Air Tasik Cempaka sungguh tenang pada petang itu namun ketenangan
itu tidak dapat menenangkan hati Ramli yang sedang dilanda kesedihan. Dia
memandang beberapa orang pengunjung Taman Tasik Cempaka yang sedang melakukan
aktiviti riadah. Ada yang bersenam, ada yang berlari dan ada juga yang
bersantai di bawah pondok yang disediakan.
Ramli teringat akan perbualannya dengan Mahani pagi tadi. Dia tahu
keputusannya untuk menikahi wanita itu agak terburu buru tapi yang pasti dia
ikhlas mencintai wanita itu. Dia tidak kisah dengan status Mahani sebagai janda
beranak satu yang penting Mahani mempunyai hati budi yang baik. Tetapi Ramli
tidak menyangka sama sekali Mahani menolak lamarannya mentah mentah.
Mungkin kerana kes ditangkap khalwat itu Mahani menjadi tidak keruan
jadi itu dapat mengganggu keputusannya. “Apa Encik Ramli buat kat sini?” Soal
satu suara dari arah belakang. Suara itu seperti sudah biasa di dengarnya.
Ramli berpaling ke belakang dan melihat Nadia berada di situ. “Kenapa? Tak
boleh ke saya datang kat tasik ni?” Soal Ramli pula.
“Bukan tak boleh tapi saya tak pernah nampak encik di sini. Saya
selalu lalu kat sini bila nak balik rumah.” Jawab Nadia jujur. “Biasanya saya
datang kat sini pada hari Sabtu atau Ahad sahaja.” Ujar Ramli. “Biasanya? Habis
hari Selasa ni luar biasalah?” soal Nadia ingin tahu. Ramli tertawa mendengar
pertanyaan itu. “Entahlah Nadia. Hati saya tengah berkecamuk sekarang ni. Kepala
saya pun tengah sakit ni.” ujar Sahiril.
“Kenapa? Adakah semua ini disebabkan kes Mahani ditangkap khalwat
tu?” Soal Nadia lagi. Nadia seolah olah dapat membaca apa yang bermain di
fikirannya sekarang. “Saya tak kisah dengan semua tu. Apa yang buat saya sedih
ialah Mahani tolak cinta saya Nadia. Saya begitu ikhlas mencintai dia. Kenapa
dia tak nampak semua tu?” Luah Ramli. “Jadi betullah selama ini Encik Ramli
suka kat Mahani?” Nadia memandang wajah Ramli lama. Dia mahu mencari jawapan
dari lelaki itu.
“Ya. Sebab tu saya selalu tanya
kat awak pasal dia.” Akui Ramli jujur. Dia tidak mahu lagi melindungi perasaannya
pada Mahani. “Encik Ramli kena sabar. Dalam keadaan sekarang susah untuk Mahani
nak buat keputusan. Encik kena bagi dia ruang untuk berfikir. Encik tak boleh
bertindak terburu buru.” Nasihat Nadia. Ramli menarik nafasnya dalam dalam dan
menghembuskannya perlahan lahan.
Benar kata Nadia. Dia terlalu terburu buru sebenarnya. Dia
sepatutnya memberikan Mahani masa untuk berfikir. “Saya balik dulu Encik Ramli.
Esok kita jumpa lagi di pejabat.” Ujar Nadia setelah tidak mendapat sebarang tindak
balas dari Ramli. “Mari saya hantar awak balik. Sambil tu boleh saya tahu mana
rumah awak.” Pelawa Ramli. “Apa salahnya. Rumah saya tak jauh dari sini.” Ujar
Nadia.
“Saya betul betul tak sangka yang Mahani boleh buat I macam ni. Nampak saja baik tapi
sebenarnya lebih jahat dari syaitan.” Ujar Sahiril kepada Melisa ketika mereka
sedang menikmati makan malam di sebuah restoran yang terletak di Jalan Bukit
Bintang. “I pun tak sangka. Tapi
macam mana you tahu yang Mahani yang
rancang semua ni?” Soal Melisa. “I terdengar kawan
dia cakap masa I nak cari dia kat
bilik dobi pagi tadi.” Jawab
Sahiril bengang.
“Habis tu apa tindakan you?”
Soal Melisa lagi. “Mama suruh I
kahwin dengan dia.” Jawab Sahiril bersahaja. “What? Habis tu I nak
macam mana? Macam mana dengan hubungan kita? Macam mana dengan pertunangan
kita?” Soal Melisa bertalu talu. “Sabar Lisa. I belum habis cakap lagi. I
kahwin dengan dia dalam tempoh tertentu sahaja. Lepas tu I akan ceraikan dia. I
bukan nak kahwin dengan dia sampai bila bila. Semua ni I rancang untuk selamatkan imej I
dan hotel I. You ingat I gila ke nak
kahwin dengan perempuan jahat macam tu.” Terang Sahiril.
“Mahani setuju tak nak kahwin dengan you?” Soal Melisa. “Nak tak nak dia kena setuju juga. Mula mula
memang dia tak setuju tapi bila I
ugut dia terus dia setuju.” Jawab Sahiril sambil tersenyum sinis. “You ugut dia apa sampai dia boleh
setuju?” Soal Melisa lagi. “I cakap
kat dia yang akan gunakan kuasa dan wang I
untuk buat dia dan anak dia menderita.” Balas Sahiril.
“Pandai you ni. Tapi I
rasa cara you tak berapa berkesan. What ever
pun dia dah setuju kan? Yang penting hotel you selamat.” Ujar Melisa. “Betul
tu. I akan buat hidup betina tu
menderita bila I kahwin dengan dia
nanti. I akan ajar dia cukup cukup.
Biar dia ingat sampai mati.” Ujar Sahiril dengan penuh perasaan dendam. “Dan
sebagai buah hati you, I akan bantu you untuk hancurkan hidup betina tak guna tu.” Ujar Melisa. Mereka
berdua tertawa bersama.
............................................................................................................................................
Mahani, Mahmudah dan Irfan berjalan jalan di sekitar pasar raya Sogo
dan kedai kedai yang berada di Jalan Tunku Abdul Rahman untuk membeli barang
keperluan pernikahan Mahani dan Sahiril. Begitu banyak barang yang dibeli oleh
mereka. “Ibu, Irfan dahaga.” Ujar Irfan. “Jom kita singgah kat kedai tu. Kita
beli air dulu. Mak long pun dah penat ni.” ujar Mahmudah.
Mereka bertiga berjalan ke arah sebuah kedai kecil yang menjual kuih
muih dan beberapa jenis minuman. Setelah membeli sedikit kuih dan tiga cawan
minuman, mereka bertiga duduk di tepi tangga kedai yang agak luas dan jarang
orang lalu di situ. “Kenapa dengan kau ni Mahani? Aku tengok kau dari tadi asyik
monyok saja. Kau sakit ke?” Soal Mahmudah sambil menyedut air minumannya. “Tak.
Cuma penat saja.” Jawab Mahani pendek.
“Aku tahu kau risau pasal pernikahan ni. Kalau kau tak nak kenapa
kau tak tolak saja permintaan Sahiril tu?” soal Mahmudah lagi. “Saya tak nak
dia apa apakan keluarga kita. Saya tak nak sebab saya keluarga kita jadi
mangsa. Irfan masih kecil lagi kak long. Dia belum tahu banyak perkara dalam
dunia ni.” Jawab Mahani sambil mengusap usap kepala Irfan.
“Kau takut dengan ugutan Sahiril tu? Apa dia boleh buat? Dia tu saja
nak kau masuk perangkap dia.” Ujar Mahmudah. “Kita tak tahu kemampuan dia kak
long. Dia tu orang kaya. Macam macam dia boleh buat.” Ujar Mahani pula. “Aku
betul betul tak sangka. Aku ingat selama ni Sahiril tu baik, sopan santun tapi
rupa rupanya tak seindah yang aku bayangkan. Dia sanggup buat apa saja demi
darjat, pangkat dan harta dia.” Kata Mahmudah.
“Itulah orang kaya kak long. Mentang mentang mereka kaya mereka
boleh buat sesuka hati mereka.” Ujar Mahani. “Kau dah fikir masak masak ke nak
kahwin dengan anak orang kaya tu?” Soal Mahmudah lagi. “Dah. Sebab tu saya
ambil keputusan ni. Lagipun saya ambil keputusan ni sebab saya tak nak Ramli
menaruh hati pada saya lagi.” Ujar Mahani.
“Apa? Macam mana kau tahu Ramli cinta kat kau?” Soal Mahmudah agak
terkejut dengan kenyataan Mahani. “Semalam kan dia datang rumah. Dia nak kahwin
dengan saya sebab dia cintakan saya.” Jawab Mahani. “Habis tu kau terima tak?”
Soal Mahmudah tidak sabar sabar. “Tak. Kalau saya terima takkan saya nak kahwin
dengan Sahiril.” Jawab Mahani.
Dia berasa janggal dengan pertanyaan Mahmudah itu. “Kenapa kau tak
terima? Dia tu lelaki yang baik tahu tak. Macam macam dia dah tolong kau. Kenapa
kau ni bebal sangat?” Marah Mahmudah. Dia merasakan adiknya menolak tuah.
Apakah makhluk yang mendiami kepala adiknya itu sehingga mengambil tindakan
yang boleh dikatakan bodoh seperti itu.
“Kak long, saya tahu Ramli tu baik. Sebab dia terlalu baiklah saya
tolak cinta dia. Dia tak layak untuk saya. Saya janda kak long dan dia teruna.
Dia dah banyak tolong saya dan saya tak nak menyusahkan dia kali ni. Biarlah
saya selesaikan masalah saya sendiri tanpa meminta bantuan orang lain. Lagipun
saya tahu Nadia sukakan Ramli. Ramli dan Nadia boleh menjadi pasangan yang
serasi.” Jawab Mahani dengan panjang lebar.
“Tak tahulah aku nak cakap apa Mahani. Masalah kau ni rumit sangat.
Kenapalah kau diuji sampai macam ni sekali.” Ujar Mahmudah. “Saya redha kak
long. Saya redha dengan semua yang terjadi ni. saya tahu ada hikmah di sebalik
semua ni.” Ujar Mahani pasrah. “Sudahlah tu. Hari dah nak hujan ni. Mari kita
balik.” Kata Mahmudah lalu terus berdiri kemudian diikuti oleh Mahani dan
Irfan. Mereka bertiga berjalan menuju ke kereta untuk pulang ke rumah.
.....................................................................................................................................................
Tidak ada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut Mahani dan
Sahiril. Mahani hanya bungkam di sebelah Sahiril manakala Sahiril pula memberi
sepenuh tumpuan pada pemanduannya. Pagi tadi Sahiril ada menyuruh Mahani supaya
bersiap namun dia tidak beritahu yang mereka mahu ke mana pada waktu itu. Bila
ditanya Sahiril hanya mendiamkan diri.
Sepanjang perjalanan itu Mahani cuba berbual bual dengan jejaka itu
namun Sahiril membuat Mahani seperti orang bodoh. Jadi Mahani hanya duduk
mendiamkan diri sahaja. Pagi tadi Mahmudah ada menawarkan diri untuk
menemaninya berjumpa dengan Sahiril namun Mahani membantah. Dia tidak mahu
Mahmudah menyusahkan diri. Kakaknya itu sudah banyak membantunya. Biarlah dia
menghadapi masalahnya sendiri tanpa bantuan orang lain.
Sahiril memberhentikan keretanya di hadapan sebuah pintu pagar yang
besar dan tinggi. Sahiril menunggu beberapa saat dan tiba tiba pintu pagar itu
terbuka dengan sendirinya. Sahiril terus memecutkan keretanya masuk ke dalam
kawasan itu. Mahani melihat sebuah halaman yang amat luas seperti tiga buah
padang bola sepak. Di kiri dan kanan kawasan itu terdapat banyak pokok pokok
palma dan pokok pokok bunga yang terdiri daripada pelbagai jenis.
Kawasan itu tidak ubah seperti sebuah taman bunga. Tiba tiba Sahiril
berhenti di hadapan sebuah rumah yang berwarna putih. Rumah itu sungguh besar
bagai istana. Tidak pernah Mahani melihat rumah sebesar itu sepanjang hidupnya.
Rumah itu bukan sahaja cantik malahan cukup indah dipandang mata. Tentu pemiliknya seorang yang
kaya raya dan bertaraf jutawan kerana memiliki rumah sebesar itu.
“Apa yang termenung lagi tu? Turunlah. Kau nak aku ambil karpet
merah baru kau nak turun?” Sindir Sahiril. Mahani terus membuka pintu kereta
dan keluar dari kereta tersebut. Dia cuba bersabar dengan sikap Sahiril. Kalau
diikutkan mulut Bakri sepuluh kali lebih berbisa dari mulut Sahiril. Jadi dia
sudah biasa disindir dan diperli seperti itu. Dia langsung tidak terasa hati
dengan kata kata Sahiril.
Mahani mengikut Sahiril masuk ke dalam rumah. Sungguh cantik
dekorasi dan hiasan dalaman rumah tersebut. Tentu pemiliknya berbelanja besar
untuk membuat keadaan menjadi seperti ini. Hiasan dan perabotnya semua mahal
mahal belaka dan sudah pasti diimport dari luar negara. “Kau duduk kat sini
dulu. Aku nak panggil mama kejap.” Perintah Sahiril. Mahani hanya menurut.
Dia duduk di salah sebuah sofa yang mahal, cantik dan lembut itu.
“Mama? Jadi inilah rumah Datuk Hasanah, ibu Sahiril.” Bisik hati kecil Mahani. Beberapa
minit kemudian muncul Datuk Hasanah, Sahiril dan Melisa dari arah dapur rumah
banglo tersebut. Mahani lantas bangun untuk bersalaman dengan Datuk Hasanah.
Dia menghulurkan tangannya namun tidak disambut oleh Datuk Hasanah.
Mahani menarik tangannya semula. “Datuk apa khabar? Sihat?” Soal
Mahani cuba bermesra dengan wanita itu. “Kalau aku sakit aku takkan berdiri kat
depan kau sekarang ni.” Jawab Datuk Hasanah angkuh. “Lisa apa khabar? Lama tak
jumpa Lisa. Lisa makin cantik sekarang.” Ujar Mahani sambil memandang ke arah
Melisa. “Buat apa aku nak jumpa kau. Bukan boleh dapat duit pun.” Jawab Melisa.
Terkejut Mahani dengan jawapan Melisa. Melisa yang berada di
hadapannya sekarang berlainan sekali dengan Melisa yang dia temui ketika di
Port Dickson dulu. Melisa di Port Dickson dulu seorang yang periang, lemah
lembut dan agak manja tetapi mengapa Melisa boleh berubah sebegitu pantas.
Apakah yang telah mengubah Melisa? Mahani tidak ada jawapan untuk soalan itu.
“Sudah, tak payah kau nak berlakon kat sini. Duduk! Ada perkara
penting aku nak cakap dengan kau.” Ujar Datuk Hasanah. Mahani melabuhkan
punggungnya di sofa itu semula. Hatinya tertanya tanya apakah perkara penting
yang hendak disampaikan oleh Datuk Mahani kepadanya. “Aku rasa kau tahu pasal
kes kau kena tangkap khalwat dengan Sahiril kelmarin kan?” Soal Datuk Mahani.
“Mama, mestilah dia tahu. Dia yang rancang semua tu.” Ujar Sahiril.
“Apa yang awak cakap ni Sahiril? Apa maksud awak saya rancang
perkara tu?” Soal Mahani tidak faham. “Hei perempuan! Boleh tak kau berhenti
berlakon? Boleh tak kau buka topeng kau tu? Kau jangan nak buat drama kat sini
boleh tak?” Jerkah Melisa kemarahan. Terkedu Mahani pada waktu itu. Dia sama
sekali tidak tahu atas apa yang berlaku. Mengapa pula dia yang dituduh
merancang perkara itu.
Mengapa pula dia mahu mencemarkan maruah dirinya dengan cara
ditangkap khalwat bersama Sahiril. “Astaghfirullahalazim, apa Lisa cakap ni? Saya
tak pernah rancang semua ni. Buat apa saya nak rancang perkara yang boleh
merosakkan maruah saya sendiri.” Ujar Mahani mempertahankan diri. “Kau tu jenis
perempuan yang sanggup buat apa saja demi wang. Aku dah tahu Mahani. Semua tembelang kau dah
pecah. Kau tak
payah nak sorok lagi.” ujar Sahiril.
“Sahiril, siapa yang beritahu awak saya yang rancang semua ni? itu
semua fitnah. Awak jangan percaya cerita yang mengarut macam tu.” Ujar Mahani
lagi. “Sudah. Aku tak nak dengar apa apa lagi dari mulut kau. Kau dengar sini
baik baik Mahani. Kau jangan ingat kau boleh rampas harta aku. Aku akan
pastikan kau dan seluruh keluarga kau hidup menderita kalau perkara itu
berlaku.” Kata Datuk Hasanah.
“Datuk, demi Allah. Saya tak pernah buat semua tu. Jangan dengar
cerita yang bukan bukan.” Ujar Mahani yang sudah mula mahu menangis. “Kau
dengar sini baik baik Mahani. Dua minggu lagi perkahwinan kau dengan Sahiril
akan berlangsung. Sebelum kau berkahwin kau kena tandatangan dahulu satu
perjanjian.” Ujar Datuk Hasanah. “Perjanjian apa?” Soal Mahani.
Tiba tiba muncul seorang
lelaki dari arah dapur sambil membawa beberapa buah dokumen. “Ini Encik Jamil.
Dia peguam peribadi keluarga aku. Jamil, bagi dia baca perjanjian tu.” Arah
Datuk Hasanah. Encik Jamil menghulurkan sebuah dokumen kepada Mahani. “Kau baca
surat perjanjian itu.” Perintah Datuk Hasanah kepada Mahani. Mahani membaca
surat perjanjian itu.
Dalam surat itu ada menyebut bahawa tempoh perkahwinan Mahani hanya
dua tahun sahaja. Mahani juga tidak berhak untuk menuntut harta sepencarian selepas berpisah dengan Sahiril dan ada
beberapa lagi perkara yang perlu dia patuhi sepanjang perkahwinan itu berlangsung. “Saya rasa surat perjanjian ini berat
sebelah.” Ujar Mahani berani. “Habis tu kenapa? Kau tak nak tanda tangan surat perjanjian
tu? Kalau kau berani kau buatlah. Kau nak ke tengok kakak dengan anak kau tu
jadi mayat yang tak cukup sifat aku kerjakan?” tengking Datuk Hasanah
kegeraman.
Kecut perut Mahani mendengar ugutan Datuk Hasanah itu. Demi
keluarganya dia sanggup berkorban. “Sekarang kau tanda tangan surat perjanjian
tu.” Kata Datuk Hasanah sambil memberikan Mahani sebatang pen. Walaupun berat
hati Mahani mahu menurunkan tanda tangan pada perjanjian yang berat sebelah itu
namun dia terpaksa berbuat demikian untuk keselamatan ahli keluarganya.
Dia tidak mahu Mahmudah dan Irfan menjadi mangsa gara gara dirinya.
“Bagus, kau telah membuat pilihan yang bijak Mahani.” Ujar Sahiril sambil
tersenyum sinis. “Mulai hari ini kau kena buat persiapan pasal perkahwinan tu.
Kau tak perlu risau pasal perkara lain. Kau risau pasal diri kau saja. Sekarang
kau boleh berambus dari rumah aku. Perempuan sejijik kau tak layak langsung nak
masuk ke rumah aku. Keluar.” Jerit Datuk Hasanah.
Tanpa melengahkan masa, Mahani terus keluar dari rumah banglo itu.
Belum pernah lagi seumur hidupnya dia menerima penghinaan sebegitu rupa. Begitu
murah harga dirinya dipermainkan oleh Datuk Hasanah dan Sahiril. Mahani terus
berlari sambil menangis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.