Ahad, 14 Ogos 2016

MENCARI DAN MENGENAL ESEI ESEI SASTERA


Sumber : Google


Apabila kita menyelam ke dalam kolam sastera, kita tidak hanya jumpa novel, cerpen, puisi, dan drama sahaja. Kolam sastera juga turut dihiasi dengan esei esei sastera. Namun, persoalan yang sering menghantui saya sehingga sekarang adalah apa itu esei esei sastera?

Saya belajar tentang sastera secara formal adalah ketika saya berada di sekolah menengah apabila Kementerian Pelajaran memperkenalkan Komponen Sastera (KOMSAS) dalam subjek Bahasa Melayu. Saya tidaklah pada waktu itu baru kenal dengan novel, cerpen, dan puisi tetapi saya mendapat pendidikan secara formal mengenai sastera adalah melalui medium itu. Tetapi, KOMSAS yang diperkenalkan oleh kerajaan itu pada pendapat saya masih lagi belum lengkap kerana para pelajar tidak diperkenalkan dengan esei esei sastera padahal esei esei sastera juga adalah salah satu aspek penting dalam dunia kesusasteraan. Pendek kata, saya mempelajari sastera semasa di sekolah menengah itu hanyalah secara tipis sahaja.

Saya mula mengenal esei esei sastera dan mendalami sastera adalah pada ketika saya sudah melangkah keluar daripada sekolah menengah. Mujur saya dibesarkan di saat internet sedang melebar luas di mana mana. Jadi, dapatlah saya mengetahui sedikit sebanyak ilmu ilmu sastera yang tidak saya temui ketika saya berada di sekolah menengah dahulu.


Sungguhpun internet ada membicarakan tentang esei esei sastera namun contoh esei esei sastera itu tidak pernah dipersembahkan kepada saya. Sehingga kini saya masih tidak tahu bagaimana bentuk esei sastera dan bagaimana untuk menulis esei sastera. Tetapi saya tahu tentang beberapa teori teori sastera (teksdealisme, persuratan baru, formalistik) dan saya juga tahu tentang tokoh tokoh yang banyak menulis esei esei sastera (Yahaya Ismail, Shahnon Ahmad, Baha Zain).  

Saya ada menemui dua buah blog yang dibangunkan oleh dua orang penulis dari dua generasi sastera yang berbeza : Mohd Affandi Hassan dan Wan Nor Azriq. Saya membaca apa yang mereka tulis dalam blog mereka tetapi saya tidak pasti (mungkin juga tidak tahu) sama ada yang ditulis di dalam blog mereka itu boleh dianggap sebagai esei sastera atau bukan.

Selain saya tidak mengenal esei sastera, saya juga tidak berapa kenal dengan kritikan sastera. Saya ada membuat beberapa ulasan di dalam blog ini mengenai novel novel yang saya pernah baca tetapi saya tidak pasti, adakah ulasan saya itu boleh dianggap sebagai kritikan sastera atau bukan.

Mengapa saya begitu tekal sekali mahu tahu tentang esei esei sastera ini? Saya adalah peminat sastera dan sudah pasti saya mahu mengetahui dan mendalaminya. Saya pernah bercita cita untuk menyambung pengajian ijazah saya dalam bidang kesusasteraan tetapi rezeki saya tidak sampai ke situ. Saya menyambung pengajian saya dalam bidang bahasa di universiti sekarang. Bahasa dan sastera sebenarnya adalah dua perkara yang berbeza walaupun kedua duanya tidaklah terlalu dekat dan tidak juga terlalu jauh.

Mengapa saya menulis artikel ini? Saya sendiri tidak tahu. Mungkin saya mahu mencari orang yang boleh menemukan saya dengan esei dan kritikan sastera. Dan saya juga tertanya tanya, adakah artikel yang sedang anda baca ini boleh dianggap sebagai esei sastera?      

2 ulasan:

  1. Cuba saudara selongkar buku-buku himpunan esei yang terdiri daripada pelbagai isu termasuk dalamnya esei soal kritikan sastera di perspustakaan. Terbitan DBP dan lain-lain. Sebagai contoh koleksi A.Samad Said (lupa tajuk bukunya) pun ada khusus koleksi esei beliau saat beliau menjadi wartawan utusan dulu. Antara yang banyak menulis esei dan kritikan sastera adalah Mana sikana. Boleh cari di perpustakaan besar. - Hafiz

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.