Ahad, 31 Julai 2016

NOVEL : MELUNAS DENDAM BAB 21



          Setelah ditangguhkan beberapa kali, akhirnya perhimpunan aman seksualiti merdeka yang mengiktiraf golongan LGBT yang dianjurkan oleh sebuah NGO bernama CUCI berjaya diadakan di Dataran Merdeka. Norin yang menjadi pengarah kepada perhimpunan itu berasa sangat bangga kerana begitu ramai rakyat Malaysia yang berlainan bangsa dan agama (termasuk yang beragama Islam) telah hadir ke program itu untuk memberi sokongan.

          Kehadiran begitu ramai peserta ke perhimpunan aman itu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih terbuka, liberal, dan bebas. Mereka juga mahu memastikan hak setiap manusia diiktiraf seperti hak untuk menukar agama sesuka hati dan hak untuk mengamalkan seks bebas serta pelik. Bagi mereka, itulah tanda kemajuan sebenarnya. Jika Malaysia menghalang itu semua, Malaysia akan terus menjadi negara yang tertutup pada perubahan. Jadi proses pemodenan, pembangunan, dan kemajuan Malaysia akan terus terlungkup sampai bila bila.

          Peserta yang datang ke perhimpunan itu bukan sahaja dari golongan lesbian, gay, transgender, dan biseksual sahaja, malah peserta peserta yang bukan dalam golongan itu pun turut hadir juga untuk memberi sokongan. Pihak polis menganggarkan seramai lebih 500 000 orang telah menyertai perhimpunan itu. Mereka berhimpun secara aman dengan berjalan dan duduk di sekitar Dataran Mereka di samping membawa sepanduk yang jelas menyokong kebebasan seksual dan kebebasan beragama dalam kalangan rakyat Malaysia.   

Sabtu, 30 Julai 2016

SOKONG DAP MELAYU TAMBAH RUGI

Sumber : Google 

Berdasarkan bacaan bacaan saya terutama di blog blog dan di media media sosial, ramai yang kata lebih bagus sokong DAP pada PRU akan datang kerana sokong UMNO pun Melayu sudah banyak rugi. Mereka kata UMNO pun sudah banyak tidak jaga kepentingan Melayu lagi. Justeru, apa perlunya sokong UMNO yang banyak masalah dan sudah tidak lagi menjaga kepentingan Melayu itu. Lebih baik sokong DAP yang mereka percaya boleh membawa ‘rahmat’ ke seluruh alam daripada sokong UMNO yang mereka kata membawa banyak masalah.

Hujah mereka itu tidak saya kata salah dan saya boleh berdamai lagi dengan hujah itu. Cuma saya tetap juga tidak setuju. Saya beri analogi begini : Jika kita ada sebuah perniagaan, dan perniagaan kita itu rugi, kita mahu rugi atau kita mahu muflis terus? Saya yakin ramai yang pilih untuk rugi kerana muflis terus lebih banyak buruk dari baiknya.

Begitu juga dalam konteks politik kita pada hari ini. Saya bukan mahu ajak pembaca semua supaya sokong UMNO pada PRU akan datang tetapi saya mahu pembaca semua berfikir, anda mahu rugi atau mahu terus gulung tikar. Jika anda sokong UMNO, memang anda akan rugi besar, tetapi jika anda sokong DAP, anda akan terus muflis.

ALLAH PUN TUHAN YANG LEMAH!


Ketika saya minum bersama teman teman di sebuah kedai mamak di Kuala Lumpur, kami berbahas sedikit soal politik dan agama. Kami berbahas soal agama itu kerana kami adalah pengikut gerakan usrah suatu ketika dahulu. Pada ketika kami rancak berbincang soal agama itu, seorang teman bertanya kepada kami semua : bolehkah Allah cipta batu yang tidak boleh diangkat-Nya sendiri? Dan bolehkah Allah mencipta manusia yang mampu untuk menentang diri-Nya? Jika Allah tak boleh cipta benda benda begitu, maka Allah pun Tuhan yang lemah juga sama seperti tuhan tuhan yang lain!
Terkejut kami semua mendengar kata kata teman itu. Segera kami minta dia beristighfar dan bertaubat kerana mengucap perkara semacam itu. Kami katakan padanya, boleh terbatal akidahnya jika dia ucap seperti itu. Dan dia terus berhujah seperti tadi dengan penuh yakin dan rasa benar. Jika kami tidak punya asas agama, sudah tentu kami boleh terpesong akidah mendengar hujah hujahnya. Kami membalas hujahnya untuk menyedarkannya Allah bukanlah tuhan yang lemah. Tetapi dia tidak mahu terima. Dia tetap berpegang teguh dengan apa yang dia percaya itu.

Ketika seorang teman menghantar saya pulang ke rumah, kami berbahas lagi soal itu. Apabila diteliti, apa yang diucapkan oleh teman kami tadi itu, adalah pemikiran orang orang atheist – orang yang tidak percaya kepada tuhan dan agama.

ULAS NOVEL : MEREKA KARYA ARIFF ADLY

Sumber : Google

Dalam lambakan tugas sebagai seorang pelajar, saya masih sempat lagi membaca novel novel yang saya minat. Setelah membaca, seperti biasa, saya akan mengulas novel novel yang telah saya habis baca itu untuk memberi sudut pandangan saya sendiri berkenaan dengan novel tersebut. Dan untuk kali ini, saya mahu mengulas novel Mereka yang ditulis oleh Ariff Adly dan diterbitkan oleh syarikat Fixi.

Sebelum itu, saya ingin memohon ampun dan maaf kepada pembaca pembaca blog ini kerana lama membiarkan blog ini tidak dikemaskini seperti yang sepatutnya. Saya juga ingin memohon maaf kepada pembaca kerana tidak sempat mengulas isu isu panas yang berlaku di sekeliling kita. Ini semua berlaku bukan kerana saya sengaja sebaliknya saya perlu memberi tumpuan yang lebih kepada tugas hakiki saya sebagai seorang mahasiswa di universiti. Lambakan tugas itu benar benar merencatkan kerja kerja penulisan saya di blog ini.

Berbalik kepada agenda penulisan, novel karya Ariff Adly kali ini tidaklah mengecewakan sama seperti novel Kacau yang pernah saya baca sebelum sebelum ini. Namun begitu, ‘sengat’ penulisan Ariff di dalam novel Mereka ini sedikit berkurangan kalau hendak dibandingkan dengan novel Kacau dahulu. Hal ini mungkin berlaku kerana jalan cerita yang dipaparkan oleh Ariff dalam novel Mereka ini tidak mampu untuk mempamerkan ‘sengat’ Ariff yang ‘berbisa’ dalam penulisan novel thriller itu.

Sabtu, 23 Julai 2016

NOVEL : MELUNAS DENDAM BAB 20


       Jalan raya di Kuala Lumpur pada pagi itu sudah mula sesak walaupun jam baru sahaja menunjukkan pada pukul sepuluh pagi. Itu bukanlah satu perkara yang pelik apabila berada di Kuala Lumpur. Kesesakan jalan raya dan Kuala Lumpur memang tidak dapat dipisahkan. Pendek kata, pukul berapa pun kita berada di jalan raya, kesesakan itu haruslah kita tempuhi.

          Hamad, Farah, dan Aiman sedang berada di dalam teksi pada waktu itu untuk pulang ke rumah. Mereka baru sahaja pulang dari hospital setelah menghantar Razali ke sana pada pukul sebelas malam tadi akibat dibelasah teruk oleh Hamad. Setelah sampai di hospital semalam, Razali terus dimasukkan ke wad kecemasan. Setelah diperiksa oleh kakitangan hospital yang bertugas, mereka mendapati tulang rusuk, tangan dan kaki Razali telah patah. Razali perlu dibedah namun akibat begitu ramai sekali pesakit yang perlu menjalani pembedahan semalam, maka Razali pun menjalani pembedahan pukul lima pagi tadi. Dan sekarang Hamad tidak mendengar khabar berita daripada sesiapa sama ada ayahnya itu sudah selamat menjalani pembedahan atau belum.

          Hamad sendiri benar benar tidak menyangka bahawa dia boleh bertindak sejauh itu dengan membelasah ayahnya sendiri sehingga separuh mati tanpa ada sekelumit pun rasa kasihan. Dia benar benar berang semalam dengan ayahnya. Sudahlah Razali memukul anaknya sehingga pecah bibir, Razali juga telah memecah televisyen yang dibelinya dengan hasil titik peluhnya sendiri sebagai pemandu teksi. Justeru itu, kerana terlalu mengikut rasa marah yang membara di hati, dia telah bertindak tanpa menggunakan akal yang waras.

BIARKAN SAHAJA MEREKA BERSARA

Sumber : Google

Ramai orang marah apabila Safiq Rahim dan Aidil Zafuan mahu bersara daripada skuad bola sepak kebangsaan. Mereka berhujah begitu dan berhujah begini untuk menentang apa yang Safiq Rahim dan Aidil Zafuan serta dua yang lain lakukan itu. Walau bagaimanapun, terdapat juga orang yang menyokong apa yang mereka berempat buat.

Sungguh saya tidak faham dengan kerenah masyarakat kita. Sewaktu mereka yang bersara itu berada dalam skuad kebangsaan, dan gagal pula membawa banyak kemenangan kepada Malaysia dalam banyak kejohanan, masyarakat mencemuh mereka selagi mahu. Kemudian, apabila mereka mahu bersara, masyarakat mencemuh mereka lagi. Apa sebenarnya yang masyarakat mahu?

Saya yakin mereka pasti ada alasan tersendiri mengapa mereka mahu bersara. Dan sewajarnya mereka bersara setelah mereka acapkali gagal untuk membawa pasukan bola sepak Malaysia ke takah yang lebih tinggi lagi. Prestasi mereka yang hambar itu perlu digantikan dengan pemain lain yang mungkin lebih bagus daripada mereka dan mungkin boleh membawa bola sepak Malaysia mencapai banyak kegemilangan.  

Selasa, 19 Julai 2016

NOVEL : MELUNAS DENDAM BAB 19



“Kenapa awak tak cuba pertahankan saya masa Hamad marah saya tadi?” Soal Fauziah ketika dia dan Razali sedang menonton televisyen di ruang tamu. Hanya mereka berdua sahaja yang berada di ruang tamu rumah tersebut pada waktu itu. Hamad keluar bekerja manakala Farah pula sedang melakukan sesuatu di dapur. Iman berada di dalam bilik menyiapkan kerja sekolahnya.

          “Macam mana saya nak pertahankan awak kalau itu memang salah awak? Kan dah banyak kali saya pesan jangan cerita buruk anak anak kat orang. Sekarang awak tengok apa akibatnya.” Razali menjawab sambil memandang wajah Fauziah. Sesekali matanya tertancap pada peti televisyen yang sedang menayangkan drama Melayu pada malam itu.

          “Eleh, awak pun sama juga dulu suka buka aib anak anak awak dekat kawan kawan dan saudara mara kita. Sekarang pula awak nak berubah?” Sindir Fauziah.

          “Saya kena berubah Fauziah. Awak juga yang cakap nak jernihkan hubungan dengan anak anak. Kalau macam ni la sikap awak, sampai bila bila hubungan kita dengan anak anak takkan jernih. Awak nak macam tu?” Fauziah terdiam mendengar kata kata Razali. Ya, benar kata suaminya. Jika sikap suka bercerita tentang hal keburukan anak menantunya kepada orang luar itu tidak dibuang, sampai bila bila pun anak anak akan benci pada dirinya.

          “Janganlah tukar! Atuk nak tengok cerita tu!” Ujar Razali dengan nyaring apabila Iman mula mengubah siaran televisyen yang sedang ditontonnya. Entah bila Iman muncul di ruang tamu rumah itu dia sendiri pun tidak tahu. 

RELEVANKAH PARTI BARU DR. MAHATHIR ITU?

Sumber : Google

Dr. Mahathir bercadang untuk membuka parti baru yang akan bergabung dengan Pakatan Harapan untuk menumbangkan Barisan Nasional pada PRU 14 nanti. Pelbagai reaksi yang timbul daripada orang awam dengan penubuhan parti itu. Adakah ia relevan ataupun tidak.

Parti Amanah Negara (PAN) juga baru sahaja ditubuhkan. Tiba tiba Dr. Mahathir mahu tubuh parti baru pula. Persoalannya, mengapa Dr. Mahathir dan sekutunya tidak menyertai PAN sahaja? Jika tidak boleh sertai PAN pun, sertailah PKR ataupun DAP. Apa perlunya parti baru itu?

Dalam sesebuah negara yang demokrasi, penubuhan sesebuah parti baru itu tidaklah dihalang. Tetapi orang tertanya tanya, apakah agenda dan objektif penubuhan parti itu. Jika agenda dan objektif penubuhan parti baru itu hanya sekadar mahu menumbangkan BN, adalah lebih baik Dr. Mahathir sertai mana mana parti politik yang ada. Adalah sesuatu yang tidak perlu untuk membazir wang dan tenaga untuk menubuhkan parti baru tersebut.

Sabtu, 16 Julai 2016

FAHAMI KENYATAAN DAVID TEO DALAM DUA KONTEKS



 

Kecoh di dunia maya berbicara soal kenyataan penerbit terkenal, David Teo yang dikata sebagai menghina seniman agung, Tan Sri P. Ramlee. Saya tidak bercadang untuk memperturunkan apa yang David Teo katakan kerana bagi saya anda sudah mengetahui dan sudah pun membacanya dalam laman laman sosial yang berlambak di internet. Justeru, artikel ini hanya akan mengulas apa yang David Teo katakan sahaja.

Jika difahami secara tersurat dan tersirat apa yang cuba David Teo katakan, dia bercakap itu bukan untuk menghina seniman agung kita. Dia cuma mahu bercakap darihal pengurusan kewangan yang betul tentang artis artis di negara ini. Kita semua sedia maklum bahawa sekian banyak artis kita, apabila mereka sudah mencapai usia tua dan sudah tidak banyak lagi tawaran berseni yang mereka terima, maka mereka mula hidup susah. Contoh terdekat adalah pada Allahyarham Datuk Yahaya Sulong dan Yazid dari kumpulan Search. Oleh sebab itu, David Teo sebagai usahawan yang berjaya, cuba untuk memberi nasihat kepada artis artis kita supaya menguruskan kewangan dengan betul supaya apabila mereka tua kelak, hidup mereka tidaklah susah.

Rabu, 13 Julai 2016

BANTAHAN UMNO SUDAH TIDAK DISAMBUT LAGI



 
 
Baru baru ini, Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan berhimpun dan cuba merempuh ibu pejabat parti DAP untuk menghantar memorandum kepada parti tersebut di atas kebiadapan Nga Kor Ming – Pengerusi DAP Perak yang telah menghina sambutan Hari Raya Aidilfitri di laman Facebooknya.

Boleh dikata apa yang Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan buat itu betul sementelahan mereka cuba mempertahankan bangsa dan agama mereka daripada terus diperlecehkan oleh DAP. Kita sedar sekian banyak ultrakiasu seperti Nga Kor Ming itu yang suka memperlecehkan Melayu dan Islam. Penghantaran memorandum itu bukan sahaja sebagai tanda amaran kepada Nga Kor Ming sahaja tetapi turut kepada semua bangsa yang ada di Malaysia supaya tidak bermain dengan isu kaum dan agama atas tujuan politik pada masa akan datang.

Meskipun apa yang dibuat oleh Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan itu baik namun tidak semua orang terutama anak muda menyokong apa yang Pemuda UMNO itu buat. Sebaliknya, mereka mengecam UMNO kerana membuat perkara itu. Contoh jelas boleh dilihat dalam Twitter Syed Saddiq – mahasiswa yang lantang dan kritis terhadap kepimpinan Najib dan UMNO sejak akhir akhir ini.

Isnin, 11 Julai 2016

SENARAI GAMBAR MENAKJUBKAN YANG DIAMBIL HANYA GUNA TELEFON PINTAR

Sumber : Google
Semua orang suka melihat benda benda yang cantik bukan? Begitu juga dengan saya. Saya suka melihat pemandangan yang cantik, perempuan yang cantik, benda benda yang cantik, dan gambar dan cantik. 

Bercakap tentang gambar yang cantik, ada sebuah laman web ini telah menjumpai puluhan gambar yang cantik cantik tetapi yang uniknya semua gambar itu diambil atau ditangkap dengan menggunakan telefon pintar. Telefon pintar? Ya, telefon pintar. Saya faham bahawa pasti ramai di antara kita yang suka menangkap gambar dengan menggunakan DSLR bukan? Kita yakin dengan menggunakan DSLR itu kita akan mendapat gambar yang berkualiti tinggi di samping kita akan mendapat gambar yang cantik. 

Walau bagaimanapun, anda janganlah berasa terkejut ataupun hairan apabila melihat gambar gambar yang cantik ini tetapi hanya diambil dengan menggunakan telefon pintar sahaja. Mahu melihat gambar gambar tersebut? Ada boleh pergi ke laman web ini ---> Senarai Gambar Tercantik Yang Diambil Hanya Guna Telefon Pintar <--- Di laman web itu, anda boleh melihat puluhan gambar yang cantik yang hanya diambil dengan telefon pintar sahaja. Saya yakin anda pasti tidak akan percaya dengan apa yang anda lihat nanti. Selamat melihat...hehehe