Sabtu, 5 Mac 2016

NOVEL PANTAI KASIH BUKAN NOVEL LUCAH!


Sumber : Google


Dalam beberapa bulan atau minggu lepas berlaku satu polemik tentang pemilihan novel Pantai Kasih sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS) oleh panel pemilih bagi Komponen Sastera (KOMSAS), Kementerian Pelajaran Malaysia.

Novel yang ditulis oleh Azmah Nordin itu dikatakan terpalit dengan unsur lucah dan menonjolkan hubungan negatif antara doktor dan jururawat.

Jujur saya tidak berpeluang membaca novel itu tetapi dari bacaan bacaan saya, hanya perenggan di bawah ini sahaja yang dikatakan membawa unsur lucah atau erotik itu :

Bagaikan tifdak dapat ditangguhkan lagi, Doktor Sadiz sudah tidak mampu mengawal nafsunya. Raiha sudah menjadi mangsa kerakusannya. Tanpa sebarang perencanaan dan tanpa kerelaan Raiha, terlucutlah sel daripada genetik ‘istimewa’ milik Doktor Sadiz ke dalam badan Raiha. Sel ‘istimewa’ itu pula langsung berenang untuk menemui dan bersenyawa dengan ovum yang sihat lagi subur di dalam rahim Raiha. Lalu terhasillah zigot yang berubah sesuai dengan proses pembesaran, dari bulan ke bulan. Proses pembesaran yang berlaku di dalam perut Raiha.  (disalin-tampal dari blog nizambakeri.wordpress.com)


Jika saya membaca perenggan ini sebanyak sepuluh kali pun, saya tidak langsung menganggap perenggan ini lucah. Saya tidak tahu di mana unsur lucah atau erotik di dalam perenggan ini.

Bagi saya, penulisan yang lucah atau erotik adalah penulisan yang mampu menaikkan syahwat pembaca. Soalan saya, dengan membaca perenggan itu, adakah syahwat pembaca boleh dinaikkan dengan serta merta? Saya membaca perenggan itu berkali kali, sedikit pun syahwat saya tidak naik! Jadi, dimanakah dikatakan novel ini lucah?

Membaca novel Pantai Kasih yang didakwa lucah ini tidak sama seperti kita membaca novel Gantung karya Nadia Khan atau novel KL Zombie karya Adib Zaini (kedua dua novel ini adalah terbitan Fixi). Membaca kedua dua novel ini mungkin boleh menaikkan syahwat sesetengah orang dan saya bersetuju jika ada yang mengatakan bahawa kedua dua novel itu adalah novel lucah. Jika berbicara tentang novel Pantai Kasih itu, saya belum lagi boleh meletakkan novel itu sebagai novel lucah.

Mahu baca novel yang lebih lucah? Baca novel Sutan Baginda atau novel Tivi karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Novel ini memang ada unsur lucah dan erotiknya. Jika Sasterawan Negara pun boleh terbabas dalam menulis novel sebegitu, inikan pula penulis biasa. Namun, dengan tegas saya mengatakan, Azmah Nordin tidak menggarap apa apa yang lucah dalam novel Pantai Kasih itu.  

Jujur saya bukan mempertahankan kelucahan dalam mana mana novel lebih lebih lagi yang akan dibaca oleh pelajar pelajar tingkatan 4 tetapi bagi saya, tuduhan terhadap novel ini terlalu berat dan tidak wajar sama sekali.

Dan saya bersyukur kerana pihak Kementerian Pelajaran tidak menarik balik novel Pantai Kasih ini untuk dijadikan teks KOMSAS untuk pelajar tingkatan empat. 

1 ulasan:

  1. Perenggan itu sebenarnya mampu merangsang imaginasi dan fantasi. Cuma berapa markah 'lucahnya' tidak lah diketahui hehe

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.