Ahad, 7 Jun 2020

MUHYIDDIN WAJAR BUBAR PARLIMEN

Kemelut politik negara masih berterusan sehingga ke hari ini. Meskipun negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan wabak Covid-19, namun ahli-ahli politik masih bercakaran sesama sendiri untuk merebut kuasa. Entah apa yang boleh menghentikan mereka.

Ketika negara berada dalam masalah, ahli-ahli politik Pakatan Harapan yang diketuai oleh Anwar dan Mahathir masih mahu merebut kuasa daripada Muhyiddin. Mereka tidak fikir bagaimana mahu menyelesaikan masalah rakyat dan negara tetapi mereka fikir bagaimana mahu menjadi kerajaan semula.

Kerajaan Muhyiddin Yassin yang dilihat goyah terus goyah dengan pelbagai isu yang melanda. Sukar kita mahu kata kerajaan Muhyiddin ini suatu kerajaan yang kuat. Bukan sahaja bilangan ahli parlimen yang menyokong Muhyiddin boleh dipersoalkan, bahkan pembangkang sendiri terus menyerang kerajaan Muhyiddin dengan pelbagai isu sama ada besar ataupun remeh.

Langkah terbaik yang boleh Muhyiddin lakukan ialah membubarkan parlimen untuk memecah segala kebuntuan ini. Biar rakyat memilih semula kerajaan yang mereka kehendaki sama ada Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan. Maka, dari situ, sudah tidak timbul lagi desas desus yang kerajaan Muhyiddin ini adalah sebuah kerajaan yang tidak mendapat sokongan majoriti

Itupun jika Perikatan Nasional boleh menang. Jika rakyat masih mahu lagi memilih Pakatan Harapan untuk menjadi kerajaan, maka Pakatan Harapan-lah yang akan menang.

Namun begitu, masih adakah rakyat Malaysia yang masih mahu Pakatan Harapan menjadi kerajaan jika parlimen dibubarkan? Barangkali ada dan itu pun mereka yang buta matanya, buta hatinya, liberal pemikirannya, dan rosak akidahnya.

Tidak ada rakyat Malaysia yang waras mahu Pakatan Harapan menjadi kerajaan semula setelah prestasi buruk yang mereka tunjukkan semasa 22 bulan mereka menjadi kerajaan. Jika ada pun, pastilah jumlahnya tidak ramai.

Insha Allah, dengan ketokohan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri cemerlang yang ditunjukkan semasa mengawal penularan wabak Covid-19, dan dengan sokongan UMNO, PAS dan GPS, maka Perikatan Nasional masih berupaya menjadi kerajaan semula.

Muhyiddin tidak perlu risau jika kalah dalam pilihan raya umum nanti kerana sokongan Melayu dan Islam amat besar di belakang beliau. Saya yakin Perikatan Nasional pasti dapat menjadi kerajaan semula jika sekalian pemimpin yang ada dalam gabungan itu bijak merancang strategi untuk memenangi hati rakyat sama ada Melayu atau bukan Melayu.

Kesimpulannya, hanya dengan membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya umum sahaja yang mampu mengembalikan kestabilan politik di dalam negara kita.. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.