Isnin, 17 Mac 2014

BERSALAH


         Cuaca panas yang membakar diri Yaya itu telah membuatkan tubuhnya menjadi lemah dan tidak bermaya. Entah mengapa sejak turun dari teksi pagi tadi tubuhnya seperti mahu demam. Kepalanya tiba tiba sakit. Mungkin kerana cuaca panas yang melanda bumi Malaysia pada waktu ini telah menyebabkan kepalanya diserang sakit. Selepas tamat kuliah Undang Undang Perniagaan bersama Puan Ida tadi dia lantas menuju ke perpustakaan kolej.
     Niatnya mahu membuat nota Bahasa Arab dan kalau boleh mahu melelapkan mata seminit dua dalam perpustakaan yang dihiasi dengan pendingin hawa yang sungguh sejuk itu. Harapannya hancur dan luluh apabila melihat nota di pintu perpustakaan itu yang mengatakan bahawa perpustakaan terpaksa ditutup buat sementara waktu kerana bekalan elektrik terputus.

     Dia berasa pelik bin aneh apabila sejak tiga hari lalu bekalan elektrik di kolejnya selalu terputus. Apa sebab musababnya? Dia tidak tahu. “Mungkin pihak pengurusan kolej tidak membayar bil elektrik kepada TNB agaknya.” Itulah ayat yang terdetik di fikiran Yaya namun segera ditepisnya secepat mungkin. Mana mungkin sebuah kolej swasta seperti ini tidak mampu untuk membayar bil elektrik.
     Memandangkan perpustakaan tidak dibuka, dia mengambil keputusan untuk duduk di sebuah meja yang boleh memuatkan seramai empat orang di luar perpustakaan itu. Badannya sungguh tidak bermaya pada waktu itu. Dia seperti mahu pengsan sahaja di depan pintu perpustakaan itu. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia pulang ke rumah. Kuliah Bahasa Arab akan bermula pada pukul dua petang dan sekarang baru pukul 10.30 pagi. Ini bermakna masih ada tiga jam setengah lagi sebelum kuliah Bahasa Arab yang diajar oleh Ustaz Faiz itu akan bermula.
     Namun, jika dia pulang sudah pasti akan menelan belanja yang besar. Tambang perjalanan dengan menaiki teksi dari kolej ke rumahnya adalah RM10. Jika dia pulang bermakna dia perlu mengorbankan RM10 yang akan dia gunakan untuk pulang setelah kuliah Bahasa Arab itu petang nanti. Apabila dibuat campur tolak darab dan bahagi dia mengambil keputusan untuk terus duduk di kolej sehingga tamat kuliah Bahasa Arab.
     Biarlah orang kata tindakan yang diambilnya itu adalah tindakan yang bodoh. Dia tidak kisah semua itu. Duitnya bukan banyak sangat. Dia hanya mengharapkan duit pinjaman PTPTN sahaja. Untung sahaja dia tinggal bersama ibu bapanya dan ini bermakna dia tidak perlu kisah untuk membayar sewa rumah dan duit makan.
     Yaya lantas mengeluarkan buku teks Bahasa Arab dan sehelai kertas kajang. Kemudian dia menyalin nota yang ada di dalam buku teks itu pada kertas kajang itu. Dia cuba meringkaskan nota tersebut untuk memudahkan dia memahami nota nota itu. Tujuan nota itu adalah untuk meniru dalam ujian Bahasa Arab nanti. Dia berasa malas mahu menghafal dan mengulangkaji nota nota Arab itu.
     Sudah tujuh minggu berturut turut dia menghadapi ujian dan kuiz yang diberi oleh pensyarahnya dan selama tujuh minggu itulah dia perlu menghafal dan mengulangkaji pelajaran tanpa henti. Sudah sakit kepalanya dengan pelbagai nota. Sudah sesak otaknya dengan pelbagai fakta. Oleh sebab itulah, dalam ujian Bahasa Arab ini biarlah dia meniru sahaja.
     Dia tahu perbuatan yang dilakukannya itu tidak baik dan tidak berkat. Dia tahu itu. Namun, akibat mahu lulus dalam ujian tersebut, dia terpaksa buat buat tidak tahu akan perkara itu. Dia tidak mahu mengambil mata pelajaran yang sama pada semester depan sekiranya dia gagal. Oleh itu, biarlah dia membujur lalu melintang patah dalam hal ini asalkan dia tidak mengulang lagi pada semester depan walaupun tindakan yang diambilnya itu begitu tinggi risikonya.
     Sekiranya tertangkap sudah pasti dia akan gagal dalam ujian itu. Itu tidak mengapa lagi. Paling bahaya jika dia dikenakan tindakan disiplin oleh pihak kolej. Sudah pasti dia malu. Ibu bapanya tambah malu. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia begitu berani untuk meniru dalam peperiksaan sejak dia menjejak kaki ke kolej ini. Ketika di sekolah menengah dahulu dia langsung tidak berani untuk meniru.
     Namun, sejak masuk ke kolej ini dia menjadi sebegitu berani. Ini mungkin kerana tekanan suasana yang menjadikannya begitu. Mungkin juga kerana pengaruh rakan rakannya yang juga suka meniru sewaktu peperiksaan. Benarlah kata orang, jika kita berkawan dengan tukang besi, kotoran besi itu akan melekat pada baju kita. Sekiranya kita berkawan dengan penjual minyak wangi, sudah pasti wangian itu akan melekat pada baju kita.
     Walaubagaimanapun, tekad dan azamnya sudah kuat. Dia sesekali tidak akan membaca nota nota arab itu. Dia akan meniru walaupun perkara itu berdosa. Dia yakin dia akan selamat. Mengapa? Kerana Ustaz Faiz itu baik orangnya. Pensyarah baru itu sudah pasti akan melepaskan dirinya. Dia tahu Ustaz Faiz itu baik orangnya. Dia akan menggunakan kebaikan Ustaz Faiz itu untuk kepentingan dirinya.
      Benarkah dia seorang oportunis dengan melakukan sedemikian? Ya, dia memang seorang oportunis. Mengambil kesempatan di atas kelemahan atau kebaikan orang lain demi kepentingan diri sendiri.
      Dia terus menyalin nota nota Arab itu tanpa sekelumit rasa bersalah atau berdosa. Perasaan berdosa dan bersalah sudah mati dalam hatinya pada waktu itu. Setelah habis menyalin nota, dia mengambil keputusan untuk tidur sekejap bagi meredakan sakit kepalanya yang berdenyut denyut itu. Mahu sahaja dia mencabut kepalanya dan melontarnya sejauh mungkin.
     Seandainya perkara itu bisa dilakukan, sudah pasti dia lakukan. Setelah menyimpan buku teks Bahasa Arab dan kertas kajangnya, dia lantas merebahkan kepalanya di atas meja untuk merehatkan mata dan kepalanya yang seperti mahu tercabut itu. Dia cuba melelapkan mata. Ya, dia boleh tidur tetapi tidur tidur ayam sahaja.
     Dia sukar untuk belayar ke alam mimpi apabila mendengar dua orang pelajar perempuan yang duduk tidak jauh dari mejanya ketawa dan mengilai dengan kuat. “Tak guna betul budak ni. Gelak la perlahan lahan. Awak tu perempuan. Buat la cara perempuan.” Seranahnya di dalam hati. Tidurnya juga terganggu apabila beberapa orang pelajar lelaki yang sedang bercakap dengan kuat seperti petir.
      Hatinya tambah terbakar apabila beberapa orang pekerja Indonesia di kolej itu yang bertugas sebagai tukang sapu saling bergurau senda antara satu sama lain sehingga mengeluarkan bunyi bising. Tidak putus putus sumpah campur seranah yang terbit dari mulutnya.
      Setelah semua gangguan itu pergi barulah dia cuba melelapkan mata namun tetap tidak boleh. Ini kerana cuaca panas terik itu membuatkan dirinya tidak selesa dan tidurnya terganggu. Dia hanya tidur tidur ayam sahaja. Tepat pukul 1.30 petang, Yaya bergerak masuk ke kelas. dia melihat sahabatnya – Siti, Semah, Nadia dan Farah sudah ada di dalam kelas itu.
      “Korang dah ulangkaji Arab?” Soal Yaya kepada semua sahabatnya.
      “Ulangkaji apanya? Aku tiru je nanti.” Jawab Siti selamba. Mereka tertawa mendengar kata kata Siti.
     Tepat pukul dua petang, semua rakan sekuliahnya sudah masuk ke kelas itu. Kemudian Ustaz Faiz turut masuk.
     “Assalamualaikum.” Ucap Ustaz Faiz kepada semua pelajarnya di dalam kelas itu.
     “Waalaikumussalam.” Jawab mereka serentak.
     Kaifa halukum?” Soal Ustaz Faiz dalam Bahasa Arab yang bermaksud kamu semua apa khabar.
     Alhamdulillah, ana bikhair.” Jawab semua pelajar di dalam kelas itu yang bermaksud ‘Alhamdulillah, saya sihat.’
     “Baiklah, seperti yang kamu semua ketahui bahawa pada hari ini akan diadakan ujian bertulis Bahasa Arab. Simpan semua buku dan nota kamu sekarang. Saya akan edarkan kertas ujian.” Ujar Ustaz Faiz.
     Semua pelajar di kelas itu menyimpan buku teks Bahasa Arab di dalam beg mereka namun mereka tidak pula menyimpan nota nota tersebut. Pelbagai cara mereka gunakan untuk menyembunyikan nota nota mereka termasuklah Yaya. Dia menymbunyikan notanya di bawah peha. Ustaz Faiz pula mengedarkan kertas ujian Bahasa Arab itu kepada setiap pelajar yang berada di dalam kelas itu.
      “Okey, kamu semua boleh mula sekarang.” Kata Ustaz Faiz. Semua palajar di kelas itu mula menulis sesuatu di ruangan jawapan yang disediakan. Apabila tidak disedari oleh Ustaz Faiz, ada diantara mereka (termasuk Yaya) melihat nota mereka. Apabila Ustaz Faiz pergi kepada mereka, mereka akan berpura pura menjawab soalan itu dengan bersungguh sungguh.
      Begitu juga dengan Yaya. Apabila Ustaz Faiz singgah di mejanya dia akan berpura pura menjawab soalan soalan di dalam kertas itu dengan bersungguh sungguh tanpa melihat nota yang berada di bawah kakinya. Apabila Ustaz Faiz pergi sahaja, dia mula melihat semula notanya.
     Ustaz Faiz yang berada di hadapan itu sedang duduk di atas sebuah kerusi sambil membelek belek sebuah buku. Yaya terus dengan tabiat buruknya dengan meniru dalam peperiksaan. Tanpa dia sedari, Ustaz Faiz yang sedang duduk di hadapannya itu sedang memerhatikan tingkah lakunya. Siti yang duduk disebelahnya menyiku dirinya.
     “Ustaz Faiz nampaklah apa yang kau buat. Sorok soroklah sikit.” Siti memarahi dirinya namun dalam nada suaranya yang agak perlahan.
     “Dah siap semua?” Soal Ustaz Faiz kepada semua pelajar yang berada di dalam kelas itu.
    “Belum…” jawab mereka serentak.
    “Yaya, kamu dah siap?” Soal Ustaz Faiz lembut.
    “Belum. Susahlah Ustaz.” Jawab Yaya berpura pura.
    “Iyalah tu.” Jawab Ustaz Faiz kurang percaya.
          Yaya sudah mula tidak sedap hati. Perasaan bersalahnya semakin menyerang sanubari. Perasaan itu juga semakin menebal dalam diri. Perasaan itu terus membedal hatinya sehingga ujian itu tamat. Sepanjang perjalanan ke rumahnya, perasaan bersalah itu terus menghantui dirinya. Dia tidak tahu mengapa. Barangkali inilah kali pertama dia ditangkap meniru oleh pensyarahnya.
      Dia terkenal sebagai seorang pelajar yang baik, bijak dan rajin. Malunya apabila dirinya itu telah meniru dalam peperiksaan dan telah tertangkap pula. Malunya bukan kepalang. Dia tidak tahu bagaimana dia harus menyorokkan mukanya

      Sepanjang malam itu dia tidak dapat tidur kerana memikirkan perasaan bersalahnya terhadap Ustaz Faiz. Ustaz Faiz baik orangnya. Tidak garang dan yang paling penting mudah bertolak ansur. Tidak sepatutnya dia menggunakan kebaikan yang ada pada Ustaz Faiz itu untuk membuat perkara yang bukan bukan. Dia benar benar kesal atas apa yang berlaku.
     Tiba tiba satu ilham muncul di kotak fikirannya. Ya, dia akan memohon kemaafan daripada Ustaz Faiz. Itulah cara terbaik bagi menghilangkan perasaan bersalah yang menghantui dirinya itu. Esok pagi dia akan ke kolej untuk berjumpa dengan Ustaz Faiz untuk meminta maaf atas kesilapan dan kesalahan yang telah dia lakukan.
     Keeseokkannya, dia memanjat tangga blok pensyarah itu untuk berjumpa dengan Ustaz Faiz. Tidak putus putus doanya dipanjatkan ke hadrat Allah Azza Wajalla agar Ustaz Faiz menerima permohonan maaf darinya. Sampai sahaja di hadapan pintu bilik Ustaz Faiz perasaan berdebar debar dan berbelah bahagi silih berganti menghujani tangkai hatinya.
     Dia sudah mula berbelah bahagi sama ada mahu meminta maaf atau tidak. Jika dia meminta maaf, rasa malu pula yang membedal kalbunya. Dia sudah mula keliru. Tiba tiba pintu bilik itu terbuka dan muncul Ustaz Faiz di muka pintu itu.
     “Haa, Yayaa. Ada apa datang ni?” Soal Ustaz Faiz kebingungan. Dia menjadi hairan mengapa Yaya datang ke biliknya pada awal pagi begini.
     “Ustaz, ustaz sibuk tak sekarang ni?” Soal Yaya meminta kepastian.
     “Tidak. Kenapa?” Ustaz Faiz bertanya lagi.
     “Ada perkara yang saya nak cakap dengan Ustaz.” Jawab Yaya.
     “Kalau macam tu masuklah.” Ustaz Faiz mempelawa.
     Yaya lantas masuk ke dalam bilik itu. Dia duduk secara berhadapan dengan Ustaz yang berada dalam lingkungan 30an itu. Yaya lantas menceritakan apa yang telah berlaku semalam dan memohon seribu kemaafan dan ustaz yang baik itu.
     “Yaya, saya sebenarnya tak marah awak tapi awak mesti ingat bahawa meniru dalam peperiksaan adalah satu perkara yang salah dari segi undang undang kolej. Tambahan pula apabila kita meniru keberkatan ilmu itu akan hilang. Saya boleh maafkan awak asalkan awak boleh berjanji yang awak takkan ulangi kesilapan ini lagi.” Ujar Ustaz Faiz.
     “Baiklah. Saya takkan ulangi perbuatan ini lagi.” Jawab Yaya sambil tersenyum dan berazam untuk tidak meniru lagi.   

           

















           

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.