Isnin, 15 Ogos 2016

PUISI PUISI YANG KABUR


Sumber : Google



Sebelum saya menulis dengan lebih mendalam artikel ini, saya sajikan kepada anda dua buah puisi A. S. Amin. Cuba renungi dua buah puisi di bawah ini : 

Dunia Kosong

Dunia kosong dan kau terpacak di simpang
merebakkan api membara menyala
mengalirkan darah menyilau di tanah
berseraklah tengkorak menyamai sampah

Tinggallah yang bisu kaku
gadis-gadis kehilangan kasih hatinya
ibu-ibu memimpikan anak-anaknya
isteri-isteri kehilangan suaminya

Kepada siapa sesalan hati
ataukah takdir dari Illahi?

Ada tangan kejam sekali
bersikap kasar menyalakan api.

Kepada Manusia

Sinar bulan
meniti di tangga
hati bimbang dan rawan
ketika musim menjelma.

Hidup pertama
bertapak awal dan akhir
senyum di kota
digoda lahir.

Langit berkaca
suara dibina
suara segala manusia.


Ada penulis yang mendakwa bahawa A. S. Amin suka menulis puisi puisi yang kabur seperti kedua dua buah puisi yang saya kutip di atas. Puisi puisi yang kabur membawa maksud pembaca yang membaca sesebuah puisi itu tidak memahami maksud puisi tersebut atau tidak mengerti apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh pengarang puisi itu.

Saya tidak tahu mengapa A. S. Amin suka menulis puisi puisi yang tidak jelas maksudnya seperti itu tetapi sudah pasti ada sebab mengapa beliau suka berbuat demikian. Seperti mana Dinsman, jika penonton tidak faham akan maksud yang mahu disampaikan melalui teaternya (seperti teater Bukan Bunuh Diri), maka Dinsman menganggap bahawa teaternya itu adalah sebuah teater yang berjaya.

Saya tidak pasti adakah A. S. Amin juga mempunyai niat yang sama seperti Dinsman tetapi kebarangkalian itu ada walaupun A. S. Amin jauh lebih berusia daripada Dinsman.

Seperti mana saya sebagai seorang pengarang puisi, saya lebih suka menulis puisi yang jelas dan terang maksudnya supaya mesej yang hendak saya sampaikan melalui puisi itu dapat difahami oleh pembaca. Saya juga sebenarnya tidak suka membaca puisi atau sajak yang saya tidak faham maksudnya kerana ia akan membuatkan saya cepat bosan.

Saya bukanlah penggemar puisi tetapi saya suka mengarang puisi. Dalam banyak genre sastera, puisi adalah genre sastera yang paling mudah untuk ditulis dan paling mudah untuk disampaikan mesejnya kepada anggota masyarakat berbanding menulis cerpen apatah lagi novel. Ini kerana, menulis puisi tidak mengambi masa yang lama sama seperti saya menulis cerpen mahupun menulis novel.

Dalam arena puisi, saya lebih suka dengan puisi puisi yang ditulis oleh Usman Awang dan A. Samad Said berbanding dengan pengarang pengarang puisi yang lain. Namun, puisi Usman Awanglah yang paling dekat dengan saya. Gaya pantun dalam puisi Usman Awang begitu memikat hati saya dan saya cuba untuk mengarang puisi seperti beliau namun tetap tidak boleh. Usman Awang memang tiada galang gantinya.  

Usman Awang memang terkenal sebagai pengarang puisi yang berjaya namun puisi puisinya jarang (setahu saya tiada) tidak difahami oleh pembacanya.

Saya yakin ada sebab yang munasabah mengapa A. S. Amin suka menulis puisi puisi yang kabur. Mungkin beliau mahu orang berfikir apabila membaca puisi puisinya. Hanya A. S. Amin sahaja yang tahu mengapa beliau mengarang puisi puisi yang kabur semacam itu. Bukan A. S. Amin sahaja yang suka mengarang puisi yang kabur, Hamzah Fansuri juga turut melakukan perkara yang sama dalam puisi puisi sufinya. 

Walau apa pun, sama ada puisi itu kabur atau tidak kabur, ia tetap sebuah puisi. Apabila ia sebuah puisi, mesejnya perlu digali untuk dihadam dan dicerap supaya pengajaran daripada mesej itu dapat diambil. Puisi juga sama seperti cerpen dan novel, ditulis untuk mendidik anggota masyarakat.   



1 ulasan:

  1. ya. kadang baca ulang - ulang masih tak faham apa sebenarnya maksud yang nak disampaikan. kalau pun faham, cuma taburan makna yang sipi - sipi. Entahkan betul entah kan tidak.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.