Sumber : Google |
Setinggi tinggi tahniah saya ucapkan kepada Faiz
Subri di atas kemenangan dalam The FIFA Puskas Award 2016 yang diterima
olehnya. Sesungguhnya kemenangan yang diterima oleh Faiz itu telah mengharumkan
nama Malaysia di pentas dunia. Ribuan terima kasih kepada Faiz kerana telah
mempopularkan negara di persada antarabangsa.
Ramai rakyat Malaysia tumpang gembira atas
kejayaan yang Faiz Subri terima. Tidak putus putus pujian yang datang kepada
beliau di sini sana. Yalah, bukan mudah untuk mana mana anak Malaysia meraih
anugerah yang cukup berprestij di pentas antarabangsa. Bila sesekali diterima,
gegak gempitalah seluruh negara.
Di sebalik sanjungan dan pujian yang beliau
terima, kritikan dan penghinaan terhadap diri beliau tetap juga ada. Kritikan
dan penghinaan ini bermula sejak dari awal lagi beliau dicalonkan untuk
menerima anugerah yang berprestij itu. Pastilah ada sebab mengapa orang ramai
melemparkan kritikan dan penghinaan sebegitu.
Kemenangan Faiz mula menjadi pertikaian apabila
melihat kedudukan bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa begitu memalukan.
Orang ramai membuat pertikaian bagaimana Faiz boleh menang di saat bola sepak
Malaysia berada di kedudukan bawahan. Tidaklah logik jika seorang pemain yang
hebat berada dalam pasukan bola sepak negara yang sentiasa dirundung dengan
kekalahan demi kekalahan.
Pada saya kemenangan Faiz itu usahlah
dipertikaikan. Ya, saya akui bahawa pasukan boleh sepak Malaysia begitu banyak
kelemahan. Tetapi kemenangan yang diterima oleh Faiz itu adalah kemenangan
individu dan bukannya kemenangan berpasukan. Faiz menang atas dasar undian.
Ramai suka dengan cara Faiz melakukan jaringan semasa perlawanan. Yang undi
Faiz itu bukan rakyat Malaysia sahaja, penduduk dunia pun ramai yang undi juga.
Tidak cukup dengan kemenangan yang menjadi
pertikaian, pakaian yang Faiz mahu pakai semasa menerima anugerah itu turut
dipersoalkan. Faiz bercadang untuk memakai baju Melayu serta bertengkolok
sekali. Ramai yang hina dan keji di dalam media sosial kerana menganggap Faiz
terlalu berlebihan dalam hal ini.
Saya percaya bahawa Faiz mahu berbaju Melayu dan
bertengkolok itu kerana beliau mahu membawa imej Melayu dan imej Malaysia di
persada dunia. Saya yakin di hati kecilnya beliau berbangga menjadi anak Melayu
dan anak Malaysia. Atas sebab itulah dia memasang niat sebegitu rupa. Tetapi
niat baik Faiz itu telah disalahtafsir oleh ramai orang dalam negara dan sebab
itulah banyak penghinaan yang beliau terima. Namun akhirnya beliau membatalkan
niat tersebut atas faktor cuaca.
Saya tidak hairan perkara semacam itu boleh
berlaku. Sememangnya ramai rakyat Malaysia berfikiran sebegitu. Mereka lebih
suka bercakap hal yang remeh temeh dan suka menyibuk akan perihal diri orang.
Sebab itulah minda rakyat Malaysia terus terkekang dan tidak berkembang. Dan
pada saya manusia sebegini hanyalah bagai anjing yang menyalak di waktu siang!
Kita sepatutnya berbangga dan menyokong hasrat
Faiz untuk berbaju Melayu itu. Sekurang-kurangnya masyarakat dunia tahu apa itu
Malaysia dan apa itu Melayu. Barulah budaya dan negara kita masyarakat dunia
boleh kenal dan tahu.
Bahasa yang Faiz guna semasa berucap setelah
menerima anugerah itu pun tetap juga orang mahu kritik dan hina. Ada yang
menyoal mengapa Faiz tidak bercakap dalam bahasa Melayu sahaja? Ada juga yang
menyoal mengapa bahasa Inggeris yang Faiz guna, teruk sebegitu rupa? Masing
masing bercakap seolah-olah mereka adalah sarjana bahasa!
Sebagai pelajar bahasa, pastilah saya tidak
setuju dengan bahasa Inggeris yang Faiz guna. Saya lebih cenderung untuk Faiz
berucap dalam bahasa Melayu kerana ia adalah bahasa kebangsaan dan bahasa
ibundanya. Saya tetaplah mahu kata yang Faiz tidak cuba memartabatkan bahasa
kebangsaan bagi Malaysia. Tetapi saya tidak mahu pertikai ataupun hina. Saya
optimis pastilah Faiz ada sebab sebab tertentu mengapa beliau menggunakan
bahasa Inggeris dan bukannya bahasa Melayu. Maka, saya hormati keputusannya
untuk berucap dalam bahasa Inggeris itu.
Saya
tidak mahu pertikai baik atau buruk bahasa Inggeris yang Faiz guna. Saya tidak
mahir dalam bahasa Inggeris maka tidaklah layak untuk saya bercakap
mengenainya. Apa yang pasti, Faiz cuba untuk bercakap bahasa Inggeris yang
ramai rakyat Malaysia sanjungi. Sama ada buruk ataupun baik kita tolaklah
ketepi. Janganlah terlalu mengecam orang seolah olah kita ini sempurna serba
serbi. Untuk berada di kedudukan Faiz itu ramai orang belum tentu boleh lagi.
Apa pun, Faiz Subri telah pun meraih kemenangan.
Sama ada yang Faiz terima itu sebuah pujian ataupun segunung penghinaan, Faiz
perlulah berlapang dada dan terbuka fikiran. Memang kita tidak boleh memuaskan
hati semua orang. Lebih baik jadi diri sendiri daripada mengikut telunjuk
orang. Yang penting Allah tahu niat yang kita pasang.
sy sentiasa menyokong !
BalasPadam