Jumaat, 26 Februari 2016

BENARKAH RAKYAT MALAYSIA MALAS BEKERJA?


Sumber : Google


Riuh seluruh negara apabila kerajaan berhasrat untuk ‘menjemput’ 1.5 juta rakyat Bangladesh untuk bekerja di negara ini.

Ramai yang membantah kerana kedatangan warga Bangladesh itu bukan sahaja boleh menutup periuk nasi rakyat Malaysia malah akan meningkatkan kadar jenayah di negara ini yang sudah sedia meningkat.

Anak perempuan Timbalan Perdana Menteri telah membuat tuduhan dengan mengatakan bahawa rakyat Malaysia pemalas! Oleh sebab itu, (menurut anak TPM) bapanya perlu memanggil warga Bangladesh untuk bekerja di negara ini bagi mengisi kekosongan kerja yang ditinggalkan oleh rakyat Malaysia yang didakwa malas tadi.


Sejujurnya rakyat Malaysia bukanlah malas tetapi tidak ada kerja yang cocok dengan mereka.

Cocok di sini bukan bermaksud rakyat Malaysia ini memilih kerja. Tidak sama sekali! Cocok di sini adalah dari segi bayaran gaji dan faedah faedah yang boleh didapati daripada pekerjaan tersebut.

Pada hemat saya, rakyat Malaysia boleh sahaja bekerja sebagai pengawal keselamatan, tukang cuci, buruh kasar, dan banyak lagi kerja kerja yang biasa dibuat oleh warga Bangladesh yang datang bekerja di negara ini. Tetapi, akan timbul masalah, bolehkah mereka membina hidup mereka dengan hanya bergaji seperti mana yang diberi kepada warga Bangladesh itu?

Warga Bangladesh mungkin boleh hidup dengan gaji sebanyak RM400-RM500 sebulan tetapi tidak rakyat Malaysia yang menjadi warga bagi negara ini. Perlu diingatkan bahawa seluruh rakyat wajib menerima hidup yang sempurna di negara mereka sendiri. Bagaimana mereka mahu hidup dengan bekerja sebagai buruh kasar, tukang cuci, dan pengawal keselamatan dengan gaji yang rendah sebegitu lebih lebih lagi dengan peningkatan kos sara hidup yang tinggi sejak akhir akhir ini?

Jika kerajaan mahu rakyat Malaysia bekerja sebagai pengawal keselamatan, buruh kasar, tukang cuci dan pelbagai lagi kerja yang biasa dibuat oleh warga Bangladesh yang datang ke negara ini, kerajaan perlu memastikan gaji yang diterima oleh rakyat Malaysia hasil daripada melakukan kerja kerja tersebut membolehkan mereka hidup dengan selesa di negara ini.

Maksud hidup dengan selesa di sini adalah boleh membeli rumah mampu milik, mampu membeli kenderaan sendiri, mampu menyara keluarga sendiri dan mampu memberi barang barang keperluan harian.

Mengambil 1.5 juta warga Bangladesh untuk bekerja di negara ini bukanlah satu langkah yang bijak tetapi menyediakan pekerjaan dengan tawaran gaji yang baik di samping mengurangkan kos sara hidup adalah sebaik baik perkara yang kerajaan perlu buat pada masa kini.         



2 ulasan:

  1. Memang ramai yang malas kalau gaji murah tapi kerja berat kan cikgu etuza.

    BalasPadam
  2. Kalau dorang kerja seperti yang dinyatakan tu tak apa juga tapi tengok ada yang berniaga sana sini

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.