Sumber : Google |
Bagi membangunkan sebuah universiti
dengan segala kemudahan yang mencukupi untuk para pelajarnya bukanlah satu
tugas yang mudah memandangkan banyak pembelanjaan yang perlu ditanggung oleh sesebuah
universiti itu. Pembelanjaan yang ditanggung oleh sesebuah universiti bagi
memberikan fasiliti terbaik kepada para pelajarnya bukanlah mencecah ratusan
ribu tetapi ratusan juta ringgit!
Di saat kelembapan ekonomi yang
melanda di seluruh dunia termasuklah di Malaysia, tentulah sukar untuk sesebuah
universiti itu, terutama universiti awam, untuk membelanjakan satu jumlah
pembelanjaan yang besar bagi menyediakan segala keperluan terbaik untuk para
pelajarnya.
Oleh yang demikian, wakaf adalah satu
cara terbaik bagi membantu universiti untuk menangani masalah ini. Apa itu
wakaf? Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta
tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah, dan wasiat di
samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk
mendekatkan diri pewakaf kepada Allah s.w.t.
Sebagai seorang blogger, saya
merasakan bahawa wakaf adalah cara terbaik untuk membantu universiti dalam
membangun dan menyediakan segala kemudahan terbaik kepada para pelajar.
Bagusnya wakaf ini bukan sahaja dapat membantu universiti, tetapi juga dapat
memberi pahala kepada para pewakaf sehingga mereka meninggal dunia.
Wakaf ini boleh dilakukan oleh
sesiapa sahaja termasuklah pelajar dan ibu bapa pelajar. Alumni universiti pun
boleh melakukan wakaf dengan cara menyumbang seberapa banyak duit yang mereka
mahu dengan niat untuk berwakaf. Untuk melakukan wakaf ini, tidak perlulah
dalam jumlah yang besar seandainya kita tidak mampu, memadai kita mewakafkan
RM1 sahaja ke dalam tabung wakaf sebagai satu cara untuk kita membantu
universiti dan pelajar pelajar lain yang menuntut ilmu di dalam universiti
tersebut.
Perlu diingatkan, harta yang hendak
kita wakafkan itu mestilah harta yang kita sayang seperti duit dan emas
umpamanya. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang wakaf dari sudut hukum dan
sebagainya, boleh bertanya kepada Tan Sri Google bagi mendapatkan jawapan.
Apabila setiap mahasiswa dan alumni
yang berada di universiti tersebut mewakafkan seringgit setiap bulan untuk
pembangunan universiti, saya yakin dan percaya, semua universiti di Malaysia
ini dapat mencapai tingkat kemajuan yang tinggi dan istilah mahasiswa kebuluran
sehingga terkoyak usus tidak akan kedengaran lagi.
Ini bukan cerita Awang Sulung Merah
Muda yang punya banyak panau kesaktian itu. Universiti Al-Azhar di Mesir dan
sebuah universiti di Pattani, Thailand telah menjadi sebuah universiti yang
berjaya dengan keberkesanan aktiviti wakaf ini. Jangan sesekali tidak percaya,
yuran pengajian di Universiti Al-Azhar hanyalah RM25 sahaja (menurut Ustaz Don
Daniyal Don Biyajid) untuk satu semester (jika saya tidak silap) jika hendak
dibandingkan dengan semua universiti awam dan swasta yang ada di negara kita.
Lihatlah betapa murahnya yuran untuk memasuki universiti terbaik dan bertaraf antarabangsa
tersebut dengan keberkesanan aktiviti wakaf itu.
Apabila setiap mahasiswa mewakafkan
RM1 untuk pembangunan universiti, universiti tentu mampu untuk membina bangunan
atau membeli apa apa keperluan untuk tujuan pembelajaran buat mahasiswa di universiti
tersebut. Apabila ada mahasiswa lain yang menggunakan bangunan atau keperluan
yang disediakan itu untuk tujuan pembelajaran, pewakaf yang terdiri daripada
mahasiswa tadi akan mendapat ganjaran pahala sehingga ke hari kiamat. Lihatlah
betapa bagusnya jika seorang mahasiswa itu melakukan wakaf.
Maka, dengan itu saya menggalakkan
semua mahasiswa yang ada di seluruh Malaysia untuk melakukan wakaf untuk
pembangunan universiti masing masing. Sesungguhnya, dengan melakukan wakaf
tersebut, kita bukan sahaja memperoleh ganjaran pahala yang berterusan, malah
dapat membantu dan memudahkan orang lain yang hendak menuntut di universiti
tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.