Isnin, 23 Januari 2017

NOVEL : MENCARI MAKNA CINTA BAB 25




I

Sahiril sibuk menyiapkan fail fail yang berlambak di atas meja kerjanya. Kerja kerjanya seolah olah tidak pernah habis. Kadang kala dia berasa amat menyesal kerana menduduki jawatan Ketua Pegawai Eksekutif RaHa Hotel itu atas beban kerja yang perlu dia bereskan namun apakan daya. Dia perlu biasakan diri dengan semua ini kerana dia akan mewarisi hotel tersebut suatu hari nanti. Ketika dia sedang tekun menyiapkan kerjanya, tiba tiba telefonnya berbunyi. Dia melihat nama Datuk Hasanah tertera di skrin. 

“Hello mama! Ada apa?” Soal Sahiril lembut.

“Kamu dah baca surat khabar hari ni?” Soal Datuk Hasanah dari hujung talian. 

“Belum. Kenapa mama? Saya sibuk sangat sekarang ni sampai nak baca surat khabar pun tak sempat.” Ujar Sahiril jujur.
 
“Betul ke?” Duga Datuk Hasanah. Sahiril jadi bingung dengan soalan yang dilontarkan oleh Datuk Hasanah itu. 

“Betullah mama. Kenapa mama tanya soalan tu?” Soalan Datuk Hasanah itu dijawab dengan soalan oleh Sahiril.

“Atau kamu sibuk melayan Melisa?” Soal Datuk Hasanah lagi. Sahiril bertambah bingung jadinya. 

“Mama, cuba berterus terang. Ada apa sebenarnya ni?” Soal Sahiril dalam keadaan kebingungan.


“Apa yang kamu dah buat Sahiril? Kenapa kamu sanggup malukan mama dan cemarkan nama baik hotel kita?” Soal Datuk Hasanah lagi. 

“Apa yang saya dah buat? Saya tak buat apa apa pun. Saya tak fahamlah. Please straight to the point.” Ujar Sahiril. 

“Surat khabar dah keluar cerita pasal kamu tengah bermesraan dengan Melisa kat sebuah restoran. Kenapa kamu buat macam tu?” Soal Datuk Hasanah. Nada suaranya jelas menunjukkan dia marah.
 
“Mama, saya rasa tak salah saya bermesraan dengan Melisa sebab Melisa tu kekasih saya. Kenapa pula mama tiba tiba naik marah ni?” Soal Sahiril lagi. 

“Tak salah kamu kata? Kamu sedar tak yang kamu dah kahwin? Apa yang dah masuk dalam kepala kamu tu Sahiril?” Soal Datuk Hasanah marah. 

“Mama, ini semua kerja wartawan yang nak cari publisiti murahan. Saya bermesra dengan Melisa secara sembunyi. Ini pasti kerja kerja pihak tertentu yang cuba nak jatuhkan kita mama” Balas Sahiril.


“Mama betul betul tak faham dengan perangai kamu. Suka hatilah apa yang kamu nak buat tapi ingat, jangan sampai rosakkan imej mama dan nama hotel kita.” Kata Datuk Hasanah dan menamatkan panggilan. Satu keluahan berat dilepaskan oleh Sahiril.



II


Nadia mengajak Mahmudah keluar untuk makan tengah hari itu. Memandangkan Noni mahu makan tengah hari bersama suaminya sempena hari lahirnya, maka Mahmudah berseorangan. Dia bersetuju untuk makan tengah hari bersama Nadia. Mereka memilih untuk makan di Kampung Baru yang terletak berhampiran dengan Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) itu.


Di Kampung Baru terkenal sebagai syurga makanan. Perkampungan orang Melayu yang telah wujud lebih dari seratus tahun itu menyediakan pelbagai juadah makanan dari sarapan pagi hinggalah ke makan malam. Mahmudah bercadang mahu makan tengah hari di sebuah warung yang biasa dikunjunginya bersama Noni. Dia berjanji mahu menunggu Nadia pada waktu itu. Ketika Mahmudah sedang duduk di meja makan. Dia melihat Nadia muncul bersama Ramli. Lagak mereka begitu mesra sehingga Mahmudah tersenyum melihatnya. 

“Kau tak cakap pun yang Ramli ada sekali.” Ujar Mahmudah sewaktu Nadia dan Ramli duduk bersama dengannya. 

“Saya lupa kak. Kakak tak kisah kan Ramli ikut sekali?” Soal Nadia. 

“Tak.... Lagipun Ramli pun kawan aku juga.” Jawab Mahmudah.


“Aku tengok kamu berdua ni asyik berkepit saja. Ada apa apa ke?” Soal Mahmudah setelah mereka bertiga selesai mengambil makanan dan memesan minuman. Nadia dan Ramli berpandangan sambil tersenyum. 

“Dua minggu lagi kami nak bertunang. Dalam bulan depan kami nikah.” Jawab Ramli. 

“Yakah? Tak sangka yang kamu berdua ni akan berkahwin tak lama lagi. Jangan lupa jemput kakak ye.” Ujar Mahmudah dengan penuh teruja dan gembira.


“InsyaAllah kak. Mestilah kami jemput kakak. Kakak kan kawan kami.” Kata Nadia. 

“Kami berdua tak lama lagi nak berumahtangga. Kakak bila lagi?” Soal Ramli. 

“Entahlah Ramli. Kakak belum ada calon lagi. Kakak nak tumpukan dulu pada Mahani dan budak budak tu. Bila semua dah selesai baru kakak fakir pasal diri kakak pula.” Jawab Mahmudah.


“Bila sebut pasal Mahani saya ada terbaca cerita pasal hubungan Sahiril dengan Melisa. Si Sahiril tu kalau betul dia cintakan sangat dengan Melisa tu tak perlulah sampai nak tunjuk kat wartawan. Lagipun dia dan Mahani masih lagi suami isteri.” Ujar Nadia seperti tidak berpuas hati. 

“Kakak pun sakit hati dengan Sahiril tu. Dia sudah ada anak dan isteri kenapa pula dia mesti cari perempuan lain.” Kata Mahmudah pula.



“Saya pun dah benci dengan Sahiril tu. Saya ingat lepas kahwin nanti saya nak cari kerja  lain. Saya dah tak sanggup nak bersua muka dengan lelaki tu.” Ujar Ramli. 

“Kalau macam tu saya pun nak cari kerja lain. Saya tak nak kerja sampai mati kat hotel tu.” Kata Nadia pula.

 “Elok sangatlah tu Nadia. sampai bila kau nak jadi pengemas bilik kat RaHa Hotel tu.” Ujar Mahmudah menyokong kata kata Nadia sebentar tadi.

“Saya ingat dalam hujung minggu ni kami nak lawat Mahani. Sudah lama saya tak jumpa Mahani.” kata Nadia. 

“Kakak pun sama juga. Dah lama kakak tak tengok keadaan Mahani kat hospital tu. Maklum sajalah kakak sibuk dengan kerja dan sekarang sibuk menguruskan budak berdua tu. 

“Untung Mahani ada kakak. Boleh tolong jaga Irfan dengan Adam.” Ujar Ramli.


“Kakak ni hanya tolong setakat yang mampu saja Ramli. Sebagai anggota keluarga, kita wajib membantu ahli keluarga kita yang ditimpa kesusahan.” Ujar Mahmudah. Setelah mereka menghabiskan makanan, mereka bertiga pulang ke tempat kerja masing masing. Mahmudah pulang ke tempat kerjanya di Jalan Raja Chulan manakala Ramli dan Nadia pula pulang ke RaHa Hotel.



III



Setelah keluar dari lif, Sahiril terus menuju ke penthousenya. Dia tahu Mahmudah telah tidur memandangkan jam sudah menunjukkan pada pukul dua belas setengah malam. Dia terpaksa pulang lewat pada hari ini memandangkan dia perlu menyiapkan pelbagai fail kerana esok mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah dan pemegang pemegang saham. Dia membuka pintu rumahnya dan mendapati ada cahaya di ruang tamu.


Dia melihat Mahmudah sedang duduk di ruang tamu sambil membaca sebuah buku. Itu suatu perkara yang luar biasa kerana Mahmudah jarang tidur lewat. Biasanya Mahmudah masuk tidur pada pukul sepuluh malam.

 “Kau tak tidur lagi. Kau tak kerja ke esok?” Soal Sahiril sambil menghampiri Mahmudah. Dia membuka kot yang membaluti tubuhnya serta melonggarkan ikatan tali leher.


“Kerja… tapi aku sengaja tunggu kau balik.” Jawab Mahmudah tenang. 

“Kau tunggu aku balik? Kenapa?” Soal Sahiril bingung.

 “Aku nak sanya kau pasal berita ni.” Mahmudah meletakkan surat khabar Harian Malaysia itu di atas meja. Sahiril membaca sekilas artikel tentang percintaannya dengan Melisa. 

“Kenapa dengan artikel ini?” Soal Sahiril. Sebenarnya dia sudah dapat mengagak tentu Mahmudah akan bertanya tentang perkara tersebut dan dia sudah ada jawapannya.


“Kau dah janji dengan aku nak terima Mahani sebagai isteri kau. Kau dah janji dengan aku untuk jaga Mahani seperti kau jaga diri kau sendiri. Sekarang apa yang cuba kau lakukan? Kenapa kau masih menjalinkan hubungan dengan Melisa?” Soal Mahmudah tidak berpuas hati. 

“Mahmudah, kau dengar sini baik baik. Aku boleh terima Mahani sebagai isteri aku dan jadi ahli keluarga aku tapi aku tak boleh mancintai Mahani. Aku minta maaf pasal perkara tu.” Jawab Sahiril tenang. 

“Kenapa susah sangat kau nak terima Mahani? Aku yakin kalau kau belajar mancintai isteri kau yang sedang koma tu lama lama perasaan cinta dan sayang itu akan wujud.” Ujar Mahmudah. 

“Mahmudah, kau kena faham. Cinta itu tak boleh dipaksa. Kau tak tahu sebab kau tak pernah bercinta. Kau hanya pandai bercakap tapi kau tak pernah merasainya. Cinta itu membahagiakan Mahmudah dan kau jangan sesekali jadikan cinta itu sengsara.” Ujar Sahiril dalam nada suara yang tenggelam timbul. Mahmudah terdiam. Dia sudah kehabisan hujah untuk membidas kata kata Sahiril. 

“Aku harap kau faham. Jangan sesekali memaksa aku untuk mencintai Mahani. Aku tak boleh. Cinta aku hanya untuk Melisa saja.” Sambung Sahiril lagi. 

“Macam mana kau nak terima Mahani sebagai isteri kau kalau kau tak mencintai dia?” Soal Mahmudah. 

“Jawapan tu ada pada kau. Kau yang suruh aku terima Mahani jadi aku rasa kau tahu cara caranya.” Jawab Sahiril lalu beredar meninggalkan Mahmudah di ruang tamu.

IV 





Pada hujung minggu itu, Mahani melawat Melisa di hospital bersama Nadia dan Ramli. Sebelum melawat Mahani, Mahmudah terlebih dahulu bertemu dengan Doktor Nora iaitu doktor yang ditugaskan untuk merawat Mahani. 

“Bagaimana keadaan adik saya doktor? Bila dia boleh sedar?” Soal Mahmudah sambil berjalan beriringan di menuju ke bilik doktor tersebut. Doktor Nora membuka pintu untuk membolehkan Mahmudah masuk ke biliknya. Doktor yang berusia dalam lingkungan 40an itu kelihatan cukup berwibawa dengan pakaian doktornya disamping stateskop yang tidak pernah lekang dari lehernya. 

“Puan Mahani berada dalam keadaan stabil namun bila dia akan sedar sukar untuk saya memberi sebarang jaminan.” Jawab Doktor Nora.


“Untuk pengetahuan Cik Mahmudah, Mahani mengalami sedikit pendarahan otak dan kemungkinan besar dia akan koma untuk selama lamanya atau jika dia sedar pun ingatannya akan hilang.” Sambung Doktor Nora lagi. Ucapan Doktor Nora itu amat mengejutkan Mahmudah. Dia tidak dapat membayangkan jika Mahmudah hilang ingatan. Siapakan yang akan menjaga Irfan dan Adam jika Mahani hilang ingatan kelak.


“Tapi Cik Mahmudah jangan bimbang. Itu hanya kemungkinan sahaja. Seperti kes kes sebelum ini, pesakit tidak mengalami sebarang masalah cuma mereka koma dalam jangka masa yang agak lama.” Ujar Doktor Nora yang seolah olah dapat membaca isi hati Mahmudah pada waktu itu. 

“Terima kasih doktor atas maklumat tu. Kalau ada apa apa segeralah telefon saya. Saya keluar dulu doktor.” Mohon Mahmudah.


“Baiklah. Saya akan beritahu perkembangan tentang Mahani dari semasa ke semasa pada Cik Mahmudah.” Ujar Doktor Nora. Mahmudah mengangguk dan terus keluar dari bilik Doktor Nora. Mahmudah berjalan menuju ke wad yang menempatkan diri Mahani. Dia melihat Ramli dan Nadia berada di situ. Mereka sedang bermain main bersama Irfan dan Adam.


“Apa kata doktor kak?” Soal Nadia apabila dia ternampak Mahmudah masuk ke bilik.




“Doktor kata keadaan Mahani stabil cuma…” Jawab Mahmudah. Dia berasa tidak sanggup untuk menghabiskan ayat tersebut. 

“Cuma apa?” Soal Ramli ingin tahu. Perasaan itu begitu kuat mencengkam sanubarinya. 

“Kemungkinan untuk Mahani hilang ingatan itu ada.” Jawab Mahmudah lemah. Dia berharap agar semua itu tidak menjadi kenyataan. 

“Astaghfirullahalazim. Betul ke kak?” Soal Nadia pula. Mahmudah menjawab soalan Nadia itu dengan anggukan sahaja.

 “Tapi itu semua hanya kemungkinan sahaja. Biasanya tidak begitu. Ramai pesakit seperti Mahani kembali normal setelah sedar dari koma cuma jangka masa koma mereka saja yang panjang.” Ujar Mahmudah untuk menyedapkan hati Nadia dan Ramli serta hatinya juga.

“Sama samalah kita berdoa agar Mahani selamat.” Kata Ramli yang sedang mendukung Adam. 

“Kakak, saya nak tanya, kenapa kakak sanggup tinggal sebumbung dengan Sahiril tu?” Soal Nadia setelah mereka bertiga agak lama menyepi.

 “Kakak sengaja buat macam tu. Kakak nak jadi mata dan telinga Mahani. Kakak juga nak balas dendam di atas semua perbuatan yang Sahiril lakukan pada Mahani.” jawab Mahmudah tegas.


“Kakak perlu berhati hati. Sahiril bukan calang calang orang. Dia orang kaya dan berpengaruh. Dia boleh guna kuasa dan pengaruh dia untuk buat apa saja.” Ramli menasihati Mahmudah. Dia tidak mahu Mahmudah diapa apakan oleh manusia seperti Sahiril. 

“Terima kasih Ramli atas nasihat tu tapi kamu janganlah bimbang. Tahulah kakak menjaga diri.” ujar Mahmudah.

V



Mahmudah pulang dengan agak lewat ke rumah bersama Irfan dan Adam. Dia sengaja pulang lewat dari hospital walaupun Nadia dan Ramli sudah lama pulang ke rumah mendahului dirinya. Dia mahu bersama sama dengan Mahani. Dia mahu Irfan melepaskan rindu kepada ibunya yang seperti mayat hidup itu. Dia mahu Adam mengenali Mahani sebagai ibunya supaya anak kecil itu tidak kekok untuk bersama Mahani apabila Mahani telah sedar nanti. Mahmudah sampai di rumah pada pukul sepuluh malam. Dia melihat wajah Sahiril yang agak masam ketika menyambutnya pulang. 

“Kau ke mana? Kau keluar rumah pukul sepuluh tadi dan pukul sepuluh malam baru kau balik.” Jerkah Sahiril. 

“Boleh tak kau perlahankan suara kau sikit. Kau tak nampak ke Adam tengah tidur ni. Kalau dia terjaga aku juga yang susah.” Ujar Mahmudah sambil menaiki tangga untuk membawa Adam ke bilik tidur. Irfan pula hanya duduk di ruang tamu. Matanya masih belum mengantuk lagi walaupun sudah seharian dia tidak tidur. Dia begitu rindu dengan ibunya walaupun dia baru sahaja pulang dari bertemu dengan Mahani. Dia begitu hairan mengapa Mahani hanya tidur walaupun sudah berkali kali dia mengejutkan ibunya. 

“Tolong jawab soalan aku. Mana kau pergi? Seharian kau tak balik?” Soal Sahiril lagi. Matanya mencerlang memandang wajah Mahmudah yang hendak ke dapur. 

“Kenapa kau nak tahu?” Soal Mahmudah pula. 

“Kau ni pekak ke? Itu bukan jawapan pada soalan aku. Aku tanya kau pergi mana?” Soal Sahiril lagi. Nada suaranya masih tinggi seperti tadi.




“Aku pergi lawat Mahani kat hospital lepas tu pergi makan dekat restoran. Puas hati kau.” Jawab Mahmudah tegas. Dia malas mahu bertegang leher dengan Sahiril. Dia tahu lelaki yang panas baran itu tidak perlu dilayan kerana hanya membawa kesakitan di hati. 

“Bagus! Kau ingat rumah ni hotel ke? Sesuka hati kau boleh keluar masuk. Kau tahu tak yang kau masih jadi orang gaji dalam rumah aku. Siapa nak masak, kemas rumah dan basuh baju dalam rumah ni? Itu semua kerja kau. Jangan sampai aku perlu ingatkan kau pula.” Sindir Sahiril.

“Kau ni cacat ke? Aku rasa kerja tu bukannya berat sangat. Kau boleh buat cuma kau tu pemalas. Lagipun aku bukannya selalu keluar rumah. Ini kali pertama aku pergi bawa Adam dan Irfan lawat ibu mereka. Nak harapkan kau, selisih malaikat empat puluh empat!” Balas Mahmudah pula.

 “Memanglah kerja tu tak berat tapi kau kena ingat, duduk kat sini bukan percuma. Kau kena kerja kat rumah ni.” Tukas Sahiril.

“Baiklah Tuan Sahiril. Saya minta maaf. Awak nak saya buat apa sekarang?” Soal Mahmudah sambil memasukkan baju baju yang kotor ke dalam mesin basuh. 

“Aku lapar. Masakkan aku mi segera. Cepat sikit!” Sahiril memberi arahan seperti seorang ketua tentera yang memberi arahan pada anak buahnya dalam perbarisan. 

“Okey. Kau duduk dulu. Nanti aku masakkan. Kalau dah siap aku panggil kau.” Ujar Mahmudah lembut.


Sahiril terus bergerak ke ruang tamu. Dia melihat Irfan sedang leka menonton televisyen. ‘Hoi budak! Apa yang kau buat kat sini? Siapa suruh kau tengok televisyen aku. Pergi kat makcik kau sana.” Ujar Sahiril kasar. Irfan yang ketakutan terus berlari ke dapur untuk mendapatkan Mahmudah. 

“Sesuka hati saja tengok televisyen aku.” Rungut Sahiril dan menghenyakkan dirinya di atas sofa.

“Irfan pergi masuk bilik. Mak long nak masak sekarang ni. Kalau adik kamu menangis kamu beritahu mak long ye.” Ujar Mahmudah. Irfan mengangguk dan berlari naik ke bilik. Mahmudah berasa kasihan dengan Irfan. Sudah lama Irfan tidak dapat menonton televisyen. Jika dapat pun, hanya di rumah Maimon sahaja. Setelah Irfan pergi, Mahmudah mengambil sebuah periuk dan meletakkan air masak ke dalam periuk itu.

Kemudian dia memanaskan air tersebut di atas api. Setelah air tersebut menggelegak Mahmudah memasukkan dua bungkus mi segera ke dalam air tersebut. Hatinya benar benar sakit dengan tingkah laku Sahiril. Dia mencari jalan bagaimana mahu mengajar adik iparnya yang angkuh itu. Tiba tiba satu idea nakal muncul di kotak fikirannya. Dia mula membuka kabinet dapur.

Dia mencari cari sesuatu yang biasa dilihatnya dalam kabinet itu dan akhirnya benda yang dicarinya itu berjaya ditemuinya. Dia akan menggunakan ubat julap tersebut untuk mengajar Sahiril. Setelah memasukkan perencah ke dalam mi segera itu dia memasukkan ubat julap ke dalam periuk tersebut. Dia mengacau mi segera itu beberapa kali. Setelah itu, dia memasukkan mi segera yang sudah dimasak itu ke dalam mangkuk yang agak besar. Dia menghidangkan mi segera itu di atas meja makan. 

“Sahiril, mi segera kau dah siap!” Panggil Mahmudah. Sahiril yang sedang terbaring di atas sofa itu lantas bangun dan menuju ke meja makan. 

“Kau masak apa ni?” Soal Sahiril sambil mengacau ngacau mi segera yang berada dalam mangkuk itu. “Aku masak mi segeralah. Kau nak aku masak mi bandung pula ke?” Sindir Mahmudah.

“Kau ni memang pemalas.” Kata Sahiril pada Mahmuda. Tersentak Mahmudah mendengar kata kata adik iparnya itu. Mengapa pula dia dikatakan pemalas.

 “Kenapa kau kata aku pemalas?!” Soal Mahmudah kegeraman. Mahu sahaja dia menyimbah mi segera itu ke muka Sahiril. 

“Kau letaklah telur ke, udang ke, atau ayam ke dalam mi segera ni. Takkan aku nak makan mi segera semata mata.” Jawab Sahiril.


“Cerewet betul dia ni. aku dah masak dah cukup bagus.” Desis hati Mahmudah. Dia benar benar sebal dengan sikap Sahiril. Lelaki itu memang tidak tahu bersyukur dan berterima kasih. 

“Kau ni memang dasar manusia tak tahu bersyukur kan? Aku dah masak tu dah cukup baik. Kalau kau tak puas hati kau masak sendiri.” Ujar Mahani. Perasaan marah sudah mula menguasai dirinya.


“Kau ni memang pemalas! Buat kerja senang macam ni pun tak boleh. Patutlah kau tak bersuami sampai sekarang.” Ujar Sahiril lalu duduk di meja makan itu. Dia menghembus mi segera yang panas itu beberapa kali. Apabila dia yakin bahawa mi segera itu sudah sejuk sedikit dia memasukkannya ke dalam mulut. Ingin sahaja Mahmudah membalas kata kata lelaki itu namun dipendamkan sahaja setelah Sahiril makan mi segera tersebut.

Hatinya menjadi gembira. Perangkapnya sudah terkena. Tidak lama lagi Sahiril akan sakit perut dan tidak henti henti membuang air besar. Mahmudah bersorak dalam hati sambil melihat Sahiril menikmati mi segara itu dengan lahapnya. 

“Kenapa kau pandang aku macam tu? Kau tak puas hati?” Tegur Sahiril. 

“Eh, mana ada! Aku suka tengok kau makan sampai perut aku jadi lapar semula. Kau makanlah ye.” Ujar Mahmudah dan berlalu ke dapur. Dia mahu membasuh pakaian supaya dia boleh menjemurnya esok pagi.

 VI



Sahiril tidak boleh tidur pada malam itu. Sudah lima kali dia keluar masuk tandas memandangkan perutnya asyik memulas mulas. Dia melihat jam sudah menunjukkan ke angka tiga pagi. “Adoi, tak kerjalah aku esok ni.” Rungut Sahiril bermonolog. Perutnya benar benar sakit. Setelah keluar dari tandas dia masuk semula untuk melepaskan hajat. Dia cuba mengingati apa yang dimakannya. Tiba tiba dia teringat makanan terakhir yang dimakannya iaitu mi segera yang dimasak oleh Mahmudah.

“Setahu aku tak ada makanan basi dalam mi tu. Takkan mi tu dah tamat tempoh kot. Aku baru beli minggu lepas.” Omel Sahiril lagi. Dia tidak mengesyaki apa apa pada Mahmudah. Dia masih lagi dalam keadaan menonggeng menahan rasa sakit yang mencucuk cucuk perutnya. Dia berjalan perlahan lahan keluar dari biliknya. Dia mahu ke bilik Mahmudah.

Dia mahu meminta bantuan Mahmudah untuk membawanya ke klinik. Setelah sampai di hadapan pintu bilik Mahmudah, Sahiril mengetuk pintu itu dengan kuat. Dia terdengar Adam menangis dari dalam bilik. Tidak lama kemudian, Mahmudah membuka pintu. Dia melihat Mahmudah masih terpisat pisat menahan rasa mengantuk yang bertandang di mata.

“Kenapa kau kejut aku pukul tiga pagi ni?” Soal Mahmudah. Dia menguap seketika dan melihat Sahiril sedang memegang perutnya. Mukanya agak berkerut menahan rasa sakit. Mahmudah sudah dapat mengagak ini tentu penangan ubat julap yang diletakkan dalam makanan Sahiril tadi. 

“Perut aku sakit sangat. Banyak kali aku keluar masuk tandas. Tolong hantar aku pergi klinik.” Mohon Sahiril.


Mahmudah berasa amat kasihan melihat keadaan lelaki itu walaupun perasaan benci dan sakit hati pada sikap Sahiril masih melekat dihatinya. Serta merta rasa bersalah hinggap di sanubarinya. 

“Okey, kau tunggu aku bersiap dulu. Nanti aku bawa kau pergi klinik.” Ujar Mahmudah lalu menutup pintu. Setelah menenangkan Adam yang menangis itu, Mahmudah mula bersiap secara ala kadar saahaja.


Kemudian dia mendapatkan Sahiril untuk membawa lelaki itu ke klinik sambil mendukung Adam dan memegang tangan Irfan. Nasib baik ada klinik dua puluh empat jam di kawasan itu jadi dapatlah Sahiril menerima rawatan dengan segera. Setelah Sahiril menerima rawatan, Mahmudah memandu keretanya untuk pulang ke rumah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.