Novel
didaktik! Itulah tanggapan awal ketika saya mula-mula menatap novel ini.
Ternyata tanggapan awal saya itu tidak tersasar sama sekali (seusai saya
membacanya). Sifat didaktik memang wujud di dalam novel ini.
(Nota
: novel didaktik adalah novel yang cuba mengajar pembaca tentang sesuatu
perkara. Novel jenis ini sarat dengan ilmu atau unsur khutbah di dalamnya.)
Tanggapan
awal itu muncul apabila melihat nama penulisnya. Aiman Banna adalah penceramah
agama muda yang memang terkemuka. Kerjayanya sebagai penceramah agama itu
sedikit sebanyak dituangkan ke dalam novelnya.
Meskipun
novel ini didaktik sifatnya, namun saya masih lagi boleh sampai ke pengakhiran
cerita. Ini berbeza ketika novel Imam karya Sasterawan Negara Abdullah Hussein
yang pernah saya baca. Sehingga sekarang saya masih belum tahu lagi apa kesudahannya.
Ini kerana, jalan cerita novel itu bukan sahaja bergerak dengan sangat
perlahan, unsur khutbah di dalamnya juga terlalu berlebihan.
Saya
tidak kata semua novel yang bersifat didaktik itu tidak seronok dibaca. Novel
Sebarkan Cintamu karya Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin adalah sebuah novel
didaktik yang masih seronok dibaca meskipun unsur khutbah sangat banyak di
dalamnya. Membaca novel itu bukan sahaja mengundang keseronokkan, malah ilmu
juga boleh kita dapatkan.
Walau
bagaimanapun, novel ini bukanlah bersifat didaktik serba-serbi. Novel ini tidak
kuat sifat didaktiknya seperti mana kedua-dua novel yang telah saya sebutkan di
atas tadi. Unsur khutbah itu tidaklah terlalu mendominasi.
Saya
yakin novel ini masih belum mencapai tahap yang dikehendaki oleh Gagasan
Persuratan Baru (cetusan Mohd Affandi Hassan yang disokong oleh Prof Dr Ungku
Maimunah Mohd Tahir dan Prof Madya Dr Zariat Abdul Rani). Seandainya novel Imam
itu pun masih gagal mengikut kehendak gagasan itu, novel ini saya fikir lebih rendah
daripada itu.
Walau
bagaimanapun, saya tetap mahu mengatakan bahawa novel ini mempunyai kelasnya
yang tersendiri. Meskipun tema dan persoalan yang dikemukakan amat biasa
ditemui, namun Aiman bijak menggarapnya dengan cara yang agak berbeza sama-sekali.
Unsur-unsur cliché begitu sukar untuk dijumpai.
Teknik
penulisan novel yang berasaskan dua sudut pandang yang berbeza (watak Adam
Wafiy dan Anis Safia) amat jarang digunapakai oleh novelis di Malaysia.
Kebiasaan novelis di Malaysia menggunakan sudut pandang orang pertama atau
sudut pandang daripada pelbagai watak-wataknya. Penggunaan teknik penulisan
sebegini membuatkan novel ini berbeza dengan novel-novel lain yang ada di
pasaran sana.
Seperti
mana novel-novel didaktik lain yang pernah saya baca, novel ini juga lebih
kurang sama sifatnya terutama dari segi pergerakan jalan cerita. Jalan cerita
dalam novel ini bergerak dengan agak perlahan. Membacanya perlu diusung dengan
penuh kesabaran. Saya beberapa kali terpaksa menangguhkan pembacaan.
Saya
fikir situasi yang berulang-ulang seperti situasi di pesta buku itu perlu
dielakkan (terutama pada Bab 11 dan Bab 12). Meskipun situasi itu digarap dari
dua sudut pandang yang berbeza, namun membacanya tetap diikuti dengan rasa
bosan juga. Ini kerana, situasi tersebut sudah pun diketahui oleh pembaca.
Watak
adalah antara unsur terpenting untuk menjadikan sesebuah novel itu mempunyai
tarikan. Aiman sedaya upaya untuk menjadikan watak Adam Wafiy sebagai watak
yang mempersonakan. Tetapi percubaan Aiman itu telah menemui kegagalan. Watak
Adam masih gagal untuk menjadi satu daya tarikan kepada keseluruhan jalan
cerita. Watak Adam masih gagal untuk memukau pembaca.
Meskipun
watak Adam digambarkan sebagai watak yang penyabar, tabah, tenang, berilmu,
mempunyai iman yang tinggi, dan telah menempuh pelbagai dugaan, tetapi watak
ini masih gagal melekat di ruang fikiran (pembaca). Saya fikir Aiman perlu
mengembangkan lagi watak Mujahid Aiman (nama Aiman Banna sendiri?) atau watak
Ameerul Mukmin atau watak Aniq Hamdi supaya mempunyai lebih peranan. Ini bagi
membolehkan novel ini mempunyai watak yang lebih mempersonakan (sekiranya Aiman
mahu kekalkan watak Adam dengan cara sebegitu).
Aiman
agak bijak menimbulkan unsur suspen dalam novel ini. Pembaca pasti
tertanya-tanya siapakah Encik Kopiah yang sering disebut secara acapkali (oleh
Anis Safia). Meskipun watak Encik Kopiah itu sudah boleh diteka siapa, namun
Aiman bijak menyembunyikan watak itu di pertengahan cerita. Pembaca pasti
tertanya-tanya dan terkeliru mengenai watak Encik Kopiah yang sebenarnya.
Identiti sebenar Encik Kopiah hanya terbongkar setelah pembaca sampai ke akhir
cerita. Unsur suspen yang digarap oleh Aiman ini telah dilakukan dengan agak
sempurna.
Bagi
saya, cara Adam Wafiy mengenakan Anis Safiya semasa percutian ke Lombok dan
London itu adalah sesuatu yang perlu ditukar sebenarnya. Saya tidak fikir cara
sebegitu boleh mengundang ‘sweet moment’ dalam diri pembaca. Saya yakin Aiman
pasti dapat menghasilkan ‘sweet moment’ yang lebih baik lagi sebenarnya.
Memandangkan
novel ini didaktik sifatnya, sedikit sebanyak ilmu yang terkandung di dalam
novel ini boleh diserap oleh pembaca. Novel yang bersifat didaktik ini memang
bagus sebenarnya. Cuma janganlah diperlahankan pergerakan jalan cerita. Kelak
rasa bosan pasti akan menyelubungi diri pembaca.
Seperti
yang telah saya sebut di atas tadi, novel ini berada di kelasnya yang
tersendiri. Novel ini walau apa pun tetap juga boleh dipuji. Saya mengharapkan
Aiman boleh menulis novel yang lebih baik daripada novel ini. Semoga Aiman
Banna akan terus berkarya lagi.