Isnin, 22 Ogos 2016

ORANG TUDUH SAYA PEJUANG BAHASA!

sumber : Google

Blog saya bernama Saya Pejuang Bahasa. Mengapa saya pilih nama blog seperti itu, saya sendiri tidak tahu. Apa yang saya tahu, ketika saya mula mula menulis blog dahulu, nama blog inilah yang mula mula singgah dalam kotak fikiran saya.

Oleh sebab nama blog saya Saya Pejuang Bahasa, dan saya mengambil pula kursus bahasa Melayu di universiti, maka ramai beranggapan sehingga ada yang membuat tuduhan yang saya ini seorang pejuang bahasa.

Saya tidak terlalu mengambil cakna pada mulanya akan label yang dilemparkan kepada saya itu kerana saya menganggap label itu tidak lebih sebagai satu gurauan semata mata. Tetapi apabila label yang saya anggap gurauan itu menjadi terlalu ekstrim, sehingga saya boleh klasifikasikannya sebagai satu tuduhan, saya mula terfikir semula akan label yang dilempar kepada saya itu.  
 
Segala label yang saya anggap sebagai tuduhan itu bermula apabila orang menganggap saya pandai semua dalam bidang bahasa. Tidak cukup dengan itu, mereka menyerahkan segala perkara tentang bahasa (dalam bentuk tugasan berkumpulan) kepada saya. Dan apabila saya mahu mengambil kursus minor saya dalam bidang perniagaan untuk keperluan ijazah sarjana muda saya, dan bukannya dalam bidang bahasa, seorang rakan telah mengkritik saya secara berdepan di khalayak umum.

Ingin saya tegaskan di sini bahawa saya bukan pejuang bahasa. Saya mungkin minat dan cintakan bahasa – bahasa Melayu – tetapi saya bukan pejuang bahasa. Pejuang bahasa yang tulen adalah seperti A. Samad Said. Cuba renungi susuk ini – inilah pejuang bahasa yang paling tulen sebenarnya. Mengapa saya kata beliau tulen, cuba perhatikan kehidupan beliau dengan sastera dan bahasa.

Saya sama sekali tidak pernah menganggap diri saya sebagai pejuang bahasa kerana gelaran itu terlalu besar bagi saya. Sebagai orang Melayu, yang sudah pasti cintakan bahasa Melayu, saya cuba ingin memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia yang cuba dibakulsampahkan oleh sesetengah orang. Ini bukan tanggungjawab saya seorang sahaja tetapi tanggungjawab semua orang yang bergelar Melayu di Malaysia (itu pun jika mereka masih anggap diri mereka Melayu!).

Jika benarlah saya pejuang bahasa, adakah saya mesti pandai semua perkara dalam bahasa? Sudah tentulah tidak kerana saya hanya manusia biasa dan tidak memiliki PhD pula. Jika mahu kata saya pakar dalam bahasa, tunggulah jika saya punya PhD dalam bidang bahasa dahulu.

Dan jika benarlah saya pejuang bahasa, adakah menjadi satu dosa untuk saya mengambil kursus perniagaan dan bukan kursus bahasa untuk keperluan subjek minor saya?

Saya mengambil subjek perniagaan untuk kursus minor saya adalah kerana ia memudahkan saya. Untuk apa saya harus menyusahkan diri saya? Tidak ada seorang manusia pun yang mahu susah dalam dunia ini kecuali manusa yang gila!

A Samad Said tidak pernah belajar tentang ilmu bahasa di universiti (kerana beliau tidak sempat masuk universiti) dan kegiatan beliau pun bukannya dalam bidang bahasa sebaliknya dalam bidang sastera dan kewartawanan. Tetapi beliau boleh jadi seorang pejuang bahasa. Jadi salahkah saya yang mengambil kursus perniagaan untuk subjek minor bagi keperluan ijazah sarjana muda saya dalam menjadi seorang pejuang bahasa?

Usman Awang juga tidak bersekolah tinggi tetapi beliau adalah seorang sasterawan, wartawan, editor, dan pejuang bahasa yang terkenal. Tidak percaya? Baca sajak beliau berjudul Keranda 152. Anda akan nampak, orang yang tidak belajar bahasa seperti beliau pun boleh jadi pejuang bahasa.

Dengan dua contoh seperti yang telah saya berikan di atas, maka tidak salahlah jika orang mahu menggelar saya pejuang bahasa (itu yang orang gelar kepada saya dan bukan atas permintaan saya). Pejuang bahasa tidak semestinya belajar tentang semua perkara tentang ilmu bahasa, tetapi mesti mempunyai rasa cinta dalam jiwa terhadap bahasa dan sanggup pula mempertahankan bahasa daripada diganggu gugat oleh sesiapa. Itulah ciri penting untuk menjadi pejuang bahasa.

Saya tidak suka orang menganggap (mungkin juga menuduh) saya sebagai pejuang bahasa tetapi jika ia mahu diberikan juga, ia boleh jadi satu penghormatan buat diri saya. Tetapi jangan sesekali menganggap saya tahu semua tentang ilmu bahasa dan jangan halang saya untuk buat apa yang saya suka waima ia tidak ada kena mengena dengan bahasa. 


4 ulasan:

  1. Yang penting, memartabatkan bahasa kita adalah tanggungjawab kita semua tak kira kita pejuang bahasa atau tidak.

    BalasPadam
  2. bagus sekurang kurangnya kita ada pelapis untuk memperjuang bahasa kita

    BalasPadam
  3. "Pejuang bahasa tidak semestinya belajar tentang semua perkara tentang ilmu bahasa, tetapi mesti mempunyai rasa cinta dalam jiwa terhadap bahasa dan sanggup pula mempertahankan bahasa daripada diganggu gugat oleh sesiapa. Itulah ciri penting untuk menjadi pejuang bahasa."

    Pejuang bahasa bukanlah yang perlu mengaut semua tentang ilmu bahasa. Tapi cukuplah sekadar menjadi benteng pertahanan atau yang paling lantang bersuara kala bahasa digugat jatuh.

    BalasPadam
  4. cukuplah bila dikira kita sbg sayangkan bahasa. bahasa ibunda.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.