Khamis, 11 Februari 2016

NOVEL : MENCARI MAKNA CINTA BAB 13



 “Aku terima nikahnya Mahani binti Mahat dengan mas kahwin sebanyak RM2500 tunai.” Lancar sekali Sahiril melafazkan ucapan nikah itu. Tanpa menggembirakan hati semua tetamu apabila saksi yang mendengar ucapan Sahiril itu telah mengesahkannya. Maka, bermulalah kehidupan Mahani sebagai isteri yang sah kepada Sahimi Sahiril bin Datuk Seri Mansur walaupun hanya selama dua tahun.
Mahani menitiskan air mata. Dia menitiskan air mata bukan kerana gembira tetapi sedih dengan perkahwinan itu. Dia tidak tahu apakah yang bakal ditempuhnya sepanjang perkahwinan kali keduanya itu. Majlis pernikahan itu hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat dan dibuat di rumah banglo Datuk Hasanah. Perkahwinan itu sungguh hambar sekali. Tiada ucapan tahniah daripada ahli keluarga dan sahabat handai yang datang.
Ini semua dirancang bagi menutup kes Mahani dan Sahiril yang ditangkap khalwat baru baru ini. Malam esok persandingan dua mempelai ini akan dibuat di RaHa Hotel dan penjelasan kepada pihak media akan dibuat. “Tahniah Mahani, sebab kahwin buat kali kedua. Kau dah dua kali kahwin aku tak tahu bila.” Ujar Mahmudah dengan riak wajah meminta simpati.

“Insyaallah. Tak lama lagi kak long pasti akan dapat suami.” Ujar Mahani sambil menggosok gosok kepala Irfan. Irfan yang memerhati sejak tadi hanya mendiamkan diri. Dia tidak menyangka bahawa ibunya akan berkahwin sekali lagi dan dia mendapat seorang ayah tiri. “Saya harap sangat perkahwinan ni boleh habis cepat. Saya tak sanggup nak tunggu sampai dua tahun tu. Macam macam dugaan yang saya terima nanti.” Sambung Mahani.
“Sabarlah Ani, kau kena tabah untuk hadapi semua ni. Doa banyak banyak dan minta pertolongan dari Allah supaya dia berikan kau kekuatan untuk hadapi semua ni. Sebagai kakak, aku sentiasa ada untuk kau. Aku akan sokong kau dari belakang. Apa apa masalah kau jangan segan nak beritahu aku. Aku pasti akan tolong kau walau apa cara sekalipun.” Nasihat Mahmudah.
 “Terima kasih kak long. Kak long dah banyak tolong saya. Terima kasih atas segalanya.” Ujar Mahani sambil memeluk Mahmudah. Dia menangis dalam dakapan Mahmudah. Itulah satu satunya saudara kandung yang dia ada di dunia ini. “Sudah, tak payah nak buat drama air mata kat sini. Geli aku menengoknya.” Ujar Datuk Hasanah yang muncul bersama Sahiril dan Melisa. Tok imam telah pulang bersama orang orangnya.
 “Kalau geli jangan tengok. Pergi ambil garpu kat dapur lepas tu cucuk mata tu sampai buta.” Ujar Mahmudah. Mencerlang mata Datuk Hasanah memandang Mahmudah pada waktu itu. “Kau jangan nak kurang ajar kat sini. Ini rumah aku. Kalau kau tak suka apa yang aku cakap kau boleh berambus dari rumah aku sekarang.” Ujar Datuk Hasanah. “Makcik, saya pun tak kebulur nak duduk rumah makcik ni lama lama. Rumah saya pun ada. Jom kita balik Ani. Kita tinggalkan rumah yang macam sarang tikus mondok ni.” ujar Mahmudah sambil menarik tangan Mahani.
“Mahani, jangan lupa dengan perjanjian tu. Malam ni datang RaHa Hotel pukul lapan malam. Kau jangan lambat.” Kata Sahiril memberi amaran pada Mahani. Mahani hanya mengangguk dan terus beredar dari situ bersama Mahmudah dan Irfan. “Kurang ajar betul anak dara tua tu. Nak saja Lisa cili mulut dia.” Ujar Melisa kegeraman. “Biarkan dia Lisa. Mereka belum kenal siapa Datuk Hasanah lagi. Bila mereka kena sekali, mereka pasti akan ingat sampai mati.” Ujar Datuk Hasanah.

“Kak long memang dahsyat. Saya tak sangka kak long boleh cakap macam tu kat Datuk Hasanah.” Ujar Mahani sambil ketawa. Dia sama sekali tidak menyangka yang Mahmudah boleh bercakap seperti itu dengan Datuk Hasanah. “Biar padan dengan muka orang tua tu. Tak sedar diri. Baru diuji oleh Allah dengan nikmat kekayaan sudah mahu berlagak.” Ujar Mahmudah sambil memandu keretanya.
“Mesti orang tua tu marah gila. Bayangkan orang macam kita boleh cakap macam tu pada orang yang dihormati macam dia.” Ujar Mahani. “Orang macam tu kita kena ajar Ani, biar dia kena buku dengan ruas.” Kata Mahmudah puas. “Kau dah sedia nak bersanding malam ni?” Soal Mahmudah. “Dah. Lagipun saya dah ada pengalaman. Jadi tak adalah takut sangat macam mula mula dulu.” Jawab Mahani.
“Kau berdoalah Mahani supaya hidup kau lepas ni ada pengakhiran yang baik.” Kata Mahmudah. “Itulah doa saya siang malam kak long.” Ujar Mahani. Mereka meneruskan perjalanan menuju ke rumah.

“Kau dah siap ke belum? Kalau dah siap turun cepat. Aku tunggu kau kat bawah.” Ujar Sahiril. “Bagi saya lima minit lagi.” Jawab Mahani. Sahiril mendengus marah sambil menutup pintu bilik. “Tahniah Mahani. Akhirnya dapat juga kau kahwin dengan Sahiril walaupun perkahwinan ni tidak seperti yang kau harapkan.” Ujar Mahmudah.  “Saya redha kak long. Aku yakin semua ni pasti ada hikmahnya. Saya buat semua ni demi keselamatan kita sekeluarga. Saya tak mahu Sahiril dan Datuk Hasanah menyakiti kita sekeluarga.”  Ujar Mahani sambil menitiskan air mata.
 “Besar sungguh pengorbanan kau Mahani. Kau rela korbankan kebahagiaan dan hidup kau demi untuk kita sekeluarga. Semoga semua pengorbanan kau itu akan mendapat balasan yang baik dari Allah.” Ujar Mahmudah. “Begitulah hendaknya.” Kata Mahani pendek. Mereka saling berpelukan. “Irfan duduk dengan mak long baik baik tau. Jangan nakal nakal. Dengar cakap mak long. Ibu pergi sekejap saja. Keap lagi ibu datang jumpa Irfan.” Ujar Mahani sambil mencium dahi anaknya.
“Dah, lap air mata kau tu. Nanti rosak mekap.” Ujar Mahmudah. Mahani mengelap air mata yang mengelir di pipinya. “Jom kita turun bawah.” Sambung Mahmudah. Kemudian mereka meninggalkan bilik dan pergi ke ruangan menunggu. Mereka melihat Datuk Hasanah, Sahiril dan Melisa sedang berada di sana. Sungguh tampan Sahiril dengan baju pengantin yang berwarna putih itu.
Mahani juga kelihatan anggun dengan baju kebaya putih yang ditempah khas oleh Datuk Hasanah daripada seorang pereka terkenal. “Sampai pun kau. Aku ingat kau dah mati dalam bilik tu.” Sindir Sahiril. Mahani hanya mampu bersabar mendengar ucapan tajam yang keluar dari mulut Sahiril tu. “Kamu berdua jalan sampai kat pelamin tu. Lepas tu duduk kat sana. Kami akan tunggu kamu kat luar.” Datuk Hasanah memberi arahan kemudian mereka semua keluar meninggalkan Sahiril dan Mahani.
“Ingat, kita kena tunjukkan kemesraan kita.” Ujar Sahiril. Mahani hanya mengangguk dan terus berjalan mengikuti Sahiril untuk masuk ke dalam dewan. Mahani terdengar suara pengerusi majlis mengumumkan kemasukan mereka ke dalam dewan itu. Mereka berdua berjalan perlahan lahan dan diikuti dengan bunyi paluan kompang oleh kumpulan kompang yang dijemput oleh Datuk Hasanah. Mahani melihat sungguh ramai tetamu yang hadir dan semuanya terdiri daripada orang orang kaya.
Semua mata tertumpu pada mereka berdua. Tiba tiba Sahiril memegang tangan Mahani sebagai lambang kemesraan. “Pandai kau berlakon Sahiril.” Desis hati Mahani namun dia membiarkan sahaja. Apabila mereka sampai di pelamin mereka duduk dengan perlahan lahan. Nadia yang bertindak sebagai pengapit Mahani mengelap wajahnya yang sudah ditumbuhi manik manik peluh.
Kemudian pengacara majlis itu meminta kepada pihak keluarga pengantin lelaki dan perempuan untuk melaksanakan upacara merenjis. Mula mula sekali Mahmudah yang datang untuk merenjis sambil membawa Irfan. “Tahniah Mahani. Aku doakan kau bahagia dunia dan akhirat.” Ujar Mahmudah sambil bersalaman dan berpelukan dengan Mahani. Kemudian Datuk Hasanah pula yang merenjis.
“Kau jangan suka sangat Mahani. Kau kena ingat perkahwinan ini hanyalah untuk menutup malu keluarga aku sahaja. Tahniah kerana rancangan kau nak malukan keluarga aku dah berjaya tapi hidup kau akan menderita selepas ini.” Ujar Datuk Hasanah sambil memeluk dan bersalaman dengan Mahani.
Mahani hanya mampu menelan air liur sahaja mendengar kata kata Datuk Hasanah. Hanya senyuman kelat yang mampu diberikan pada waktu itu. Upacara merenjis seterusnya dilakukan oleh ahli keluarga Sahiril yang lain. Setelah selesai upacara merenjis pengacara majlis itu menjemput Datuk Hasanah untuk menyampaikan sepatah dua kata.
Semua hadirin memberikan tepukan kepada Datuk Hasanah ketika dia naik ke pentas utama. Mereka semua berhenti menjamu selera untuk mendengar ucapan Datuk Hasanah itu. “Terima kasih kepada pengacara majlis. Yang diraikan Sahimi Sahiril bin Datuk Seri Mansur dan Mahani binti Mahat. Selamat pengantin baru mama ucapkan. Yang saya muliakan para hadirin dan hadirat sekalian. Pertama sekali saya ingin mengucapkan selamat pengantin baru kepada anak dan menantu saya. Semoga perkahwinan ini kekal hingga ke anak cucu.
Buat menantu saya, Mahani binti Mahat selamat datang dalam keluarga kami. Semoga kehadiran kamu memberi sinar dalam keluarga kami. Tujuan saya berdiri di sini adalah untuk membetulkan kekusutan yang telah terjadi. Tentu para hadirin sekalian masih ingat tentang anak saya yang kononnya ditangkap khalwat baru baru ini. Berita yang keluar di akhbar itu sebenarnya kurang tepat.
Mereka sebenarnya sudah pun bernikah cuma memandangkan kami kekurangan masa dan ruang kami tidak sempat untuk melangsungkan majlis persandingan kami kerana kami semua terlalu sibuk dengan urusan perniagaan kami. Sebenarnya pegawai agama itu sudah salah faham. Mereka telah menangkap orang yang salah. Memandangkan anak dan menantu saya tidak membawa kad nikah mereka jadi mereka tidak mempunyai bukti tentang perkahwinan mereka.
Isu yang anak saya ditangkap khalwat itu tidak benar sama sekali. Mahani yang dikatakan bekerja sebagai pengemas di RaHa Hotel juga kurang tepat sebenarnya. Mahani sebenarnya Penyelia Bahagian Housekeeping yang sebetulnya. Jadi semua ini adalah salah faham semata mata. Saya rasa saya sudah menjelaskan semuanya jadi marilah kita teruskan majlis persandingan ini.
Para hadirin dipersilakan untuk menjamu selera.” Ujar Datin Hasanah mengakhiri ucapannya. Para hadirin yang mendengar ucapan Datuk Hasanah sebentar tadi mula menikmati hidangan mereka semula. Pelbagai reaksi yang ada pada waktu itu. Ada yang percaya dan ada yang tidak namun yang penting Datuk Hasanah telah menerangkan segala galanya.
Jika mereka tidak percaya sekalipun lambat laun mereka pasti akan percaya juga. “Dasar pembohong. Aku pula dijadikan alat untuk menutup malu ini padahal bukan salah aku.” Marah Mahani dalam hati namun dia tahu dia tidak boleh melakukan apa apa. Semuanya sudah terjadi. Dia hanya mampu bersabar dan redha dengan segala ketentuan ini.

......................................................................................................................................................

“Tahniah Mahani. Akhirnya kau berjaya juga dapat cinta sejati kau. Orang yang kau cintai akhirnya kau miliki. Aku rasa kes tangkap khalwat tu bagus juga. Kes tu boleh mempercepatkan perkahwinan kau dengan Sahiril. Tapi aku hairan bila masa pula kau bercinta dengan Encik Sahiril tu? Takkan masa kau kemaa kemas bilik dia kau jatuh cinta?” Soal Nadia ketika mereka berdua berada dalam bilik.
Hanya mereka berdua sahaja di dalam bilik itu. Mahmudah dan Irfan tinggal di bilik lain. Datuk Hasanah dan Melisa sudah pulang ke rumah dan Sahiril pula hilang entah ke mana. Kali terakhir Mahani melihanya ketika dia berada di lobi hotel sambil berbual dengan rakan rakannya. “Aku tak pernah bercinta dengan dia. Aku kahwin dengan dia secara paksa.” Jawab Mahani.
“Apa? Aku tak faham maksud kau? Kau pernah cerita kat aku yang kau cintakan Encik Sahiril tu sejak zaman sekolah lagi. Habis tu kenapa kau kahwin paksa pula?” Soal Nadia meminta kepastian dari Mahani. “Ya memang aku cintakan Sahiril tapi dia tak pernah mencintai aku. Kau dah lupa ke aku pernah cakap kat kau yang dia dah ada kekasih. Kau kata kes tangkap khalwat tu bagus? Kau ni dah meroyan ke? Kau tahu tak aku difitnah. Aku dituduh merancang kes tangkap khalwat tu kau tahu tak?” Ujar Mahani dan dia mula mengalirkan air mata.
Sungguh berat dirasakan ujian Allah pada waktu itu. “Ya Allah, tabahkanlah hati hamba mu ini.” Doa Mahani dalam hati. “Kenapa pula kau dituduh rancang kes tu? Bukan ke kau yang kena tangkap khawat hari tu dengan Sahiril? Kenapa kau pula dipersalahkan?”
Soal Nadia bingung. “Itulah yang aku cuba cakap dengan diaorang tapi diaorang tak percaya. Diaorang kata aku yang rancang semua tu sebab nak dapat harta Sahiril tu.” Jawab Mahani sambil mengesat air matanya yang tumpah di pipi.
 “Yakah? Kesian kau Mahani. Habis tu kenapa kau sanggup kahwin dengan Sahiril yang kejam macam Firaun tu?” Soal Nadia lagi. “Dia ugut aku Nadia. Dia akan gunakan kuasa, wang dan pengaruh dia untuk buat aku dan keluarga aku menderita. Aku tak nak keluarga aku menerima akibatnya. Lagipun aku nak Ramli buang perasaan dia untuk aku.” Jawab Mahani jujur.
 “Kau tahu tak Encik Ramli tu cinta sangat kat kau? Kenapa kau buat dia macam tu? Aku rasa kau akan bahagia kalau kau kahwin dengan dia.” Ujar Nadia. “Masalahnya aku tak cintakan dia. Aku dah ada pengalaman hidup dengan orang yang aku tak cintai. Aku tak perkara macam tu berlaku lagi. “Mahani, mungkin keadaan kali ni tak sama. Bakri seorang lelaki yang jahat tapi Encik Ramli seorang lelaki yang baik. Aku yakin kau boleh bahagia dengan dia.” Ujar Nadia tidak berpuas hati.
“Tak Nadia. Memang betul apa kau cakap Encik Ramli tu seorang lelaki yang baik. Sebab tu aku tak boleh terima dia. Dia dah banyak tolong aku. Dia tak layak untuk aku sebab dia teruna dan aku janda. Aku rasa kau lebih layak dengan dia.” Ujar Mahani. “Kenapa pula aku?” Soal Nadia. “Aku tahu Nadia kau sukankan Encik Ramli tu. Kau tak payah tipu aku. Aku boleh tahu dari anak mata kau. Aku boleh tahu dari cara kau pandang dia yang kau sukakan dia.” Ujar Mahani.
Nadia bungkam seketika. Lidahnya kelu untuk berkata kata. “Betul cakap kau Mahani. Aku cintakan Encik Ramli tu tapi aku tahu dia tak cintakan aku. Dia lebih cintakan kau.” Ujar Nadia. “Sebab tu kau tak terima cinta dia. Aku nak bagi kau jalan supaya kau boleh dekat dengan dia. Aku nak kau dengan dia bersatu dan menikmati kebahagiaan bersama.” Ujar Mahani.
“Terima kasih Mahani. Kau memang seorang kawan yang baik. Kaulah satu satunya kawan terbaik aku dari dunia sampai akhirat. Aku doakan semoga kau berbahagia Mahani.” Kata Nadia sambil memeluk Mahani. Ada air jernih yang jatuh di pipi Nadia pada waktu itu. “Sama sama.” Balas Mahani pendek. Tiba tiba Sahiril masuk ke dalam bilik. Nadia meleraikn pelukannya dengan Mahani.
“Aku balik dulu Mahani. Kalau ada masa nanti kita jumpa.” Ujar Nadia. “Baiklah.” Jawab Mahani dan menghantar Nadia ke pintu. “Apa yang kau cakap dengan Nadia tu? Apa rancangan kau dengan budak tu untuk kenakan dan malukan aku lagi?” Soal Sahiril serius sambil membuka pakaiannya untuk ditukar. “Apa yang awak mengarut ni Sahiril? Kenapa awak tak habis habis nak sakitkan hati saya?” Soal Mahani dengan nada suara yang keras.
Dia sudah tidak boleh bersabar lagi dengan kerenah Sahiril dan Datuk Hasanah. “Sakit hati? Aku ingat kau ni macam binatang yang tak ada perasaan tu. Hati aku lagi sakit bila tengok muka kau. Kau perangkap aku dengan cara yang macam tu kau ingat aku tak sakit hati.” Kata Sahiril. “Berapa kali saya nak cakap dengan awak yang saya tak buat semua tu. Bukan saya yang rancang nak perangkap awak. Kenapa awak ni susah sangat nak faham?” Ujar Mahani.
“Habis tu siapa yang buat? Siapa lagi kalau bukan kau yang buat. Kau sengaja nak perangkap aku supaya kau boleh ambil harta aku kan?” Soal Sahiril. “Manalah saya tahu siapa yang buat. Saya bukan orang yang macam awak sebut tu. Saya bukan orang yang sanggup buat apa saja demi harta.” Bidas Mahani. “Kau jangan nak tunjuk baik kat sini. Aku tahu siapa kau. Kau tu perempuan murah yang gila duit kau tahu tak.” Ujar Sahiril separa menjerit.
“Suka hatilah apa awak nak cakap. Saya dah penat nak cakap dengan orang yang tak faham bahasa macam awak. Apa yang saya tahu saya tak buat semua tu.” Ujar Mahani dan terus duduk di birai katil. “Pencuri mana yang nak mengaku yang dia mencuri. Potong telinga pun dia tetap kata yang dia tak mencuri. Esok aku nak kau kemas semua kain baju kau. Kita akan tinggal kat rumah aku.” Ujar Sahiril lantas keluar dari bilik itu.
Mahani sekadar melihat dan dia terus menangis. Dia tidak menyangka Sahiril sanggup mengatakan yang dia perempuan murah yang hanya mahukam duit. Itu satu tuduhan yang amat kejam. Dia tidak tahu mengapa dia mendapat ujian seberat ini. Dia terus ke bilik air dan mengambil wuduk untuk menunaikan solat sunat tahajud. Seusai solat dia terus menadah tangan untuk berdoa kepada Allah.
“Ya Allah tolonglah aku ya Allah. Tabahkanlah hati aku untuk menerima ujian ini ya Allah. Sesungguhnya ujian ini sungguh berat buat diriku ya Allah. Kuatkan iman aku ya Allah. Masukkanlah aku ke dalam syurgamu. Jauhkanlah aku dari siksa kubur dan api neraka. Ya Allah, aku tidak layak untuk syurgamu tapi aku tidak sanggup untuk menanggung siksa nerakamu. Tolonglah aku ya Allah, ampunkanlah dosa dosaku sesungguhnya engkau pengampun dosa dosa besar.” Mahani meraup tangannya ke muka. Dia melipat sejadah dan telekungnya lalu terus berbaring di atas katil. Dia berharap ada sinar yang baik untuknya esok hari.

Selepas mengambil barang barang mereka di rumah, Mahani dan Irfan mengikut Sahiril ke rumah lelaki itu. Pada hari ini mereka akan meninggalkan rumah pangsa mereka setinggi enam belas tingkat itu dan berhijrah ke penthouse mewah milik Sahiril. Rumah yang dimiliki oleh Sahiril itu sungguh besar. Mempunyai dua tingkat dan lima buah bilik tidur.
Suatu ketika dahulu Mahani bercita cita untuk tinggal di rumah seperti itu dan pada hari ini impiannya menjadi kenyataan. “Bawalah barang barang kau masuk. Apa yang kau termenung kat luar tu.” Jerkah Sahiril. Terperanjat Mahani dibuatnya. Irfan sudah mula kecut perut memandang Sahiril. Dia memeluk kaki Mahani ketika mereka berdua masuk ke dalam rumah itu.
Mahani hanya tercegat di muka pintu bersama Irfan. Dia tidak tahu mana dia hendak pergi di dalam rumah itu. Dia khuatir jika dia duduk di sofa mahal milik Sahiril itu, Sahiril akan marah kepadanya. Dia mengambil keputusan untuk berdiri sahaja dan menunggu arahan seterusnya dari Sahiril. “Mari aku tunjukkan bilik kau dengan anak kau tu.” Ujar Sahiril.
Mahani mengangkat bagasinya dan mengikut Sahiril ke tingkat dua penthouse itu bersama Irfan. “Ini bilik kau. Kau jaga bilik ni baik baik. Aku tak nak bilik ni macamsarang tikus kau buat.” Sindir Sahiril. “Awak tak perlu risau Sahiril. Saya dah tujuh tahun jadi pengemas bilik kat hotel awak tu. Kepakaran saya mengemas sepuluh kali lebih baik dari awak.” Balas Mahani.
“Kau jangan nak tunjuk kau punya berlagak kat rumah aku. Baru kerja jadi pengemas bilik dah sombong. Kemas barang barang kau cepat. Lepas tu basuh baju aku dan masak makanan tengah hari. Kejap lagi aku nak makan.” Perintah Sahiril sewenang wenangnya.
“Awak ingat saya ni orang gaji awak ke? Yang awak boleh suruh sesuka hati awak.” Marah Mahani.
“Kau sedar sikit diri kau tu. Kau jangan ingat kau boleh senang lenang nak duduk kat rumah ni. Aku dah bawa kau kat sini dah cukup baik. Kau jangan nak melawan. Kau dah lupa perjanjian kita? Dalam perjanjian tu kau kena kerja dengan aku sampai kontrak tu tamat. Kau dah lupa?” Soal Sahiril dan berlalu dari situ. Mahani memandang Sahiril dengan geram.
Dia fikirkan dia akan mendapat kerja yang bagus rupanya tidak. Dia akan menjadi orang gaji tak bertauliah dalam rumah itu. Dia terus mengemas kain bajunya bersama Irfan. Dia memasukkan pakaiannya dan pakaian Irfan ke dalam almari. Setelah itu, dia terus bergerak ke dapur bersama Irfan untuk membasuh pakaian Sahiril dan pakaian mereka. Setelah membasuh pakaian menggunakan mesin basuh dan menjemurnya di ampaian, Mahani terus ke dapur untuk menyiapkan makanan tengah hari.
Dia membuka peti sejuk dan mendapati ada ikan pari, sayur kangkung, telur dan sebagainya. Ada ilham yang datang di fikirannya tentang apa yang hendak dimasaknya tengah hari itu. Dia melihat bawang dan cili juga ada jadi dia bercadang mahu memasak asam padas, kangkung goreng belacan dan telur dada. “Irfan jangan kacau ibu ye. Ibu nak masak. Irfan pergi naik bilik lepas tu baring atas katil. Nanti bila ibu dah siap masak ibu panggil Irfan ye.” Kata Mahani pada Irfan.
“Kenapa Irfan tak boleh tolong ibu? Allah suruh kita supaya selalu tolong ibu bapa.” Soal Irfan. “Irfan bukan tak boleh tolong ibu tapi nanti pak cik tu marah. Sekarang Irfan nak tolong ibu tak?” soal Mahani. Irfan mengangguk laju mendengar pertanyaan Mahani. “Irfan tolong naik atas dan tunggu ibu kat atas. Tolong jangan nakal nakal dan tolong jangan usik barang dalam rumah ni tanpa pengetahuan ibu. Boleh?” soal Mahani.
“Baiklah.” Jawab Irfan. Dia terus berjalan ke biliknya dan berbaring di atas katil. Setelah melihat Irfan pergi, Mahani mula menanak nasi. Dia juga memotong sayur, bawang dan mengisar cili. Kemudian dia mengisar bahan bahan itu dan menumisnya di dalam kuali. Setelah itu, Mahani mengoreng sayur kangkung itu dengan belacan dan membuat telur dadar.
 Setelah siap memasak, Mahani menghidangkan hidangan itu di atas meja makan. Sesudah itu, dia bergerak ke bilik Sahiril. Dia mahu memanggil Sahiril untuk makan. Dia mengetuk pintu bilik Sahiril beberapa kali namun pintu masih tidak dibuka. Mahani memulas tombol pintu bilik itu. Dia melihat Sahiril tidur di atas katil dengan tidak berbaju. Lelaki itu hanya memakai seluar jeans berjenama Levi’s.
Terserlah otot otot yang berada di perut dan dada Sahiril. Dia menyentuh bahu Sahiril dan menggoyangkan bahu lelaki itu perlahan lahan. “Kau nak apa masuk bilik aku?” Jerit
Sahiril ketika dia terjaga dari tidur. “Saya nak kejutkan awak makan. Saya tahu awak lapar. Saya dah ketuk pintu tadi tapi awak tertidur. Jadi saya masuk untuk kejutkan awak.” Jawab Mahani lembut.
Dia melunakkan suaranya supaya marah Sahiril akan segera hilang. “Kau jangan nak tunjuk baik kat sini. Kau jangan masuk bilik aku tanpa kebenaran kau tahu tak. Berambus!” Jerit Sahiril lagi. Mahani lantas keluar dari bilik itu. “Baiklah. Lain kali kalau rumah ni terbakar pun aku takkan kejut kau lagi.” Bisik Mahani dalam hati. “Kau masak apa ni?” Soal Sahiril ketika dia berada di meja makan.
“Ingatkan tak nak makan tadi. Turun juga kau.” Desis Mahani dalam hati. “Saya masak asam pedas ikan pari, kangkung goreng belacan dan telur dadar. Saya harap awak suka.” Ujar Mahani. Sahiril membasuh tangan dan mengambil pinggannya. Dia memasukkan nasi dan kuah asam pedas serta mengambil sedikit ikan pari ke dalam pinggannya. Dia menyuapkan nasi ke dalam mulutnya secara perlahan lahan.
“Comel cara dia makan.” Ujar Mahani dalam hati. Tiba tiba Sahiril meludah nasi itu ke lantai. “Kau ni tak pandai masak ke? Tak sedap langsung kau masak. Kalau macam ni lebih baik aku makan kat luar.” Marah Sahiril. Tanpa disangka sangka dia menuangkan kuah asam pedas itu ke lantai. Habis lantai itu bertaburan dengan kuah asam pedas dan ikan pari yang baru dimasak oleh Mahani.
Terkejut Mahani dengan perbuatan Sahiril. “Kau cuci semua ni sekali. Aku balik kejap lagi aku nak semua ni dah kemas. Dasar perempuan pemalas.” Ujar Sahiril dan terus keluar dari rumah itu. Mahani terus menangis sambil memandang kuah asam pedas yang
baru dimasak itu. Dia baru terfikir mahu menikmati kuah asam pedas itu bersama Irfan. Sahiril memang kejam. Dia sudah jauh berubah.
Sikapnya yang lembut dengan kaum hawa sudah hilang entah ke mana. Mahani terus mengemas dan mencuci lantai tersebut. Penyiksaannya di rumah itu baru sahaja bermula buat dirinya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.