Jumaat, 29 Disember 2017

GRAFITI : SENI JALANAN YANG BANYAK MESEJNYA


Image result for graffiti
Sumber : Google

Pasti sekali-sekala kita pernah melihat karya-karya seni yang terhias di dinding-dinding yang ada di negara kita. Karya-karya seni itu kadang-kala menangkap perhatian kita kerana kecantikkan dan juga mesejnya. Namun begitu, ada juga segelintir daripada kita yang berpandangan bahawa segala karya seni itu hanya menyesakkan pandangan mata. Lalu, kita sebagai orang awam menghukum semua karya seni itu sebagai vandalisme dengan sewenang-wenangnya.

Masih ramai dalam kalangan kita yang tidak dapat membezakan antara grafiti, mural, dan vandalisme dengan sebetulnya. Bagi segelintir daripada kita, karya seni yang terpapar di dinding-dinding itu adalah sama sahaja. Lantaran itu, kita berpandangan bahawa semua karya seni yang terpapar itu merosakkan pandangan mata sahaja.

Esei ini sebenarnya adalah untuk berbicara tentang grafiti. Namun begitu, sebelum saya menjelaskan tentang grafiti, molek benar kiranya saya menerangkan tentang mural dan vandalisme yang masih ramai tidak ketahui.

Vandalisme ialah perlakuan yang merosakkan harta benda seseorang atau harta benda awam secara kasar untuk tujuan menjahamkan. Vandalisme (dalam konteks esei ini) berbentuk contengan-contengan yang terpapar di dinding-dinding (dalam tandas lelaki misalnya) yang tidak mengandungi mesej tersirat atau unsur keindahan. Contengan-contengan ini biasanya memaparkan nombor telefon (entah milik siapa), perkataan-perkataan atau lukisan-lukisan yang bersifat lucah, lucu, provokasi, dan penuh penghinaan.

Mural pula ialah lukisan besar yang dilukis pada dinding atau tembok bangunan. Lukisan mural perlu mengambil kira beberapa unsur (element) seperti kesesuaian bangunan, rekabentuk, estetika, dan keindahan. Mural digunakan untuk memaparkan kegiatan spiritual, ekspresi diri, ekspresi seni, dan interaksi dua hala yang sudah semestinya melalui lukisan.

Grafiti pula ialah contengan di dinding yang mempertimbangkan komposisi warna, garis, dan bentuk untuk yang memaparkan perkataan, simbol, atau kalimah tertentu. Alat yang digunakan untuk untuk menghasilkan grafiti ialah cat sembur. Setiap grafiti yang dihasilkan mempunyai maknanya yang tersendiri. Ada grafiti yang mudah difahami tetapi ada juga grafiti yang sukar difahami. Kebanyakkan orang (termasuklah saya) kadang-kala tidak memahami maksud yang terkandung dalam sesuatu grafiti. Lalu, grafiti itu sekadar dipandang sebagai suatu keindahan seni (itu pun jika mahu dipandang sebagai suatu keindahan!).

Walau bagaimanapun, untuk menentukan hasil seni yang terpapar di dinding itu sama ada grafiti atau mural bukanlah mudah sebenarnya. Masih ramai beranggapan bahawa mural dan grafiti itu sama sahaja.

Dalam bahasa mudahnya, perbezaan antara mural dan grafiti ialah mural dihasilkan secara bebas yakni tidak hanya dalam bentuk tulisan semata-mata. Mural lebih menjurus kepada isu sosial dan bahan untuk melukisnya bukan hanya cat sembur sahaja. Cat dinding, cat kayu, atau pewarna apa pun boleh digunakan juga.

Berbeza dengan grafiti, grafiti merupakan karya seni yang berbentuk tulisan. Cat sembur ialah bahan yang sering digunakan dan menjadi keutamaan.

Mesej yang terkandung dalam sesuatu grafiti selalunya mengandungi unsur-unsur mistik, spiritual, propaganda, sindiran, atau ketidakpuashatian.  Oleh sebab itulah, untuk memahami maksud grafiti itu adalah sesuatu yang penuh kesukaran.  Bagi orang yang akrab dengan seni (lebih tepat lagi orang yang terlibat dengan grafiti), mentafsirkan grafiti mungkin sesuatu yang mudah sama sekali. 

Grafiti ini biasanya dilakukan oleh anak-anak muda. Hal ini kerana, (mungkin) hanya melalui grafiti sahaja, mereka boleh menyampaikan suara mereka. Melalui grafiti juga, mereka boleh melepaskan rasa marah dan kecewa mereka terhadap sesuatu perkara. Semua ini berlaku apabila suara atau perasaan mereka tidak pernah mahu diambil cakna. Mereka juga tidak mempunyai saluran untuk menyampaikan apa yang terbuku di hati mereka.

Memandangkan suara anak-anak muda ini tidak mahu didengari, maka mereka mula memberontak melalui seni. Mereka menggunakan cat sembur untuk meluahkan perasaan. Mereka menggunakan dinding yang ada di lorong atau jalan untuk menunjukkan rasa ketidakpuashatian. Semuanya dilakukan kerana mereka mahukan kebebasan dan memprotes terhadap kehidupan yang sengaja diaturkan.

Memandangkan grafiti ini sering dilakukan oleh anak-anak muda yang penuh kemarahan dan ketidakpuashatian, maka unsur-unsur negatif dalam karya-karya grafiti itu sering sahaja dipaparkan. Walau bagaimanapun, bukan semua karya grafiti itu bersifat negatif sahaja. Unsur-unsur positif pun tetap ada juga. Semuanya bergantung kepada siapa pelukisnya. 

Jika pelukis grafiti itu memaparkan unsur-unsur positif, maka lukisan itu mempunyai mesej yang positif. Namun, jika pelukis grafiti itu memaparkan unsur-unsur yang negatif, maka lukisan itu pasti akan mempunyai mesej yang negatif.

Grafiti yang membawa mesej yang positif sudah pastilah mengangkat tema kasih-sayang, kehidupan, kemanusiaan, perpaduan, dan keamanan. Mesej-mesej ini amat penting disampaikan kepada khalayak ramai untuk memberi kesedaran dan peringatan.

Kerajaan perlu menyediakan ruang yang lebih luas kepada pengkarya jalanan ini untuk menghasilkan karya mereka. Berilah mana-mana dinding yang kosong untuk pelukis grafiti ini mengekspresikan seni mereka. Masyarakat pula jangan sesekali menganggap melukis grafiti ini sebagai aktiviti yang membuang masa. Hal ini kerana, lukisan grafiti ini begitu banyak mesejnya. Cuma mesej itu perlu difahami dengan sebaiknya.

Malaysia bukanlah negara yang akrab dengan nilai-nilai kesenian dan kebudayaan. Buktinya, arca Puncak Purnama yang dibuat oleh Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal telah pun dirobohkan. Semuanya gara-gara ingin mengejar pembangunan dan kemajuan. Mana-mana hasil seni yang tidak menjana keuntungan pasti akan dimusnahkan. Arca Puncak Purnama telah menjadi mangsa. Jangan sampai seni grafiti pun hendak ‘diarwahkan’ juga! 

  


Isnin, 27 November 2017

HADIAH KEADILAN

Image result for keadilan
Sumber : Google


 Ketika kau beri sejambak bunga cinta,
Tubuh munggilku kau nikmati sepuasnya,
Lalu kau kongsi bersama teman-teman,
Yang tidak ubah seperti barang mainan. 


Kau yang sedang berdiri di sana,
Sedang bebas bergelak ketawa,
Aku pula yang terus merana,
Setelah tujuh kali diperkosa,
Akibat percaya dengan cinta dusta. 


Hadiahkan aku sebuah keadilan,
Yang dibungkus oleh hakim Mahkamah Persekutuan,
Namun kerana jelik manipulasi perundangan,
Aku tewas gara-gara kerelaan. 


Sungguh tenang ketika diri membenam belati,
Di atas sekujur tubuh terkaku mati,
Untuk membebas dendam yang terkurung di hati,
Setelah sisa keadilan begitu sukar dicari.

Isnin, 20 November 2017

MEMANG DIA RAJA BLOGGER MALAYSIA!


Image result for raja petra blog
Sumber : Google


Antara kegemaran saya adalah membaca. Membaca bukan sahaja boleh menambah pengetahuan malah menambah idea untuk menulis (blog) juga. Selain membaca buku dan kolum-kolum di akhbar arus perdana, membaca blog juga adalah antara kegemaran saya. Blog Malaysia Today yang dikendalikan oleh Raja Petra Kamaruddin adalah antara blog yang saya suka baca.

Raja Petra Kamaruddin atau RPK adalah antara blogger yang cukup kontroversi suatu ketika dahulu. Tulisan-tulisan atau pendedahan pendedahan yang dibuat oleh beliau dalam blog mengenai politik Malaysia cukup disukai malah digeruni selalu. Ada yang suka dan ada yang benci beliau sejak dari dahulu. Bergantung kepada pihak mana dalam politik yang beliau sokong dan setuju.

Beliau memang seorang blogger yang tulen. Beliau tidak menulis semata mata untuk jadi terkenal. Beliau tidak menulis perkara perkara yang boleh dibakulsampahkan. Beliau menulis untuk berhujah, memberi pandangan, dan menjawab persoalan. Sama ada orang suka atau benci apa yang beliau tuliskan, sedikit pun beliau tidak pernah kisahkan.

Jika benarlah beliau seorang blogger yang mengejar populariti, pastilah sampai sekarang beliau menulis perkara yang ampu dan puji. Tetapi kini beliau menulis untuk menghentam mana mana pihak yang tidak betul sama ada di belah kanan atau di belah kiri. Untuk apa beliau menulis perkara yang boleh membuatkan diri beliau dicaci dan dibenci? Adalah lebih baik beliau menggunakan blog Malaysia Today itu untuk bercakap perihal diri sendiri.

Bagi manusia yang tidak suka politik (atau cuba menjarakkan diri daripada politik), blog beliau beliau bukanlah satu pilihan untuk dibaca. Begitu juga dengan manusia yang suka membaca blog blog yang menyediakan bahan bacaan yang ringan (bertaraf sampah) atau mempunyai pemikiran yang tidak kritis sentiasa. Blog RPK itu memang tidak akan sesekali pernah dibuka.

Blog RPK sekarang tidaklah serancak dahulu. Dahulu, semasa di era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, blog beliau itu memang ramai orang cari. Ini kerana blog beliau banyak menyediakan bahan berita yang berani dan kontroversi.

Apa yang istimewanya blog beliau itu adalah penulisannya yang sedap dan hujahnya yang mantap. Kadang kadang tidak ramai oleh boleh berfikir hujah sebegitu tetapi beliau sudah fikir dahulu. Susah orang mahu cantas hujahnya jika tidak punya banyak ilmu.

Saya tidak kata segala hujahnya saya setuju semua. Ada juga hujahnya yang dangkal di mata saya. Tetapi mana mana hujahnya yang boleh diterima, maka ia adalah suatu yang saya suka baca dan membuat rujukan juga.

Walaupun cara hidupnya banyak yang tidak kena, tetapi dia tetap berani mempertahankan Islam, Melayu, dan Malaysia. Hujahnya lebih bernas dan lebih berani daripada ulamak dan cendekiawan semua. Beliau bukanlah ulamak atau cendekiawan tetapi beliau adalah blogger yang berani untuk mempertahankan apa yang beliau percaya.

Bagi pembaca yang berfikiran kritis, mahu tahu tentang perkembangan dunia politik, blog beliau adalah antara blog yang perlu pembaca baca dan cari. Janganlah terima semua apa yang beliau kata. Mana yang baik itu pembaca boleh terima untuk dijadikan rujukan dalam memahami dan menghadapi segala masalah yang melanda negara.

Ya, dia memang Raja Blogger Malaysia. Mengapa dia boleh jadi ‘raja’? Kerana dia berani, kreatif, kritis, dan mempunyai penulisan yang hebat sentiasa. Tidak ramai blogger boleh jadi sepertinya. Hanya manusia yang kritis dan cinta ilmu sahaja yang suka membaca blog miliknya.

Selasa, 17 Oktober 2017

BERTEMAN DENGAN SENI

Image result for seni
Sumber : Google

Sepi yang lena telah keluar dari kamar kalbu,
Runsing yang pegun telah berdiri tanpa kaku,
Petaka yang senyap sudah tidak lagi membisu,
Setelah sekian lama bermusuh dengan diri,
Meramas cahaya benderang sang mentari,
Melapah ketenangan yang menunggang sanubari.

Seni yang terbang dengan sayap keharmonian,
Tanpa diduga lantas menghantar pertolongan,
Supaya diri sentiasa dipagari oleh kawalan,
Agar tidak terus disebat dengan seutas cemeti rawan,
Yang mampu mengoyakkan kulit perasaan,
Atau mencantas bunga waras di taman fikiran.  

Seni yang indah akan menemani sentiasa,
Menghembuskan rasa damai ke dalam jiwa,
Dan melukis alpa di kertas sementara.  

Seni yang hadir sambil memandu keseronokkan, 
Tidak lupa untuk membawa sekali sepotong keberanian,
Supaya diri boleh menggigit erat pendakap kekuatan,
Bagi menghadapi singgahsana kenyataan.