|
Sumber : Google |
Dalam
Teori Sepi Tinggi, jauh di belakang setiap konflik adalah rasa sepi. Konflik
yang diwujudkan adalah untuk menentang rasa sepi.
Ramai
manusia tidak tahan diseksa dengan rasa sepi. Menghilangkan rasa sepi adalah
sesuatu yang sentiasa dicari. Salah satu cara untuk menghilangkan rasa sepi
adalah dengan menimbulkan keriuhan. Keriuhan akan timbul apabila konflik
dicetuskan.
Teori
Sepi Tinggi ini saya fikir molek diaplikasikan dalam isu pesta arak dan kedai
dobi yang tercetus baru-baru ini. Saya yakin di belakang kedua-dua isu ini
adalah kerana timbulnya rasa sepi.
Setiap
orang, bangsa, dan agama ada sensitivitinya. Segala sensitiviti itu wajiblah
dihormati dengan sebaiknya. Saya yakin hampir seluruh rakyat Malaysia tahu
bahawa arak adalah sesuatu yang sangat sensitif bagi ramai orang Islam.
Justeru, pesta arak itu tidak perlulah dibuat secara besar-besaran.
Begitu
banyak premis menjual arak ada di negara kita. Orang bukan Islam yang mahu
meneguk arak tidak pernah dihalang untuk melakukannya. Orang Islam di Malaysia
amat memahami hal itu dan mereka menghormatinya. Jadi, tidak perlulah dipukul
canang darihal pesta arak itu di mana-mana.
Tetapi
oleh kerana terlalu ramai orang berada dalam kesepian, maka pesta arak itu
sengaja dibuat secara besar-besaran. Ini kerana mereka tahu pesta arak itu
pasti akan mendapat bantahan. Apabila ada bantahan, pastilah konflik akan
timbul lalu akan mencetuskan pergaduhan dan keriuhan (terutama dalam media
sosial). Maka, kesepian yang
menyelubungi mereka tadi dapat dihilangkan.
Mencabar
sensitiviti umat Islam di negara ini bukanlah sesuatu perkara yang baru.
Hal-hal yang lebih kurang sama sebegini memang sudah acapkali berlaku.
Sesetengah pihak di negara kita memang suka mencabar sensitiviti. Ini semua
bagi menghilangkan rasa sepi.
Modus
operandi yang sama juga berlaku terhadap isu kedai dobi. Perniagaan dan organisasi
yang hanya menerima sesuatu kaum atau agama sahaja bukanlah sesuatu yang baru
di negara ini. Tetapi oleh kerana isu kedai dobi itu orang Islam yang lakukan,
maka reaksi yang dilempar sengaja dilebihkan.
Syarikat
yang hanya menerima kaum tertentu sahaja sebagai pekerja tidak pernah mendapat
kecaman. Hal sebegitu pun tidak diperbesarkan. Tetapi apabila sebuah kedai dobi
yang hanya menerima orang Islam sahaja sebagai pelanggan, entah mengapa begitu
banyak menerima kecaman.
Orang
yang membesarkan isu kedai dobi itu berada dalam kesepian. Oleh kerana sudah
tidak ada lagi isu yang hendak ditimbulkan, maka isu kedai dobi untuk pelanggan
Islam itu menjadi perhatian. Apabila isu itu diperbesarkan, maka konflik pun
diwujudkan. Konflik itulah yang akan menentang kesepian.
Menghadap
laman sosial dua puluh empat jam juga adalah salah satu cara untuk menentang
kesepian. Pengguna laman sosial yang sepi akan sengaja mencari isu untuk disensasikan.
Apabila isu arak dan dobi itu terjadi (sama ada mereka yang mentularkannya atau
ditularkan oleh pengguna lain), maka sebilangan pengguna laman sosial yang sepi
akan membuat serangan provokasi. Mereka akan berkongsi (share), membuat ulasan
(comment), menulis status (di Facebook), dan berkelahi dengan pengguna laman
sosial lain untuk menentang rasa sepi.
Bagi
tokoh-tokoh politik tertentu (misalnya) yang merasakan diri dan perjuangan
mereka sudah mula dipandang sepi, mereka pasti bertindak supaya diri dan perjuangan
mereka boleh terus dilihat lagi. Sama ada mereka yang mencetuskan konflik atau mereka
yang mengeluarkan kenyataan kontroversi sebagai maklum balas terhadap isu yang
terjadi, itu adalah salah satu cara supaya diri mereka boleh terus meraih
populariti. Semuanya dilakukan untuk mendapat banyak undi dalam pilihan raya
yang akan dijalankan nanti.
Berdasarkan
Teori Sepi Tinggi, kesepian adalah sesuatu yang amat bahaya sama sekali. Konflik
dan pertelingkahan mampu diwujudkan akibat timbulnya rasa sepi. Apa yang
penting sensitiviti kaum dan agama orang lain hendaklah dihormati. Barulah
hidup bermasyarakat kita berada dalam keadaan tenteram dan harmoni.