Sumber : Google |
Untuk menjadi seorang penulis, kita
perlu ada rasa minat untuk menulis. Jika tidak ada minat menulis, maka sukar
untuk seseorang penulis itu menjadi seorang penulis yang baik atau menghasilkan
penulisan yang berkualiti.
Dalam proses untuk menjadi seorang
penulis (terutama penulis yang berjaya), pasti ada sesuatu yang menggerakkan
kita untuk menulis. Menjadi seorang penulis memang tidak dapat lari daripada
menjadi seorang pembaca. Menurut A. Samad Said, seorang penulis mesti membaca
sebanyak banyaknya. Penulis yang lebih banyak menulis daripada membaca adalah
penulis yang muflis!
Seperti yang telah saya sebut di atas
tadi, untuk menjadi seorang penulis, pasti ada sesuatu yang menggerakkan kita
untuk menulis. Sesuatu itu boleh jadi berbentuk orang, keadaan, persekitaran,
pemikiran dan sebagainya.
Seperti saya, oleh sebab saya banyak
membaca novel ketika saya berada di sekolah rendah dan sekolah menengah, maka
dari situ timbullah minat saya untuk menulis. Entah mengapa, dengan melihat
kulit buku (novel) yang terdapat pada rak di kedai buku atau di perpustakaan
sekolah, ia begitu mendesak saya untuk menulis. Tambahan pula, dengan melihat
ramai penulis novel boleh menjadi jutawan dengan hanya bergelar seorang
penulis, seperti J.K.Rowling misalnya, ia terus mendorong saya untuk menulis.
Dan disebabkan itulah pada usia saya lapan belas tahun, saya telah berjaya
menyiapkan naskhah manuskrip novel saya yang pertama berjudul Abdul Ghaffar,
tetapi sayang, ia hilang di tangan penerbit.
Saya menghasilkan dua jenis penulisan
yang berbeza – fiksyen dan bukan fiksyen. Fiksyen di sini bermaksud novel,
cerpen, dan puisi manakala bukan fiksyen pula adalah rencana rencana ataupun
artikel artikel seperti yang anda sedang baca ini.
Kebanyakkan daripada penulis,
penulisan mereka pasti akan dipengaruhi oleh seseorang penulis yang lain. Maksud
dipengaruhi di sini adalah seseorang penulis itu akan terikut ikut (mungkin
juga meniru) teknik, gaya, cara, bahasa, dan laras yang digunakan oleh penulis
yang mereka terpengaruh itu.
Dalam kedua dua jenis penulisan itu,
baik fiksyen ataupun bukan fiksyen, saya dipengaruhi oleh orang atau penulisan
yang berbeza. Saya tidak tahu penulis mana yang mempengaruhi penulisan fiksyen
saya tetapi setahu saya, saya terikut ikut dengan gaya penulisan Haji Subky
Latif – kolumnis dan bekas editor akhbar Harakah.
Mungkin agak janggal apabila saya
mengatakan bahawa saya terpengaruh dengan penulisan Haji Subky Latif
sementelahan beliau bukanlah seorang penulis novel atau pengarang sastera. Beliau
adalah seorang wartawan, kolumnis, dan penulis politik yang tajam. Penulisan politik
dan penulisan sastera adalah dua genre yang berbeza.
Tetapi oleh kerana saya banyak
membaca tulisan tulisan beliau di akhbar Harakah Daily, maka gaya penulisan
beliau itu telah dipengaruhi oleh saya. Bagaimana gaya beliau menulis? Cuba
baca kolum beliau di laman portal berita Harakah Daily itu.
Dalam penulisan bukan fiksyen pula,
saya kadang kadang terpengaruh denga gaya menulis Syed Hussein Al-Attas,
seorang penulis buku politik yang terkenal. Kadang kadang saya terpengaruh juga
dengan gaya penulisan Haji Subky Latif dan kadang kadang pula saya terpengaruh
dengan gaya penulisan Allahyarham Tan Sri Abdullah Ahmad. Dan entah mengapa,
buat masa sekarang ini, saya cuba dipengaruhi dengan gaya penulisan
Hishammuddin Rais!
Mungkin anda yang membaca artikel
ini, anda beranggapan bahawa saya adalah penulis yang tidak mempunyai identiti
penulisan sendiri. Saya boleh bersetuju dengan anda berkenaan dengan soal tetapi
bukan semua penulisan saya dipengaruhi dengan gaya penulisan penulis penulis
yang saya sebutkan di atas. Artikel yang sedang anda baca ini adalah gaya
penulisan saya sendiri.
Mengapa saya boleh terpengaruh dengan
gaya penulisan penulis penulis itu? Itu semua berlaku kerana gaya penulisan
mereka sedap dibaca dan saya sendiri banyak membaca penulisan penulisan mereka.
Seorang penulis yang baik mesti mempunyai
gaya penulisan sendiri. Ia adalah penting supaya kita boleh membuat kelainan
dan mencipta identiti penulisan kita sendiri tanpa dipengaruhi oleh sesiapa. Penulis
yang terpengaruh dengan gaya penulisan orang lain, mungkin boleh berjaya tetapi
ia tidak mempunyai identiti diri sendiri.
Menulis adalah sesuatu yang seronok
dilakukan jika kita minat. Tetapi penulis yang baik mesti mempunyai gaya
penulisan yang boleh mencipta identiti diri sendiri.
kesan dari byk mmbc. bagus
BalasPadamAku menulis bkn kerna nama kerna sifat kasih mcm lagu lak
BalasPadam