Rabu, 10 Ogos 2016

NOVEL : MELUNAS DENDAM BAB 27



 

           Jarum jam sudah menunjukkan pada pukul 12 tengah malam. Hamad masih lagi berpusing pusing di sekitar kawasan rumah pangsanya untuk mencari tempat pakir kereta namun tiada. Semua tempat pakir kereta sudah penuh. Satu keluhan dilepaskan. Inilah sebabnya mengapa dia tidak mahu pulang lebih lewat dari pukul sebelas malam. Pakir kereta pasti sudah penuh sehingga dia terpaksa memakirkan teksinya jauh daripada rumah. Namun, oleh kerana untuk mencari wang bagi menyara keluarganya, dia perlu tabah untuk menghadapi semua dugaan itu.

          Dia lambat pulang hari ini kerana dia menghantar seorang pelancong dari Amerika Syarikat ke Cameron Highland. Walaupun badannya letih dan pakir kereta berdekatan dengan rumah tidak ada pada malam itu, tetapi banyak juga wang yang dia dapat hasil tambang dan tip daripada pelancong itu. Senyum lebar dia tatkala menerima ‘rezeki’ daripada pelancong lelaki itu. Jarang sekali dia dapat menikmati limpahan rezeki yang banyak semacam itu.

          Setelah berpusing hampir lima belas minit, akhirnya dia menemui sebuah petak kosong untuk memakirkan teksi merahnya. Bolehlah. Dari takde. Bisik hati kecilnya. Walaupun petak pakir itu agak jauh dari rumahnya, namun itu sahaja yang ada. Jadi, suka atau tidak, dia perlu pakir juga teksinya di tempat itu. Tidak mahu dia memakir teksinya di tepi jalan. Takut disagat pula oleh kereta yang lalu lalang.


          Setelah memastikan teksinya berkunci, Hamad berjalan perlahan lahan sambil bersiulan di sebuah lorong sunyi untuk ke rumahnya. Lorong itu memang sunyi. Kalau orang tiada keberanian, pasti akan kecut perut untuk lalu lorong yang sunyi dan sedikit gelap itu. Banyak juga cerita cerita seram yang dia dengar daripada mulut jiran jiran mengenai lorong itu namun sebagai manusia yang Tuhan kurniakan sedikit perasaan berani, dia persetankan semua itu. Baginya semua itu adalah cerita yang karut marut.

          Sedang dia berjalan jalan itu, tiba tiba dia ternampak sekumpulan manusia terdiri daripada sembilan orang lelaki sedang berdiri di hujung lorong itu. Hatinya mula berasa tidak sedap. Dia tidak tahu lelaki yang berdiri di hujung lorong itu sama ada manusia atau hantu. Dia tidak dapat melihat wajah mereka kerana kawasan lorong itu yang tidak banyak disimbah cahaya. Namun, sebagai lelaki, dia berjalan juga menghampiri kumpulan lelaki itu.

          Semakin lama dia menghampiri kumpulan lelaki itu, semakin jelas wajah mereka. Dia berasa lega kerana dia melihat wajah manusia pada kumpulan lelaki itu. Bukanlah wajah mengerikan atau wajah hantu pada diri mereka. Namun, dia sedikit kaget apabila melihat wajah Hussein berada dalam kumpulan lelaki yang besar dan tinggi itu.

          “Eh, Bang Hussein, buat apa kat sini ramai ramai?” Tegur Hamad. Dia berasa sedikit curiga dengan kehadiran Hussein dan kumpulan lelaki itu. Dia berhenti dan berdiri di hadapan kumpulan lelaki itu.

          “Aku datang ni nak tuntut hutang. Bila kau nak bayar hutang kau? Dah lama sangat kau tak bayar hutang ni.” Soal Hussein dengan wajah yang serius. Hamad meneguk liur pahitnya. Ya, entah mengapa air liur yang baru ditelannya beberapa saat tadi berasa pahit benar. Biasa tidak begitu. 

          “Allah bang! Saya takde duit la sekarang. Kalau saya ada duit saya bayar la.” Ujar Hamad dengan perasaan yang sedikit takut. Jantungnya berdegup kencang. Dia dapat merasakan ada perkara yang tidak baik yang akan berlaku kepada dirinya tidak berapa lama lagi.

          “Korang pegang dia.” Arah Hussein kepada lapan orang lelaki yang berada di sekelilingnya itu. Abang abang ‘sado’ itu terus menunju ke arah Hamad dan memegang tangan Hamad dengan kasar. Hamad sudah mula ketakutan dan cuba meronta ronta untuk melepaskan diri namun tidak berjaya. Dia dibawa bersandar ke sebuah tembok bangunan yang ada di lorong gelap itu.

          “Hamad...Hamad...kau tak payahlah nak temberang aku. Baru petang tadi kau cakap kat aku yang kau dapat customer dari Amerika Syarikat yang kau nak hantar pergi Cameron Highland. Kau dah lupa?” Hussein tersenyum sinis memandang Hamad. Hamad sudah benar benar terperangkap kali ini. Dia tidak dapat lagi melepaskan diri kali ini.

          “Tolonglah lepaskan saya bang. Saya janji kalau saya ada duit saya akan bayar. Duit yang saya dapat ni saya nak buat belanja rumah lepas tu saya nak bayar hutang hutang saya yang lain. Tolonglah bang. Kesiankan saya.” Hamad merayu. Dia sangat berharap agar rayuannya itu dapat melembutkan hati milik Hussein yang berlagak seperti kepala gangster itu.   

          “Senangnya kau cakap. Dah lama sangat dah tempoh yang aku bagi kat kau untuk bayar hutang aku. Tapi kau tak bayar pun. Kau sibuk belanja budak perempuan bernama Maya tu sana sini, tapi hutang aku kau tak nak bayar. Kau ingat aku tak tahu?” Hamad menelan liur pahitnya sebaik sahaja mendengar kata kata Hussein itu. Sah, rahsianya bersama Maya sudah pecah. Rahsia yang selama ini dia simpan rapat telah mula pecah.

          “Kau ni melampau kan? Kau tipu aku, kau tipu bini kau, kau tipu kawan kawan kau sebab nak dapatkan tubuh budak perempuan tu kan? Kau beli macam macam yang dia minta lepas tu kau rosakkan budak tu kat hotel murah. Kau ingat aku tak tahu apa yang kau buat? Kau nak ke aku bagitahu semua orang pasal kegiatan jahat kau selama ini?” Hamad semakin kecut dengan ugutan Hussein itu. Hussein yang selama ini kelihatan baik walaupun berwajah garang betul betul menggerunkan pada malam itu.

          “Kau memang licik Hamad. Kau pinjam sana kau pinjam sini, pastu kau cakap teksi kau rosaklah, duit kau takdelah, rumah kau takde barang dapurlah, rupa rupanya kau joli sakan dengan budak nama Maya tu. Kau ni manusia paling bangsat yang aku pernah jumpa dalam dunia ni kau tahu?!” Satu penumbuk yang paling padu daripada Hussein  singgah ke perut Hamad sehingga Hamad terbatuk batuk kesenakan.  

          “Bagi sini dompet mangkuk ni!” Arah Pak Bakar kepada orang orangnya. Lelaki lelaki ‘sado’ dan sasa tadi terus menyeluk poket seluar Hamad untuk mencari dompet miliknya. Setelah jumpa, mereka menyerahkan kepada Hussein. Hussein pula terus mengambil kesemua duit yang ada dalam dompet itu. Hamad hanya memandang sahaja tanpa mampu dapat berbuat apa apa.

          “Lain kali, kalau tak mampu bayar, jangan pinjam tahu.” Kata Hussein sambil membaling dompet tersebut ke muka Hamad. 

          “Kalau dah pinjam duit orang, bayarlah! Bukan menipu bodoh!” Kata Hussein dengan suara yang kuat. “Hentak dia!” Mendengar sahaja arahan daripada Pak Bakar itu, kelapan lapan lelaki ‘sado’ dan sasa itu terus membelasah Hamad setengah mati. Mereka menumbuk dan menyepak ke seluruh tubuh Hamad termasuk mukanya sekali. Segala lebam dan darah muncul secara tiba tiba akibat menerima pukulan pukulan yang padu dan mantap itu.  

          “Sudah tu! Kita tinggalkan dia. Pukul lagi kang mampus pula budak ni. Kau ingat Hamad. Kau jangan cakap dengan sesiapa atau lapor pada polis pasal benda ni. Kalau tak, segala tembelang busuk kau akan pecah. Faham?! Puihh!” Hussein meludah ke muka Hamad yang sedang lemah dan tidak bermaya itu. Kemudian mereka meninggalkan Hamad bersendirian di kawasan lorong gelap itu.  


          Farah agak terkejut dan sedikit panik melihat keadaan suaminya, Hamad pulang ke rumah dalam keadaan lebam dan berdarah darah itu. Baju Hamad juga kelihatan kotor dan sedikit terkoyak. Hamad betul betul berada dalam keadaan lemah ketika dia sampai ke rumah. Mujur sahaja ada jiran tetangga yang menjumpai Hamad di lorong sunyi yang terletak sedikit jauh di kawasan rumah pangsa itu.  Mereka memapah Hamad untuk dibawa pulang ke rumah. Jika tidak ada mereka, entah berapa lama lagi Hamad harus terbaring di lorong gelap itu.

          “Abang, siapa yang buat abang jadi macam ni? Siapa yang pukul abang ni? Kenapa diaorang pukul abang?” Soal Farah bertalu talu. Dia betul betul tertanya-tanya setelah melihat keadaan Hamad sebegitu. Dia yakin Hamad bukannya terlibat dalam kemalangan sebaliknya dipukul oleh sekumpulan orang tetapi dia tidak tahu mengapa orang itu tega memukul suaminya sebegitu rupa.

          Hamad yang sekadar tersandar di sofa itu hanya diam sahaja menahan kesakitan. Dia malas mahu menjawab soalan Farah kerana mulutnya berasa sakit setelah dihentam beberapa kali oleh lelaki lelaki ‘sado’ yang memukulnya tadi. Tangan kanannya asyik memegang sahaja mulutnya yang sedang sakit itu.

          “Okay bang. Abang rehat kejap. Saya ambil air panas. Saya nak tuam mulut abang tu.” Kata Farah sambil berlalu ke dapur. Iman yang sedang terpinga-pinga dan serba tidak tahu apa apa itu sekadar memandang sahaja ayahnya tersandar di sofa di ruang tamu rumah itu. 

          Tiba tiba, Hamad dan Farah dikejutkan dengan satu ketukan yang sangat kuat di muka pintu. Farah yang sedang menjerang air itu segera menuju ke muka pintu rumah untuk melihat siapakah gerangan yang datang malam malam sebegitu. Amat jarang sekali ada orang yang datang ke rumah mereka pada waktu malam kecuali jika ada urusan urusan yang penting.

          Sebaik sahaja Farah membuka pintu, kelihatan tiga orang lelaki yang sederhana besar dan seorang budak perempuan yang berusia dalam lingkungan awal 20an sedang berdiri di muka pintu rumah tersebut. Farah agak pelik melihat kehadiran mereka. Tambah pelik melihat wajah budak perempuan itu yang seolah olah baru lepas habis menangis.

          “Ya? Kamu semua cari siapa?” Farah bertanya. 

          “Betul ke ni rumah Hamad?” Soal lelaki yang berdiri berhampiran dengan pintu rumah tersebut.

          “Ya betul tu tapi dia kurang sihat sikit hari ni. Kenapa ye Encik nak jumpa dia?”

          “Boleh tak saya nak jumpa dia sekejap. Ada hal mustahak saya nak cakap dengan dia.” Ujar lelaki itu dengan serius. Wajah bengis dan suara garaunya juga begitu menggerunkan Farah yang sedang berbicara dengannya.

          “Tapi dia kurang sihat.” Farah membalas.

          “Tapi saya betul betul nak jumpa dia. Ada perkara yang dia kena selesaikan malam ni juga!” Lelaki itu bertegas. Farah sudah kecut perut melihat ketegasan lelaki itu.

          “Kejap ye. Saya panggil dia kejap.” Farah segera berlalu ke dalam rumah untuk memberitahu kepada Hamad tentang kedatangan lelaki lelaki tersebut. Walaupun masih lemah, Hamad tetap bangun juga untuk bertemu dengan lelaki lelaki itu. Sebaik sahaja sampai ke muka pintu rumah, alangkah terkejutnya Hamad apabila melihat Maya ada di situ. Jelas terpapar riak sedih di wajah gadis cantik dan comel itu.

          “Ye encik ada apa cari saya?” Soal Hamad yang sedikit kaget. Mulutnya sakit ketika dia bercakap.

          “Awak ke orang yang bernama Hamad tu?” Soal lelaki tadi.

          “Ya saya. Kenapa ye?”

          “Awak kenal dengan budak perempuan ni?” Soal lelaki itu. Hamad memandang Maya yang berada di tengah tengah tiga lelaki itu. Perasaan serba salah, risau, dan takut mula bercampur baur dalam hatinya. Dia sedikit teragak agak waktu itu. Dia sendiri tidak tahu sama ada mahu menjawab ya atau tidak. 

          “Err...tak kenal.” Hamad menggeleng laju. Dia sudah mula berasa panik. Peluh dingin memancut mancut keluar dari tubuhnya. Dia dapat merasakan ada suatu perkara yang tidak baik akan berlaku malam ini. Di rumahnya.

          “Betul awak tak kenal dia” Soal lelaki itu lagi sambil memincingkan pandangannya ke arah Hamad. Jelas dia tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Hamad tadi.

          “B...B...Betul.” Jawab Hamad pendek tetapi dalam keadaan bersungguh sungguh walaupun sedikit terketar ketar untuk menunjukkan dia tidak takut. Dia menjeling Farah yang berada di sebelahnya. Farah juga jelas kelihatan takut namun cuba berlagak tenang. Walau bagaimanapun, di wajahnya penuh dengan riak persoalan dan rasa curiga.

          “Kalau saya boleh tunjuk bukti yang awak kenal budak ni dan ada hubungan istimewa dengan dia macam mana?” Soal lelaki itu dengan wajah serius. Entah berapa kali Hamad meneguk liur pahitnya. Dia benar benar takut dan gerun kali ini. Hatinya berdebar debar. Jantungnya mengepam darah dengan sangat laju.

          “Err...” Hamad kehilangan kata kata. Matanya memandang Maya yang kelihatan sangat sedih bercampur takut itu. Pandangannya matanya sekejap ke arah Maya dan sekejap ke arah lelaki itu.

          “Baik awak cakap betul betul Hamad, awak kenal atau tak budak perempuan ni?!” Lelaki itu sudah mula meninggikan suara namun cuba dikawalnya agar tidak mengganggu jiran yang ada di sekeliling Hamad.

          “Ya ya. Saya kenal budak perempuan ni. Dia pelanggan saya.” Hamad mengakui. Entah berapa kali dia meneguk liur pahitnya kali ini. Perasaan takut, gerun, seram, dan segala macam lagi sudah diadun sempurna dalam sanubarinya saat itu.

          “Maya, betul ke lelaki ni yang dah mengandungkan kau?” Soal lelaki tadi sambil memandang wajah Maya.

          “Ya betul bang.” Maya mengangguk. Menyirap darah Hamad ke muka. Kelu lidahnya saat itu. Maya mengandung? Tak mungkin! Bisik hati kecilnya. Dia benar benar tidak percaya dan tidak dapat menerima hakikat akan segala yang didengarnya dari mulut Maya itu. Sejak bila pula budak ni mengandung? Aduhhh. Matilah aku...  Bisik hati kecilnya lagi.

          “Abang...” Nada Farah kelihatan sayu. Matanya sudah mula berkaca. Dia memandang wajah Hamad untuk meminta penjelasan dan Hamad sekadar boleh memandang sahaja wajah Farah dengan penuh rasa bersalah.

          “Oh...jadi kau la yang telah mengandungkan adik aku lepas tu kau buat buat tak kenal pula. Bangsat punya jantan!” Jerit lelaki itu dan seraya satu penendang paling padu singgah ke perut Hamad hingga menyebabkan Hamad tersungkur ke belakang.

          “Abang...” Jerit Maya dan Farah serentak. Mereka berdua sedaya upaya untuk menghalang ketiga tiga lelaki itu dari mara kepada Hamad tetapi tidak berdaya kerana tubuh mereka sangat kecil jika hendak dibandingkan dengan tubuh ketiga tiga lelaki itu.

          Lelaki lelaki tersebut tanpa banyak soal terus membelasah Hamad hingga separuh mati. Hamad yang sememangnya lemah, keletihan, dan kesakitan akibat dibelasah teruk tadi hanya pasrah sahaja tatkala segala penendang dan penumbuk lelaki lelaki itu singgah ke badannya. Farah dan Maya yang sedang meraung raung itu cuba untuk membantu tetapi mereka benar benar tidak mampu.

          “Sudahlah tu bang. Sudahlah tu.” Maya merayu kepada lelaki lelaki itu yang mungkin abang abangnya. Setelah puas membelasah Hamad, mereka pun berhenti. Salah seorang daripada mereka segera menarik Maya keluar dari rumah tersebut secara paksaan.

          “Kau dengar sini jantan tak guna. Aku akan report polis cakap kau dah rogol adik aku. Biar kau meringkuk dalam penjara. Puihh!” Ludah lelaki tersebut ke muka Hamad. Kemudian mereka berlalu pergi meninggalkan Hamad yang sudah separuh nyawa itu. Farah yang sedang meraung sejak tadi sambil memeluk Iman yang juga sedang meraung segera mendapatkan Hamad yang sedang terbaring kaku di ruang tamu rumah tersebut.  

          “Abang bangun bang. Abang bangun...” Panggil Farah sambil cuba menyedarkan Hamad namun tiada sebarang reaksi daripada lelaki itu. Tanpa melengahkan masa lagi, Farah segera memanggil ambulans untuk membawa Hamad ke hospital. Dan dia berdoa semoga Hamad baik baik sahaja.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.