Isnin, 16 Januari 2017

NOVEL : MENCARI MAKNA CINTA BAB 23




(I)

Ketika makan tengah hari itu, Melisa dan Sahiril makan bersama sama di Restoran Fullhouse yang terletak di Jalan Yap Kwan Seng. Hidangan yang disediakan di restoran tersebut membuka selera Melisa dan Sahiril yang berada dalam kelaparan itu. 

“Kenapa you diam saja? You sakit ke atau you ada masalah?” Soal Melisa. Dia bimbang Melihat Sahiril yang hanya mendiamkan diri sejak dari tadi. Selalunya Sahiril pasti akan bertanya itu dan ini kepadanya. Tetapi pada hari ini lelaki itu diam membisu dan langsung tidak mahu bercakap. 

“Kalau you ada masalah you beritahu dengan I. Mana tahu I boleh bantu.” Ujar Melisa. 

I tak tahan tinggal sebumbung dengan Mahmudah tu. Perangai dia sepuluh kali lebih teruk dari Mahani. Dia selalu sangat melawan cakap I macam dia pula tuan rumah tu.” Ujar Sahiril. 

Pasal Mahmudah lagi? I tak faham kenapa keluarga Mahani suka sangat susahkan hidup you? Dulu Mahani kemudian budak tu dan sekarang Mahmudah pula. I rasakan you memang ada jodoh dengan Mahani tau.” Ujar Melisa serius walaupun kedengaran agak melucukan.

 “Kenapa you cakap macam tu? You macam suka saja I kahwin dengan Mahani tu.” ujar Sahiril bingung.

I bukan suka you kahwin dengan perempuan tu tapi I rasa pelik. Kenapa dia tak habis habis nak menghantui hidup you. Lepas seorang seorang buat kacau.” Kata Melisa. 

I sendiri pun tak tahu Lisa. Kepala I tengah buntu sekarang ni. I tak tahu nak buat apa lagi.” ujar Sahiril lemah. 

You tak boleh mengalah sayang. You kena lawan perempuan
 tu. Jangan beri dia senang senang nak memperlekehkan you.” Kata Melisa bersemangat.
 
“Habis tu you nak suruh I buat apa? pukul perempuan tu macam I buat pada Mahani?” Soal Sahiril. 

You jangan jadi gila. I tak nak you jadi kaki pukul sebab perempuan tu. I ada satu rancangan untuk kenakan perempuan tu?” ujar Melisa. 

“Cadangan? Cadangan apa?” Soal Sahiril.

 “Mari I bisik kat telinga you.” Ujar Melisa dan membisikkan satu cadangan yang baik untuk Sahiril. 

(II)
 
 
Nadia leka mencuci semua cadar dan sarung bantal di bilik dobi itu. Setelah memasukkan semua sarung bantal dan cadar ke dalam mesin basuh itu, dia meletakkan sabun dan pelembut pakaian untuk membersihkan serta melembutkan sarung bantal tersebut. 

“Nadia!” Pekik Ramli dalam nada bergurau dari arah belakang. 

“Opocot mak kau meletup.” Nadia melatah dan melihat Ramli sedang ketawa terbahak bahak mentertawakan dirinya.

“Awak ni jahat tau.” Ujar Nadia sambil memukul Ramli dengan sehelai kain. 

“Aduh, sakitlah.” Ujar Ramli dalam keadaan ketawa.

 “Awak ni suka sangat kacau saya. Janganlah buat saya macam tu. Saya tak sukalah orang mengejutkan saya macam tu.” Kata Nadia dalam nada merajuk. 

“Okey, saya minta maaf. Lain kali saya tak buat lagi. tapi awak nampak cantiklah bila marah.” Ujar Ramli untuk memujuk Nadia.
Nadia tersenyum apabila mendengar kata kata Ramli. Rajuknya sudah mula terpujuk dengan pujian yang diberikan oleh Ramli. 

“Kenapa awak datang jumpa saya ni?” Soal Nadia. 

“Kenapa? Tak boleh ke saya nak jumpa kekasih hati saya?” soal Ramli sambil bergurau. 

“Boleh... tapi awak jarang nak datang bilik dobi ni.” Jawab Nadia. 

“Saya bukan apa. saya ingat nak ajak awak makan tengah hari. Itupun kalau awak sudilah.” Kata Ramli.

“Kalau awak belanja saya sudilah tapi kalau saya kena keluar duit sendiri saya tak sudi.” Ujar Nadia berseloroh. Sebuah senyuman dileretakan di wajahnya.

 “Mestilah saya belanja. Pukul dua belas tengah nanti awak tunggu saya kat lobi.” Kata Ramli.

 “Okey. Baik bos.” Ujar Nadia lalu ketawa kecil. 

“Buat kerja elok elok. Jangan nakal nakal.” Kata Ramli sambil tersenyum. “Yalah.” Kata Nadia. Dia memandang Ramli yang keluar dari bilik dobi itu sambil tersenyum

(III)

“Kita nak makan kat mana ni Ramli?” Soal Nadia sambil memandang ke arah Ramli yang duduk disebelahnya ketika mereka dalam perjalanan untuk makan tengah hari.

 “Sebuah restoran yang istimewa untuk kita makan tengah hari pada hari ini.” Jawab  Ramli. Dia masih lagi menumpukan perhatian pada pemanduannya. Malang iru tidak berbau. Dia tidak mahu menjadi salah seorang mangsa kemalangan di Malaysia.

“Yalah, tapi kat mana? Saya tak pernah pun lalu kat kawasan ni. jangan jangan…” ujar Nadia tanpa menghabiskan ayatnya yang tergantung itu.

 “Jangan jangan apa? Awak ingat saya nak culik awak lepas tu rogol awak kemudian bunuh dan buang mayat awak dalam sungai? Awak ingat saya gila ke nak buat macam tu pada awak?” Ramli seolah olah dapat membaca pemikiran Nadia pada waktu itu.

“Bukan macam tu tapi saya perlu berhati hati. Zaman sekarang ni banyak sangat orangjahat. Orang lebih takutkan penjenayah dari takutkan hantu.” Kata Nadia. 

“Sampai hati awak samakan saya dengan penjenayah.” Kata Ramli dalam nada merajuk.

 “Alolo, janganlah merajuk. Saya tak ada niat pun nak cakap macam tu. Saya minta maaf kalau awak terasa dengan kata kata saya tadi. Awak maafkan saya tak?” Soal Nadia dalam memujuk Ramli.

“Kalau saya tak nak maafkan awak macam mana?” soal Ramli sambil mengangkat keningnya beberapa kali. 

“Janganlah macam tu. Pagi tadi awak terkejutkan saya, saya maafkan awak. Awak janganlah buat saya macam ni.” Ujar Nadia manja. 

“Saya boleh maafkan awak tapi dengan satu syarat.” Kata Ramli. 

“Apa syaratnya?” Soal Nadia teruja. Perasaan ingin tahunya semakin melonjak lonjak gara gara mahu memujuk hati Ramli.

“Saya nak awak keluar kepala awak kat tingkap tu dan jerit ‘I love you Ramli’ kuat kuat.” Ujar Ramli. 

“Apa? awak dah gila ke? Sampai hati awak nak malukan saya.” Kata Nadia. Dia begitu terkejut mendengar syarat Ramli itu. 

“Kalau awak tak nak buat saya tak nak maafkan awak.” Ujar Ramli tegas. Dia sengaja membuat muka serius tapi di dalam hati dia ketawa gembira melihat wajah Nadia yang mula cuak itu.

“Kalau itu yang awak nak saya terpaksa buat.” Kata Nadia dan terus membuka tingkap. Dia mengeluarkan kepalanya di tingkap dan mula ingin menjerit. Tiba tiba Ramli menarik tangannya sebelum dia mula menjerit. 

“Saya gurau sajalah. Tak sangka awak buat betul betul. Sekarang barulah saya percaya yang awak cintakan saya.” Ujar Ramli sambil tertawa kecil.

“Jahatlah awak ni. Saya dah malu tadi tahu tak.” Kata Nadia sambil tersenyum. Dia bahagia melihat Ramli gembira seperti itu namun dia tahu di sudut hati Ramli, lelaki itu sukar untuk melupakan Mahani.

 “Okey kita dah sampai. Jom turun.” Ujar Ramli. Dia membuka pintu keretanya untuk Nadia dan mereka berjalan beriringan di sebuah restoran yang kelihatan agak mewah.

Restoran tersebut memang agak sukar untuk dicari memandangkan restoran itu terletak di tepi hutan namun sebaik sahaja melangkah ke dalam begitu ramai pengunjung yang datang. Restoran yang menghidangkan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam itu mempunya hiasan dalaman yang cantik. Dekorasinya amat memukau pandangan Nadia.

“Mesti mahal makan kat restoran ni kan?” Soal Nadia setelah mereka duduk di sebuah meja yang kosong.

 “Tak adalah mahal sangat. Awak pun mampu makan kat sini.” Ujar Ramli. Kemudian muncul seorang pelayan untuk mengambil pesanan mereka. 

“Saya ingat hujung minggu ni saya nak jumpa ibu awak Nadia.” Ujar Ramli setelah pelayan itu pergi. 

“Buat apa awak nak jumpa ibu saya?” Soal Nadia bingung.

“Saya nak bincang pasal kita. Saya nak suruh ibu awak buat persiapan sebab tak lama lagi bapa saya nak masuk meminang awak.” Jawab Ramli. Nadia tergamam mendengar kata kata Ramli. Dia benar benar terharu.

 “Awak nak kahwin dengan saya?” Soal Nadia tidak percaya. 

“Yalah. Habis tu awak nak bawa ke mana hubungan kita ni?” Soal Ramli pula.

“Awak tak menyesal kahwin dengan saya?” Soal Nadia lagi. “Nadia, kenapa awak tanya soalan soalan macam tu? Kenapa pula saya nak menyesal sedangkan saya amat mencintai awak.” Jawab Ramli. 

“Awak tak suka ke kahwin dengan saya?” Soal Ramli setelah agak lama mereka mendiamkan diri. 

“Saya bukan tak suka tapi saya tahu dalam hati awak masih ada lagi rasa cinta pada Mahani kan?” Soal Nadia pula.

“Nadia, Mahani tu hanyalah masa lalu saya. Dia dah kahwin dengan orang lain sekarang. Awak adalah masa depan saya. Saya tak nak awak sebut lagi pasal Mahani. Saya nak awak fikirkan pasal kita.” Ujar Ramli. Nadia hanya mengangguk. Dia bukan meragui cinta Ramli padanya tapi dia berasa tidak enak jika Ramli mengahwini dirinya namun hati lelaki itu masih melekat pada Mahani.

“Awak tak perlu ragu dengan cinta saya Nadia. Saya nak awak percaya yang saya sangat mencintai awak sepenuh hati saya. Misai pendek tidak percaya, Ibarat kuda hampir mati, Kalau awak kurang percaya, Operatelah dada x ray lah hati.” Ujar Ramli sambil meniru pantun dalam filem Tiga Abdul lakonan Tan Sri P. Ramlee dan S. Kadarisman itu. Nadia tertawa mendengar Ramli berpantun.

 “Ehem! Ehem!” mereka mendengar suara orang berdehem yang sengaja dibuat buat. Mereka berdua melihat Mahmudah sedang tersenyum senyum memandang mereka. 

“Kak Mudah! Saya ingat siapa tadi. Kak Mudah pun makan kat sini juga.” Ujar Nadia yang agak kaget dengan kemunculan Mahmudah. 

“Mesranya kamu berdua ni. Kak Mudah tak makan kat sini. Kak Mudah bungkus saja. Kalau makan kat sini takut lambat pula sampai pejabat. Maklumlah pejabat Kak Mudah jauh dari sini.” Jawab Mahmudah sambil tersenyum.

“Oh begitu. Mahani macam mana Kak Mudah? Dia dah sihat?” Soal Ramli pula. 

“Mahani dah sihat tapi hari tu dia koma sebab terjatuh kat ruang menunggu. Kepala dia terhantuk pada kerusi dengan kuat.” Jawab Mahmudah tenang walaupun suaranya sedikit bergetar.

 “Apa? Mahani koma?” Soal Ramli dan Nadia hampir serentak. Mereka kurang percaya dengan kata kata Mahmudah kerana baru beberapa hari mereka bertemu Mahani.
 
“Ya dia koma. Sekarang dia berada di hospital. Kalau ada masa lawatlah dia.” Ujar Mahmudah.

 “Siapa jaga Adam sekarang?” Soal Nadia pula. 

“Akulah yang jaga Adam. Kasihan budak tu. Kecil kecil lagi sudah berpisah dengan ibunya.” Jawab Mahmudah. Nada suaranya kelihatan agak sedih. 

“Baiklah. Kalau ada masa nanti kami akan lawat Mahmudah.” Kata Ramli.

“Kak Mudah balik dulu ya. Takut lambat pula sampai pejabat.” Pinta Mahmudah. 

“Baiklah.” Jawab Ramli dan Nadia sambil memandang langkah Mahmudah meninggalkan mereka berdua di restoran itu. 

“Kasihan Mahani. Nasib dia umpama sudah jatuh ditimpa tangga.” Ujar Ramli dan Nadia mengangguk setuju.

(IV)
 
Sesudah mengambil Adam dan Irfan di rumah Maimon, Mahmudah terus pulang ke rumah Sahiril. Dia amat berterima kasih dengan Maimon kerana sudi membantu dirinya manjaga Adam dan Irfan. 

“Seronok tak duduk kat rumah Makcik Maimon?” Soal Mahmudah sambil memandang ke arah Irfan. 

“Seronok sangat. Irfan dapat ramai kawan kat sana. Makcik Maimon pun baik. Dia langsung tak marah Irfan.” Jawab Irfan lancar.

“Baguslah kalau macam tu. Makcik Maimon tu memang baik. Dia tu kawan baik mak long.” Ujar Mahmudah. Irfan yang masih kecil itu mengangguk angguk kepalanya tanda faham. Setelah memakirkan keretanya di tempat pakir kereta, Mahmudah mendukung Adam untuk naik ke penthouse milik Sahiril sambil diikuti oleh Irfan. Ketika mereka bertiga sampai di rumah, Sahiril sudah pun pulang.

Mahmudah terus memanjat tangga untuk naik ke bilik tanpa mempedulikan Sahiril yang duduk di sofa yang terletak di ruang tamu itu. 

“Malam ni kau tak payah masak. Aku dah belikan makanan untuk kau. Ada tetamu yang nak datang malam ni.” Ujar Sahiril tanpa memandang ke arah Mahmudah. Matanya memandang ke arah peti televisyen yang berada di hadapannya.

Mahmudah hanya mengangguk. Dia culas mahu bertanya siapakah tetamu yang ingin datang ke rumah tersebut kepada Sahiril. Setelah menidurkan Adam, Mahmudah terus membersihkan dirinya memandangkan Irfan sudah pun mandi di rumah Maimon. Memandangkan dia telah menunaikan solat Asar di pejabatnya, lalu dia terus turun ke dapur bersama Irfan.

Mahmudah melihat meja makan tersebut berubah wajah. Terdapat dua batang lilin di atas meja itu. Ada dua buah pinggan, dua batang sudu, dua batang garpu dan dua batang pisau diletakkan di atas meja itu secara berhadapan. Di atas meja itu juga terdapat hidangan yang enak enak. Suasana itu tidak ubah seperti candle light dinner yang biasa ditonton oleh Mahmudah di filem filem Barat. Tiba tiba dia terdengar loceng pintu rumah itu berbunyi menandakan ada orang yang datang.
 
Dia melihat Sahiril berlari lari anak untuk membuka pintu. “Hai!” Sapa Melisa dan terus mencium pipi Sahiril. 

“Hai, masuklah. I dah siapkan makan malam kita.” Pelawa Sahiril. Sahiril membawa Melisa ke meja makan. Mahmudah melihat tangan Sahiril tidak lepas lepas dari merangkul pinggang Melisa.

 “I tak sangka yang you ni jejaka yang romantic. Untung siapa dapat kahwin dengan you. Itupun kalau perempuan tu perempuan yang baik baik la.” Sindir Melisa sambil memandang Mahmudah dengan ekor mata.

Ucapan Melisa yang pedas itu ditambah pula dengan perlakuan Sahiril yang terang terangan berlaku curang di hadapannya telah menyemarakkan lagi api kemarahan Mahmudah. Sahiril begitu marah sehingga sanggup memukul Mahani ketika Mahani pulang bersama Ramli dan kini Sahiril pula begitu berani bermesra dengan perempuan lain ketika Mahani tiada di rumah.

“Silakan makan sayang. I beli semua ni special untuk you.” Ujar Sahiril sambil menyuapkan sedikit makanan ke dalam mulut Melisa. 

“Sedapnya, tapi mana air? You tak sediakan air ke?” Soal Melisa.

I lupa pula nak suruh orang gaji I buat air untuk you. Mahmudah, tolong buat jus epal untuk kami berdua. Jus tu ada dalam peti sejuk. Kau  tinggal bancuh saja.” Kata Sahiril sambil memandang ke arah Mahmudah.



“Baiklah tuan Sahiril.” Sindir Mahmudah. Dia terus bergerak ke dapur bersama Irfan. 

“Irfan, kamu pergi masuk bilik. Tolong tengok adik kamu. Kalau Adam menangis panggil mak long ya.” Ujar Mahmudah sambil berbisik kepada Irfan. 

“Baiklah.” Balas Irfan dan terus masuk ke bilik. Mahmudah membuka peti sejuk itu dan mendapati ada jus epal di dalamnya. Mahmudah mula membancuh jus epal tersebut di dalam sebuah jag dan menghidangkan kepada Sahiril dan Melisa. 

“Kenapa tak sejuk? I nak yang sejuk. I tak suka minum jus dalam keadaan suam macam ni.” Rengek Melisa. Dia gembira melihat wajah bengang Mahmudah. Rancangannya bersama Sahiril telah berjaya. Dia telah berjaya mencipta kemarahan di hati Mahmudah.

“Padan dengan muka kau.” Desis hati Melisa. Dia akan pastikan Mahmudah dikenakan cukup cukup pada malam ini. 

I minta maaf Lisa. You tahu sajalah orang gaji I ni bebal sikit orangnya. Lagipun dia orang kampung. Dia tak biasa minum jus.” Ujar Sahiril. 

“Mahmudah, tolong letak ais dalam jus tu. Cik Lisa tak suka minum jus epal suam. Dia suka yang sejuk.” Sambung Sahiril.

Sahiril menahan ketawa apabila melihat Melisa cuba membuli Mahmudah. Dia tidak menyangka rancangan Melisa sungguh berkesan sekali. Melisa mempunyai otak yang bergeliga. Mahmudah terus melangkah ke dapur semula. Dia dapat menghidu kejahatan yang bakal dilakukan oleh Sahiril dan Melisa ke atas dirinya. Dia tidak boleh berdiam diri. Dia perlu bertindak sebelum kedua dua makhluk itu bermaharajalela.

“Kurang ajar. Kau belum kenal lagi siapa Mahmudah binti Mahat.” Kata Mahmudah sendirian. Dia mencari idea bagaimana mahu membalas dendam terhadap Sahiril dan Melisa.

 “Siaplah kau berdua. Baru kau kena buku dengan ruas.” Ujar Mahmudah bersendirian. Dia meletakkan dua puluh sudu garam dalam jus epal tadi sebelum memasukkan ais ke dalam jag tersebut.
Dia menghidangkan minuman tersebut kepada Melisa dan Sahiril. 

“Orang gaji.” Panggil Melisa. 

“Kau nak suruh aku minum pakai apa? Kau nak aku teguk saja dalam jag ni. Ambil la gelas untuk kami. Kau ni memang kekampungan betullah.” Sambung Melisa. Sahiril ketawa terbahak bahak mendengar kata kata Melisa.

 “Baru padan dengan muka kau Mahmudah. Kau jangan ingat kau boleh main main dengan aku.” Bisik Sahiril dalam hati. 

“Orang gaji I ni memang bodoh macam adik dia juga.” Ujar Sahiril pula.

Mahmudah hanya tersenyum mendengar kata kata Melisa dan Sahiril. Dia sedikit pun tidak marah dengan mereka kerana dia sudah tidak sabar sabar mahu melihat wajah berkerut Melisa dan Sahiril sebentar sahaja lagi. Mahmudah terus ke dapur dan mengambil dua buah gelas. Mahmudah meletakkan sebuah gelas di hadapan Sahiril dan sebuah gelas lagi di hadapan Melisa.

“Sayang, I rasa lebih baik you tukar you punya orang gaji sebab orang gaji you ni bodoh sangat. Lebih baik you ambil minah Indon yang sememangnya lebih pandai dari dia. Orang gaji, tuanglah jus tu dalam gelas. Bebal sungguh.” Kata Melisa angkuh. Mahmudah benar benar geram dengan sikap Sahiril dan Melisa. Namun dia cuba bersabar. Dia menuangkan jus epal tersebut ke dalam gelas Melisa dan Sahiril.

“Terima kasih orang gaji.” Ucap Sahiril dalam nada mengejek. Ketika mereka bedua meneguk jus tersebut, wajah mereka mula berkerut dan lantas mereka menyemburkan jus tersebut keluar dari mulut mereka. 

“Kenapa air ni rasa masin?” Soal Sahiril. Kerutan di wajahnya masih tidak hilang. 

“Mesti orang gaji you letak garam dalam jus ni.” Jawab Melisa. 

“Mahmudah, kenapa kau kurang ajar sangat? Kau memang dah melampau.” Jerit Sahiril.

“Nasib baik aku letak garam dalam air tu. Kalau aku letak racun tikus macam mana? Padanlah dengan muka kamu berdua. Kamu fakir kamu boleh memperlekehkan aku sesuka hati kamu. Jangan harap!” Ujar Mahmudah dan berlalu dari situ. 

“Kurang ajar punya orang kampung.” Jerit Melisa. Sahiril hanya mampu menyumpah Mahmudah dalam hati. Rancangannya untuk mengenakan Mahmudah bersama Melisa sudah hancur berkecai.

 (V)

Datuk Hasanah turun dari keretanya setelah sampai di rumah Datin Zubaidah. Datuk Hasanah telah disambut oleh seorang wanita yang hampir sebaya dengan dirinya.

 “Apa khabar Datuk?” Soal Datin Zuraidah kepada Datuk Hasanah. 

“Baik. Datin apa khabar? Saya lihat Datin semakin muda. Apa rahsia?” Soal Datuk Hasanah pula.

 “Datuk pun apa kurangnya. Masih cantik dan muda macam dulu dulu.” Ujar Datin Zuraidah.

“Mari kita masuk.” Sambung Datin Zuraidah lagi. 

“Suami Datin apa khabar? Sudah lama saya tak berjumpa dengannya.” Soal Datuk Hasanah. 

“Suami saya baik baik saja. Rutinnya seperti biasa, pagi pagi dah keluar pergi pejabat bila hujung minggu pula pergi main golf.” Jawab Datin Zuraidah. 

“Bibik! Tolong buat air bik. Ada tetamu datang.” Laung Datin Zuraidah memanggil pembantu rumahnya.

“Arwah suami saya pun macam tu juga dulu. Sekarang Sahiril pula yang ikut jejak langkahnya. Pagi pagi dah pergi kerja bila hujung minggu saja mesti main golf.” Ujar Datuk Hasanah. 

“Sebut pasal Sahiril dia apa khabar? Sejak dia bernikah hari tu saya langsung tak dengar khabar dari dia.” Soal Datin Zuraidah pula. 

“Sahiril sihat saja cuma biasalah sekarang ni hotel kami tengah maju. Dia agak sibuk sikit menguruskan perniagaan kami.” Jawab Datuk Hasanah.

“Sahiril memang anak yang rajin. Saya suka anak muda seperti Sahiril. Tapi sayangnya saya tak dapat bermenantukan Sahiril padahal semua orang tahu Sahiril dan Melisa sudah lama bercinta.” Ujar Datin Zuraidah. 

“Saya sendiri pun sedih atas perkahwinan Sahiril tu Datin.” Kata Datuk Hasanah.

 “Kenapa Datuk cakap macam tu? Menantu Datuk ada buat masalah ke dengan Datuk?” Soal Datin Zuraidah teruja. Perasaan ingin tahunya semakin melonjak lonjak naik. 

“Saya sebenarnya tak suka dengan perempuan tu. Sahiril juga tak suka kahwin dengan dia.” Jawab Datuk Hasanah.

 “Habis tu kenapa Sahiril kahwin dengan dia?” Soal Datin Zuraidah lagi. 

“Datin ingat tak kes Sahiril kena tangkap khalwat hari tu?” Pertanyaan Datin Zuraidah dijawab dengan soalan. Datin Zuraidah mengangguk laju.

“Sebenarnya perempuan tu dah perangkap Sahiril. Dia nak sangat kahwin dengan Sahiril sampai di sanggup kena tangkap basah dengan anak saya.” Ujar Datuk Hasanah.

”Oh begitu. Kasihan Datuk.” Itu saja kata kata yang keluar dari mulut Datin Zuraidah. 

“Takkan Melisa tak ada cerita apa apa pada Datin pasal perkara ni?” Soal Datuk Hasanah. 

“Melisa tak ada pula cakap apa apa pada saya. Sejak Sahiril bernikah, dia macam tak ceria saja. Dia suka sangat mendiamkan diri dan berkurung dalam bilik.” Ujar Datin Zuraidah.

“Kasihan Melisa. Gara gara perempuan jahat tu dia tak dapat kahwin dengan Sahiril. Kalau tak, sudah lama kita berbesan.” Ujar Datuk Hasanah. 

“Habis, Datuk tak buat apa apa pada perempuan tu? Kalau saya jadi Datuk dah lama saya kerjakan perempuan tu.” Hasut Datin Zuraidah. 

“Saya dan Sahiril buat satu rancangan untuk ajar perempuan tu. Sekarang perempuan tu tengah koma kat hospital sebab terjatuh.” Kata Datuk Hasanah.

“Padan dengan muka dia. Itu semua balasan dari tuhan di atas semua perbuatan dia pada keluarga Datuk.” Ujar Datin Zuraidah geram. 

“Tapi Datin cuba la cakap dengan Melisa supaya bersabar. Kalau ada jodoh dia pasti akan kahwin dengan Sahiril. Lagipun tak lama lagi Sahiril akan menceraikannya.” Kata Datuk Hasanah. Setelah minuman sampai, mereka berdua minum bersama.

(VI) 

Sudah tiga hari Sahiril tidak pulang ke rumah kerana dia ke Pulau Pangkor untuk memantau perjalanan pembinaan hotel terbarunya di pulau peranginan itu. Pada hujung minggu itu baru dia dapat pulang ke rumah. Dia yakin pelaburan yang dia buat pada pulau itu mampu meraih keuntungan berlipat kali ganda. Setibanya di rumah, Irfan telah menyambutnya di muka pintu. 

“Papa dah balik?” Soal Irfan. Sahiril agak terkejut mendengar panggilan ‘papa’ pada dirinya. Belum pernah ada lagi kanak kanak sebaya Irfan memanggilnya dengan gelaran tersebut. 

“Apa mimpi budak ni panggil aku papa?” Soal Sahiril dalam hati. 

“Irfan, tolong tengok adik tu.” Laung Mahmudah dari arah balkoni. Sahiril melihat di seluruh rumah tersebut. Kelihatan rumah itu seperti biasa seperti yang dilihatnya sebelum ini. Tiada apa yang berubah dan tiada apa yang hilang.

Dia melihat Adam yang masih kecil sedang terbaring di atas lantai dengan beralaskan sebuah tilam. Irfan pula sedang bermain main dengan Adam. Dia melihat wajah comel Adam yang saling tidak tumpah seperti wajahnya ketika masih kecil dahulu. Serta merta perasaan ingin mencium pipi munggil Adam melonjak naik. Naluri kebapaannya muncul dengan tiba tiba.

Dia merapatkan hidungnya ke pipi Adam. Sungguh wangi bau Adam. Adam sekadar membiarkan saja bapanya membelai dan mencium dirinya. Kemudian dia bergerak ke balkoni. Dia melihat Mahmudah sedang menjemur pakaian. 

“Kebetulan.” Ujar Sahiril tiba tiba. Mahmudah kelihatan agak terperanjat mendengar suara lelaki itu. 

“Bila kau balik? Aku tak dengar pun.” Ujar Mahmudah sambil meneruskan kerjanya menjemur pakaian.
 
“Aku baru sampai. Kebetulan kau baru basuh baju kan? Sekarang kau basuh baju aku tu. Esok aku nak pakai.” Perintah Sahiril. 

“Boleh tak aku basuh esok saja. Lagipun ampaian dah penuh. Tak muat nak jemur baju kau.” Pohon Mahmudah. 

“Itu bukan masalah aku. Yang aku tahu kau basuh dan keringkan baju tu sekarang juga. Aku tak nak dengar sebarang alasan dari kau.” Tegas Sahiril dan berlalu dari situ.

“Ya Allah, kenapalah ada manusia sekejam dia dalam dunia ni. Apalah agaknya Si Hasanah tu bagi dia makan sampai dia langsung tak ada hati perut.”  Rungut Mahmudah sendirian. Seusai menjemur pakaian, dia mula membasuh pakaian Sahiril yang agak banyak itu. Sahiril pula masuk ke biliknya dan merebahkan diri di atas katil. Beberapa minit kemudian dia tertidur.

(VII)

Pada pukul lima petang, Sahiril bangun dari tidurnya. Sungguh enak badannya setelah berehat memandangkan dia telah menempuh perjalanan selama lima jam dari Pulau Pangkor ke Kuala Lumpur. Tekaknya berasa amat dahaga pada waktu itu. Dia turun ke dapur minum segelas air. Dia berasa amat terkejut apabila melihat semua baju bajunya digantung pada sebuah tali yang dibuat seperti ampaian. Keadaan rumahnya terutama di bahagian ruang tamu tidak ubah seperti sebuah rumah indon!

 “Ini mesti kerja Mahmudah.” Rungut Sahiril bersendirian. 

“Mahmudah! Mahmudah!” Jerit Sahiril lantang.

 “Yang kau panggil aku sampai nak terkeluar anak tekak tu kenapa?”  Soal Mahmudah dari dalam bilik tidurnya. 

“Kau ingat rumah aku ni rumah indon ke? Kenapa kau  jemur baju baju aku dalam rumah?” Soal Sahiril marah. Riak wajahnya jelas menunjukkan dia sedang marah.

“Itu bukan masalah aku.” Kata Mahmudah bersahaja. Dia memulangkan paku buah keras pada Sahiril. 

“Apa kau cakap? Kau ingat ini rumah kau ke? Kalau rumah kau, kau boleh buat macam tu tapi ini rumah aku faham. Aku suruh kau jemur baju aku kat luar bukan dalam rumah. Kau ni memang tuli. Patutlah kau tak kahwin sampai sekarang.” Ujar Sahiril marah.

“Kalau aku tuli kau pula buta. Kau tak nampak ke ampaian kau tu dah penuh dengan baju aku dan baju budak berdua tu. Tapi kau nak juga suruh aku basuh dan jemur baju kau. Memandangkan dah tak ada tempat, aku jemurlah baju kau dalam rumah. Aku rasa rumah kau ni sesuai jadi rumah indon.” Balas Mahmudah. Dia sengaja mahu menyakiti hati lelaki itu.

“Kau ni memang melampau dan kurang ajar. Sekarang aku nak kau berambus dari rumah aku. Keluar sekarang.” Jerit Sahiril.

 “Baik. aku boleh keluar dari rumah kau tapi kau jagalah anak kau sendiri. Jangan cari aku faham.” Kata Mahmudah lalu terus naik ke bilik. Apabila dia turun semula dia membawa pakaiannya dan pakaian Irfan. 

“Kau ingat aku tak boleh jaga bayi. Aku akan buktikan pada kau yang aku boleh jaga budak tu dengan sendirinya.

“Jangan berlagak Sahiril. Kau akan tahu akibatnya nanti.” Ujar Mahmudah dan terus keluar dari rumah tersebut.

1 ulasan:

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.