Rabu, 17 Mac 2021

VAKSIN COVID-19 TELAH DITEMUI

Banyak negara mendakwa bahawa mereka telah menemui vaksin untuk menyembuhkan orang-orang yang terkena virus Covid-19.

Pada saya itu adalah suatu perkara yang amat baik. Jika benar vaksin itu telah ada, molek kiranya vaksin itu disebar ke seluruh dunia dengan segera. Malaysia wajar beli vaksin yang telah dicipta itu untuk diberi kepada rakyatnya.

Penemuan vaksin itu adalah penting bukan sahaja kepada penduduk dunia tetapi juga kepada rakyat Malaysia. Vaksin tersebut bukan sahaja dapat menyembuhkan orang-orang yang terkena virus, tetapi juga dapat melepaskan diri kita semua daripada perintah kawalan pergerakan sekaligus dapat menyelamatkan ekonomi keluarga, negara dan dunia.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa vaksin yang dipukul canang di merata-rata itu benar-benar ada dan bukannya sekadar penyedap halwa telinga. Perlu diingatkan juga bahawa vaksin yang telah ditemui itu mestilah halal, bersih dan selamat untuk digunakan oleh orang-orang Islam di Malaysia. 

Saya berasa amat bersyukur jika vaksin penyembuh virus penyakit Covid-19 ini telah ditemui. Hal ini kerana saya sudah tidak tahan lagi melihat masyarakat kita berada dalam perintah kawalan pergerakan (PKP). PKP ini bukan sahaja menyukarkan pergerakan orang untuk ke mana-mana malah merencatkan pertumbuhan ekonomi negara. Ekonomi negara terencat kerana ramai orang hilang punca pendapatan.

Orang ramai bukan sahaja kehilangan kerja, malah peniaga-peniaga kecil dan sederhana juga mengalami kerugian kerana kekurangan pelanggan. Orang yang kehilangan kerja atau dipotong gajinya tidak dapat lagi berbelanja seperti biasa. Justeru, peniaga kecil dan sederhana tidak mendapat pelanggan sekaligus hilang keuntungan.

Apabila ramai orang hilang kerja atau dipotong gajinya, dan ditambah pula peniaga kecil dan sederhana kurang pelanggan dan keuntungan, duit tidak mengalir dalam perjalanan ekonomi negara. Apabila ekonomi negara berjalan lembab, maka itu boleh memberi risiko ekonomi negara menjadi runtuh.

Kerajaan, saya yakin pasti sedang berusaha untuk mengekang perkara tersebut daripada berlaku. Dan salah satu caranya ialah dengan mencari vaksin penyembuh dengan segera.

Tidak tahu bilakah vaksin itu boleh sampai segera kepada kita semua. Dan adakah vaksin itu benar-benar selamat untuk digunakan seandainya vaksin itu sampai kepada kita.

Moga-moga vaksin yang telah ditemui itu boleh segera sampai kepada kita. Dan setelah vaksin itu sampai, boleh digunakan kepada kita dengan selamat dan berkesan. Jika vaksin telah ditemui, orang kehilangan kerja boleh mencari kerja semula. Orang yang dipotong gajinya boleh mendapat gaji penuh. Dan peniaga yang kekurangan pelanggan boleh menambah pelanggan sekaligus keuntungan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.