Rabu, 1 Oktober 2014

BLOGGER MNH BERPERANG DENGAN BLOGGER HASRUL HASSAN?


         Sejujurnya saya mendapat ilham untuk menulis entri ini ketika saya membaca entri yang ditulis di dalam blog abang Hasrul Hassan pagi tadi iaitu Jiwa Kental Seorang Blogger yang membicarakan tentang perbalahan yang berlaku antara blogger. Bukan niat saya menulis entri ini untuk membelasah atau bergaduh dengan blogger Hasrul Hassan itu. Saya belum gila lagi untuk bergaduh dengan blogger otai dan dianggap ‘sifu’ dalam dunia blogging itu. Tambahan pula, banyak ilmu yang saya  dapat dari blog dia dan dia juga sering menjawab pertanyaan dan membantu saya dalam dunia blogging ini. Tidak pantas rasanya blogger kecil seperti saya mahu berbalah dengan blogger besar sepertinya.

          Apa yang hendak saya lontarkan dalam entri kali ini ialah tentang perbalahan yang berlaku antara blogger pada masa kini. Seingat saya, sejak saya menulis puisi Blogger Yang Sombong beberapa hari yang lepas, ramai blogger yang meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada blogger yang lain. Terbaru blogger Suria Lekat Lekit meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada seorang blogger popular yang tidak mahu melayan pertanyaannya di dalam Facebook tentang menulis kerja amal di blog.


           Pernah juga berlaku pergaduhan antara blogger Kickdefella dengan blogger Merah Tinta MSO kerana isu ternakan kambing Jamnapari di Kelantan tidak lama dahulu. Pergaduhan kedua dua blogger politik gergasi ini mendapat tindak balas yang sangat dahsyat di kalangan blogger blogger politik. Untung sahaja saya tidak aktif berblog pada waktu itu, jika tidak sudah pasti saya turut ikut campur dalam urusan pergaduhan itu.

        Perasaan tidak puas hati, bergaduh, berperang dan berselisih pendapat ini adalah perkara biasa dalam hidup manusia. Bukan sahaja blogger, ulamak ulamak Islam sendiri pun ramai yang bercanggah pendapat tentang sesuatu perkara. Sebagai contoh, tidak lama dahulu berlaku perselisihan pendapat antara Presiden Persatuan Ulamak Sedunia, Dr. Sheikh Al – Qaradawi dengan Syeikh Universiti Al Azhar Mesir iaitu Allahyarham Dr. Syed Al – Tantawi berkenaan penutupan pintu sempadan Mesir – Palestin. Dr. Syed Al – Tantawi mengeluarkan fatwa supaya pintu sempadan Mesir – Pelestin itu ditutup untuk menjaga keselamatan Mesir menyebabkan rakyat Palestin tidak boleh masuk ke Mesir dan pandangan itu disanggah oleh Dr. Sheikh Al – Qaradawi.

          Kaum kaum penulis di negara ini pun sentiasa bercanggah pendapat antara satu sama lain. Sasterawan Negara Prof. Shahnon Ahmad pernah berselisih pendapat dengan Yahaya Ismail berkenaan isu teori kritikan sastera Timur dan Barat sehingga berlarutan dalam jangka masa yang lama dalam majalah Dewan Sastera. Penulis buku politik nombor satu Malaysia, S. H. Alattas sendiri pun pernah bergaduh dengan Yahaya Ismail (penulis buku politik popular) ketika tahun 80an dahulu semasa perpecahan UMNO kepada Team A dan Team B sehingga membawa kepada penubuhan Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaliegh Hamzah. S. H. Alattas menyokong UMNO Baru pimpinan Dr. Mahathir manakala Yahaya Ismail menyokong Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaliegh Hamzah.  

       Kita jangan berasa hairan melihat blogger blogger ini ‘berperang’ kerana ulamak dan penulis besar besar pun berselisih pendapat sesama mereka. Masing masing mempunyai ilmu dan pendapat sendiri dan kita mesti meraikan perbezaan pendapat seperti kata orang putih : we must agree to disagree (bersetuju untuk tidak bersetuju). Perbezaan pendapat adalah baik sebenarnya kerana akan mencetuskan daya pemikiran dan meningkatkan intelektual di kalangan blogger.

         Pernah suatu ketika seorang Professor dari Armenia bertanya kepada Mark Zuckerberg : Bagaimana anda boleh terfikir untuk menghasilkan Facebook? Tahu apa Zuckerberg jawab : freedom (kebebasan) and debates (perdebatan)! Without freedom and debates, even one word, you cannot think and you cannot imagine.  

           Oleh itu, kita mesti meraikan perbezaan pendapat yang berlaku antara blogger. Walaubagaimanapun, perbezaan pendapat tidak boleh disuburkan jika melibatkan caci maki, saling menjatuhkan, memfitnah dan membalas entri penuh kemarahan. Masalah orang kita ialah, apabila berlaku perselisihan pendapat, kita sering melakukan perkara itu. Kita membongkar segala keaiban dan kejahatan orang tersebut sehingga mencetuskan permusuhan di kalangan kita. Oleh sebab itulah, mengapa orang Islam di Malaysia lebih suka bermusuhan akibat perbezaan ideologi politik walaupun mereka satu bangsa dan satu agama.

        Saya bukan menyuruh para blogger ini bergaduh tetapi saya menggalakkan perbezaan pendapat tersebut tetapi mesti mengikut lunas lunas yang baik. Jangan kerana kita berbeza pendapat, kita bermusuhan sehingga memutuskan silaturrahim sesama kita. Jangan kerana berbeza pendapat, kita membongkarkan segala keaiban dan membuat serangan peribadi. Jangan kerana berbeza pendapat juga, kita mendapat dosa fitnah dan caci maki sesama sendiri. Nasihat saya, marilah kita meraikan perbezaan pendapat ini untuk meningkatkan daya inteletual kita sebagai orang Islam yang maju dan berjaya.


8 ulasan:

  1. ignore je blogger mcm tu.

    scra peribadi sy dapati rmai blogger otai @ pernah menang 1 anugerah peringkat Malaysia, sudah x boleh dijentik.

    kekadang, blogger lain x jentik pun, mereka cepat terasa dan mula upload entry yg kononnya untk reply entry blog kita bagi menaikkan tumpuan blogger kpd blog mereka. Apakah mereka ulul azmi, sampai x blh d jentik.

    BalasPadam
  2. benda ni normal.

    dari tahun 2003 dulu dah macam ni. Benda ni berulang aje setiap tahun.

    BalasPadam
  3. betul tu...tak salah untuk menyuarakan pendapat..tetapi perlu lah ikut cara yang betul... :)

    BalasPadam
  4. susah untuk kita puaskan hati semua pihak.. so better abaikan kata-kata tin kosong yang langsung tak membantu kita untuk terus bertapak dan memajukan diri... InsyaAllah apa yang berlaku ada hikmahnya...

    BalasPadam
  5. Zumal pun sedang berperang nie. Tak tahu lagi siapa nak menang. Hehe ^_^

    BalasPadam
  6. berperang melatih diri untuk lebih kreatif mungkin...abaikan negativity, spread the positivity! Peace :D

    BalasPadam
  7. menyuarakan pendapat tak salah... moganya ada hikmah kebaikan setiap pekara yang berlaku

    BalasPadam
  8. Begitulah asam garam kehidupan, blog hanya sebagai medium paling mudah meluahkan dan menyebar pendapat masing-masing..

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.