Rabu, 17 Ogos 2016

SERONOK MENULIS DI BLOG BERBANDING FACEBOOK

Sumber : Google

Dahulu blog adalah medium popular untuk orang ramai menulis, menyampai pandangan, melontarkan kritikan, menjalinkan persahabatan dan mendapatkan maklumat tetapi kini, peranan blog sudah mula diambil alih oleh Facebook dan Twitter. Ini kerana, Facebook dan Twitter adalah laman sosial terbaru yang mudah dikendalikan berbanding mengandalukan sebuah blog.

Oleh sebab itu, pada masa kini, penggunaan blog telah menjadi semakin mengecil sejak adanya Facebook. Ramai orang berlumba lumba membuka akaun Facebook dan Twitter sehingga para blogger pun sudah tidak lagi menulis di blog tetapi ‘ghairah’ menulis di Facebook. Bukan sahaja ramai blogger yang sudah ‘lari’ ke Facebook dan menggelar diri mereka sebagai Facebooker, penulis blog yang masih menulis di blog pun sudah mempunyai akaun Facebook sendiri.

Orang suka menggunakan Facebook kerana ia mudah untuk dikendalikan, dapat mewujudkan jaringan persahabatan yang lebih luas (berbanding blog!), dapat mencari semula rakan rakan lama, dan maklumat dapat disebarkan dengan lebih cepat. Berbanding dengan Facebook, blog tidak dapat membuat semua itu walaupun peranan blog itu sudah diambil sedikit demi sedikit oleh Facebook.
 
Meskipun Facebook dan Twitter merupakan media sosial yang terhangat pada masa kini (mungkin ada yang lebih hangat lagi tetapi saya tidak menggunakannya), namun masih ada ramai lagi penulis blog di luar sana yang menggunakan blog untuk menulis dan menyampaikan pendapat dan pemikiran mereka. Mereka lebih selesa untuk ‘berkarya’ melalui blog berbanding Facebook.

Ini mungkin disebabkan kerana mereka boleh menulis sepanjang mana yang mereka mahu di blog berbanding Facebook. Di Facebook, memang kita boleh menulis sebuah karangan dalam sesuatu post tetapi persoalannya berapa ramai yang mahu membaca tulisan kita yang panjang berjela begitu? Orang yang melayari Facebook kebanyakkan tidak suka membaca ‘karangan’. Mereka suka menonton video, melihat gambar, dan membaca tulisan yang ringkas dan padat.

Apabila kita menulis sesuatu maklumat di blog, maklumat kita itu boleh diakses melalui enjin carian Google. Facebook juga mungkin boleh diakses di enjin carian Google tetapi Google akan mengutamakan blog dahulu berbanding Facebook untuk dikeluarkan pada muka surat pertama enjin carian mereka.

Jika kita menulis di blog, kita boleh mencari semula tulisan tulisan lama kita yang berusia sepuluh tahun dahulu. Berbanding Facebook, kita mungkin boleh mencari semula tulisan tulisan lama itu tetapi ia bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

Walau bagaimanapun, menulis atau mengendalikan sebuah blog bukan perkara yang mudah. Kita perlu menulis sesuatu yang bermanfaat dan menarik serta mesti dilakukan secara konsisten (berterusan) untuk menjadikan blog anda dikenali. Bagi menjadikan blog anda sebuah blog yang terkenal, ia bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Pelbagai perkara yang perlu anda lakukan untuk mempopularkan blog anda.

Seandainya anda seorang yang tidak suka menulis, malas menulis, cepat berputus asa,  tiada matlamat dan tidak berdisiplin dalam menulis, blog bukanlah media sosial yang bagus untuk anda. Gunakan sahaja Facebook untuk menyampaikan pendapat atau melontarkan pemikiran secara ringkas dan padat kerana ia lebih sesuai dengan diri anda. 

Blog mungkin agak ketinggalan zaman bagi sesetengah orang tetapi ia masih melekat di hati ramai orang. Walaupun Facebook menjadi pilihan, tetapi blog tetap tidak boleh ditinggalkan!

  

1 ulasan:

  1. tulah lately ni blog tak meriah macam tahun tahun yang lepas..
    follow sini #195
    follow back, keep in touch okay :)

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.