Ahad, 30 September 2018

DAJJAL, YAKJUJ MAKJUJ SUDAH KELUAR ATAU BELUM?


Kita sering mendengar di mana-mana tentang hampirnya kedatangan kiamat kepada kita sementelahan kita ini ialah umat akhir zaman. Sudah pastilah apa yang kita dengar itu menggerunkan hati kita. Pasti kita berasa insaf sebentar dan cuba untuk menambahkan amal ibadat kita sebagai persediaan menanti kedatangan kiamat itu.

Kedatangan kiamat sangat sinonim dengan kehadiran Dajjal dan Yakjuj Makjuj. Keluarnya Dajjal dan Yakjuj Makjuj itu ialah tanda-tanda besar untuk tibanya kiamat. Kita sebagai orang Islam memang sentiasa takut dengan kehadiran makhluk-makhluk itu. Hal ini kerana, makhluk-makhluk tersebut akan membawa banyak kerosakan di muka bumi. Sebab itulah kita wajib berdoa kepada Allah supaya kita tidak lagi hidup tatkala makhluk-makhluk itu sudah keluar supaya kita tidak menerima bahana daripada kedatangan mereka.

Dajjal dan Yakjuj Makjuj memang selalu dikaitkan dengan Freemason, Illuminati dan Teori Konspirasi. Sejauh mana perkara itu betul masih lagi menjadi perdebatan. Kita sebagai orang Islam kadang-kadang lebih teruja untuk membaca kaitan Dajjal dan Yakjuj Makjuj dengan perkara-perkara tersebut berbanding membaca Surah Al-Kahfi untuk membentengi diri kita daripada terhasut dengan fitnah-fitnah Dajjal.

Kehadiran Dajjal dan Yakjuj Makjuj juga seolah-olah (ulang : seolah-olah) dinantikan oleh kita semua, umat Islam. Lihat sahaja apabila timbul berita tentang seorang kanak-kanak bermata satu lahir di dunia. Terus jadi kecoh seluruh alam memperkatakan hal itu kerana percaya bahawa Dajjal telah pun lahir ke bumi. Namun, kecoh-kecoh umat Islam setakat itu sahajalah. Untuk menambah amal ibadat bagi terlindung daripada kejahatan Dajjal jauh sekali.

Suka ataupun tidak kita pada kedatangan Dajjal dan Yakjuj Makjuj itu, kita perlu terima hakikat bahawa mereka pasti akan keluar juga. Kita sebagai umat Islam perlu bersedia daripada sekarang dengan menambah amal ibadat supaya kita terlindung daripada kerosakan yang mereka lakukan. Dan kita wajar berdoa supaya ketika makhluk-makhluk itu keluar kita sudah tiada lagi di muka bumi ini.

Kerosakan yang dibawa oleh Dajjal dan Yakjuj Makjuj itu besar sekali. Silap langkah kita pun boleh berada dalam kelompok orang-orang yang akan terpengaruh dengan kerosakan dan kemungkaran yang mereka lakukan.

Kehadiran Dajjal dan Yakjuj Makjuj akan memesongkan banyak perkara. Kebenaran akan menjadi kebatilan manakala kebatilan akan dianggap sebagai kebenaran. Tanpa perlu kehadiran Dajjal dan Yakjuj Makjuj pun hal sebegitu sudah terjadi sekarang. Lihatlah isu-isu yang berlaku di sekeliling kita. Hak untuk menjadi LGBT didesak untuk diiktiraf di negara ini. Begitu juga hak untuk melakukan seks bebas asalkan menggunakan kondom. Jelas perkara yang salah cuba untuk dibetulkan.

Jika perkara semacam itu pun orang Islam sudah ramai yang terpengaruh untuk membenarkannya, masakan jika kehadiran Dajjal dan Yakjuj Makjuj nanti orang Islam tidak akan terpengaruh? Sebab itulah kita perlu mengelak untuk hidup sezaman dengan Dajjal dan Yakjuj Makjuj.

Kita sebagai orang Islam perlu mengurangkan kecaknaan kita terhadap tanda-tanda kehadiran Dajjal dan Yakjuj Makjuj. Yang perlu kita lakukan ialah selalu berdoa supaya kita jauh dan terhindar daripada mereka. Hal ini kerana, kita sendiri tidak yakin adakah kita mampu untuk berlindung daripada kerosakan yang akan mereka lakukan.  


Sabtu, 22 September 2018

MELAYU YANG HINA MELAYU


Sekarang ini sudah menjadi semacam trend apabila ramai dalam kalangan orang Melayu sendiri yang suka menghina orang Melayu. Mereka bangga melakukan perbuatan sedemikian sehingga mereka acapkali melakukannya. 

Mereka beranggapan bahawa orang Melayu ini bodoh, malas, tidak tepati janji dan sebagainya. Pendek kata, semua sikap buruk itu ada pada orang Melayu dan tidak ada pada bangsa lain.

Sikap buruk itu ialah sikap individu, bukan bangsa. Jika ada seorang Melayu yang malas, jangan sinonimkan bangsa Melayu itu sebagai bangsa yang malas. Hal ini kerana, penyakit malas ini pun ada pada bangsa lain juga.

Jika orang Melayu ini bangsa yang malas, masakan mereka mampu membina empayar seperti empayar Kesultanan Melayu Melaka yang hebat itu?

Oleh kerana bangsa Melayu ini sering dimomokkan dengan pelbagai pelbagai sikap yang tidak baik, maka ramai dalam kalangan orang Melayu sendiri malu untuk mengaku sebagai Melayu. Maka, mereka cuba untuk menjadi orang Barat. Sebab itulah kita menjumpai ramainya orang Melayu tidak fasih berbahasa Melayu tetapi fasih berbahasa Inggeris.

Orang Melayu ini sebenarnya hebat-hebat belaka. Namun, kerana kesilapan mereka sendiri di samping dasar penjajah yang cuba ‘membodohkan’ orang Melayu sejak sekian lama, maka mereka menjadi bangsa yang lemah sehingga ke hari ini.

Seandainya ada pihak-pihak tertentu di negara ini yang ingin menjadikan orang Melayu menjadi bangsa yang maju, menghina orang Melayu bukanlah caranya. Ada pelbagai cara lain yang boleh digunakan untuk untuk menjadikan orang Melayu ini sebagai bangsa yang maju.

Orang Melayu amat lemah dalam bidang perniagaan dan ekonomi. Justeru, bantulah mereka dalam kedua-dua bidang itu. Pemikiran orang Melayu sebagai bangsa ‘makan gaji’ hendaklah dihapuskan dalam kalangan generasi muda sebaliknya tanamlah dalam pemikiran mereka sebagai ‘bangsa suka berniaga’.

Orang Melayu ini pun selalu berpecah dalam bidang politik. Semua sedia maklum bahawa perpecahan membawa kelemahan dan kekalahan. Orang Melayu perlu bersatu padu dalam mengungkapkan hak-hak bangsa mereka di tanah air ini walaupun mereka berbeza parti politik.

Melayu itu bangsa yang hebat tetapi kerana kesilapan mereka dan kerana peranan penjajah yang tidak mahu melihat orang Melayu menjadi maju, maka jadilah orang Melayu seperti yang kita lihat pada hari ini. Menghina orang Melayu tidaklah menjadi mereka bertambah maju sebaliknya bertambah lemah dan mundur.      

SEBAB TOK PA KELUAR UMNO


Terkejut semua apabila Dato’ Sri Mustapha Mohamed keluar UMNO baru-baru ini. Tidak disangka politikus yang mesra dengan panggilan Tok Pa itu boleh mengambil tindakan sedemikian. Selepas Tok Pa mengambil keputusan keluar UMNO, Datuk Seri Anifah Aman pula menuruti langkah beliau. 

Tok Pa bukanlah seperti Khairy Jamaluddin yang sering tidak sejalan dengan pandangan dan pemikiran popular pemimpin UMNO yang lain. Setakat yang diketahui, Tok Pa dilihat tidak banyak bersuara semenjak UMNO menemui kekalahan mereka pada PRU-14 yang lalu. Tiba-tiba sahaja beliau mengambil tindakan keluar UMNO. Pastilah sekian ramai penggamat politik tanah air berasa terkejut.

Pastilah Tok Pa memberi alasan yang muluk-muluk untuk menghalalkan tindakan beliau keluar UMNO itu. Bukan Tok Pa sahaja, mana-mana politikus pun akan turut melakukan perkara yang sama. Hanya beliau sahaja yang tahu sebab sebenar mengapa beliau mengambil tindakan sedemikian.

Tindakan politikus keluar daripada parti politik ini bukanlah perkara yang baru. Sebelum Tok Pa, sudah ramai politikus yang mengambil tindakan seperti beliau. Ada pelbagai sebab sebenarnya mengapa seseorang politikus itu mengambil peluang untuk keluar daripada parti yang disokongnya selama ini selama puluhan tahun.

Antara sebab seseorang politikus itu keluar parti ialah : (1) kerana prinsip perjuangan (2) kerana dibeli oleh pihak tertentu (3) kerana ditekan oleh pihak tertentu dan (4) kerana kepimpinan parti tidak menunaikan kehendak peribadi.    

Jika seseorang politikus itu keluar daripada sesebuah parti politik kerana prinsip perjuangannya yang suci dan murni tidak mengapalah juga. Namun, jika mereka keluar kerana sebab-sebab yang bersifat peribadi atau melibatkan kepentingan diri sendiri, sesungguhnya politikus itu adalah politikus yang bertaraf sampah sahaja.

Tindakan Tok Pa keluar UMNO itu membuatkan UMNO bertambah derita. UMNO sudahlah menderita sejak kalah dalam PRU yang lalu, kini semakin derita apabila seorang demi seorang pemimpin utamanya keluar. Bilangan kerusi UMNO di Parlimen semakin kecil hari demi hari.

Tidak diketahui berapa ramai lagi pemimpin UMNO yang lain hendak keluar atau lompat parti. Telah ditularkan ada beberapa lagi pemimpin UMNO yang hendak keluar. Semakin kecil nampaknya bilangan kerusi UMNO di Parlimen.  

Ada yang berpandangan bahawa bagus juga jika ramai lagi yang mahu keluar UMNO. Menurut mereka, biarlah yang tinggal dalam UMNO itu pemimpin yang ingin berjuang demi agama, bangsa dan tanah air. Bukan pemimpin yang mengharapkan kuasa dan harta sahaja.

Perkembangan mutakhir UMNO ini pastilah menimbulkan rasa gembira kepada penyokong parti lawan. Mereka pasti gembira kerana mereka percaya UMNO akan semakin terkubur. Harap kegembiraan mereka itu tidaklah berpanjangan. Hal ini kerana, tidak mustahil pemimpin parti mereka pun boleh keluar daripada parti masing-masing jika keadaan memaksa.

Ingatlah, tiada apa pun yang mustahil dalam dunia politik. Kata penulis politik Sayuti Omar : jangan pernah percaya dengan sumpah dan janji orang politik tetapi jangan rasa mustahil dengan tindakan orang politik.

Tok Pa seorang pemimpin yang berintegriti dan berwibawa. Harap apa yang Tok Pa lakukan itu adalah semata-mata untuk agama, bangsa dan negara dan bukan kerana sebab-sebab peribadi yang lain. 

Isnin, 17 September 2018

ISLAM DAN MELAYU BERPISAH TIADA


Entah mengapa Islam dan Melayu itu kelihatan amat sinonim. Islam dan Melayu itu seolah-olah sukar untuk dipisahkan. Mungkin kerana semua orang Melayu menganut agama Islam, maka Islam dan Melayu itu kelihatan sangat akrab. 

Cuba ada di antara kawan kita yang berbangsa Melayu menganut agama selain daripada agama Islam. Pastilah kita akan memandang aneh kepadanya. Hal ini kerana, sangat ganjil atau tidak pernah lagi ditemui secara terbuka orang Melayu yang menganut agama selain Islam. Oleh sebab itulah kita melihat jika ada orang Melayu yang menukar agama, mereka menukar agama secara bersembunyi.

Namun begitu, sekarang ini sudah ramai orang Melayu yang berani menukar agama secara terang-terangan. Walaupun jumlahnya tidak ramai (setakat yang diketahui), tetapi kewujudan mereka tetap ada. Orang Melayu yang jadi atheist pun ada juga. Dan sudah pasti mereka mendapat perhatian orang Melayu yang lain. 

Memang ada usaha untuk mengubah akidah orang Melayu sejak dahulu. Dahulu usaha ini kelihatan tidak berjaya. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini usaha itu kelihatan berjaya.

Selain mengubah akidah orang Melayu melalui cara menukar agama, mengubah orang Melayu supaya tidak mengikut ajaran Islam yang betul pun ada juga. Sebab itu fahaman-fahaman songsang seperti liberalisme, sekularisme dan pluralisme semakin berleluasa.

Orang Melayu memang tidak ramai yang menukar agama. Namun, orang Melayu ramai yang jadi liberal, sekular dan plural. Usaha pihak tertentu untuk menukar agama orang Melayu secara majoritinya memanglah tidak berjaya. Namun usaha mereka untuk menjauhkan orang Melayu daripada ajaran Islam yang sebenar telah berjaya.

Entah mengapa segelintir orang Melayu boleh jadi liberal, sekular dan plural. Mungkin kerana mereka melihat dengan menjadi liberal, sekular dan plural itu sebagai lambang kemajuan, maka mereka menganut fahaman itu.

Kita patut bersyukur kerana tidak semua orang Melayu yang boleh terima fahaman songsang itu. Mereka masih teguh dengan ajaran Islam yang sebenar. Mereka tidaklah seorang yang terlalu taat pada agama tetapi menjadi liberal, sekular dan plural itu memang jauh daripada hidup mereka. Akal dan fikiran mereka masih lagi waras untuk berfikir mana yang betul dan mana yang salah.

Usaha pihak-pihak tertentu untuk ‘meliberal’, ‘mensekular’, dan ‘mempluralkan’ orang Melayu tidaklah seratus peratus berjaya. Mungkin kerana Islam itu telah terlalu sebati dengan diri majoriti orang Melayu, maka mereka bukan sahaja tidak menukar agama, malah tidak pun menerima segala fahaman-fahaman yang songsang itu.  

Walau bagaimanapun, kita semua perlulah berhati-hati. Usaha untuk menjadikan orang Melayu supaya menukar agama mereka atau mendakwah mereka supaya menerima segala fahaman songsang itu masih lagi berjalan sehingga ke hari ini. Kita perlu bersyukur kerana ada individu dan pertubuhan bukan kerana tertentu yang terus berlawan dengan usaha-usaha ini sama ada di media sosial, media arus perdana, mahupun di lapangan.

Moga semua orang Melayu berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar sampai bila-bila. Jangan biarkan Islam dan Melayu itu berpisah walaupun sekali. 

Sabtu, 15 September 2018

PANDUAN MENULIS NOMBOR YANG BETUL

Image result for nombor
Sumber : Google


Antara perkara yang acapkali disalah tulis oleh ramai orang ialah nombor. Kebanyakan orang tidak mahir atau tidak tahu menulis nombor dengan cara yang betul dalam penulisan. 

Menyedari masalah ini, kami ingin kongsikan kepada anda semua cara menulis nombor yang betul. Diharapkan perkongsian ini menjadi panduan kepada anda supaya kesalahan dalam menulis nombor tidak berulang lagi.

Cara menulis nombor yang betul ialah :

Nombor kurang daripada sepuluh

Nombor yang kurang daripada sepuluh iaitu nombor 1 hingga 10 perlu ditulis dengan perkataan yang penuh.

Contoh : Encik Chong mempunyai empat ekor anak anjing yang comel.

Nombor lebih daripada sepuluh

Nombor yang lebih daripada sepuluh iaitu nombor 11, 12, 13 dan seterusnya perlu ditulis dengan angka.

Contoh : Terdapat 12 orang lelaki di dalam rumah itu.

Nombor lebih daripada sepuluh di awal ayat

Nombor yang lebih daripada sepuluh iaitu nombor 11, 12, 13 dan seterusnya jika terdapat di awal ayat perlu ditulis dengan ejaan penuh.

Contoh : Empat belas pelajar lelaki di kelas itu kacak-kacak belaka.

Nombor bagi tahun kalendar atau tarikh

Nombor dalam bentuk kalendar atau tarikh perlu ditulis dalam bentuk angka.

Contoh : Pada 1 Mei setiap tahun, semua pekerja di Malaysia akan menyambut Hari Pekerja.

Nombor dalam unit ribu, juta dan billion

Nombor dalam kategori ini perlu ditulis dalam bentuk perkataan didahului dengan angka.

Contoh : Keuntungan syarikat itu mencecah 30 juta setahun.   

Nombor berkaitan subjek Matematik dan Sains

Nombor dalam ketegori ini perlu ditulis dalam bentuk angka sama ada pada awal atau tengah ayat.

Contoh : 2 liter air suling diperlukan untuk membuat eksperimen itu.

Nombor dalam nilai matawang   

Nombor dalam ketegori ini sama ada dalam RM atau sen perlu ditulis dalam bentuk angka.

Contoh : Jutawan itu telah menderma sebanyak RM3 juta untuk membina sekolah itu.

Nombor yang bergabung dengan kata sendi

Nombor dalam kategori ini perlu diletakkan tanda sempang jika ditulis dalam bentuk angka.

Contoh : Setelah kematian abang sulungnya tempoh hari, Aimanlah tempat keluarganya bergantung kerana dia anak yang ke-2.

Nombor bergabung dengan kata sendi dalam bentuk perkataan

Nombor dalam kategori ini perlu ditulis tanpa perlu meletakkan tanda sempang dan perlu digabungkan dengan kata sendi.

Contoh : Saya ialah anak ketiga dalam keluarga.