Sumber : Google |
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, persepsi
atau dalam bahasa Melayunya disebut anggapan/tanggapan membawa maksud gambaran
atau bayangan dalam hati atau fikiran (tentang sesuatu) atau pandangan
(menerusi pancaindera).
Pada hari ini, semua manusia yang
tinggal di bumi memang tidak terlepas daripada dihambat persepsi. Perkara ini
berlaku mungkin kerana meningkatnya kemajuan dalam komunikasi, teknologi,
pemikiran, dan kebudayaan. Persepsi bukan sahaja boleh wujud di dunia realiti,
tetapi juga di dunia maya (internet). Jika persepsi tidak diurus dengan baik,
ia boleh menjadi fitnah. Justeru, kita sebagai manusia dan anggota masyarakat,
jangan sesekali meletakkan diri kita dalam kancah persepsi terutama persepsi
yang buruk kerana ia boleh memakan diri sendiri. Sebab itu sangat penting kita
boleh dan pandai menguruskan persepsi.
Ahli ahli politik dan artis atau
selebriti adalah golongan yang sering dihambat dengan persepsi (terutama
persepsi yang buruk) kerana mereka secara tidak sedar suka meletakkan diri
mereka dalam kancah persepsi. Apabila mereka gagal menguruskan persepsi yang
datang kepada mereka itu dengan sempurna, maka masyarakat akan percaya bahawa
persepsi yang melekat pada diri mereka itu adalah betul. Maka, persepsi yang
gagal diuruskan itu boleh dibuat senjata untuk menjatuhkan mereka.
Persepsi itu boleh berlaku dalam dua
bentuk iaitu baik dan buruk. Biasanya apabila disebut persepsi, yang buruk
buruk pasti akan banyak keluar dahulu daripada yang baik. Sebab itu, apabila
seseorang yang dipalit dengan persepsi, imejnya pasti akan tercemar.
Persepsi yang baik itu penting tetapi
persepsi yang buruk sangat bahaya lebih lebih lagi jika ia tidak diuruskan
dengan sempurna. Ini kerana, persepsi buruk itu boleh merosakkan fakta ataupun
bukti terhadap sesuatu isu atau situasi yang berlaku di sekitar masyarakat.
Sebagai contoh, isu pergaduhan antara
keluarga pengantin di Kuala Lumpur (dan di masjid pula) baru baru ini gara gara
wang hantaran tidak cukup. Persepsi yang buruk pada awalnya diletakkan pada
pihak pengantin perempuan kerana mengenakan jumlah hantaran yang tinggi kepada
pihak pengantin lelaki walaupun mereka tahu bahawa pengantin lelaki itu hanya
bekerja sebagai pengawal keselamatan. Kemudian, apabila imam masjid dan pihak
pengantin perempuan mula mengeluarkan kenyataan itu dan ini di laman sosial,
persepsi yang buruk pula mula jatuh kepada pihak pengantin lelaki.
Maka masyarakat yang menjadi
pemerhati kepada isu itu mula keliru dan buntu. Masyarakat tidak tahu siapakah
yang benar benar bersalah dalam isu tersebut. Masyarakat juga tidak tahu apakah
isu sebenar sehingga membawa kepada pergaduhan yang sangat dahsyat itu. Semua
ini berlaku kerana persepsi yang dilontarkan oleh kedua dua belah pihak.
Persepsi yang timbul telah merosakkan fakta dan bukti kepada isu yang tidak
pernah berlaku itu.
Akhirnya masyarakat meletakkan
persepsi dan membuat kesimpulan sendiri. Apabila masyarakat sudah membuat
persepsi, ia boleh jadi baik dan ia juga boleh jadi buruk. Masing masing ada
pendapat sendiri mengenai isu tersebut gara gara persepsi yang dicampakkan oleh
kedua dua belah pihak.
Persepsi sebenarnya bagus tetapi ia
menjadi tidak bagus apabila ia berupaya untuk merosakkan fakta dan bukti.
Apabila fakta dan bukti sudah rosak, maka maklumat yang tepat mengenai sesuatu
isu atau situasi itu tidak diperolehi oleh masyarakat. Akhirnya masyarakat
terus menjadi buntu dan serba tidak tahu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.