Sabtu, 16 April 2016

PENYELESAIAN BAGI MASALAH BAUCER BUKU 1MALAYSIA YANG DIBERI LAMBAT


Sumber : Google

Ramai mahasiswa di universiti merungut apabila Baucer Buku 1Malaysia (BB1M) diberi lambat menyebabkan mereka tidak boleh membeli buku teks yang mahal harganya untuk kegunaan mereka di universiti.

Ada di antara mereka yang menukar baucer buku tersebut dengan wang ringgit bagi menampung keperluan mereka di universiti. Namun begitu, tindakan tersebut adalah salah di sisi undang undang.

Kerajaan sepatutnya memberikan baucer buku tersebut di awal semester supaya mahasiswa di universiti dapat menggunakannya bagi membeli segala buku teks yang tebal tebal dan mahal harganya. Jika diberi pada pertengahan semester, nescaya ramai mahasiswa tidak tahu apakah fungsi baucer buku tersebut. Jadi, mereka menggunakan beucer buku itu dengan membeli barang barang yang tidak betul.

Jumaat, 15 April 2016

BANGGA MELIHAT PEMUDA MELAYU BERKAIN PELIKAT


Sumber : Google

Sebelum saya melangkah masuk ke universiti, saya jarang melihat pemuda Melayu yang memakai kain pelikat terutama ketika hendak menunaikan solat di masjid. Namun, setelah saya menjejakkan kaki ke universiti, saya melihat ramai pula pemuda Melayu yang memakai kain pelikat yang menjadi identiti lelaki Melayu sejak sekian lama.

Sebelum ini, saya berpendapat yang ramai pemuda Melayu sudah mula meninggalkan warisan bangsa itu apabila saya melihat rakan rakan saya yang tidak ramai berkain pelikat ketika berada di bilik. Bapa saya sendiri pernah menyuarakan kebimbangannya mengenai hal ini sementelahan saya sendiri tidak berkain pelikat sama ada di rumah ataupun ketika hendak menunaikan solat seperti mana lelaki Melayu yang lain. Saya lebih selesa berseluar panjang ketika di rumah atau ketika hendak menunaikan solat seperti rakan rakan saya. Namun, apabila saya masuk ke universiti, persepsi saya itu telah mula berubah apabila saya ke masjid untuk menunaikan solat. Saya melihat ramai juga pemuda Melayu yang berkain pelikat.

Mengenai sejarahnya, saya tidak pasti apakah fakta yang tepat mengenai kain pelikat ini. Namun, hasil pencarian saya di laman Google, ini yang saya temui :

Khamis, 14 April 2016

PERSEPSI MEROSAKKAN FAKTA DAN BUKTI


Sumber : Google


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, persepsi atau dalam bahasa Melayunya disebut anggapan/tanggapan membawa maksud gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran (tentang sesuatu) atau pandangan (menerusi pancaindera).  

Pada hari ini, semua manusia yang tinggal di bumi memang tidak terlepas daripada dihambat persepsi. Perkara ini berlaku mungkin kerana meningkatnya kemajuan dalam komunikasi, teknologi, pemikiran, dan kebudayaan. Persepsi bukan sahaja boleh wujud di dunia realiti, tetapi juga di dunia maya (internet). Jika persepsi tidak diurus dengan baik, ia boleh menjadi fitnah. Justeru, kita sebagai manusia dan anggota masyarakat, jangan sesekali meletakkan diri kita dalam kancah persepsi terutama persepsi yang buruk kerana ia boleh memakan diri sendiri. Sebab itu sangat penting kita boleh dan pandai menguruskan persepsi.

Ahli ahli politik dan artis atau selebriti adalah golongan yang sering dihambat dengan persepsi (terutama persepsi yang buruk) kerana mereka secara tidak sedar suka meletakkan diri mereka dalam kancah persepsi. Apabila mereka gagal menguruskan persepsi yang datang kepada mereka itu dengan sempurna, maka masyarakat akan percaya bahawa persepsi yang melekat pada diri mereka itu adalah betul. Maka, persepsi yang gagal diuruskan itu boleh dibuat senjata untuk menjatuhkan mereka.

Rabu, 13 April 2016

MELAYU BUNTU SIAPA YANG HENDAK DISOKONG DALAM PRU


Sumber : Google


Keadaan politik negara yang kacau bilau lewat belakangan ini seolah olah memberi satu kebuntuan kepada umat Melayu yang menjadi warganegara majoriti di negara ini. Semua tahu peri pentingnya undi orang Melayu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang namun di saat keadaan politik negara yang tidak menentu ini, orang Melayu terus dihambat dengan kekeliruan dan kebuntuan.

Secara umumnya, rakyat Malaysia sekarang terbahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah kumpulan yang mempertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO manakala kumpulan yang kedua adalah kumpulan yang menentang Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO.

Kumpulan pertama yakni kumpulan yang mempertahankan Datuk Seri Najib dan UMNO ini adalah kumpulan yang sering dipanggil ‘pemakan dedak’ oleh kumpulan yang menentang Datuk Seri Najib dan UMNO tadi. Pada saya, kumpulan ini bukanlah semuanya terlalu obses dengan Datuk Seri Najib atau bukan juga mendapat apa apa habuan (dedak) daripada Perdana Menteri itu. Kumpulan ini tegar mempertahankan Datuk Seri Najib dan UMNO kerana mereka mahukan survival Melayu dan Islam itu kekal terpelihara sampai bila bila. Mereka tidak mahu DAP yang chauvinis itu memerintah negara ini kerana mereka khuatir entiti Melayu dan Islam itu akan terhapus.

Selasa, 12 April 2016

BIJAKKAH TINDAKAN DR. MAHATHIR ITU?


Sumber : Google


Percaturan politik (?) bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam bekerjasama dengan pemimpin pemimpin parti pembangkang terutama dari PAN, PKR, dan DAP dalam menumbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dilihat tempang oleh sesetengah pihak terutama orang Melayu.

Ini kerana, kerjasama itu wujud dengan kehadiran Lim Kit Siang. Semua orang kenal Lim Kit Siang dari DAP itu dan apa sikapnya terhadap Islam dan Melayu.

Walaupun kerjasama itu dilihat gah, namun masih ada cacat celanya kerana ramai orang Melayu tidak bersetuju dengan kerjasama itu memandangkan Lim Kit Siang ada dalam kerjasama tersebut. Sebab itu, ada beberapa penganalisis politik berpendapat, kerjasama tersebut tidak mampu untuk menyingkirkan Najib dari singgahsana kuasanya sebagai Perdana Menteri.

Isnin, 11 April 2016

DR. ZAKIR NAIK ADALAH ‘SATAN’ BAGI DAP



Sumber : Google


Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy baru baru ini telah menggelar pendakwah dan pendebat Islam terkenal dari India, Dr. Zakir Naik sebagai ‘satan’ (bahasa Melayunya adalah ‘syaitan’) di laman Facebooknya apabila pendakwah terkenal itu datang ke Malaysia atas jemputan kerajaan Negeri Terengganu.



Tindakan pemimpin DAP itu telah mencerminkan sikap jengkelnya terhadap agama Islam di negara ini walaupun nanti akan ada orang yang akan mengatakan itu adalah pandangan peribadi.



Kehadiran Dr. Zakir Naik ke negara ini sudah pasti untuk menjalankan kerja kerja dakwah. Dr. Zakir Naik setahu saya tidak pernah mencampuri apa apa urusan politik Malaysia apatah lagi ‘menjentik’ mana mana politikus di negara ini. Beliau juga tidak pernah mencampuri apa apa urusan agama atau kaum melainkan agama Islam sementelahan dia adalah orang Islam. Oleh itu, apa perlunya pendakwah terkenal itu dipanggil ‘satan’ dan  apa perlunya dia dihalau dari negara ini?

Jumaat, 8 April 2016

BELAJAR ILMU SILAT PERLU TAHU ILMU BATINNYA

Sumber : Google

Ketika saya menonton satu persembahan silat, seorang kawan berkata kepada saya : “silat ini tidak praktikal. Orang sekarang mana belajar silat. Orang sekarang dah guna pistol. Silat tak mampu nak lawan pistol”.  

Mendengar kata kata kawan itu, saya hanya tersenyum tawar. Sebagai seorang penulis (blogger), saya tidak suka berbalah dan memberi jawapan balas di situ kerana saya tahu dia tidak akan terima. Maka, saya sekadar diam sahaja kerana saya tahu dia bukan sepenuhnya Melayu (atau dia jenis Melayu yang layu) maka dia tidak tahu akan kilat dan kilau yang ada dalam seni persilatan Melayu.

Jika dibaca secara tersurat, apa yang dilontar oleh kawan saya itu tidaklah salah tetapi sebagai seorang penulis (blogger), saya suka melihat dari sudut yang tersirat dan yang tersurat. Semua orang yang berotak memang tahu, silat memang tidak mampu untuk melawan peluru pistol. Bukan hanya silat, mana mana seni beladiri lain pun seperti kungfu, tae kwon do, karate, muay thai dan lain lain memang tidak mampu untuk melawan peluru pistol yang menuju.

Rabu, 6 April 2016

JIKA ARTIS K-POP HINA ALLAH DAN RASULULLAH

Sumber : Google

Ketika EXO (sebuah kumpulan K-Pop lelaki yang popular di Korea Selatan dan di seluruh dunia) datang ke Malaysia, beberapa rakyat Malaysia yang anti K-pop mula menghina kumpulan dari Korea Selatan itu dengan panggilan plastik dan sebagainya di laman sosial. Tidak cukup dengan itu, mereka juga mula mengecam rakyat Malaysia yang terlalu fanatik dengan kumpulan EXO itu sehingga sanggup bersesak sesak di lapangan terbang semata mata untuk melihat wajah kacak anggota kumpulan dari Korea tersebut.

Melihat kepada keadaan itu, maka bertempurlah kumpulan yang anti K-Pop dengan kumpulan yang menyokong K-Pop. Masing masing saling berbalas hujah dan bertikam lidah di laman sosial untuk menyatakan pendirian masing masing. Jika dilihat dengan mata kasar, kita boleh melihat seperti sebuah acara debat di laman sosial. Masing masing mahu menegakkan benang yang basah di atas satu perkara yang tidak menguntungkan diri, agama, bangsa, dan tanah air.

Saya tidak tahu apa sebab musabab sehingga terbentuknya kumpulan anti K-Pop ini tetapi saya tahu apa sebabnya kumpulan penyokong K-Pop ini muncul. Mereka suka dengan artis K-Pop bukan sahaja kerana muzik dan tariannya, tetapi juga kerana wajah kacak yang ada pada artis K-Pop itu.

Pertempuran antara kumpulan penyokong K-Pop dan kumpulan anti K-Pop ini bukan baru. Sudah beberapa kali yakni sejak saya melangkah ke alam diploma lagi, saya sudah tahu tentang pertempuran pertempuran seperti ini di mana sosial.

Selasa, 5 April 2016

ALUMNI : AGEN PENGGERAK KEMAJUAN UNIVERSITI


Sumber : Google
Gambar sekadar hiasan

Tidak seperti di negara negara Barat, alumni di institut pengajian tinggi kita dilihat tidak menyumbang semula kepada universiti selepas mereka menamatkan pengajian. Oleh sebab itu, kita melihat universiti kita terus berada di takah yang sama tanpa mempunyai sebarang perubahan.

Di negara negara Barat, alumni universiti mereka telah menyumbang semula kepakaran, kekayaan, atau khidmat bakti mereka dalam pelbagai bentuk kepada universiti. Justeru, kita boleh melihat begitu banyak universiti di Barat bukan sahaja menjadi universiti yang terbaik di dunia malah menjadi universiti yang kaya raya!

Semua ini terjadi kerana alumni mereka telah menyumbang semula kelebihan dan kebolehan yang mereka ada kepada universiti yang telah berjaya melahirkan mereka sebagai seorang manusia yang hebat. Jika semua alumni universiti yang ada di negara kita boleh melakukan perkara yang sama, tidak mustahil universiti kita juga boleh setaraf dengan universiti yang ada di negara Barat.

Isnin, 4 April 2016

WAKAF DAN MAHASISWA TERAS PEMBANGUNAN UNIVERSITI

Sumber : Google

Bagi membangunkan sebuah universiti dengan segala kemudahan yang mencukupi untuk para pelajarnya bukanlah satu tugas yang mudah memandangkan banyak pembelanjaan yang perlu ditanggung oleh sesebuah universiti itu. Pembelanjaan yang ditanggung oleh sesebuah universiti bagi memberikan fasiliti terbaik kepada para pelajarnya bukanlah mencecah ratusan ribu tetapi ratusan juta ringgit!

Di saat kelembapan ekonomi yang melanda di seluruh dunia termasuklah di Malaysia, tentulah sukar untuk sesebuah universiti itu, terutama universiti awam, untuk membelanjakan satu jumlah pembelanjaan yang besar bagi menyediakan segala keperluan terbaik untuk para pelajarnya.

Oleh yang demikian, wakaf adalah satu cara terbaik bagi membantu universiti untuk menangani masalah ini. Apa itu wakaf? Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah, dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah s.w.t.

Sabtu, 2 April 2016

SYED SADDIQ YANG MALAYSIA KENAL




Sumber : Google

Sejak belakangan ini, nama Syed Saddiq mula meniti di bibir rakyat Malaysia. Dia terkenal bukan sahaja kerana dia tampan, tetapi juga kerana dia seorang pendebat terbaik Asia dan seorang yang lantang bersuara mengenai politik Malaysia. 

Baru baru ini, dia bersama-sama dengan Dr. Mahathir Mohamad serta beberapa orang pemimpin parti pembangkang dan pemimpin NGO lain telah menandatangi Deklarasi Rakyat untuk mendesak Datuk Seri Najib bin Tun Razak berundur dari singgahsana kuasanya sebagai Perdana Menteri. Sebelum ini pun, dia memang dilihat kritis dengan pentadbiran Datuk Seri Najib kerana pelbagai skandal yang menimpa Perdana Menteri itu. Jadi, tindakannya bersama sama dengan Dr. Mahathir itu bukanlah satu perkara yang pelik. 

Istimewanya Syed Saddiq ini adalah dia tidak selektif dalam menyampaikan pandangan dan kritikkannya mengenai pemimpin dan parti parti politik tertentu seperti mana pemimpin mahasiswa lain (Adam Adli dan Fahmi Zainol sebagai contoh). Dia dilihat bebas dalam menyampaikan pandangan tanpa mewakili mana mana parti politik sebaliknya lebih tertumpu untuk membela rakyat dan negara. 

Pendekatan yang Syed Saddiq gunakan itu samalah juga dengan pendekatan yang Dr. Ridhuan Tee, Yahaya Ismail, ISMA, dan lain lain orang gunakan yakni bebas menyatakan pandangan demi survival agama, bangsa, dan tanah air tanpa mewakili mana mana parti politik. Tetapi saya tidak pasti apakah pandangannya mengenai perjuangan untuk memartabatkan Islam dan Melayu di tempat yang sewajarnya seperti mana Dr. Ridhuan Tee, Yahaya Ismail, dan ISMA perjuangkan. Saya berharap, sebagai seorang Melayu dan Islam, Syed Saddiq juga boleh sama sama berjuang untuk memastikan Islam dan Melayu itu akan kekal terpelihara sampai bila bila di bumi Malaysia ini. 

Gambar Syed Saddiq yang menjadi viral kerana dia dilihat berada di kelab malam adalah perkara biasa yang berlaku dalam permainan politik.  Itulah yang dinamakan sebagai ‘pembunuhan karakter’ yakni satu strategi politik untuk mencemarkan imej seterusnya menjatuhkan pihak lawan. Namun, kita melihat Syed Saddiq tidak terkesan sedikit pun dengan perkara itu malah dilihat semakin berani untuk melontarkan pandangannya demi Malaysia dan rakyatnya.

Malaysia sangat berharap agar lebih ramai lagi mahasiswa boleh menjadi seperti Syed Saddiq yakni yang tidak taksub dengan perjuangan mana mana parti politik sebaliknya lebih tertumpu untuk membangun dan memakmurkan Malaysia. Seandainya ada sejuta mahasiswa seperti Syed Saddiq, maka akan terpeliharalah Islam, Melayu, dan Malaysia.