Sumber : Google |
Pasti
sekali-sekala kita pernah melihat karya-karya seni yang terhias di
dinding-dinding yang ada di negara kita. Karya-karya seni itu kadang-kala
menangkap perhatian kita kerana kecantikkan dan juga mesejnya. Namun begitu, ada
juga segelintir daripada kita yang berpandangan bahawa segala karya seni itu
hanya menyesakkan pandangan mata. Lalu, kita sebagai orang awam menghukum semua
karya seni itu sebagai vandalisme dengan sewenang-wenangnya.
Masih
ramai dalam kalangan kita yang tidak dapat membezakan antara grafiti, mural,
dan vandalisme dengan sebetulnya. Bagi segelintir daripada kita, karya seni
yang terpapar di dinding-dinding itu adalah sama sahaja. Lantaran itu, kita
berpandangan bahawa semua karya seni yang terpapar itu merosakkan pandangan
mata sahaja.
Esei
ini sebenarnya adalah untuk berbicara tentang grafiti. Namun begitu, sebelum
saya menjelaskan tentang grafiti, molek benar kiranya saya menerangkan tentang
mural dan vandalisme yang masih ramai tidak ketahui.
Vandalisme
ialah perlakuan yang merosakkan harta benda seseorang atau harta benda awam
secara kasar untuk tujuan menjahamkan. Vandalisme (dalam konteks esei ini) berbentuk
contengan-contengan yang terpapar di dinding-dinding (dalam tandas lelaki
misalnya) yang tidak mengandungi mesej tersirat atau unsur keindahan. Contengan-contengan
ini biasanya memaparkan nombor telefon (entah milik siapa), perkataan-perkataan
atau lukisan-lukisan yang bersifat lucah, lucu, provokasi, dan penuh
penghinaan.
Mural
pula ialah lukisan besar yang dilukis pada dinding atau tembok bangunan. Lukisan
mural perlu mengambil kira beberapa unsur (element)
seperti kesesuaian bangunan, rekabentuk, estetika, dan keindahan. Mural
digunakan untuk memaparkan kegiatan spiritual, ekspresi diri, ekspresi seni,
dan interaksi dua hala yang sudah semestinya melalui lukisan.
Grafiti
pula ialah contengan di dinding yang mempertimbangkan komposisi warna, garis,
dan bentuk untuk yang memaparkan perkataan, simbol, atau kalimah tertentu. Alat
yang digunakan untuk untuk menghasilkan grafiti ialah cat sembur. Setiap grafiti
yang dihasilkan mempunyai maknanya yang tersendiri. Ada grafiti yang mudah
difahami tetapi ada juga grafiti yang sukar difahami. Kebanyakkan orang
(termasuklah saya) kadang-kala tidak memahami maksud yang terkandung dalam
sesuatu grafiti. Lalu, grafiti itu sekadar dipandang sebagai suatu keindahan
seni (itu pun jika mahu dipandang sebagai suatu keindahan!).
Walau
bagaimanapun, untuk menentukan hasil seni yang terpapar di dinding itu sama ada
grafiti atau mural bukanlah mudah sebenarnya. Masih ramai beranggapan bahawa
mural dan grafiti itu sama sahaja.
Dalam
bahasa mudahnya, perbezaan antara mural dan grafiti ialah mural dihasilkan
secara bebas yakni tidak hanya dalam bentuk tulisan semata-mata. Mural lebih
menjurus kepada isu sosial dan bahan untuk melukisnya bukan hanya cat sembur
sahaja. Cat dinding, cat kayu, atau pewarna apa pun boleh digunakan juga.
Berbeza
dengan grafiti, grafiti merupakan karya seni yang berbentuk tulisan. Cat sembur
ialah bahan yang sering digunakan dan menjadi keutamaan.
Mesej
yang terkandung dalam sesuatu grafiti selalunya mengandungi unsur-unsur mistik,
spiritual, propaganda, sindiran, atau ketidakpuashatian. Oleh sebab itulah, untuk memahami maksud grafiti
itu adalah sesuatu yang penuh kesukaran.
Bagi orang yang akrab dengan seni (lebih tepat lagi orang yang terlibat
dengan grafiti), mentafsirkan grafiti mungkin sesuatu yang mudah sama
sekali.
Grafiti
ini biasanya dilakukan oleh anak-anak muda. Hal ini kerana, (mungkin) hanya
melalui grafiti sahaja, mereka boleh menyampaikan suara mereka. Melalui grafiti
juga, mereka boleh melepaskan rasa marah dan kecewa mereka terhadap sesuatu
perkara. Semua ini berlaku apabila suara atau perasaan mereka tidak pernah mahu
diambil cakna. Mereka juga tidak mempunyai saluran untuk menyampaikan apa yang
terbuku di hati mereka.
Memandangkan
suara anak-anak muda ini tidak mahu didengari, maka mereka mula memberontak
melalui seni. Mereka menggunakan cat sembur untuk meluahkan perasaan. Mereka
menggunakan dinding yang ada di lorong atau jalan untuk menunjukkan rasa
ketidakpuashatian. Semuanya dilakukan kerana mereka mahukan kebebasan dan
memprotes terhadap kehidupan yang sengaja diaturkan.
Memandangkan
grafiti ini sering dilakukan oleh anak-anak muda yang penuh kemarahan dan
ketidakpuashatian, maka unsur-unsur negatif dalam karya-karya grafiti itu
sering sahaja dipaparkan. Walau bagaimanapun, bukan semua karya grafiti itu
bersifat negatif sahaja. Unsur-unsur positif pun tetap ada juga. Semuanya
bergantung kepada siapa pelukisnya.
Jika
pelukis grafiti itu memaparkan unsur-unsur positif, maka lukisan itu mempunyai
mesej yang positif. Namun, jika pelukis grafiti itu memaparkan unsur-unsur yang
negatif, maka lukisan itu pasti akan mempunyai mesej yang negatif.
Grafiti
yang membawa mesej yang positif sudah pastilah mengangkat tema kasih-sayang,
kehidupan, kemanusiaan, perpaduan, dan keamanan. Mesej-mesej ini amat penting
disampaikan kepada khalayak ramai untuk memberi kesedaran dan peringatan.
Kerajaan
perlu menyediakan ruang yang lebih luas kepada pengkarya jalanan ini untuk
menghasilkan karya mereka. Berilah mana-mana dinding yang kosong untuk pelukis
grafiti ini mengekspresikan seni mereka. Masyarakat pula jangan sesekali
menganggap melukis grafiti ini sebagai aktiviti yang membuang masa. Hal ini
kerana, lukisan grafiti ini begitu banyak mesejnya. Cuma mesej itu perlu
difahami dengan sebaiknya.
Malaysia
bukanlah negara yang akrab dengan nilai-nilai kesenian dan kebudayaan. Buktinya,
arca Puncak Purnama yang dibuat oleh Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal
telah pun dirobohkan. Semuanya gara-gara ingin mengejar pembangunan dan
kemajuan. Mana-mana hasil seni yang tidak menjana keuntungan pasti akan dimusnahkan.
Arca Puncak Purnama telah menjadi mangsa. Jangan sampai seni grafiti pun hendak
‘diarwahkan’ juga!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.