Sabtu, 26 September 2015

DARI PERNIAGAAN KE BAHASA MELAYU



Alhamdulillah…saya bersyukur ke hadrat Allah Taala kerana diberi peluang untuk belajar dalam bidang yang saya minati iaitu bidang Bahasa Melayu sekarang. Saya telah diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam dalam program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan (Kepujian) Bahasa Melayu Komunikasi Professional.

Walaupun pada hakikatnya saya lebih cenderung kepada bidang kesusasteraan Melayu dalam cabang kemelayuan itu sendiri namun saya tetap optimis apabila diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang saya ambil kini. Bermula dari 7 September 2015, bermulalah kehidupan saya sebagai seorang mahasiswa di Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sebenarnya saya tidak kisah pun jika tidak berpeluang untuk menyambung dalam bidang kesusasteraan Melayu kerana bagi saya, apa sahaja yang berkaitan dengan Melayu, memang menjadi minat saya untuk mendalaminya. Mungkin kerana pemikiran Melayu sangat tebal dalam diri saya menyebabkan saya jadi begitu namun saya bukan manusia rasis. Saya hanyalah seorang Islam yang cintakan Islam, Melayu, dan Malaysia.

Ahad, 20 September 2015

CENDEKIAWAN PERLU BEBAS IDEOLOGI POLITIK KEPARTIAN




Sumber : Google

Dalam artikel ini, saya merujuk cendekiawan itu sebagai ahli akademik (pensyarah universiti), ulamak, dan mufti, penulis terkemuka (juga wartawan), dan sasterawan. Jika ada orang mempersoalkan apa beza ulamak dengan mufti, saya menjawab semua mufti itu ulamak tetapi bukan semua ulamak itu mufti. Ahli akademik, ulamak, dan mufti adalah golongan cerdik pandai (cendekiawan) yang sudah pasti mendapat kedudukan tinggi dalam masyarakat. Pendapat dan kata kata mereka sudah pasti diterima oleh kebanyakkan orang kerana mereka pakar dan mempunyai ilmu yang tinggi di dalam bidang masing masing.

Oleh sebab mereka mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat dan kata kata mereka diterima pula oleh ramai anggota masyarakat, mereka perlulah membebaskan diri mereka daripada sebarang ideologi politik kepartian. Maksudnya di sini mereka tidak boleh menganut apa apa fahaman politik atau menyokong mana mana parti politik. Mereka bebas berbahas dan berbicara mengenai apa apa isu atau masalah politik tetapi mereka tidak boleh menyebelahi mana mana parti politik.

Apabila seseorang cendekiawan itu sudah menganut sesuatu fahaman politik atau menyokong mana mana parti politik, pendapat yang mereka keluarkan sudah menjadi tidak relevan lagi. Ini kerana mereka pasti tidak membuat keadilan dalam menyampaikan kebenaran terhadap sesuatu perkara, masalah, atau isu. Pendapat dan ilmu mereka pasti akan terkongkong dalam ideologi politik kepartian yang mereka anuti itu.

Khamis, 17 September 2015

PECAHNYA PAS KERANA KESOMBONGAN

Sumber : Google

Menurut kepercayaan saya, mana mana parti politik yang sombong pasti akan ditimpa pelbagai masalah. Jika anda tanya sebabnya, saya sendiri tidak tahu mengapa saya boleh berpegang kepada kepercayaan itu. Mungkin kerana sombong itu satu sifat yang dicela oleh Allah, mana mana orang atau pertubuhan (yang sudah pasti dianggotai oleh orang) yang mengamalkan sifat sombong dalam diri mereka, pasti akan menerima kifarah daripada Allah.

Buktinya berlaku kepada PAS sejak akhir akhir ini. PAS bukan lagi sudah berpecah dua, malah sudah pun berada di ambang peperangan apabila tertubuhnya Parti Amanah Negara yang juga dianggotai oleh bekas ahli ahli PAS yang kecewa dengan kepimpinan ulamak dalam PAS. Mereka marah kepada ulamak PAS kerana mereka tewas dalam pemilihan parti yang lalu dan mereka marah kepada ulamak PAS kerana putuskan hubungan DAP. Jadi, mereka luahkan rasa amarah atau mungkin kekecewaan mereka dengan cara keluar beramai ramai dari PAS dan menubuhkan parti baru. 

Apa maksud saya PAS berada di ambang peperangan? Dalam pilihanraya umum nanti, sudah pasti banyak kerusi parlimen (terutama kawasan majoriti Melayu) akan ditandingi oleh PAS, PAN (singkatan kepada Parti Amanah Negara) dan UMNO. Maka, suka ataupun tidak, PAS perlu berperang dengan PAN (bekas ahli partinya sendiri) untuk merebut kerusi parlimen tersebut. Jika PAS bergabung dengan UMNO, mungkin PAS tidak perlu berperang dengan UMNO. Namun, usaha untuk PAS bergabung dengan UMNO seperti sukar nampaknya memandangkan UMNO sendiri pun punya banyak masalah sekarang ini.

Sabtu, 12 September 2015

MANA BAGUS : BABI ATAU SAKA?


Sumber : Google

Di akhir akhir tempoh ‘percutian’ saya sebagai seorang pelajar sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda tidak lama lagi, saya sempat menghabiskan dua buah novel yang agak popular yang dipinjamkan oleh kawan adik saya kepada saya iaitu novel Babi dan novel Saka tulisan Azwar Kamaruzaman yang diterbitkan oleh Lejen Press.

Menikmati dua buah novel yang saya anggap membicarakan tentang isu isu kemasyarakatan ini memang bagus terutama dalam memahami kemelut yang berlaku di sekeliling kita. Di dalam artikel ini, saya ingin mengulas tentang kekuatan dan kelemahan kedua dua buah novel ini untuk menjadi tatapan pembaca. Ulasan saya ini bukanlah semata mata untuk mencari kelemahan ataupun kekuatan kedua dua buah novel ini sahaja tetapi juga, pada masa yang sama untuk mencari cara meningkatkan mutu novel novel tempatan supaya setaraf dengan karya karya antarabangsa atau setidak tidaknya novel ini bolehlah diiktiraf sebagai sebuah karya sastera hampir setaraf dengan karya karya yang pernah dihasilkan oleh Sasterawan Negara.