Selain daripada misi mencari dan
menyelamat pesawat MAS – MH 370 yang sudah masuk hari keenam dan masih menemui jalan
buntu, tumpuan rakyat Malaysia
kini tertumpu kepada pilihanraya kecil DUN Kajang yang akan berlangsung 23 Mac
ini. Pertandingan yang menemukan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin
Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri kepada Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim dan bekas Ketua Wanita MCA iaitu Datin Paduka Chew Mei Fun.
Kalau diikutkan, Datuk Seri Anwar
Ibrahimlah yang akan bertanding di situ. Ini kerana – menurut beliau, beliau
mahu memastikan keamanan dalam kerajaan negeri Selangor yang ditadbir oleh PKR
itu. Ada desas
desus mengatakan beliau mahu menjadi Menteri Besar Selangor bagi menggantikan
Tan Sri Khalid Ibrahim. Sama ada perkara itu betul atau tidak, sukar untuk
dipastikan.
Perkara ini terjadi oleh kerana berlaku permusuhan
antara Tan Sri Khalid Ibrahim dan Azmin Ali. Saya tidak mahu menyorot dengan
lebih mendalam berkenaan dengan perkara kerana saya yakin anda telah mendapat
maklumat yang tepat lagi banyak berkenaan dengan perkara itu di media massa atau media elektronik.
Namun, cita cita Ketua Pembangkang itu
tidak kesampaian kerana Mahkamah Rayuan telah menghukum lima tahun penjara kepada beliau kerana
meliwat bekas pembantu peribadinya iaitu Saiful Bukhari Azlan. Walaupun ada
pihak yang mempertikai keputusan mahkamah itu namun sebagai seorang rakyat Malaysia
kita perlu menghormati keputusan mahkamah dan sistem kehakiman di negara kita.
Pokok pangkalnya sekarang adalah siapakah
yang akan menang di DUN Kajang ini? Adakah Datin Seri Wan Azizah mampu untuk
mempertahankan kerusi yang dimenangi oleh PKR itu pada pilihanraya umum yang
lalu? Mampukah Datin Paduka Chew Mei Fun memastikan kemenangan Barisan Nasional
(BN) di kawasan yang majoriti penduduknya adalah Cina?
Agak sukar sebenarnya untuk meramal
siapakah yang mampu menang di DUN tersebut. Masing masing mempunyai kelemahan
dan kekurangan. Sebagai seorang mahasiswa dan penulis, saya mengambil sikap non
partisan di dalam situasi ini di mana tidak menyatakan sokongan kepada BN
atau PR. Di dalam penulisan saya, saya akan cuba untuk berlaku adil kepada
semua pihak.
Datin Seri Wan Azizah mungkin boleh
mempertahankan kerusi tersebut kerana kawasan itu adalah milik PKR. Tambahan
pula, pengundi pengundi di situ terdiri daripada kaum Cina. Sudah pasti mereka
akan memberi undi kepada Wan Azizah kerana beliau kini sedang menjalinkan
kerjasama dengan DAP – sebuah parti politik yang memperjuangkan kaum Cina
secara keseluruhannya walaupun dinafikan oleh pemimpin parti itu.
Memberi undi kepada Wan Azizah bermaksud
memberi undi kepada DAP. Jadi, peluang untuk Wan Azizah menang itu memang
besar. Walaubagaimanapun, kemenangan itu bukanlah mudah seperti mudahnya makan
nasi. BN sudah pasti akan memberi tentangan sengit melalui calonnya iaitu Mei
Fun itu. Sudah pasti semua jentera kerajaan dan media akan digerakkan untuk
memastikan kemenangan BN di kawasan itu.
Sudah pasti isu suaminya yang dituduh
sebagai meliwat bekas pembantu peribadinya dan sifat homoseksnya menjadi modal
kempen untuk BN. Begitu juga dengan sikap Anwar yang menyatakan keputusan
mahkamah rayuan itu tidak adil dan sebagainya kerana tidak berpihak kepada
beliau. Itu tidak termasuk dengan kepincangan yang berlaku dalam kerajaan
negeri Selangor pimpinan Khalid Ibrahim dan di dalam PKR sendiri.
BN juga tidak mendapat laluan mudah untuk
menang di kawasan tersebut. Pelbagai isu nasional seperti kenaikan harga
barang, kenaikan harga minyak dan seribu satu masalah yang gagal ditangani oleh
Datuk Seri Najib Tun Razak akan dimanipulasikan oleh pihak pembangkang untuk
meraih undi di kawasan tersebut. Sudah pasti juga Anwar akan menggunakan
keputusan Mahkamah Rayuan ke atas dirinya itu digunakan sebagai modal kempen
paling ‘mujarab’ untuk meraih undi daripada penduduk Kajang.
Penduduk Kajang yang bersimpati kerana
termakan dengan kata kata Anwar itu akan menyokong Wan Azizah seterusnya
menolak Mei Fun. Ini adalah pendapat peribadi berdasarkan pengamatan dan
pemerhatian saya sepanjang ‘wayang politik’ ini berlangsung.
Kendatipun, rasa hati saya yakin Wan
Azizah mampu menang di dalam pilihanraya kecil DUN Kajang atas beberapa faktor
yang telah saya sebutkan di atas tadi. Apa pun, kita tunggu sahajalah keputusan
yang akan diumumkan oleh SPR pada 23 Mac nanti. Apa yang saya tulis ini adalah
pandangan peribadi sahaja. Sama ada anda bersetuju ataupun tidak, itu tidak
menjadi soal. Semua orang ada pendapat masing masing dan kita berhak memberi
pendapat. Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.