Rabu, 31 Mac 2021

FAKTA-FAKTA MENARIK TENTANG TUBUH MANUSIA

 

Sumber : Google 

1. Setiap saat, badan manusia menghasilkan 25 juta sel baru. Ini bermakna, dalam setiap 15 saat, manusia akan menghasilkan lebih banyak sel daripada rakyat Amerika Syarikat.

2. Terdapat kira-kira 60,000-100,000 batu (miles) saluran darah di dalam tubuh manusia. Sekiranya semua saluran darah ini dibawa keluar dan direntangkan dari hujung ke hujung, saluran darah ini boleh mengelilingi dunia lebih daripada tiga kali.

3. Gigi dianggap sebahagian daripada sistem rangka (skeletal system) tetapi tidak dikira sebagai tulang.

4. Otak merangkumi hanya 2% daripada jisim badan manusia tetapi menggunakan 20% bekalan oksigen dan darah daripada badan manusia.

5. Walaupun manusia bukan makhluk terbesar, terpantas, atau terkuat, manusia adalah yang terbaik dalam hal berjalan jarak jauh. Kaki manusia yang panjang, mempunyai postur tegak, dan berkeupayaan untuk mengeluarkan haba melalui peluh, adalah faktor yang menjadikan manusia pelari yang baik. Sebenarnya, manusia zaman awal biasa memburu dengan mengejar mangsanya untuk jangka waktu yang lama hingga binatang-binatang itu mati dengan sendiri akibat keletihan, suatu teknik yang dikenali sebagai kegigihan memburu (persistence hunting).

6. Kira-kira 60% badan manusia terdiri daripada air.

7. Menggosok gigi secara agresif boleh merosakkan enamel dan menjadikan gigi anda sensitif terhadap makanan panas dan sejuk.

8. Para saintis tidak pasti mengapa kita menguap tetapi menguap dapat membantu mengatur suhu badan.

9. Kuku tidak tumbuh setelah manusia mati.

10. Manusia adalah satu-satunya makhluk bumi yang mempunyai dagu.

 

 

 

 

 

 

 

Selasa, 30 Mac 2021

FAKTA MENARIK TENTANG TULANG MANUSIA

Sumber : Google 

1. Badan manusia mempunyai lebih daripada 200 tulang

Terdapat 206 tulang di dalam tubuh manusia. Tulang bertindak sebagai ‘asas’ badan dan membantu menjadikan semua mekanikal badan berfungsi dengan baik. Sekiranya satu tulang patah, semua tulang di sekelilingnya tidak dapat menjalankan tugas dengan betul.

2. Seorang bayi mempunyai 300 tulang

Ya, seorang bayi mempunyai 300 tulang namun apabila mereka menginjak dewasa, tulang hanya tinggal 206 sahaja. Mengapa ini berlaku? Hal ini kerana tulang tersebut tidak hilang sebaliknya tulang-tulang kecil menyatu untuk membentuk tulang yang lebih besar dalam sistem rangka (skeletal system).

3. Seorang manusia mempunyai dua jenis tulang

Sistem rangka (skeletal system) manusia terdiri daripada tulang keras dan padat yang disebut tulang kortikal (juga disebut tulang struktur) serta tulang lembut dan spongy (juga disebut tulang trabekular). Ini terdapat di dalam tulang besar, pelvis, tulang rusuk dan tengkorak.

4. Tulang terpanjang di badan adalah terletak di kaki

Tulang paha yang terletak antara pinggul dan lutut adalah tulang terpanjang dan terbesar di badan manusia. Tulang ini juga adalah tulang yang paling kuat. Semua  berat badan manusia akan ditanggung oleh tulang ini dalam sehari. Tidak hairanlah tulang ini sangat kuat.

5. Tulang yang paling kecil berada di telinga

Tulang terkecil dalam tubuh manusia adalah malleus (tukul), incus (landasan) dan stapes (sanggur). Secara kolektif, tulang ini dikenali sebagai ossikel (bahasa Latin untuk tulang kecil) dan berperanan bagi menghantar getaran suara dari udara ke cecair di dalam telinga.

6. Tulang adalah tisu yang hidup

Kolagen dalam tulang sentiasa terisi dengan sendiri dan ini adalah aktiviti sel sepanjang hayat. Setiap tahun, kira-kira sepuluh peratus tulang diganti. Oleh kerana kandungan mineral di dalam tulang diperbaharui, manusia mendapat rangka baru setiap sepuluh tahun.

7. Sendi terbesar di badan manusia adalah lutut.

Pada sendi lutut, terdapat tiga tulang yang bersambung iaitu tulang paha, tibia dan patela. Ketiga tulang besar ini memerlukan sendi yang sama besar untuk menghubungkannya. Itulah sebabnya lutut adalah sendi terbesar di badan manusia.

8. Biasanya, manusia mempunyai 12 tulang rusuk tetapi ada yang mempunyai 13 tulang rusuk.

Hal seperti ini jarang berlaku tetapi satu peratus manusia dilahirkan dengan tulang rusuk ke-13. Tulang rusuk tambahan ini yang disebut tulang rusuk serviks, boleh menyebabkan masalah perubatan seperti sakit leher. Biasanya, tulang rusuk yang berlebihan ini akan dibuang melalui pembedahan.

9. Dua belas minggu diperlukan untuk tulang sembuh

Secara umumnya, tulang kanak-kanak sembuh lebih cepat daripada tulang orang dewasa. Sebaik sahaja tulang anda patah, badan anda akan berehat untuk menyembuhkan kecederaan. Dalam beberapa jam, gumpalan darah terbentuk. Seterusnya, callus lembut yang dibuat daripada kolagen akan terbentuk di sekitar tulang yang patah kemudian callus keras mula terbentuk selepas dua minggu. Bergantung pada usia dan kesihatan seseorang, proses ini berakhir antara minggu ke-6 dan ke-12.

10. Penyakit osteoporosis dihidapi ramai manusia

Seiring bertambahnya usia, mungkin tulang lama hancur lebih cepat daripada pembentukan tulang baru. Ini menyebabkan tulang mempunyai lubang dan menjadi lebih rapuh yang disebut sebagai osteoporosis. Tahap osteoporosis yang seterusnya boleh merangkumi kehilangan ketinggian, patah tulang akibat jatuh, atau sakit belakang dan leher. Daripada kira-kira sepuluh juta orang Amerika yang menghidapi osteoporosis, terdapat kira-kira lapan juta atau 80% adalah wanita. Kira-kira satu dari pada dua wanita berusia lebih dari 50 tahun akan patah tulang kerana osteoporosis.

 

 

Ahad, 21 Mac 2021

MASALAH PN IALAH EGO

Semua orang tahu hubungan antara UMNO dengan PPBM-PAS tidaklah mesra pada masa sekarang. Meskipun mereka berada di bawah satu kumpulan yang sama iaitu Perikatan Nasional (PN), namun hubungan mereka dingin meskipun tidak tegang.

Mereka bersatu kerana dua perkara. Pertama, kerana ingin memelihara kerajaan yang mereka pegang ini agar tidak jatuh dan kedua, kerana berkongsi agama,  bangsa dan bahasa yang sama (secara majoritinya).

Mereka baru sahaja menjadi kerajaan namun hubungan mereka menjadi keruh. Hubungan mereka keruh kerana masing-masing mempunyai ego.

UMNO ego kerana mereka merasakan bahawa mereka adalah 'abang besar' dalam perikatan itu. Hal ini terjadi kerana mereka biasa menjadi ketua semasa mereka mengetuai Barisan Nasional dahulu. Tambahan pula, mereka mempunyai jumlah kerusi terbanyak di Parlimen.

PPBM ego kerana mereka merasakan bahawa mereka ketua dalam perikatan itu memandangkan pemegang jawatan Perdana Menteri itu datang dari parti mereka. Oleh kerana jumlah kerusi Parlimen mereka kecil, mereka berusaha untuk merampas kerusi milik UMNO dalam pilihan raya akan datang. Bukan itu sahaja, mereka juga cuba merampas ahli-ahli UMNO di peringkat cawangan dan bahagian.

Memandangkan kedua-dua parti itu mempunyai sikap ego, sepatutnya PAS perlu memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung hubungan baik antara UMNO dan PPBM. Namun PAS tidak bertindak seperti itu. PAS dilihat cenderung menyebelahi PPBM dalam banyak perkara.

Kerana sikap ketiga-tiga parti itu begitu, maka hubungan UMNO dan PPBM bukan sahaja dingin malah bertambah keruh. Terdengar desas-desus yang mengatakan bahawa UMNO mahu keluar daripada perikatan itu. Desas-desus itu menjadi bertambah betul apabila terdapat beberapa ahli parlimen UMNO yang tidak lagi menyokong kerajaan PN. 

Ini adalah suatu perkara yang tidak sihat. PN yang dilihat rapuh itu bertambah rapuh. Kerajaan PN yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin mungkin boleh tumbang pada bila-bila masa.

Kerajaan PN dilihat tidak tumbang kerana perlaksanaan darurat. Tanpa darurat, barangkali kerajaan PN ini telah lama jatuh.

Tidak diketahui apa akan berlaku pada PRU 15 akan datang. Adakah UMNO-BN akan kekal lagi bersama PN atau bergabung pula dengan parti-parti pembangkang lain seperti PKR-Amanah-DAP?

Menjadi tanda tanya juga, adakah UMNO akan bertanding menentang PPBM-PAS di beberapa kerusi parlimen? Dan jika mereka bertanding sesama sendiri, siapa yang akan menang?

Adakah UMNO-BN berupaya untuk menjadi kerajaan semula selepas PRU-15 nanti? Atau adakah Pakatan Harapan masih berupaya merampas kembali kerajaan Persekutuan atau adakah PPBM-PAS akan terus kekal menjadi kerajaan seperti hari ini?

Sesungguhnya politik ialah cabang seni serba mungkin dan tidak wujud ukuran yang jelas untuk membuat apa-apa ketetapan. 

Jumaat, 19 Mac 2021

BAHAYA CEMBURU DALAM DIRI

Pernahkah anda mempunyai rasa cemburu? Ya, saya yakin pasti pernah. Mustahil seorang manusia biasa tidak mempunyai rasa cemburu dalam dirinya.

Rasa cemburu itu timbul apabila kita tidak senang melihat kejayaan, kekayaan, kesenangan, kegembiraan, kemewahan dan kebahagiaan orang lain. Kita tidak senang melihat orang lain lebih daripada kita.

Rasa cemburu  itu perkara biasa. Kesan positif daripada rasa cemburu itu boleh memotivasikan kita untuk terus berusaha agar sampai ke tahap orang yang kita cemburu itu. Rasa cemburu boleh mendorong kita untuk meraih lebih kejayaan seperti orang lain. Rasa cemburu juga berupaya membuatkan kita giat bersaing dengan orang lain.

Walau bagaimanapun, rasa cemburu boleh juga mendorong kepada perkara-perkara negatif. Rasa cemburu yang berlebihan jika tidak dikawal akan mewujudkan perasaan dengki. Perasaan ini sangat bahaya. Jika perasaan dengki tidak dikawal, seseorang itu boleh melakukan tindakan luar batasan.

Cara mengawal perasaan cemburu adalah dengan syukur. Syukur ialah bukan melihat apa yang orang ada dan apa yang kita tidak ada tetapi sikap kita terhadap apa yang kita ada.

Cemburu itu sebenarnya ketidaksenangan kita pada rezeki yang orang lain ada. Kita cemburu melihat gaji orang lebih banyak daripada kita atau cemburu melihat rumah orang lebih besar daripada rumah kita. Kita juga cemburu melihat orang memakai kereta lebih mahal daripada kita. 

Gaji, kereta dan rumah itu sebenarnya adalah bentuk-bentuk rezeki yang Allah beri.

Kita sering melihat rezeki itu berbentuk rumah besar, gaji banyak, dan kereta mewah. Itu sebenarnya memang salah satu daripada bentuk-bentuk rezeki yang Allah beri tetapi konsep rezeki itu luas maknanya.

Mempunyai rumah yang berhampiran dengan tempat kerja, mempunyai keluarga yang bahagia, gaji yang mencukupi untuk keperluan hidup sebulan juga adalah salah satu bentuk rezeki daripada Allah.

Allah itu sifatnya Maha Adil. Allah tidak beri kita semua dan Allah juga tidak ambil semua daripada kita. Mungkin Allah tidak beri kita rumah besar, kereta mewah dan gaji yang banyak seperti orang lain tetapi Allah beri kita kelebihan yang orang lain tidak ada.

Mungkin Allah beri orang lain kereta mewah, rumah besar dan gaji banyak tetapi pasti Allah 'tarik' satu kenikmatan dalam dirinya. Saya pernah bertemu dengan ramai orang kaya yang tidak boleh makan banyak makanan lazat kerana mempunyai banyak penyakit. Ada orang kaya yang saya temui tidak dapat merasai nikmat tidur menjelang malam.

Barangkali, kita tidak mempunyai gaji yang banyak tetapi kita boleh makan semua makanan yang lazat tanpa halangan kesihatan dan kita boleh nyenyak tidur apabila malam menjelang tiba.

Lihatlah betapa Allah itu Maha Adil. Allah tidak beri semua dan tidak ambil semua. Setiap manusia pasti akan ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Walau apa pun yang Allah beri pada kita, sama ada banyak atau sedikit, bersyukurlah. Syukur bukan sahaja mendapat pahala, malah dapat menghindarkan kita dari rasa cemburu dan sifat dengki. 

Rabu, 17 Mac 2021

VAKSIN COVID-19 TELAH DITEMUI

Banyak negara mendakwa bahawa mereka telah menemui vaksin untuk menyembuhkan orang-orang yang terkena virus Covid-19.

Pada saya itu adalah suatu perkara yang amat baik. Jika benar vaksin itu telah ada, molek kiranya vaksin itu disebar ke seluruh dunia dengan segera. Malaysia wajar beli vaksin yang telah dicipta itu untuk diberi kepada rakyatnya.

Penemuan vaksin itu adalah penting bukan sahaja kepada penduduk dunia tetapi juga kepada rakyat Malaysia. Vaksin tersebut bukan sahaja dapat menyembuhkan orang-orang yang terkena virus, tetapi juga dapat melepaskan diri kita semua daripada perintah kawalan pergerakan sekaligus dapat menyelamatkan ekonomi keluarga, negara dan dunia.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa vaksin yang dipukul canang di merata-rata itu benar-benar ada dan bukannya sekadar penyedap halwa telinga. Perlu diingatkan juga bahawa vaksin yang telah ditemui itu mestilah halal, bersih dan selamat untuk digunakan oleh orang-orang Islam di Malaysia. 

Saya berasa amat bersyukur jika vaksin penyembuh virus penyakit Covid-19 ini telah ditemui. Hal ini kerana saya sudah tidak tahan lagi melihat masyarakat kita berada dalam perintah kawalan pergerakan (PKP). PKP ini bukan sahaja menyukarkan pergerakan orang untuk ke mana-mana malah merencatkan pertumbuhan ekonomi negara. Ekonomi negara terencat kerana ramai orang hilang punca pendapatan.

Orang ramai bukan sahaja kehilangan kerja, malah peniaga-peniaga kecil dan sederhana juga mengalami kerugian kerana kekurangan pelanggan. Orang yang kehilangan kerja atau dipotong gajinya tidak dapat lagi berbelanja seperti biasa. Justeru, peniaga kecil dan sederhana tidak mendapat pelanggan sekaligus hilang keuntungan.

Apabila ramai orang hilang kerja atau dipotong gajinya, dan ditambah pula peniaga kecil dan sederhana kurang pelanggan dan keuntungan, duit tidak mengalir dalam perjalanan ekonomi negara. Apabila ekonomi negara berjalan lembab, maka itu boleh memberi risiko ekonomi negara menjadi runtuh.

Kerajaan, saya yakin pasti sedang berusaha untuk mengekang perkara tersebut daripada berlaku. Dan salah satu caranya ialah dengan mencari vaksin penyembuh dengan segera.

Tidak tahu bilakah vaksin itu boleh sampai segera kepada kita semua. Dan adakah vaksin itu benar-benar selamat untuk digunakan seandainya vaksin itu sampai kepada kita.

Moga-moga vaksin yang telah ditemui itu boleh segera sampai kepada kita. Dan setelah vaksin itu sampai, boleh digunakan kepada kita dengan selamat dan berkesan. Jika vaksin telah ditemui, orang kehilangan kerja boleh mencari kerja semula. Orang yang dipotong gajinya boleh mendapat gaji penuh. Dan peniaga yang kekurangan pelanggan boleh menambah pelanggan sekaligus keuntungan.