Pernahkah anda mempunyai rasa cemburu? Ya, saya yakin pasti pernah. Mustahil seorang manusia biasa tidak mempunyai rasa cemburu dalam dirinya.
Rasa cemburu itu timbul apabila kita tidak senang melihat kejayaan, kekayaan, kesenangan, kegembiraan, kemewahan dan kebahagiaan orang lain. Kita tidak senang melihat orang lain lebih daripada kita.
Rasa cemburu itu perkara biasa. Kesan positif daripada rasa cemburu itu boleh memotivasikan kita untuk terus berusaha agar sampai ke tahap orang yang kita cemburu itu. Rasa cemburu boleh mendorong kita untuk meraih lebih kejayaan seperti orang lain. Rasa cemburu juga berupaya membuatkan kita giat bersaing dengan orang lain.
Walau bagaimanapun, rasa cemburu boleh juga mendorong kepada perkara-perkara negatif. Rasa cemburu yang berlebihan jika tidak dikawal akan mewujudkan perasaan dengki. Perasaan ini sangat bahaya. Jika perasaan dengki tidak dikawal, seseorang itu boleh melakukan tindakan luar batasan.
Cara mengawal perasaan cemburu adalah dengan syukur. Syukur ialah bukan melihat apa yang orang ada dan apa yang kita tidak ada tetapi sikap kita terhadap apa yang kita ada.
Cemburu itu sebenarnya ketidaksenangan kita pada rezeki yang orang lain ada. Kita cemburu melihat gaji orang lebih banyak daripada kita atau cemburu melihat rumah orang lebih besar daripada rumah kita. Kita juga cemburu melihat orang memakai kereta lebih mahal daripada kita.
Gaji, kereta dan rumah itu sebenarnya adalah bentuk-bentuk rezeki yang Allah beri.
Kita sering melihat rezeki itu berbentuk rumah besar, gaji banyak, dan kereta mewah. Itu sebenarnya memang salah satu daripada bentuk-bentuk rezeki yang Allah beri tetapi konsep rezeki itu luas maknanya.
Mempunyai rumah yang berhampiran dengan tempat kerja, mempunyai keluarga yang bahagia, gaji yang mencukupi untuk keperluan hidup sebulan juga adalah salah satu bentuk rezeki daripada Allah.
Allah itu sifatnya Maha Adil. Allah tidak beri kita semua dan Allah juga tidak ambil semua daripada kita. Mungkin Allah tidak beri kita rumah besar, kereta mewah dan gaji yang banyak seperti orang lain tetapi Allah beri kita kelebihan yang orang lain tidak ada.
Mungkin Allah beri orang lain kereta mewah, rumah besar dan gaji banyak tetapi pasti Allah 'tarik' satu kenikmatan dalam dirinya. Saya pernah bertemu dengan ramai orang kaya yang tidak boleh makan banyak makanan lazat kerana mempunyai banyak penyakit. Ada orang kaya yang saya temui tidak dapat merasai nikmat tidur menjelang malam.
Barangkali, kita tidak mempunyai gaji yang banyak tetapi kita boleh makan semua makanan yang lazat tanpa halangan kesihatan dan kita boleh nyenyak tidur apabila malam menjelang tiba.
Lihatlah betapa Allah itu Maha Adil. Allah tidak beri semua dan tidak ambil semua. Setiap manusia pasti akan ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Walau apa pun yang Allah beri pada kita, sama ada banyak atau sedikit, bersyukurlah. Syukur bukan sahaja mendapat pahala, malah dapat menghindarkan kita dari rasa cemburu dan sifat dengki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.