat itu mahu memberi
peluang kepada ketua partinya untuk bertanding di situ. Ketua Partinya itu
dikatakan mahu menjadi Ketua Negeri Semput Air untuk menyingkirkan ketuanya
sekarang yang dihinggapi begitu banyak masalah antaranya masalah air yang
‘semput’ di negeri itu.
Oleh itu, sang Ketua Parti menyuruh wakil
rakyat kawasan Kertas Kajang itu supaya meletak jawatan supaya dia boleh
bertanding di kawasan itu seterusnya menjadi ketua Negeri Semput Air itu bagi
menyelesaikan masalah yang berlaku di dalam negeri itu.
Jijah yang didalam perjalanan untuk ke
tempat penamaan calon itu turut berada di dalam kesesakan di Pekan Wangi itu.
Untung sahaja bukan dia yang memandu kereta kerana dia ada pemandu. Jika dia
yang memandu kereta, sudah pasti kakinya bengkak kerana terlalu lama berada di
dalam kereta itu. Di sebelahnya adalah sang Ketua Parti yang juga suaminya.
Sepatutnya suaminya itulah yang akan
bertanding di dalam pilihanraya kecil itu namun oleh kerana suaminya dihukum
penjara selama lima
tahun oleh mahkamah rayuan kerana meliwat pembantu peribadinya, maka suaminya
telah hilang kelayakan untuk bertanding. Jijah memandang suaminya disebelah. Dia
melihat suaminya mengukir sebuah senyuman yang paling manis buat Jijah.
“Abang yakin Jijah boleh menang dalam
pilihanraya ini. Kita akan berkempen habis habisan untuk menentang May Funny
itu.” Kata sang Ketua Parti.
Jijah hanya diam seribu bahasa. Dia tidak
membalas kata kata suaminya itu. Dia mengalihkan pandangannya di luar tingkap.
Dia melihat barisan kereta yang terperangkap di dalam keseakan yang sangat
dahsyat itu. Barisan kereta yang sekejap bergerak sekejap berhenti. Sama
seperti barisan yang dihuni keretanya. Jijah sebenarnya tidaklah berada di
dalam kegembiraan.
Hatinya pilu dan hiba. Hati isteri mana
yang tidak hiba apabila suaminya dituduh sebagai peliwat? Hati isteri mana yang
tidak hiba apabila suaminya dihukum penjara buat kali kedua selama lima tahun? Hati isteri
mana yang tidak sedih apabila orang menuduh suami yang dicintainya seorang
homoseks? Hati ibu mana yang tidak sedih apabila anak perempuannya mahu
bercerai setelah dikurniakan dua orang cahaya mata?
Semua perkara itu menyesakkan otak dan
pemikirannya. Sejak belakangan ini pelbagai masalah yang menimpa diri mereka
sekeluarga. Lepas satu bencana datang lagi satu bencana campur malapetaka.
Nasib mereka bagai jatuh ditimpa tangga dan sekarang dia perlu bertanding dalam
pilihanraya kecil itu pula atas arahan
suaminya. Dia tidak tahu mengapa begitu banyak nasib malang yang menimpa diri mereka sekeluarga?
Apakah dosa yang telah dia lakukan
sehingga Allah menurunkan ujian yang begitu hebat kepada dirinya. Dulu hidupnya
gembira ketika suaminya menjadi Timbalan Perdana Menteri dulu. Mereka ada rumah
besar, kereta mewah dan pakaian yang mahal. Kini, semua itu hanya tinggal
kenangan. Kenangan indah yang tidak mungkin dia akan kecapi lagi kecuali
suaminya menjadi Perdana Menteri. Akan sampaikah cita cita besar suaminya itu? Dia
tidak tahu. Hanya Allah yang Maha Tahu.
Jijah telah sampai di tempat penamaan
calon itu. Dia melihat begitu ramai penyokongnya sudah menunggu. Mereka
bersorak dan menepuk tangan apabila melihat sahaja keretanya. Dia tersenyum
bangga. Bukan mudah sebenanrnya untuk mendapat tepukan gemuruh seperti itu.
Apabila dia turun sahaja dari kereta, dia terus mendapat tepukan dan sorakan
sokongan dari penyokongnya. Tidak ketinggalan suaminya mendapat perkara yang sama.
Dia terus ke tempat proses pendaftaran dan
penamaan calon itu. Ternyata dalam pilihanraya kecil kali ini dia akan
menentang seorang wanita hebat dari parti pemerintah bernama May Funny. Dia
berazam untuk menentang wanita itu. Dia sangat berharap dia akan menang dalam
pilihanraya kecil itu. Dia yakin dia
mampu menang dalam pilihanraya kecil itu.
Ini berdasarkan beberapa faktor
antaranya kelemahan yang ditonjolkan oleh parti pemerintah itu sendiri. Masalah
kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang merupakan satu bonus untuknya
bagi memenangi pilihanraya kecil itu. Namun dia
yakin, pihak pemerintah bukan bodoh atau tolol. Mereka pasti akan
menyusun strategi untuk menang dalam pilihanraya kecil itu seterusnya
menewaskan dirinya.
Parti pemerintah pasti akan menggunakan
masalah suaminya yang dituduh peliwat atau homoseks itu sebagai modal kempen. Mereka juga akan menggerakkan semua jentera
kerajaan untuk menang dalam pilihanraya itu.
Selepas membuat pendaftaran dan diumumkan
sebagai calon yang bertanding, May Funny dan Jijah lantas memulakan perang
kempen untuk menjatuhkan antara satu sama lain. Masing masing membuka keaiban
diri masing masing tanpa rasa takut dan bersalah. Fitnah, umpat dan maki hamun
dilemparkan kepada pihak lawan untuk menang dalam pilihanraya itu. Inilah
pemikiran politik yang diasaskan oleh Machievali iaitu matlamat menghalalkan
cara. Maksudnya menggunakan apa sahaja cara asalkan matlamat mereka tercapai
walaupun melanggar etika, moral dan kadang kadang undang undang negara.
Pada hari pengundian, semua penduduk
Kertas Kajang keluar mengundi calon calon pilihan mereka. Tidak putus putus doa
Jijah untuk menang dalam pilihan raya itu. Mana tahu, dengan kemenangan ini
akan menjadi batu loncatan dirinya bagi menjadi Ketua Negeri Semput Air itu.
Dapatlah rasanya dia duduk di kerusi empuk dengan memegang jawatan itu.
Apabila keputusan diumumkan oleh Ahli
Jawatankuasa Pilihan Raya kawasan Kertas Kajang, Jijah telah mendapat
kemenangan yang agak besar. Bertempik soraklah suaminya yang dituduh sebagai
gay itu atas kemenangan Jijah itu.
May Funny yang tewas pula sekadar berpuas
hati kerana dapat mengurangkan undi kaumnya dalam pilihanraya kecil itu. Dia juga
berjaya mengurangkan majoriti pihak lawan.
Jijah pulang pada malam itu ke rumah
dengan menaiki kereta bersama suaminya itu tersenyum dengan gembira atas
kemenangan itu namun jauh di sudut hatinya, bilakan suaminya akan berhenti dari
buat perkara yang bukan bukan dan bilakah semua yang ditanggungnya ini akan
berakhir? Dia berdoa agar ada sinar baharu untuk diri dan keluarganya pada esok
hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.