Sabtu, 16 Julai 2016

FAHAMI KENYATAAN DAVID TEO DALAM DUA KONTEKS



 

Kecoh di dunia maya berbicara soal kenyataan penerbit terkenal, David Teo yang dikata sebagai menghina seniman agung, Tan Sri P. Ramlee. Saya tidak bercadang untuk memperturunkan apa yang David Teo katakan kerana bagi saya anda sudah mengetahui dan sudah pun membacanya dalam laman laman sosial yang berlambak di internet. Justeru, artikel ini hanya akan mengulas apa yang David Teo katakan sahaja.

Jika difahami secara tersurat dan tersirat apa yang cuba David Teo katakan, dia bercakap itu bukan untuk menghina seniman agung kita. Dia cuma mahu bercakap darihal pengurusan kewangan yang betul tentang artis artis di negara ini. Kita semua sedia maklum bahawa sekian banyak artis kita, apabila mereka sudah mencapai usia tua dan sudah tidak banyak lagi tawaran berseni yang mereka terima, maka mereka mula hidup susah. Contoh terdekat adalah pada Allahyarham Datuk Yahaya Sulong dan Yazid dari kumpulan Search. Oleh sebab itu, David Teo sebagai usahawan yang berjaya, cuba untuk memberi nasihat kepada artis artis kita supaya menguruskan kewangan dengan betul supaya apabila mereka tua kelak, hidup mereka tidaklah susah.


Walau bagaimanapun, dalam memberi nasihat mengenai pengurusan kewangan itu, Datid Teo telah membuat perbandingan mengenai perkara itu dengan seniman agung kita. Dia membuat perbandingan, jika artis artis gagal untuk menguruskan kewangan mereka dengan betul, nasib mereka akan sama dengan nasib Tan Sri P. Ramlee. Itulah yang menyebabkan ramai orang dan artis marah kerana dia membuat perbandingan dengan seorang manusia yang besar jasanya dalam perfileman Melayu. Meskipun apa yang diucapkan oleh David Teo itu tidak salah, tetapi membuat perbandingan seperti itu adalah salah. Tidak sewajarnya David Teo menggunakan nama seniman agung Malaysia dalam membuat perbandingan semacam itu. Bukan hanya nama Tan Sri P. Ramlee, jika dia membuat perbandingan dengan menggunakan nama Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Aznil Nawawi, atau Datuk A.C Mizal pun sudah pasti ramai orang marah.      

David Teo tidak sepatutnya menggunakan nama Tan Sri P. Ramlee atau nama sesiapa sahaja untuk memberi nasihat secara terbuka seperti itu. Cukup sekadar David Teo memberi nasihat, tanpa menyebut dan membuat perbandingan dengan nama orang lain. David Teo yang sememangnya lama berkecimpung dalam perniagaan hiburan sepatutnya faham akan hal ini tetapi sebaliknya telah berlaku.

Kita tidak boleh menyalahkan orang ramai kerana membuat kecaman itu. Sudah menjadi hak mereka untuk untuk mempertahankan seniman yang mereka sayang lebih lebih lagi seniman itu telah berjasa besar dalam pembangunan filem filem Melayu. Cuma nasibnya kurang baik sedikit berbanding David Teo. Jika Allah beri tuah kepadanya seperti mana Allah beri tuah kepada David Teo, sudah pasti dia boleh menjadi jutawan dan pengarah hebat di dunia. Cuma itulah, untung nasib tidak menyebelahi dirinya waima ketika dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

David Teo perlu sedar akan khilafnya dan perlu segera memohon maaf terutama kepada ahli keluarga Allahyarham P. Ramlee dan sekalian peminat peminatnya. Tan Sri P. Ramlee adalah seniman agung dan tidak sepatutnya kata kata yang buruk dilemparkan kepadanya. Dia sudah dihina ketika dia hidup, jangan pula dia dihina walaupun dia sudah meninggal dunia.

1 ulasan:

  1. tak tahu nak komen tentang ni.. ada baik dan buruk..
    saya tag awak yee.. jangan marah tau :)
    http://hiphiphorray15.blogspot.my/2016/07/premade-template-giveaway-by.html

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.