Sabtu, 28 Mac 2020

Segmen Bloglist 2020 Cida




Jom join segmen ni. Dah lama sebenarnya saya tak join segmen. Tekan sini kalau nak join. 

FAKTA MENGEJUTKAN TENTANG BLOG!




1. 23% masa internet dibelanjakan untuk blog dan rangkaian sosial. 


2. Bloggers antara umur 21 dan 35 tahun mendominasi dunia blogging, berjumlah lebih daripada 53%.


3. Terdapat lebih daripada 80 bahasa yang digunakan dalam dunia blog.


4. Lebih dari 60% pengguna dalam talian  mengatakan mereka telah membuat pembelian hasil langsung membaca cadangan blogger.


5. Blog boleh memberi anda kredibiliti dan kuasa.


6. Lebih daripada 60% blog adalah dalam bahasa Inggeris. Bahasa lain yang terkenal termasuklah bahasa Sepanyol, Portugis dan Indonesia.


7. Satu dalam setiap lima blogger mengemas kini blognya setiap hari.


8. Kebanyakan blog dibaca pada waktu pagi antara pukul 7 pagi hingga 10 pagi.


9. Kurang daripada 10% penulis blog mempunyai pendapatan yang cukup untuk menyokong keluarga mereka. Lebih daripada 80% tidak pernah menjadikannya lebih $100.


10. Pada tahun 1999, terdapat hanya 23 blog. Hari ini, terdapat lebih 1.6 bilion blog di internet. WordPress sahaja mempunyai lebih daripada 60 juta daripada mereka.


11. Setiap setengah saat, blog baru dibuat.


12. Terdapat kira-kira 31 juta penulis blog di AS.


13. Lebih daripada 2/3 blogger belum memperbaharui blog mereka dalam setahun.


14. Blog meningkatkan trafik ke laman web anda kerana peningkatan jumlah kata kunci yang ada.






Khamis, 26 Mac 2020

FAKTA MENARIK TENTANG BAKTERIA




1. Terdapat satu spesies bakteria yang tahan radiasi yang digelar oleh para saintis sebagai "Conan the Bacterium”.


2. Tahi telinga mempunyai ciri-ciri antimikrob yang mengurangkan daya tahan bakteria dan kulat dalam telinga manusia.


3. Madu adalah takungan semula jadi untuk bakteria Botulism. Orang dewasa biasanya boleh memproses bakteria tersebut dalam penghadaman tetapi tidak bagi bayi. Oleh sebab itulah anda tidak perlu memberikan bayi anda madu.


4. Susu ibu mengandungi gula oligosakarida yang bertujuan untuk memberi makan kepada bakteria usus dan bukannya bayi itu sendiri.


5. Najis manusia, berdasarkan berat badan, mengandungi bakteria yang hidup dan mati.


6. Satu sudu teh Bakterium C. Botulinum, jika diedarkan dengan betul, boleh membunuh setiap manusia di Amerika Syarikat.


7. Pada tahun 2007, ahli biologi menghidupkan semula bakteria yang berusia lapan juta tahun yang diekstrak dari ais Antartika. 


8. Potongan-potongan yang berbau, berwarna putih dan buruk yang anda dapati di mulut anda bukanlah makanan, tetapi keringat dan bakteria yang kuat dari tonsil anda.


9. Gigitan manusia adalah salah satu gigitan yang paling berbahaya di dunia kerana bakteria di mulut kita.


10. 2-5 kg bakteria secara umumnya ada di mana sahaja di dalam badan manusia. 


Isnin, 23 Mac 2020

FAKTA MENARIK TENTANG HAND SANITISER YANG RAMAI ORANG TIDAK TAHU




Akibat wabak Covid-19, serta merta beberapa barangan tertentu menjadi popular seperti topeng muka dan hand sanitiser misalnya. Pada hari ini, saya ingin berkongsi kepada anda semua beberapa fakta menarik tentang hand sanitiser.
  

   1.     Hand sanitiser selamat untuk bayi 
   Bayi mempunyai kulit yang halus tetapi itu tidak bermakna mereka tidak boleh mendapat manfaat daripada hand sanitiser. Walaupun peluang penyerapan alkohol cukup tinggi, jarang ada kesan besar jika terdedah pada bayi bahkan kanak-kanak di bawah umur enam tahun. Walau bagaimanapun, janganlah anda guna hand sanitiser kepada bayi anda secara berlebihan. Pastikan anda menggunakan sedikit hand sanitiser kepada bayi dan anak-anak kecil anda. 


   2.     Hand sanitiser boleh menjadi deodorant
Sekiranya anda terlupa memakai deodorant anda, hand sanitiser juga boleh digunakan sebagai pengganti. Alkohol dalam hand sanitiser boleh  membunuh bakteria di bawah lengan yang menyebabkan bau. Tambahan pula, alkohol berupaya untuk kering dengan cepat. Oleh itu, anda tidak perlu risau jika ketiak anda terasa kebasahan. Selain itu, bau alkohol juga boleh menghilang dengan cepat. Walau bagaimanapun, jangan memakai hand sanitiser sebagai deodorant setiap hari. Hal ini kerana, ia boleh mengeringkan kulit di bawah ketiak dan menyebabkan ketiak berasa gatal.


   3.     Guna hand sanitiser lebih bagus daripada sabun dan air 
   Kebanyakan hand sanitiser mempunyai emolien di dalamnya yang berupaya untuk mempebaiki keadaan kulit. Kajian mendapati bahawa alkohol yang ada di dalam hand sanitiser lebih baik untuk kulit daripada sabun. 


   4.     Tidak melindungi anda dari semua jenis kuman
Ya, ada beberapa makhluk mikro yang sukar anda hilangkan dari tangan hanya dengan menggunakan hand sanitiser. Sehingga, mencuci tangan dengan sabun secara teratur selama lebih kurang 15 minit masih lebih efektif untuk menghilangkan beberapa jenis kuman seperti Cryptosporidium (parasit penyebab masalah pernapasan dan pencernaan), Clostridium difficile 1-5 (bakteri yang dapat menyebabkan gangguan dan peradangan usus), dan norovirus (bakteri yang menyebabkan penyakit diare).


   5.     Hand sanitiser hanya efektif jika kandungan alkoholnya 60%
Banyak kajian menunjukkan bahawa alkohol hanya boleh membunuh pelbagai bakteria dan virus jika memiliki kepekatan paling minimum 60%. Cairan ini akan bekerja lebih cepat ketika kepekatannya meningkat. Bagi anda yang ingin membeli hand sanitiser atau membuatnya di rumah perlu memerhatikan kandungan alkoholnya. Jika kandungan alkohol yang terdapat di hand sanitiser kurang dari 60-95 peratus maka hand sanitiser tersebut tidak akan membantu anda untuk menghindari dari virus tetapi hanya sekadar mengurangi pertumbuhan kuman dan virus.


  6.     Hand sanitiser sangat berbeza dengan sabun 
  Hand sanitiser sebenarnya tidak seefektif membersihkan kuman ketika tangan dalam keadaan kotor. Hand sanitiser hanya dapat bekerja dengan baik terhadap jenis kuman tertentu. Kandungan alkohol yang terdapat di dalamnya akan membunuh kuman dan virus di tangan ketika tangan tidak terlihat begitu kotor. Berbeza dengan sabun yang mampu memisahkan kuman dari tangan seperti halnya membersihkan minyak dari pinggan yang kotor. Jika anda dalam keadaan yang sangat kotor seperti setelah memancing, bersukan, berkebun, atau setelah memegang makanan laut yang belum dimasak dianjurkan untuk mencuci tangan dengan sabun, bukan dengan hand sanitiser.

   7.     Hand sanitiser tidak memiliki tarikh luput 
  Hand sanitiser sebenarnya tidak memiliki tarikh luput, namun pengeluar hand sanitiser perlu meletakkan tarikh luput pada produk mereka. Hal ini kerana, alkohol dapat berfungsi dengan efektif apabila ditempatkan dalam suhu ruangan yang stabil. Apabila hand sanitiser anda sering digunakan dan terpapar oleh udara maka kandungan alkohol di dalamnya akan mengwap dan kepekatan alkohol tersebut tidak akan efektif dalam membunuh kuman dan virus. Oleh itu, anda perlu menyimpan hand sanitiser di suhu ruangan yang jauh dari sinar matahari secara langsung agar hand sanitiser anda mampu bertahan dalam waktu yang sangat lama.


Itulah serba sedikit fakta menarik tentang hand sanitiser yang boleh saya kongsikan kepada anda. Semoga anda selalu menggunakan hand sanitiser sepanjang penularan wabak Covid-19 ini.  


BLOG SAYA TEBAL DENGAN SAWANG



Agak lama juga saya tidak menulis sebarang artikel untuk diisi dalam blog ini. Sejak saya melangkah ke alam pekerjaan, sekitar April 2018, aktiviti menulis sudah saya tinggalkan. Bukan bermakna saya sudah bosan atau mahu meninggalkan kegiatan menulis, tetapi lebih kepada rasa malas untuk menulis. Tambahan pula, saya tidak mempunyai idea untuk menulis.


Pasti ada yang tersenyum sinis apabila saya mengatakan yang saya tidak mempunyai idea untuk menulis. Isu banyak dan panas-panas pula masakan tidak ada idea untuk menulis. Ya, isu memang banyak terutama isu politik yang menghuru-harakan negara sejak belakangan ini namun isu-isu itu terlalu pantas bergerak. Baru sahaja hendak menggerakkan pena untuk menulis, isu baru pula muncul.


Keletihan akibat menyelesaikan kerja di kilang (saya bekerja di kilang) juga menyebabkan saya tidak mempunyai upaya untuk menulis. Kerja selama dua belas jam amat meletihkan. Bukan sahaja letih, mata asyik mengantuk sahaja. Kaki dan tangan pun sering sakit. Sebaik sahaja melangkah ke rumah, yang saya tahu hanyalah mahu tidur sahaja. Maka, untuk membuat kerja-kerja menulis hilang begitu sahaja.


Tidak seperti bergelar mahasiswa dahulu, aktiviti menulis sering saya lakukan seiring dengan aktiviti membaca. Tambahan pula, saya menjadi kolumnis untuk Facebook Page Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) UiTM Shah Alam. Maka, suka ataupun tidak, aktiviti menulis memang perlu dilakukan.


Bergelar mahasiswa banyak masa lapangnya. Keletihan bergelar seorang mahasiswa tidak sama dengan keletihan bergelar seorang pekerja kilang. Oleh sebab itulah, semasa bergelar mahasiswa, kegiatan menulis memang banyak dilakukan.


Jumlah pembaca yang ramai adalah faktor penyumbang utama untuk seseorang penulis atau blogger itu menulis dan mengemaskini blognya. Sejak akhir-akhir ini saya amat kurang mencari pengunjung ke blog saya. Justeru, jumlah pembaca yang datang singgah di blog ini untuk membaca artikel-artikel yang saya karang semakin berkurangan. Apabila jumlah pembaca berkurangan, maka semangat untuk menulis pun sudah tiada.             

Saya membiarkan blog ini kosong dan bersawang agak lama juga. Mahu juga sesekali saya singgah mengarang satu dua artikel dan memuat naik ke dalam blog ini tetapi saya tidak berupaya melakukannya. Mahu ditutup terus blog ini terasa sayang pula. Maka, saya terus membiarkan blog ini tanpa diisi apa-apa.


Akibat daripada perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan ini, maka saya tergerak hati untuk membuka semula blog ini. Banyak komen-komen daripada pembaca yang ditinggalkan di blog ini tidak sempat saya baca. Saya membacanya semula dan berasa sedikit terharu. Rupanya masih ada lagi orang yang mahu membaca blog saya. Masih ada lagi orang yang sudi membaca artikel-artikel yang saya tulis. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih.
   

Dalam tempoh perintah kawalan pergerakan ini, mudah-mudahan tuhan memberi saya kekuatan untuk mengarang seberapa banyak artikel untuk diisi dalam blog ini. Rasa bersalah saya pada blog ini kerana tidak mengisinya dengan apa-apa artikel dalam masa yang lama.


Saya fikir barangkali ada hikmahnya perintah kawalan pergerakan ini dilaksanakan. Dapatlah kiranya saya menulis beberapa artikel dan memuat naik ke dalam blog ini. Bagi anda di luar sana, jangan segan-segan untuk datang singgah dan membaca artikel-artikel yang saya karang dalam blog ini.

MEMBACA SEPANJANG TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN



Apabila kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19, serta meminta orang ramai supaya duduk di rumah dan tidak ke mana-mana, pastilah sebilangan daripada kita akan berasa bosan. Maklum sahajalah, jarang sekali kita diberi cuti dalam tempoh masa yang lama. Jika kita mengambil cuti (bagi orang yang bekerja), pastilah ada urusan yang hendak kita selesaikan. Dan apabila kita cuti, pastilah kita akan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Jarang kita cuti duduk di rumah sahaja.  


Saya samalah seperti anda semua turut sama duduk di rumah dan tidak ke mana-mana. Bagi menghilangkan rasa bosan yang datang bertandang, selain daripada bermain telefon pintar dan mengemaskini blog yang sudah tebal sawangnya, saya menghabiskan hari-hari cuti saya ini dengan membaca.


Membaca adalah suatu aktiviti yang saya gemari. Namun, sebaik sahaja melangkah ke alam pekerjaan, aktiviti ini sedikit demi sedikit saya mula tinggalkan. Mungkin kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja, maka saya semakin kurang membaca. Maklum sahajalah, menyelesaikan urusan kerja saban hari itu amat memenatkan. Apabila pulang ke rumah, yang kita tahu hanyalah untuk tidur sahaja. Tiada masa untuk menelaah buku dan membaca.


Tidak seperti tahun-tahun saya bergelar mahasiswa (2012 – 2018), aktiviti pembacaan sangat rancak ketika itu. Dalam sebulan saya boleh menghabiskan kira-kira dua buah buku. Apabila saya membaca, banyak maklumat terbaru yang saya terima. Pengetahuan saya akan sentiasa lebih daripada kawan-kawan yang sekuliah dengan saya. Apabila pensyarah bertanya tentang sesuatu isu atau topik, mudah sahaja saya mengupas isu atau topik tersebut kerana saya mempunyai sedikit pengetahuan mengenainya.


Walau bagaimanapun, alam bergelar mahasiswa tidaklah sama dengan alam bergelar seorang pekerja. Alam bergelar mahasiswa lebih lapang masanya berbanding alam bergelar seorang pekerja. Tambahan pula, dunia seorang mahasiswa begitu tebal dengan perjuangan dan idealisme. Maka, membaca untuk menambah pengetahuan itu bukanlah asing dalam diri seorang mahasiswa.


Mungkin ada hikmah disebalik perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan sehingga 31 March ini. Bagi orang seperti saya yang renggang daripada aktiviti membaca, bolehlah kembali semua menjalinkan hubungan dengan aktiviti membaca.


Sebelum-sebelum ini saya ada membeli beberapa buah buku. Namun, buku-buku tersebut saya sekadar beli sahaja kemudian saya simpan di rak buku di rumah saya. Jika saya baca pun hanya sedikit sahaja kemudian saya simpan semula di rak. Entahlah, saya sendiri tidak tahu mengapa, sejak saya bukan lagi bergelar mahasiswa, aktiviti membaca bagi saya adalah suatu aktiviti yang amat membosankan!


Oleh itu, sempena perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan ini, maka saya akan kembali semula ke ranah pembacaan. Mana-mana buku yang saya beli tetapi saya tidak sempat baca, akan saya habiskan sepanjang tempoh ini.


Buku-buku yang hendak saya habiskan itu ialah : (1) Dari Menara KL – Abd Jalil Ali (2) Entiti – Syafiq Aizat (3) Kopi O Tanpa Gula – Abd Jalil Ali (4) Agama dan Hagemoni Negara – Benz Ali (5) Jangan Selewengkan Sejarah Melayu – Helmi Effendi.    


Itulah senarai buku yang hendak saya tamatkan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini. Moga-moga tuhan memberi saya kekuatan untuk saya menghabiskannya.


Bagi anda di luar sana pula, sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini, moleklah anda melakukan aktiviti yang berfaedah seperti membaca misalnya. Janganlah habiskan cuti anda ini dengan aktiviti tidur sahaja. Jika tidak mahu membaca, carilah aktiviti berfaedah lain yang boleh anda lakukan. Semoga anda sentiasa sihat dan selamat di luar sana.





Ahad, 22 Mac 2020

MOGA-MOGA WABAK COVID-19 SEGERA HILANG




1. Seluruh dunia termasuk Malaysia sekarang diserang wabak Covid-19. Wabak yang pada asalnya biasa-biasa dan dianggap tidak berbahaya kini semakin mengganas dan membunuh banyak nyawa. Seluruh umat manusia kini berada dalam ketakutan dan berwaspada

2. Gara-gara wabak ini semua masjid dan surau tidak dapat dibuka. Solat berjemaah dan solat Jumaat terpaksa dibatalkan. Banyak kedai dan pusat membeli belah pula  terpaksa ditutup. Urusan harian rakyat Malaysia banyak yang tergendala.  

3. Gara-gara wabak ini juga negara sekarang ini sedang menjalankan kawalan pergerakan. Semuanya kerana tidak mahu rakyat Malaysia banyak bergerak ke mana-mana supaya wabak ini tidak tersebar dengan seluasnya. Polis dan tentera sekarang berganding bahu mengawal pergerakan rakyat Malaysia supaya wabak ini tidak merebak dengan lebih dahsyat.

4.Penularan wabak ini adalah bukti ujian Allah Taala kepada kita. Ujian Allah yang ditimpakan ke atas kita itu bukanlah untuk menyeksa kita sebaliknya untuk menambah keimanan  dan ketakwaan kita. Dengan ujian ini moga-moga kebergantungan kita kepada Allah semakin tinggi hendaknya. 

5. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bersatu hati untuk menangani wabak ini. Jangan keluar rumah sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini dijalankan melainkan jika anda mempunyai urusan yang penting. Jangan pulang ke kampung halaman atau bergerak dari kawasan tempat tinggal anda.  Dilarang juga  menyertai apa-apa perhimpunan yang melibatkan ramai orang.

6. Jika anda sakit seperti selsema, demam, batuk, sakit tekak atau mempunyai gelaja-gejala wabak Covid-19, segeralah ke hospital berhampiran anda untuk membuat pemeriksaan dan mendapatkan rawatan. 

7. Anda sebagai rakyat Malaysia tidak boleh sesekali mementingkan diri. Jangan melakukan apa-apa sahaja perkara yang boleh menyusahkan diri anda dan orang ramai. Patuhi arahan kerajaan dan amalkan gaya hidup yang sihat supaya anda terhindar daripada wabak yang berbahaya ini. 

8. Anda perlu kerap memakai topeng muka, kerap membasuh tangan atau memakai hand sanitiser. Semua ini adalah penting untuk anda lakukan supaya wabak ini tidak mudah terkena pada diri anda. 

9. Kepada ahli politik di luar sana, amat molek jika anda kurangkan aktiviti berpolitik murahan itu pada masa kini. Elakkan diri anda daripada sindir menyindir, caci maki, buat fitnah atau saling menyalahkan antara satu sama lain. Gunakan pengaruh yang anda ada sebagai seorang ahli politik untuk mengajak para penyokong anda supaya sama-sama membantu kerajaan sekarang mengurangkan kesan penularan wabak ini kepada orang ramai. 

10. Wabak ini adalah ujian Allah kepada kita. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah supaya wabak ini dapat hilang dengan serta-merta.