Semalam sewaktu menaiki KTM (Kereta Api Tanah Melayu Berhad) dari stesen UKM ke KL Sentral untuk pulang ke rumah saya mendapat satu mesej dari laman Whatsapp yang dihantar oleh seorang rakan sekelas di dalam Bahasa Inggeris. Saya tidak membaca dan hanya melihat sekali imbas sahaja mesej yang panjang itu. Bukan kerana malas membaca namun kerana mesej itu ditulis dalam Bahasa Inggeris dan pada saya mesej itu tidak berapa penting. Saya hanya ternampak perkataan 'MAS' sahaja kemudian saya terus menyimpan telefon bimbit saya ke dalam poket.
Tatkala sampai sahaja di rumah, saya melihat kedua dua ibu bapa saya sedang menonton Astro Awani. Saya agak tersentak apabila membaca tajuk berita itu. Saya sudah lupa tajuknya namun apa yang saya ingat berita itu adalah mengenai kehilangan pesawat MAS - MH 370 yang hilang secara tiba tiba dari radar. Siaran berita pada waktu itu memaparkan Pemangku Menteri Pengangkutan iaitu Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein sedang memberi kenyataan media. Saya lantas bertanya kepada bapa saya bagaimana pesawat itu boleh hilang namun bapa saya dengan cara berseloroh mengatakan. "Kapal terbang tu masuk dalam poket Hishammudin kot! Manalah aku tahu." Begitulah kata bapa saya.
Tiba tiba saya teringat akan mesej yang dihantar oleh kawan saya melalui Whatsapp itu. Saya lantas meletakkan beg di dalam bilik dan terus ke ruang tamu untuk menonton siaran berita itu. Pelbagai spekulasi yang timbul berkenaan dengan kehilangan pesawat itu. Ada pendapat mengatakan kemungkinan pesawat itu dirampas oleh pengganas. Ini kerana seorang warga Austria dan seorang warga Itali kehilangan pasport mereka dan mereka tidak menaiki pesawat itu namun dalam rekod MAS kedua dua mereka telah menaiki pesawat tersebut. Kebarangkalian (pada andaian saya) pengganas itu telah mencuri passport kedua dua mereka dan menaiki pesawat itu dengan cara menyamar sebagai mereka berdua.
Ada juga andaian mengatakan pesawat itu terhempas di laut. Ada juga andaian bahawa pesawat itu telah meletup di udara. Terdapat 1001 andaian yang keluar tentang misteri kehilangan pesawat MH 370 dari radar itu secara tiba tiba pada pukul 2.40 pagi. Media sosial seperti Twitter, Blog dan Facebook terus menyatakan andaian andaian yang tiada kesahihan.
Apa pun, apa yang saya boleh nyatakan di sini adalah sama samalah kita berdoa agar semua penumpang yang berada di dalam pesawat itu selamat dan tidak ada apa apa yang berlaku. Marilah kita bersama sama menadah tangan dan bersolat hajat untuk memberi doa kepada semua penumpang pesawat dan anak kapalnya berada dalam keadaan selamat.
Kita sebagai pengguna laman sosial berhentilah menyebarkan berita yang karut marut dan bukan bukan. Pastikan maklumat yang kita sampaikan itu benar benar sahih dan boleh dipercayai. Setakat ini tiada sebarang berita mengenai kehilangan pesawat itu. Seluruh dunia sekarang sedang tertumpu kepada Malaysia atas berita yang disangka sangka ini. Negara negara yang mana rakyat mereka berada di dalam pesawat itu sedang membantu Malaysia untuk misi mencari dan menyelamat pesawat itu dan penumpang di dalamnya.
Akhir kalam, marilah kita sama sama memanjat doa ke hadrat Allah Yang Maha Esa agar sentiasa memberi perlindungan kepada semua penumpang dan anak kapal yang berada di dalam pesawat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.