Sumber : Google |
Sesiapa sahaja pada zaman ini pasti
sangat sangat memerlukan telefon pintar (smartphone). Ke mana sahaja
mereka pergi atau apa sahaja yang mereka lakukan mereka mesti membawa telefon
pintar. Telefon pintar itu umpama barang wajib yang mesti dibawa oleh manusia
ke mana-mana. Barangkali jika tiada telefon pintar manusia boleh mati
serta-merta.
Ya, telefon pintar itu ada banyak
gunanya. Manusia mencari hiburan seperti mendengar lagu atau menonton video
misalnya, mereka boleh menggunakan telefon pintar. Manusia yang ingin mencari
arah tempat yang mereka ingin tuju tetapi mereka tidak tahu, mereka boleh
menggunakan telefon pintar. Manusia yang ingin mencari kawan di alam maya,
mereka boleh menggunakan telefon pintar. Semuanya manusia boleh lakukan atau
harapkan hanya dengan menggunakan telefon pintar.
Boleh dikata yang telefon pintar itu
ada segalanya. Oleh sebab itulah ramai beranggapan mengapa ramai manusia tidak
boleh hidup tanpa telefon pintar. Dan disebabkan itu jugalah mengapa ada
manusia yang jelik dengan manusia lain yang seperti ‘menyembah’ telefon pintar.
Bagi saya manusia yang sering
‘bersama’ dengan telefon pintar ini bukan kerana telefon pintar itu ada
segalanya. Ada sebab lain mengapa telefon pintar itu amat penting kepada
mereka.
Telefon pintar amat amat diperlukan
ketika seorang manusia itu berasa bosan. Misalnya, ketika mereka menunggu bas
atau menunggu kawan, mereka pasti dibungkus dengan rasa bosan. Terutama jika
bas atau kawan tersebut mengambil masa yang lama untuk datang bertemu mereka.
Maka mereka menggunakan telefon pintar untuk menghilangkan kebosanan yang
melanda. Mereka melayari internet, Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya
bagi menghilangkan kebosanan tersebut sehinggalah bas atau kawan mereka itu
tiba.
Budaya tidak bertegur sapa dalam
kalangan manusia juga menyebabkan telefon pintar itu dianggap penting bagi
sesetengah manusia. Misalnya, jika kita duduk di sebuah dewan sebelum sesuatu
majlis dimulakan, pastilah kita akan menatap telefon pintar terlebih dahulu
untuk menghilangkan bosan. Cuba jika ada orang menegur kita atau atau kita
menegur orang lain dahulu, dan kita berbual mesra dengan orang itu, pasti
telefon pintar tidak akan kita tatap selalu.
Namun, budaya bertegur sapa memang
tidak subur dalam kalangan kita. Kita mesti mahu orang lain tegur kita dahulu
dan kemudian barulah kita tegur orang itu pula dan begitulah sebaliknya. Semua
orang minta ditegur dahulu untuk menjadikan sesebuah komunikasi atau hubungan
itu bermula. Sikap buruk ini tidak dinafikan memang ada pada saya.
Urusan yang banyak juga menyebabkan
ramai manusia tidak boleh meninggalkan telefon pintar mereka. Ada sahaja
pemberitahuan (notification) yang ada di dalam aplikasi Whatsapp atau
Telegram yang menuntut mereka membalas dengan segera. Ada sahaja urusan atau
perkara yang dihantar di dalam aplikasi Whatsapp atau Telegram itu menuntut
perhatian mereka. Jika mereka tidak membalas atau menjawab segala pemberitahuan
atau urusan yang ada di dalam semua aplikasi itu, barangkali urusan mereka atau
urusan orang lain akan terganggu. Maka telefon pintar bagi mereka sangatlah
perlu.
Tetapi ada juga sesetengah manusia
yang memang sengaja atau suka menatap telefon pintar waima ketika ada orang
lain bersama mereka. Mereka tiada pun urusan yang penting sebenarnya yang
menuntut perhatian mereka tetapi barangkali mereka berasa janggal atau mereka
memang malas untuk melayan orang yang berhampiran dengan mereka (seperti kawan
misalnya) maka mereka mengambil keputusan untuk menatap telefon pintar dalam
masa yang lama. Manusia beginilah yang banyak membuang masa dan memutuskan
jalinan perhubungan yang sedia ada.
Ada sesetengah manusia yang mereka
lebih suka hidup dalam dunianya sendiri. Mereka tidak mahu langsung bergaul
dengan orang lain dan sentiasa membuat hal sendiri. Hidup mereka hanyalah
menatap telefon pintar setiap hari. Mereka lebih menghargai rakan rakan yang
berada di alam maya berbanding rakan rakan yang berada di alam realiti. Manusia
begini yang ramai orang benci. Mereka merasakan bahawa hanya mereka dan telefon
pintar mereka sahaja yang ada di dalam dunia ini.
Tidak dinafikan bahawa telefon pintar
itu memang banyak kegunaan. Tetapi jika digunakan secara berlebihan ia akan
menyebabkan ketagihan dan akhirnya merosakkan. Telefon pintar digunakan untuk
memudahkan urusan kita. Jangan disebabkan telefon pintar kita terputus hubungan
sesama manusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.