Hujan turun dengan sangat lebat pada malam itu. Bunyi bunyi hujan yang jatuh ke bumi dan menimpa atap rumah begitu kuat kedengaran di luar rumah. Sesekali diselangi dengan bunyi dentuman guruh dan petir. Jam sudah menunjukkan ke angka dua belas tengah malam. Suasana pada malam itu sungguh suram, sesuram hati Norin yang tidur keseorangan di bilik tidur utama rumah agam itu.
Norin memandang ruang kosong di
sebelahnya. Biasanya dia melihat tubuh Shuib sentiasa terbaring di situ. Tetapi
malam itu dan malam malam seterusnya, dia tidak akan dapat lagi melihat susuk
tubuh itu. Tubuh yang sentiasa melindungi dirinya. Tubuh yang tidak pernah
berhenti menyayangi dirinya walaupun dia seorang wanita yang keras kepala.
Tubuh yang sentiasa membelai dan memujuk dirinya jika dia berada dalam keadaan
sedih atau gelisah. Pokok pangkalnya, tubuh itu adalah tubuh yang sangat
penting dalam hidupnya.
Kini, tubuh itu sudah tiada lagi.
Tubuh milik Shuib itu sudah pergi selama-lamanya tanpa meninggalkan sebarang
berita ataupun kata kata akhir buat dirinya. Hanya wasiat pewarisan harta,
syarikat, dan saham sahaja melalui seorang peguam yang menjadi kata kata
terakhir arwah Shuib buat dirinya. Selain itu, dia tidak mendengar apa apa dari
mulut lelaki itu walaupun ucapan dua kalimah syahadah.
Sesuangguhnya dia sangat menyayangi
suaminya itu. Walaupun dia sering melawan atau membantah kata kata lelaki itu,
tetapi dia tidak boleh menafikan bahawa dia sangat mencintai lelaki itu. Lelaki
itu sungguh sempurna buat dirinya. Lelaki itu bukan sahaja kacak, malah kaya,
bergaya, beriman, kuat berusaha dan bijak pula. Pendek kata, Shuib adalah
lelaki yang sempurna buat dirinya cuma dirinya sahaja yang tidak pernah
mensyukuri segala nikmat yang Tuhan berikan. Sebelum sebelum ini, dia seolah
olah tidak mahu menghargai lelaki yang bergelar suaminya itu. Segala nasihat
lelaki itu dia persetankan. Segala teguran lelaki itu tidak dia hiraukan. Dia
ego kerana dia berasa dia bijak. Tetapi, setelah lelaki itu sudah tiada,
barulah dia berasa kehilangan. Kematian lelaki itu telah menyebabkan separuh
jiwanya mati. Mati bersama jasad lelaki itu.
Tiba tiba petir berbunyi dengan sangat
kuat. Norin terkejut. Segera dia bangkit dari pembaringannya. Dia melihat di
sekeliling bilik tidur yang luas itu. Bilik itu hanya diterangi dengan lampu
tidur berwarna kuning yang diletakkan di atas sebuah meja kecil di tepi
katilnya. Bilik itu kosong. Sekosong jiwanya. Dan bilik itu terus kosong kerana
seri bilik itu sudah pergi. Pergi bersama jasad Shuib yang telah dikebumikan
siang tadi.
Matanya secara tiba tiba tertancap
pada gambar Shuib dan gambarnya bersama Khairil yang terletak di sebuah almari
kecil di tepi katilnya.. Gambar itu diambil beberapa tahun yang lalu ketika
mereka melancong ke Pulau Langkawi tidak berapa lama dahulu. Segera dia ambil
gambar itu lalu diusapkan jarinya pada gambar Shuib. Sungguh dia rindu pada
Shuib saat itu. Dia terlalu rindu untuk menatap wajah lelaki itu. Dia terlalu
rindu untuk mendengar suara lelaki itu dan dia terlalu rindu untuk merasa
belaian hangat lelaki itu. Sungguh dia rindu semua itu tetapi ia hanya tinggal
rindu. Dia tidak akan dapat semula semua itu kerana semua itu telah mati. Mati
bersama jasad milik Shuib.
Dia menekup gambar itu ke wajahnya.
Air matanya tumpah lagi entah kali ke berapa. Dia berasa kehilangan yang amat
sangat. Sakit kehilangan itu sungguh perit malah lebih perit sehingga menusuk
ke lubuk hatinya yang paling dalam. Rasa sakit itu umpama sembilu yang mencucuk
hatinya yang sedang rawan itu.
Tiba tiba dia teringat akan pesanan
pesanan yang acapkali arwah Shuib titipkan buat dirinya. Pesanan supaya dia
berbaik dengan orang tuanya sebelum terlambat. Itulah pesanan, nasihat, dan
peringatan yang arwah Shuib sering beri kepada dirinya. Sampai satu ketika, dia
berasa bosan dengan segala pesanan itu. Baginya, itu adalah pesanan yang remeh
dan membosankan.
Namun, setelah dia teliti
segala-galanya pada malam itu, baru dia sedar bahawa pesanan itu adalah satu
pesanan yang sangat bermakna dan bererti. Pesanan itu sering kali dia
persetankan seperti mana yang sering dia lakukan pada pesanan atau teguran
Shuib yang lain. Namun, arwah Shuib tidak pernah berhenti dan tidak pernah jemu
untuk menyampaikan pesanan itu walaupun arwah Shuib tahu dia tidak akan terima.
Arwah suaminya itu sering kali memberi
peringatan pada dirinya, supaya jangan jadi anak derhaka pada orang tua kerana
Tuhan pasti akan murka. Orang tua atau ibu bapa itu sangat tinggi darjatnya di
sisi agama waima mereka tidak berapa baik sekalipun. Sebagai anak, kita tidak
boleh kurang ajar atau derhaka kepada mereka. Kita mesti menghormati mereka
seperti yang sewajarnya kerana mereka telah melakukan banyak pengorbanan untuk
membesar dan melahirkan kita. Jika kita derhaka pada orang tua, Tuhan pasti
akan timpa bala sejak kita berada di dunia lagi.
Tatkala dia merenungi nasihat nasihat
itu, baru dia sedar bahawa nasihat itu semuanya betul. Dan lihatlah sekarang.
Kerana dia derhaka kepada orang tuanya, Allah timpakan bala ke atasnya. Allah
tarik keterunaan anak lelakinya. Allah tarik nyawa lelaki yang paling dia cinta
dalam hidupnya kerana dia tidak pernah bersyukur dengan apa yang dia ada dan
dia derhaka pula kepada ibu bapa. Tidak cukup dia derhaka kepada ibu bapa, dia
derhaka pula kepada Tuhan yang menjadikannya dengan menyokong golongan golongan
yang Tuhan murka. Dan sekarang baru dia dapat segala balasannya.
Malam itu dia menangis semahunya.
Malam itu ego yang selama ini dia bina kukuh telah runtuh kerana kekesalan. Dan
malam itu, dia bersujud taubat dan memohon ampun kepada Allah – Tuhan Pencipta
dan Pentadbir Sekalian Alam.
Hidangan nasi lemak yang dimasak oleh
Haliza pada pagi itu sungguh memikat selera. Semua yang berada di meja makan di
rumah Hafreez itu menikmati nasi lemak tersebut dengan penuh berselera sekali.
Sambil makan, mereka berbual bual tentang pelbagai topik. Suasana itu sedikit
sebanyak telah mengeratkan hubungan mereka sekeluarga.
“Saya ingat nak pergi rumah kak ngah
dalam kul 11 pagi nanti. Ayah dengan ibu nak ikut sekali?” Hafreez bertanya.
“Bagus juga tu. Masa arwah Shuib
meninggal minggu lepas, kita tak dapat nak pergi ziarah. Nanti apa pula kata si
Norin tu.” Ujar Fauziah.
“Tu la. Saya nak pergi tapi company
tak bagi. Haliza pula tak boleh memandu kereta. Ayah pula sakit. Cuti cuti
hujung minggu macam ni baru sempat nak pergi. Rasa bersalah pula tak pergi
ziarah dia hari tu. Nasib baik ada kak long yang boleh wakilkan kita.” Hafreez
berkata.
“Boleh ke kita pergi rumah dia? Silap
silap hari bulan, sampai sampai je dah kena halau.” Tambah Razali yang mula
bersuara. Hanya Haliza sahaja yang diam melayani Hazim makan. Dia hanya
mendengar sahaja apa yang dibualkan oleh mereka bertiga.
“Ish, tak baik cakap macam tu. Dia
tengah sedih tu. Takkanlah dia sanggup nak buat kita macam tu.” Kata Fauziah.
“Mana awak tahu? Norin tu tahu je la,
dia punya ego dan keras kepala, hanya Allah je yang tahu.” Razali menyuapkan
nasi lemak yang separuh panas itu masuk ke mulutnya.
“Saya rasa okay je kot kalau kita
pergi rumah dia. Kak long Hafizah cerita dia okay je.” Balas Hafreez.
“Ish, takut ayah dengan si Norin tu. Dia
tu bila bila masa je boleh berubah.” Kata Razali.
“Assalammualaikum.” Ucap satu suara
yang agak nyaring dari luar rumah.
“Waalaikumussalam.” Jawab semua yang
berada dalam rumah Hafreez itu.
“Siapa pula yang datang pagi pagi
pukul lapan hari Ahad ni?” Soal Haliza sambil menjenguk jenguk kepalanya ke
luar rumah.
“Takpe. Awak makan. Biar abang yang
pergi tengok.” Kata Hafreez dan segera berlalu dari ruang makan itu untuk
melihat siapa gerangan yang datang ke rumahnya pada waktu pagi itu.
Setelah membuka pintu rumah, dia
segera menuju ke pintu pagar utama rumah teres tersebut. Dia melihat Norin dan
Khairil berdiri di pintu pagar rumahnya. Sebuah senyuman terukir di bibir
mereka berdua.
“Ohh kak Norin rupanya. Awal datang.
Masuklah. Semua ada kat dalam.” Hafreez mempelawa.
“Emm...terima kasih. Saja datang awal
pagi pagi ni sebab kejap lagi nak pergi pejabat. Ada urusan. Sebelum tu nak
jumpa ibu dan ayah kejap.” Balas Norin. Dia bersalaman dengan Hafreez. Begitu
juga dengan Khairil. Kemudian mereka bertiga masuk ke dalam rumah.
“Ibu...ayah...kak Norin datang.” Kata
Hafreez.
“Norin? Ya Allah Norin...anak ibu...”
Kata Fauziah seraya berdiri. Dia mendapatkan Norin dan mereka bersalaman lalu
berpelukkan. Segera Norin menangis dalam pelukan Fauziah tanpa memberi sebarang
isyarat.
“Sabarlah nak...ibu tahu perasaan kau.
Banyak banyak bersabar ye.” Fauziah mengusap kepala dan belakang Norin beberapa
kali. Khairil yang menjadi pemerhati sejak tadi mula bersalaman dengan Razali
dan Haliza.
“Ibu...Norin minta maaf banyak banyak
kat ibu. Semua yang berlaku pada Norin ni sebab Norin dah derhaka pada ibu.
Maafkan Norin ibu.” Norin merayu sambil menangis meraung raung. Dia mencium
tangan Fauziah beberapa kali.
“Norin, ibu tak pernah sekali pun
marah pada Norin. Norin anak ibu. Ibu sayang Norin. Ibu dah lama maafkan kau
nak. Kau jangan nangis ye.” Pujuk Fauziah. Ya, Norin sudah banyak kali
menyakiti hatinya namun sedikit pun perasaan dendam atau rasa mahu menyumpah
Norin menjadi batu seperti mana yang berlaku kepada si Tanggang tidak terbit
dalam sanubarinya. Dia sudah lama memaafkan Norin. Baginya, Norin wajar diberi
peluang kedua untuk menebus kesilapannya kerana dia manusia biasa. Semua
manusia melakukan khilaf dan dosa.
Setelah puas meminta maaf kepada
Fauziah, Norin beralih pula kepada Razali. Dihamburkannya segala ucapan ampun
dan maaf kepada orang tua itu. Razali walaupun masih marah atas segala tindak
tanduk dan kata kata Norin terhadapnya, namun sebagai bapa dia tetap mahu memaafkan
Norin. Dia tidak mahu berdendam atau melunas dendam terhadap apa yang telah
Norin lakukan terhadap dirinya. Baginya, berdendam dengan anak anak bukanlah
satu perbuatan yang mulia dan patut dibangga-banggakan.
“Memang ayah marah sangat dengan Norin
atas apa yang kau dah lakukan kepada ayah dan ibu tapi ayah rasa ayah patut maafkan
kau. Kau tu anak ayah. Kau adalah darah daging ayah. Ayah harap sangat apa yang
dah berlaku kat kau ni boleh beri kesedaran kepada kau. Ayah harap sangat yang
kau tak ulang lagi benda yang sama pada masa akan datang.” Razali memberi
nasihat.
“Insha Allah ayah. Norin janji yang
Norin takkan buat lagi. Ampunkan Norin ayah.” Norin meminta lagi.
“Baiklah.
Ayah ampunkan.” Ujar Razali sambil tersenyum. Dia memandang wajah anak
perempuan tengahnya yang sedang berlutut di kakinya itu dengan penuh kasih.
Jarinya lantas menyeka air mata Norin. Sememangnya dia sangat sayang akan anak
itu. Anak itu adalah kebanggannya. Cuma dia tidak pandai menunjukkan kasih
sayangnya terhadap anak itu sehinggakan anak itu menyalahtafsir apa yang telah
dia lakukan kepada mereka selama ini sehingga mereka berdendam dengan dirinya
lalu melunas dendam tersebut tatkala usianya menginjak ke hari tua.
Semua yang berada di situ berasa
terharu melihat situasi itu namun rasa kesyukuran kerana Norin telah berubah
dipanjatkan kepada Allah. Benarlah, Allah itu Maha Berkuasa. Setiap takdir yang
berlaku ke atas hambaNya pasti mempunyai hikmahnya tersendiri. Walaupun semua
sedih kerana mereka kehilangan Shuib, namun Allah gantikan kehilangan Shuib itu
dengan perubahan Norin. Semoga Norin akan terus istiqamah dengan perubahan yang
ada dalam dirinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.