Sabtu, 15 Februari 2014

CERPEN : TERGELINCIR KE PINTU NERAKA

Sumber : Google

     Haryati melekap erat erat bantal peluk yang panjangnya hampir separuh dari dirinya dan berwarna merah hati itu di telinga kanannya. Dia membaringkan tubuhnya di atas katil di bilik tidurnya. Dia tidak mahu mendengar apa yang berlaku di luar biliknya. Kalau boleh dia mahu menjadi tuli. Dia lebih suka menjadi orang tuli atau pekak. Dia tidak mahu mendengar suara ibunya berleter sepanjang hari. Dia tidak mahu mendengar bebelan ayahnya pada hari itu. Justeru itu, dia berusaha untuk ‘menulikan’ telinganya daripada mendengar suara suara ibu bapanya. 
     “Awaklah punya pasal. Awak selalu sangat sibuk dekat butik awak. Cuba sesekali awak tengok dia kat rumah. Kalau awak selalu ada kat rumah sudah pasti perangai dia tak macam tu.” Tinggi suara Hafzan – bapa Haryati memarahi ibunya.

    “Awak asyik nak salahkan saya saja. Habis awak tu, asyik ada mesyuarat saja dua puluh empat jam. Langsung tidak mahu melihat anak isteri kat rumah.” Bidas Rosmah – ibu Haryati pula.
    “Saya ni sibuk. Perniagaan saya besar. Saya ada banyak kerja kat pejabat tu. Perniagaan awak bukan besar mana pun. Saya rasa boleh je awak luangkan masa awak kat rumah dari duduk kat butik tu.”
     “Habis awak ingat saya ni tak sibuk. Siapa cakap perniagaan saya tak besar? Siapa cakap kerja saya tak banyak? Saya kena siapkan banyak tempahan sekarang ni. Lebih lebih lagi bila cuti sekolah nak dekat ni. Banyak orang tempah baju pengantin kat butik saya.”
     “Kalau dua dua sibuk, siapa nak tengok dia kat rumah? Cuba awak tengok perangai dia sekarang. Selalu sangat keluar rumah lepas tu balik bila dah jauh malam. Kalau ada apa apa jadi, siapa yang susah?”
     “Manalah saya tahu. Saya pun ada kerja yang nak dibuat. Bukannya nak hadap muka dia seorang saja. Banyak benda yang saya nak uruskan kat butik tu.”
     Oleh sebab itulah mengapa Haryati berusaha untuk tidak mahu mendengar kata kata kata ayah dan ibunya yang sedang rancak bertengkar. Mereka lebih sibuk menguruskan perniagaan mereka daripada menguruskan dirinya yang merupakan anak tunggal dalam keluarga tersebut. Sebab itu, dia lebih suka keluar berpeleseran bersama rakan rakannya daripada asyik terperap di rumah seperti katak di bawah tempurung.
     “Haryati, dengar sini baik baik. Ayah tak nak kamu keluar lepas tu balik malam malam macam ni lagi. Faham?” Soal Hafzan dengan suara yang tinggi setelah merempuh masuk ke bilik Haryati.
     “Tapi kalau saya tak keluar, saya nak buat apa kat rumah ni? Saya bosan. Ayah dengan ibu selalu sangat sibuk.” Bentak Haryati.
    “Ikut saja arahan ayah. Jangan nak menjawab. Kalau kamu tak suka dengan cara ayah, berambus dari rumah ni. Orang bagi dia makan, dia nak menjawab cakap kita pula.” Ujar Hafzan.
     Itulah yang selalu diucapkan oleh ayahnya. Apabila marah Hafzan pasti akan mengungkit segala apa yang telah diberikan walaupun kepada anak kandungnya sendiri. Dia juga selalu sangat menggunakan perkataan ‘berambus dari rumah’ jika Haryati membantah kata katanya. Itulah perkataan yang tidak disukai oleh Haryati. Itulah sikap ayahnya yang dibenci oleh Haryati. Semakin lama perasaan tidak suka itu berubah menjadi perasaan benci kepada ayahnya sendiri.
     Keesokan paginya, Haryati tersedar dari tidur sekitar pukul sembilan pagi. Sejak menamatkan zaman persekolahan dan menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysianya keluar Haryati hanya duduk di rumah sahaja. Itu amat membosankan dirinya. Apabila dia mahu bekerja, ibunya tidak membenarkan dengan alasan takut dia bercampur dengan budak budak tidak senonoh. Oleh itu, suka atau tidak dia perlu terperap sahaja di rumah itu.
     Ketika dia dalam keadaan terpisat pisat itu, kerana baru tersedar dari tidur, dia mendapat panggilan daripada Nadia – rakan satu sekolahnya. Nadia mengajaknya keluar dan ingin memperkenalkannya dengan seseorang. Memandangkan ibu bapanya sudah keluar bekerja, jadi dia mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Nadia. Dia lantas mencapai tuala putih berbelang oren dan berlari ke bilik mandi untuk membersihkan diri.
     Setelah mandi dan bersiap, dia lantas mencapai kunci motosikalnya dan menuju ke Pertama Complex yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman. Ketika dia sampai, dia melihat Nadia sedang menunggunya di sana. Nadia memakai baju berwarna hitam. Begitu juga dengan seluarnya. Matanya juga disapu dengan celak hitam. Sungguh aneh pakaian Nadia pada waktu itu. Setahunya, imej Nadia bukan begitu.
     “Lama aku tak jumpa kau. Alih alih kau telefon aku ajak keluar. Ke mana kau menghilang selama ini? Senyap je…langsung tak dengar khabar berita.” Haryati bertanya.
     “Aku ada je kat Kuala Lumpur ni cuma aku sibuk sikit. Aku ada kerja yang kena buat. Kau apa khabar? Sihat?” Soal Nadiah pula.
     “Aku memang sihat cuma hati aku ni je yang tak sihat.” Jawab Haryati.
     “Kenapa pula? Apa yang dah berlaku?”
     “Kau tahu je la mak ayah aku tu. Asyik sibuk memanjang. Langsung tak nak layan aku kat rumah. Aku nak kerja dia orang tak bagi. Aku keluar dia orang marah.”
     “Biasalah tu. Bukan mak bapak kau je. Mak bapak aku pun dua kali lima juga. Asyik nak membebel je. Dia orang kata aku pemalas la, apa la. Malas aku nak duduk rumah. Lebih baik aku keluar.”
     “Kadang kadang aku sendiri tak faham dengan fiil mak bapak aku ni. Dia orang ingat aku ni robot ke? Asyik nak ikut cakap dia orang je.”
     “Sudahlah. Tak payahlah kita nak fikir pasal dia orang. Buang masa je. Lebih baik kita cari hiburan. Aku nak perkenalkan kau dengan seorang mamat tampan ni. Kalau kau tengok dia, mesti kau cair punya.”
     “Yakah? Tak sabar aku. Mana dia?” Soal Haryati
     “Kejap lagi dia sampai.” Jawab Nadiah.
     Beberapa minit kemudian, muncul seorang lelaki yang berpakaian seperti Nadia. Betul seperti yang Nadia katakan. Lelaki itu memang tampan. Wajahnya hampir sama dengan Shukri Yahaya – pelakon tampan yang semakin meningkat naik itu.
     “Hai semua. Maaf saya lambat. Jalan sesak tadi.” Ujar lelaki itu sambil menghulurkan tangannya kepada Haryati dan Nadia. Mereka berdua menyambut huluran salam dari lelaki itu.
     “Haryati, inilah mamat yang aku cakap tu. Nama dia Hairi. Dia tua dua tahun dari kita.” Ujar Nadia sambil memperkenalkan Haryati kepada Hairi.
     “Nadia, kenapa tak cakap yang awak ada kawan yang secantik ni?” Soal Hairi sambil memandang ke arah Haryati.
     Haryati tersipu sipu mendengar pujian ikhlas dari Hairi itu. Mana tidaknya, seorang lelaki tampan memuji dirinya. Bukan mudah sebenarnya untuk mendapat pujian dari lelaki yang tampan seperti Hairi.
     “Mana ada cantik. Biasa biasa saja.” Balas Haryati malu.
     “Janganlah merendah diri sangat. Awak memang cantik.” Puji Hairi lagi.
     “Sudah! Sudah! Jangan nak bercintan cintun kat sini.” Nadiah mula kacau daun dan potong jalan.
     “Saya ada beli air untuk awak berdua. Minumlah. Saya tahu awak berdua mesti dahaga kan? Sekarang cuaca memang panas.” Ujar Hairi sambil menyerahkan sebotol air mineral sejuk kepada Nadia dan sebotol lagi kepada Haryati.
     Haryati yang sememangnya dahaga itu akibat cuaca panas melampau yang melanda Malaysia dewasa ini lantas mengambil air mineral itu dari tangan Hairi. Tanpa membaca ‘Bismillah’ dia lantas meneguk air mineral itu hampir setengah botol habis.
     “Dahaga betul nampak. Nasib baik saya beli air kalau tak dah lama awak mati kehausan.” Hairi mengusik.
     “Cuaca panas sangat. Terima kasih sebab tolong belikan air ni.” Ucap Haryati.
     “Sama sama.” Balas Hairi.
     “Kita nak pergi mana ni Hairi?” Soal Nadia.
     “Hari ni Joe ajak kita lepak kat rumah dia. Jom.” Hairi mempelawa.
     “Haryati, kau tak ada kerja nak buat sekarang kan? Jom ikut kita orang pergi rumah Joe. Kita lepak lepak kat sana.” Ujar Nadiah.
     “Joe tu siapa?” Soal Haryati ingin tahu.
     “Joe tu kawan kita orang juga. Jomlah. Kalau kau duduk rumah pun bukan ada apa. Mak bapak kau kerja.” Kata Nadiah.
    “Okeylah. Kalau duduk rumah pun bukannya ada apa.” Haryati memberi persetujuan.
     “Kau orang tinggalah motorsikal kau orang kat sini. Kita pergi naik kereta saya je. Jimat sikit minyak. Petang nanti saya hantar balik kat sini.” Hairi berkata.
     “Okey!” Nadiah dan Haryati bersetuju.
    Haryati dan Nadiah menaiki kereta Honda Accord milik Hairi untuk ke rumah kawan mereka yang dipanggil Joe itu. Perjalanan yang mengambil masa selama 45 minit itu akhirnya sampai ke sebuah rumah banglo yang agak besar dan terpencil sedikit dari rumah orang lain. Rumah banglo itu kelihatan suram dan amat menyeramkan terutama dilihat pada waktu malam.
     Apabila kereta Hairi memasuki halaman rumah itu, kelihatan beberapa buah kereta dipakir di situ. Ada empat belas buah kereta semuanya dan terdiri dari pelbagai jenis. Hairi memakirkan keretanya di belakang sebuah kereta berwarna merah yang tidak diketahui namanya oleh Haryati namun pada hematnya kereta itu barangkali kereta buatan luar negara.
     “Jom. Kita dah sampai.” Ujar Hairi. Haryati dan Nadia mengekori Hairi masuk ke dalam rumah banglo itu.
     “Kita nak buat apa kat sini?” Soal Haryati kepada Nadia.
     “Kita nak lepak lepak la. Takkan nak pergi berperang kot.” Jawab Nadia.
     Apabila kaki Haryati melangkah masuk ke dalam rumah itu, dia mendengar muzik rock yang agak kuat. Kelihatan beberapa orang lelaki dan perempuan sedang menari nari seolah olah mereka tidak sedar diri. Ruang yang dimasuki oleh Haryati itu kelihatan seperti ruang tamu sebuah rumah kerana terdapat beberapa buah sofa di situ. Keadaan di dalam rumah itu agak gelap dan hanya diterangi oleh beberapa batang lilin.
     Apa yang lebih menyeramkan, di dinding rumah itu terdapat beberapa lambang yang tidak difahami oleh Haryati antaranya lambang salib terbalik, lambang tengkorak, lambang kepala kambing bertanduk dua yang dilukis dengan sangat menyeramkan. Terdapat juga lambang bintang bersudut lima seperti yang pernah dilihatnya di bendera negara Israel.  
     Haryati memandang ke arah kumpulan wanita dan lelaki yang sibuk menari itu. Kesemua mereka memakai pakaian yang berwarna hitam. Wajah mereka juga disapu dengan cecair yang berwarna hitam. Kebanyakkan mereka menari seperti tidak sedar diri atau boleh dikatakan sebagai dirasuk. Muzik rock yang berkumandang itu amat membingitkan telinga.
     “Hoi! Apa yang kau tercengang cengang tu?” Soal Nadia sambil menyiku lengan Haryati.
     “Kita kat mana ni? Kenapa dia orang macam tak sedar diri je. Aku takut la Nadia. Aku nak balik. Hantar aku balik sekarang.” Ujar Haryati separa merayu.
     Hatinya sudah diserang rasa takut yang amat sangat. Dia begitu gementar apabila melihat manusia manusia yang berada di rumah itu. Wajah mereka boleh disamakan seperti syaitan! Dia takut.
    “Kau nak takut apa? Dia orang ni semua, orang juga. Bukan hantu. Dia orang tengah berzikir tu.” Kata Nadiah.
    “Berzikir? Zikir apa kalau macam tu? Aku tak pernah tengok orang berzikir macam ni.” Kata Haryati. Walaupun dia jarang menunaikan solat apatah lagi berzikir, namun dia tahu bagaimana jika orang Islam berzikir. Dia pernah lihat di televisyen dan di sekolahnya.
     “Itulah yang kau tak tahu. Ini zikir cara baru. Kau ni ketinggalan zaman betullah. Dah la tu. Jom kita pergi jumpa Joe.” Nadia menarik tangan Haryati dan membawanya ke sebuah bilik. Hairi yang bersama mereka tadi sudah menyertai kumpulan wanita dan lelaki yang menari itu. Dia juga menari seperti mereka dalam keadaan tidak sedar diri.
     Nadiah dan Haryati masuk ke sebuah bilik yang agak besar. Di dalam bilik itu terdapat sebuah meja yang agak besar dan beberapa buah kerusi. Haryati melihat seorang lelaki botak yang  memakai jubah hitam duduk di salah sebuah kerusi itu. Wajah lelaki yang berusia dalam lingkungan 30an itu agak menggerunkan pada pandangan mata Haryati.
     “Haryati, perkenalkan ini Joe. Ketua Umum Kumpulan Ancient Warrior yang terkenal di Kuala Lumpur ni.” Ujar Nadiah kepada Haryati.
     “Apa khabar Haryati? Awak sihat?” Soal Joe sambil menghampiri Haryati. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam dan di sambut oleh Haryati. Memandangkan perasaan takut masih menghantui diri Haryati, dia hanya menjawab pertanyaan daripada Joe itu dengan anggukan sahaja.
     “Sila duduk Haryati. Nadia, awak boleh keluar sekarang.” Kata Joe. Dia menarik salah sebuah kerusi yang ada di dalam bilik itu dan mempersilakan Haryati untuk duduk. Nadia yang tadi ada bersama Haryati sudah hilang entah ke mana.
     “Awak nak minum?” Joe bertanya lagi.
     “Tak nak. Saya tak dahaga.” Jawab Haryati takut takut.
     “Minumlah sikit. Tak baik tau tolak perlawaan orang.” Ujar Joe sambil menuangkan segelas air berwarna merah ke dalam sebiji gelas yang panjang dan menghulurkan gelas itu kepada Haryati.
     Haryati menyambut gelas itu tetapi tidak meminumnya. Dia sekadar memandang air yang berada di dalam gelas itu. Dia khuatir air itu adalah arak. Dia tidak mahu terlibat dengan arak atau pun dadah. Dia tidak mahu ibu bapanya kecewa lagi dengan perangainya. Cukup cukuplah dia telah mengecewakan ibu bapanya. Dia tidak mahu menambah kekecewaan itu lagi.
     “Kenapa tak minum? Takut? Jangan takutlah. Itu bukan arak. Itu air strawberri. Saya bersumpah dengan nama Anti – Christ, Azazel dan Lucifer bahawa air itu bukan arak. Air itu adalah air strawberri.” Ujar Joe dengan bersungguh sungguh.
     Apabila Haryati melihat kesungguhan Joe itu dia mencicip air merah itu sedikit. Terbukti air itu bukan arak. Air itu adalah air strawberri. Sungguh sedap rasa air itu. Lalu Haryati meminumnya secara perlahan lahan.
     “Betul kan apa yang saya kata tadi? Saya bukan orang jahat nak bagi awak minum arak.” Joe menyambung.
     “Siapa Anti – Crist, Azazel dan Lucifer tu? Saya tak pernah dengar nama dia orang sebelum ni?” Soal Haryati ingin tahu.
     “Itu adalah ketua kami. Mereka mempunyai kuasa yang sangat hebat malah lebih hebat dari Tuhan. Kita tidak boleh menentang mereka.” Jawab Joe.
     “Apa maksud lambang lambang yang dilukis kat dinding tu?” Soal Haryati lagi.
     “Kenapa awak nak tahu?” Pertanyaan Haryati itu dijawab dengan soalan oleh Joe dan ternyata Haryati tidak ada jawapan untuk soalan itu.
     “Kalau awak nak tahu, awak kena jadi salah seorang anggota kumpulan kami.” Joe menyambung.
     “Err… macam mana saya nak jadi ahli kumpulan ini?” Soal Haryati dalam keadaan tergagap gagap.
     “Awak mesti bersumpah taat setia dengan ketua ketua kami. Kemudian awak mesti sentiasa hadir dalam setiap perjumpaan kami dan menjadi seperti kami.” Jawab Joe.
    “Apa kelebihan saya masuk dalam kumpulan ini?”
    “Awak akan mendapat kebebasan yang tidak dapat awak kecapi selama ini. Awak akan sentiasa terhibur dan kami akan sentiasa melindungi keselamatan awak. Saya tahu awak bosan sebab tak dilayan sewajarnya oleh ibu bapa awak. Nadia dah menceritakan segalanya kepada saya. Sebab tu saya suruh dia bawa awak ke sini.”
     “Berapa bayarannya?”
     “Oh, menjadi ahli adalah percuma. Yang penting awak kena setia dengan kumpulan ini.”
     “Baiklah. Saya setuju.” Entah apa yang merasuk fikirannya sehingga dia boleh bersetuju dengan tawaran yang dibuat oleh Joe itu.
     Baginya, Joe adalah seorang yang baik dan ikhlas. Sudah pasti dia akan mendapat faedah faedah tertentu apabila memasuki kumpulan ini. Tambahan pula, Nadia juga ada bersamanya. Jika Nadia boleh masuk ke dalam kumpulan itu, mengapa tidak dia. Mulai hari itu, bermulalah kehidupan Haryati dalam kumpulan sesat lagi menyesatkan itu. Dia sudah mula memakai pakaian hitam dan menghadiri perjumpaan ahli kumpulan itu di rumah Joe.
     Dia sudah mula menyukai muzik rock yang membingit itu. Muzik yang mengandungi kata kata lucah dan kotor. Kata kata yang menyeru kepada sentiasa membuat kejahatan dan meninggalkan kebaikan.  Lirik lirik lagu yang memuja syaitan dan menjadi syaitan. Haryati juga membaca majalah majalah yang diambil oleh kumpulan itu dari luar negara. Pelbagai maklumat berkaitan dengan kumpulan itu diketahuinya.
     Barulah dia tahu bahawa kumpulan yang dianggotainya itu adalah salah satu cabang aliran pemikiran Black Metal. Namun, dia tidak kisah semua itu. Dia berasa seronok dengan kumpulan itu. Dia bebas melakukan apa sahaja di dalam kumpulan itu. Dia boleh menari dan menyanyi sesuka hatinya apabila berada dalam kalangan ahli kumpulan.
     Memasuki kumpulan itu menyebabkan Haryati mula berjinak jinak dengan arak dan dadah. Pada awalnya, dia cuba menolak namun apabila didesak dia mencuba juga. Haryati juga sudah pandai melakukan seks bebas. Suatu hari ketika dia sampai di rumah Joe, dia melihat Nadiah telah dinodai oleh dua puluh orang lelaki sekaligus termasuk Joe dan Hairi.
     Namun, dia langsung tidak melihat riak ketakutan pada wajah Nadia. Kemudian, dia juga tega menyerahkan mahkota kegadisannya kepada lelaki lelaki yang berada di dalam kumpulan itu. Pada awalnya, dia berasa agak takut juga lama lama dia mula ketagih. Setiap kali dia sampai ke rumah Joe, perkara pertama yang dia akan lakukan adalah membuat hubungan seks bebas dengan mana mana lelaki.
     Kadang kadang sampai lima orang lelaki ‘menghenyak’ dirinya dalam satu satu masa. Dia seronok dengan perkara itu kerana dia sudah ketagih. Benarlah kata orang, apabila kita melakukan perkara perkara mungkar, kita pasti akan ketagih sehingga sukar untuk kita berhenti melakukannya. Apa yang lebih menjijikan, dia sanggup berzina dengan lelaki di atas kitab suci Al Quran!
     Dia juga mengamalkan zikir dengan menghina Allah s.w.t dan menghina Nabi Muhammad s.a.w. Bukan itu sahaja, dia juga menghina mana mana agama termasuklah agama Kristian. Ini selaras dengan pegangan kumpulan itu yang anti pada mana mana agama. Bagi mereka, agama hanya mengikat kebebasan mereka namun dengan mengikuti fahaman Black Metal itu, mereka boleh membuat apa sahaja.
     Mereka juga benci dengan undang undang negara yang dikatakan menyekat kebebasan mereka. Pada mereka manusia tidak boleh disekat apa sahaja kemahuannya. Setiap kemahuan manusia perlu dipenuhi sama ada halal atau pun haram.
     Haryati sememangnya sudah sesat. Akidahnya sudah rosak. Seandainya dia tidak sempat bertaubat, kebarangkalian untuk dia murtad amatlah tinggi. Suatu malam, Hafzan dan Rosmah pulang ke rumah. Mereka melihat pintu rumah terbuka. Hati mereka mula tidak sedap.
     “Kenapa Haryati tak tutup pintu? Budak ni memang sengaja cari penyakit.” Ujar Hafzan yang sudah mula naik angin.
     Rosmah dan Hafzan berjalan masuk ke dalam rumah. Mereka mencari cari Haryati di ruang tamu rumah banglo dua tingkat itu namun tidak ada. Mereka juga mencari Haryati di dapur dan di sebuah bilik kecil yang dijadikan stor, juga terletak di bahagian dapur namun tidak jumpa.
     “Mana Haryati ni bang?” Soal Rosmah yang sudah mula dibedal rasa risau.
     “Kat bilik dia agaknya. Mari kita pergi tengok.” Jawab Hafzan.
     Mereka berdua memanjat tangga rumah banglo itu untuk ke tingkat dua yang menempatkan bilik Haryati. Apabila mereka masuk sahaja ke bilik Haryati, mereka melihat Haryati sedang tertiarap di atas katilnya. Mulutnya mengeluarkan cecair berwarna putih dan di tangannya terdapat sebotol arak. Mahu gugur jantung Rosmah melihat keadaan anak tunggalnya itu.
     “Bang, kenapa dengan Haryati bang?” Soal Rosmah sambil pergi mendapatkan Haryati. Dia memanggil nama Haryati dan menampar nampar pipi gadis itu  untuk menyedarkan Haryati namun usahanya  gagal.
    “Bang! Pergi bawa Haryati ke hospital cepat!” Kata Rosmah separa menjerit. Air matanya sudah mula mengalir keluar membasahi pipi apabila melihat anak kesayangannya berada dalam keadaan seperti itu. Hafzan lantas mendukung tubuh Haryati dan masuk ke dalam kereta seterusnya memandu laju ke hospital.
     Sementara itu, Rosmah menyelongkar bilik Haryati yang pada pandangan matanya amat pelik itu. Bilik itu tidak diterangi dengan lampu kalimantang yang disediakan sebaliknya bilik itu diterangi dengan lilin. Sembilan puluh peratus barang barang dalam bilik itu berwarna hitam seperti cadar katil dan sarung bantal.
     Apa yang lebih mengejutkan terdapat lambang bintang bersudut lima yang dilukis dengan kapur di lantai bilik itu. Lambang itu hanya biasa dilihat pada bendera negara Israel. Tiba tiba Rosmah terpandang beberapa buah majalah yang terletak di atas meja Haryati di bilik itu. Terdapat beberapa buah majalah seperti Metal Hammer dan Terror Rizer berada di atas meja itu.
     Rosmah cuba membaca isi kandungan majalah itu. Alangkah terkejutnya Rosmah apabila majalah yang ditulis dalam Bahasa Inggeris itu mempunyai bahasa yang bersifat lucah. Majalah itu juga memaparkan imej yang menakutkan dan menyeramkan. Tahulah Rosmah bahawa anak gadisnya itu telah mengikuti ajaran Black Metal.
     Hatinya hancur dan luluh apabila mendapat tahu anaknya terlibat dalam perkara perkara yang boleh merosakkan akidah dan iman itu. Dia jatuh terjelepok ke atas lantai kerana kakinya sudah tidak kuat lagi untuk berdiri memandangkan dirinya begitu terkejut atas apa yang berlaku. Dia kesal kerana selama ini dia langsung tidak mengambil kisah tentang diri Haryati.
    Dia terlalu sibuk menguruskan butiknya namun dia gagal untuk menguruskan satu satunya zuriat yang dia ada bersama suaminya. Dia lantas mencapai kunci keretanya dan bergegas menuju ke hospital tempat Haryati di hantar. Sampai sahaja di hospital, Rosmah diberitahu oleh Hafzan bahawa Haryati perlu ditahan wad selama beberapa hari. Haryati disahkan telah mengambil dadah dengan dos yang berlebihan.
     Mendengar sahaja berita itu, air mata Rosmah mula jatuh berjuraian tanpa henti. Dia sedih mendengar anak gadisnya itu sudah jauh tersasar dari landasan kehidupan yang sebenar. Dia lantas menceritakan apa yang dijumpainya di bilik Haryati kepada Hafzan. Jelas Hafzan juga begitu terkejut. Dia tidak menyangka yang anak gadisnya boleh terjebak dengan perkara perkara seperti itu.
     Ini semua adalah salahnya. Dia terlalu ghairah mencari wang sehingga melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa kepada Haryati. Setelah satu jam menunggu, doktor yang merawat Haryati pun keluar.
     “Macam mana dengan anak kami doktor? Dia okey saja kan?” Soal Rosmah terburu buru.
     “Anak puan tak apa apa. Cuma kami kena tahan dia lebih lama lagi. Nasib baik puan dan tuan bawa dia dengan cepat ke hospital, kalau tidak saya tak tahu nak cakap apa.” Jawab doktor lelaki itu.
     “Boleh kami lawat dia sekarang?” Soal Hafzan.
     “Silakan. Tapi jangan lama lama. Dia perlu berehat sebab tubuh dia masih lemah.” Jawab doktor itu.
     “Terima kasih doktor.” Ucap Rosmah.
     “Sama sama.” Balas doktor itu dan berlalu dari situ.
      Rosmah dan Hafzan lantas masuk ke wad tempat Haryati di tempatkan. Rosmah dan Hafzan begitu bersyukur apabila melihat Haryati sudah sedar. Rosmah lantas mendapatkan Haryati dan memeluk gadis itu. Haryati juga membalas pelukan ibunya itu.
     “Syukurlah Haryati dah sedar. Kenapa Haryati ambil dadah sayang? Kamu tahu kan dadah itu bahaya?” Soal Rosmah dalam keadaan tersedu sedan.
     Haryati hanya mendiamkan diri. Tiada sepatah kata yang keluar dari bibirnya. Dia takut untuk memberitahu perkara sebenar kepada ibu bapanya.
     “Haryati, lebih baik kamu beritahu. Siapa yang ajar kamu buat semua ni?  Papa janji papa takkan marah kamu. Beritahu pada papa dan mama Haryati.” Hafzan mendesak dengan nada lembut.
    “Sebenarnya Haryati dah masuk satu kumpulan ni…” Haryati mula membuka cerita.
     “Kumpulan Black Metal kan?” Pintas Rosmah.
     Haryati sekadar mengangguk bagi menjawab pertanyaan Rosmah itu. Dia lantas menceritakan apa yang telah berlaku kepada dirinya dan apa yang telah dia lakukan. Sepanjang Haryati bercerita, tidak putus putus juraian air mata yang keluar dari kelopak mata Rosmah. Hafzan juga beberapa kali menggelengkan kepalanya kerana terkejut dan tidak percaya apa yang telah dilakukan oleh anak tunggalnya.
    Hafzan telah bertekad. Dia perlu bertindak. Dia tidak mahu anak orang lain juga terjebak seperti anaknya. Oleh itu, dia pergi membuat laporan polis. Pada keesokan harinya, pihak polis datang dan menyerbu rumah Joe. Pihak polis telah menahan Joe selaku ketua kumpulan itu dan beberapa orang remaja yang terdiri dari lelaki dan perempuan di rumah itu. Tidak terkecuali Nadia. Dia turut ditahan.
     Haryati pula dihantar ke pusat pemulihan akhlak. Dia benar benar menyesal namun seperti kata pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Dia telah melakukan satu perkara yang telah membatalkan akidahnya iaitu telah melakukan hubungan seks bebas di atas Al Quran! Dia juga telah menyanyi lagu lagu yang menghina Allah dan Rasulullah.
     Dia juga telah memuja syaitan yang telah direjam oleh Allah Taala. Haryati benar benar menyesal dan insaf. Dia telah bertaubat dan mengucap kalimah syahadah semula. Namun, dia tetap bersyukur bahawa dia tidak terpesong dengan lebih dahsyat lagi. Peristiwa itu telah menjadi sejarah hitam dalam hidupnya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.