Kita
sering mendengar di mana-mana tentang hampirnya kedatangan kiamat kepada kita
sementelahan kita ini ialah umat akhir zaman. Sudah pastilah apa yang kita
dengar itu menggerunkan hati kita. Pasti kita berasa insaf sebentar dan cuba
untuk menambahkan amal ibadat kita sebagai persediaan menanti kedatangan kiamat
itu.
Kedatangan
kiamat sangat sinonim dengan kehadiran Dajjal dan Yakjuj Makjuj. Keluarnya Dajjal
dan Yakjuj Makjuj itu ialah tanda-tanda besar untuk tibanya kiamat. Kita sebagai
orang Islam memang sentiasa takut dengan kehadiran makhluk-makhluk itu. Hal ini
kerana, makhluk-makhluk tersebut akan membawa banyak kerosakan di muka bumi. Sebab
itulah kita wajib berdoa kepada Allah supaya kita tidak lagi hidup tatkala
makhluk-makhluk itu sudah keluar supaya kita tidak menerima bahana daripada
kedatangan mereka.
Dajjal
dan Yakjuj Makjuj memang selalu dikaitkan dengan Freemason, Illuminati dan
Teori Konspirasi. Sejauh mana perkara itu betul masih lagi menjadi perdebatan. Kita
sebagai orang Islam kadang-kadang lebih teruja untuk membaca kaitan Dajjal dan
Yakjuj Makjuj dengan perkara-perkara tersebut berbanding membaca Surah Al-Kahfi
untuk membentengi diri kita daripada terhasut dengan fitnah-fitnah Dajjal.
Kehadiran
Dajjal dan Yakjuj Makjuj juga seolah-olah (ulang : seolah-olah) dinantikan oleh
kita semua, umat Islam. Lihat sahaja apabila timbul berita tentang seorang
kanak-kanak bermata satu lahir di dunia. Terus jadi kecoh seluruh alam
memperkatakan hal itu kerana percaya bahawa Dajjal telah pun lahir ke bumi. Namun,
kecoh-kecoh umat Islam setakat itu sahajalah. Untuk menambah amal ibadat bagi
terlindung daripada kejahatan Dajjal jauh sekali.
Suka
ataupun tidak kita pada kedatangan Dajjal dan Yakjuj Makjuj itu, kita perlu
terima hakikat bahawa mereka pasti akan keluar juga. Kita sebagai umat Islam
perlu bersedia daripada sekarang dengan menambah amal ibadat supaya kita terlindung
daripada kerosakan yang mereka lakukan. Dan kita wajar berdoa supaya ketika
makhluk-makhluk itu keluar kita sudah tiada lagi di muka bumi ini.
Kerosakan
yang dibawa oleh Dajjal dan Yakjuj Makjuj itu besar sekali. Silap langkah kita
pun boleh berada dalam kelompok orang-orang yang akan terpengaruh dengan
kerosakan dan kemungkaran yang mereka lakukan.
Kehadiran
Dajjal dan Yakjuj Makjuj akan memesongkan banyak perkara. Kebenaran akan
menjadi kebatilan manakala kebatilan akan dianggap sebagai kebenaran. Tanpa
perlu kehadiran Dajjal dan Yakjuj Makjuj pun hal sebegitu sudah terjadi sekarang.
Lihatlah isu-isu yang berlaku di sekeliling kita. Hak untuk menjadi LGBT
didesak untuk diiktiraf di negara ini. Begitu juga hak untuk melakukan seks
bebas asalkan menggunakan kondom. Jelas perkara yang salah cuba untuk dibetulkan.
Jika
perkara semacam itu pun orang Islam sudah ramai yang terpengaruh untuk
membenarkannya, masakan jika kehadiran Dajjal dan Yakjuj Makjuj nanti orang
Islam tidak akan terpengaruh? Sebab itulah kita perlu mengelak untuk hidup
sezaman dengan Dajjal dan Yakjuj Makjuj.
Kita
sebagai orang Islam perlu mengurangkan kecaknaan kita terhadap tanda-tanda
kehadiran Dajjal dan Yakjuj Makjuj. Yang perlu kita lakukan ialah selalu berdoa supaya kita jauh
dan terhindar daripada mereka. Hal ini kerana, kita sendiri tidak yakin adakah
kita mampu untuk berlindung daripada kerosakan yang akan mereka lakukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.