Khamis, 26 Mac 2015

HIDUP LELAKI MUSNAH KERANA CINTA SEORANG PEREMPUAN (Bahagian dua)

Sumber : Google

Entri ini adalah sambungan daripada entri semalam. Masih ingatkah anda pada kawan lelaki saya yang pengsan di dalam kelas kerana tidak tahan dengan tekanan putus cinta itu? Dia sekarang sudah pun mendapat teman pengganti. Ternyata hubungan cinta dengan teman wanitanya dahulu hanyalah cinta monyet semata mata. Saya sendiri tidak tahu apakah hubungannya dengan gadis baru ini akan kekal lama atau akan putus di tengah jalan. Harapan saya semoga hubungan itu boleh bertahan sehingga ke jinjang pelamin.

Bercakap tentang kawan lelaki saya yang bercinta dengan gadis yang queen control itu, saya berasa kasihan melihatnya. Masakan tidak, sudah banyak pengorbanan telah dia tabur kepada gadis itu. Dia pernah berbalah dengan teman rapatnya kerana gadis itu. Saya masih ingat lagi, dia sanggup menghantar makan malam ke rumah gadis itu pada pukul 12 tengah malam semata mata kerana cintanya kepada gadis itu walaupun dia masih keletihan setelah seharian meredah hutan untuk satu aktiviti kelab yang disertainya.

Dia juga sanggup berhenti merokok kerana gadis itu memandangkan gadis itu tidak suka pada perokok. Saya melihat sendiri dengan mata saya bagaimana seksa dirinya menahan diri daripada menghisap rokok. Namun digagahinya juga semata mata kerana sayang akan gadis itu. Tetapi, oleh kerana satu kesilapan yang tidak disengajakan, gadis itu meninggalkan dirinya dan bercinta pula dengan lelaki lain.  Ternyata segala pengorbanannya selama ini terhadap gadis itu sia sia belaka.


Kawan saya yang bercinta dengan pelajar junior itu lagi rumit kisahnya. Dia terlalu percaya bahawa gadis itu adalah bakal isterinya. Kepercayaan itu didasari atas pertemuannya dengan gadis itu di dalam mimpi selama dua minggu! Menurutnya (entah betul entah tidak), setiap kali dia beristikharah tentang jodohnya, wajah gadis itu akan muncul dalam mimpi mimpi malamnya.

Kawan lelaki saya ini agak ‘kompleks’ sikapnya. Dia sering meminta pendapat saya setiap kali dia menceritakan masalah cintanya. Apabila saya memberi pendapat, dia menyanggah pula. Dia menyanggahnya atas alasan dia telah mendapat pendapat yang lebih bagus daripada ‘pakar’ dan atas kepercayaan serta keyakinan yang tinggi pada mimpi mimpinya itu.

Sekarang dia sedang ‘berkelahi’ dengan gadis itu. Hubungannya dengan gadis itu retak sejak dia melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya dia lakukan. Saya sendiri pun terkejut atas apa yang dia lakukan. Dia adalah seorang penyokong PAS tulen, peminat tegar Allahyarham Nik Aziz Nik Mat, tidak pernah tinggal solat, acapkali ke surau untuk menunaikan solat Maghrib dan Isya’ tetapi boleh melakukan perbuatan ‘terkutuk’ seperti itu. Bukan sahaja saya malah gadis itu pun tidak menyangka dia boleh bertindak sejauh itu.

Justeru itu, gadis tersebut menjarakkan dirinya dengan kawan saya. Whatsapp yang biasanya dibalas secara panjang berjela kini dibalas dengan ayat yang pendek pendek sahaja. Lawak lawak ‘cinta’ gadis itu yang menemani tidur kawan saya di malam hari sudah tidak ada lagi. Itulah yang membuat kawan saya tidak keruan. Dia tidak mahu berpisah dengan gadis itu kalau boleh. Dia terlalu percaya bahawa gadis itu adalah jodohnya.  

Apa yang membuatkan kepala saya pening adalah diri kawan saya itu. Dia mengatakan gadis itu sudah mula dingin dengannya tetapi sentiasa rindukannya (saya tidak tahu betul atau tidak). Ini kerana, setiap kali dia membawa tweet tweet gadis itu di Twitter, dia perasan gadis itu seolah olah bercakap tentang dirinya dan hubungan mereka. Dia sering berperasaan begitu tetapi hakikat sebenar tidaklah dia ketahui.

Pusing kepala saya memikirkan masalah mereka walaupun itu bukan masalah saya. Saya yang tidak ada kena mengena turut terheret sama dalam kancah percintaan mereka. Setiap kali saya bertemu dengan kawan saya itu, hubungan cintanya dengan gadis itulah yang menjadi topik perbualan utama. Saya seboleh boleh tidak mahu campur tangan tetapi memandangkan dia selalu menceritakan hal itu kepada saya, sedikit sebanyak saya tercampur jua. Sekarang saya tidak tahu apa perkembangan hubungan mereka kerana kawan saya itu pun sudah agak lama tidak menghubungi saya. Serasa saya, hubungan mereka masih tetap begitu juga.

Ada banyak cerita sebenarnya tentang kawan kawan lelaki saya yang ‘hidup’ dalam alam percintaan itu. Jika dicerita satu demi satu, wajarlah saya tulis novel sahaja kisah mereka itu sementelahan saya juga ada menulis novel dalam blog ini. Tetapi di ruang yang terhad ini, cukuplah saya menulis dengan seadanya. Jika ditulis panjang lebar nanti, tidak ada pula orang yang mahu membacanya.   

Berdasarkan cerita cerita cinta kawan lelaki saya itu, saya boleh membuat satu kesimpulan. Jodoh dan pasangan kita adalah ditentukan oleh Allah jua. Bagaimana kita usaha sekalipun untuk memenangi atau mendapat seorang gadis untuk menjadi teman hidup kita, namun jika tidak diizinkan Allah, semua itu hanya sia sia belaka.

Walaubagaimanapun, kita perlu berusaha untuk mencari jodoh dan teman hidup kita. Kemudian kita perlu berdoa, bertawakkal dan berserah kepada Allah – Tuhan Pentadbir Sekalian Alam. Hanya Allah yang tahu apa yang terbaik untuk kita. Jika kita telah berusaha, berdoa, dan bertawakkal, terpulanglah kepada Allah untuk memberi kita yang mana. Ingatlah, setiap pemberian Allah itu adalah yang terbaik untuk kita. Kita perlu terima dengan penuh keredhaan ketentuan Allah itu.

Saya berharap agar entri yang saya tulis ini bolehlah memberi sedikit pengajaran kepada pembaca semua tentang kisah kisah kehidupan yang saya paparkan dalam blog ini. Saya menulis ini bukan untuk mengaibkan sesiapa tetapi untuk memberi sedikit tauladan kepada pembaca semua agar jangan jadi seperti kawan kawan saya itu. Jika tidak, tidak tentu arah jadinya….


3 ulasan:

  1. Kisah cinta ini kekadang melalaikan kita, sewajarnya kita lebih berhati-hati dan lebih baik mengharapkan Cinta Ilahi...

    BalasPadam
  2. Cinta sesama manusia kdg2 mmbawa kekecewaan..tp cinta pd Allah..mmbawa ke syurga...hihihih

    BalasPadam
  3. Okey,done baca sampai akhir.kesimpulannya,memang putus cinta tu sakit.dah banyak kali rasa dah.tapi kena kuatkan semangat dan beringat bahawa kalau dia jodoh kita,takkan ke mana sakitnya tu.kalau bukan jodoh pun,kesakitan tu akan hilang juga.

    pasal kawan yang bercinta dengan junior tu,rasanya kalau akak di tempat si perempuan,sampai bila-bila pun takkan bercinta semula dengan lelaki tu.maafkan boleh tetapi untuk sayang kembali,no no no..

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.