Sumber : Google |
Keluarga adalah institusi asas yang membentuk
masyarakat. Jika institusi asas ini hancur kerana tidak dijaga dengan baik,
maka masyarakat pun boleh terheret sama dalam kancah kehancuran tersebut. Oleh
itu, pada pandangan saya, antara salah satu cara untuk menjaga institusi
keluarga adalah dengan saling menghormati antara satu sama lain.
Konteks hormat ini bukan hanya ditujukan kepada
anak dengan ibu bapa sahaja tetapi juga mesti ditujukan dalam konteks ibu bapa
dengan anak sama. Maksudnya di sini, bukan anak sahaja yang mesti menghormati
ibu bapa seperti yang sepatutnya, ibu bapa juga mesti menghormati anak seperti
yang sepatutnya. Bagaimana anak mahu menghormati ibu bapa jika ibu bapa sendiri
tidak pandai menghormati anak? Ingatlah, pepatah Melayu ada menyebut :
bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Jika kita imbas kembali segala masalah sosial
yang berlaku pada hari ini sebahagian besarnya adalah berpunca daripada
keluarga. Oleh kerana keluarga sendiri itu gagal menjadi keluarga yang baik,
maka anak anak secara tidak langsung telah dihinggapi dengan penyakit yang
tidak baik. Anak anak memprotes dengan cara mereka sendiri dengan menggunakan
kaedah yang salah sebagai menunjukkan sikap pesimis mereka terhadap kegagalan institusi
keluarga tersebut.
Oleh sebab itulah, amat penting institusi
keluarga ini perlu dipelihara dengan sebaik mungkin. Nilai nilai yang baik
mesti diterapkan oleh ibu bapa kepada anak anak. Ibu bapa itu sendiri pun
mestilah mempunyai nilai nilai yang baik sebelum menerapkan nilai nilai
tersebut kepada anak anak. Bagaimana ibu bapa mahu menerapkan nilai nilai yang
baik kepada anak anak sekiranya mereka sendiri tidak mempunyai nilai nilai yang
baik?
Antara nilai nilai yang baik tetapi selalu
dilupakan oleh ramai ibu bapa adalah nilai hormat menghormati. Ibu bapa sering
berkata bahawa anak anak mesti menghormati mereka namun adakah mereka telah
menghormati anak anak mereka sendiri? Bagaimana mereka mahu menjangkakan anak
anak mereka mahu menghormati mereka sedangkan mereka sendiri tidak menghormati
anak anak mereka?
Apakah yang saya maksudkan dengan nilai hormat
menghormati itu? Saya wajar berikan contoh untuk memberi kefahaman kepada anda
semua. Katakan anak anda sedang memberitahu tentang sesuatu perkara kepada anda
dan anda tidak dengar apa yang anak anda cuba sampaikan, tolong jangan memarahi
mereka atau meninggikan suara kepada mereka. Bertanya dengan nada suara yang
elok terlebih dahulu. Jika di peringkat awal anda sudah memarahi mereka, usaha
mereka untuk memberitahu kepada anda tentang sesuatu perkara itu akan
terbantut. Akibatnya, mereka sudah tawar hati untuk memberitahu perkara
tersebut kepada anda di samping hati mereka akan berasa sakit dan kecewa.
Jika anda ingin menyuruh anak anak anda
melakukan sesuatu, suruhlah dengan baik menggunakan nada suara yang rendah dan
sopan. Jangan sesekali menyuruh anak anda seperti anak anda itu orang gaji atau
hamba sahaya anda. Jika anda menyuruh mereka dengan kasar, mereka akan terguris
hati lalu rasa sakit dan kecewa akan wujud dalam hati mereka.
Apabila anda acapkali berbuat sedemikian, lama
kelamaan rasa sakit dan kecewa itu akan melekat dan bersarang dalam sanubari
anak anak anda. Lalu menimbulkan rasa marah dan dendam di atas perbuatan anda
itu. Anda telah berlaku tidak adil dan tidak menghormati anak anak anda. Lalu
terbentuklah satu aliran pemikiran dalam diri mereka untuk sama sama tidak mahu
menghormati anda sebagai ibu bapa.
Jangan sesekali salahkan mereka jika mereka
menjawab atau melawan teguran anda. Jangan salahkan mereka juga jika mereka
tidak pandai menghormati anda. Itu bukan salah mereka tetapi itu adalah salah
anda kerana anda tidak pandai menghormati diri mereka sebagai seorang anak.
Anda terlalu ego kepada anak anak kerana anda fikir anda yang berkuasa ke atas
diri anak anak anda.
Setiap manusia di dalam dunia ini dijaminkan
hak mereka sama ada di dalam agama atau di dalam undang undang negara. Hormati
hak itu. Jika hak hak ini tidak dihormati, tindak balas yang tidak baik akan berlaku.
Jangan terkejut jika ada anak sanggup menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang
tua tua. Bukan kerana mereka benci kepada ibu bapa mereka tetapi mereka marah
di atas sikap ibu bapa mereka yang tidak pandai menghormati mereka sewaktu
mereka kecil dan remaja dahulu.
Keluarga yang baik adalah keluarga yang
menitikberatkan nilai menghormati dan nilai kasih sayang dalam pentadbiran
kekeluargaan. Jika dua nilai ini dilanggar, maka kesan kesan yang tidak baik
sama ada berlaku kepada keluarga tersebut atau berlaku kepada anak anak
tersebut boleh terjadi. Jadi, mulai sekarang, belajarlah untuk menghormati ahli
keluarga sendiri seperti mana kita belajar untuk menghormati orang lain.
Benar sekali. Sifat hormat menghaormati sesungguhnya bermula dari diri kita, dari rumah dan keluarga barulah kepada masyarakat..:)
BalasPadamartikal yang sungguh manfaat,Terima kasih
BalasPadam