Ahad, 14 Jun 2020

MN TIDAK WAJAR SERTAI PN

Mufakat Nasional (MN) yang dianggotai oleh UMNO dan PAS sekarang ini berada dalam Perikatan Nasional (PN) bersama GPS dan PPBM. Mereka bersama-sama menubuhkan kerajaan yang berketuakan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Sejak dari awal lagi saya memang tidak bersetuju MN menubuhkan kerajaan bersama PN. Saya lebih suka MN menjadi pembangkang sekarang seterusnya menjadi kerajaan pada PRU akan datang.

Saya tidak tahu apa yang ada dalam fikiran pemimpin-pemimpin MN sehingga sanggup menubuhkan kerajaan bersama PN. Mereka sudah mempunyai kedudukan yang selesa sebagai pembangkang dan bakal menjadi kerajaan pada PRU-15 tetapi mereka masih mahu menjadi kerajaan bersama PN.

Walau apa pun yang dikata oleh rakyat jelata, sama ada setuju atau tidak setuju, MN sudah pun menubuhkan kerajaan bersama PN. Ada di antara pemimpin-pemimpin MN sudah dilantik menjadi menteri, timbalan menteri dan mengetuai GLC.

PPBM itu parti yang bermasalah ketika bersama PH. Meskipun UMNO itu juga parti bermasalah, namun ketika mereka menjadi pembangkang, imejnya sudah pulih sedikit demi sedikit. Rakyat sudah pun boleh menerima parti itu meskipun mereka secara beramai-ramai menumbangkannya pada PRU yang lalu. Buktinya, UMNO menang dalam hampir semua pilihan raya kecil bersama PAS.

Apabila MN menubuhkan kerajaan bersama PN, imej PPBM yang bermasalah itu turut terpalit kepada MN. Imej UMNO yang sudah pulih sedikit itu kembali rosak akibat bersama PPBM dalam PN.

Bergabung bersama PPBM dan kumpulan Azmin yang keluar dari PKR itu sudah tidak bagus. Menubuhkan kerajaan bersama mereka tambah tidak bagus. Sudahlah kerajaan ini dilihat goyah, masalah yang timbul dan diserang oleh pembangkang pula membuatkan kerajaan ini tambah goyah.

Memang dilihat sekarang tidak ada perseteruan secara nyata antara PPBM dan MN. Tetapi kita tidak tahu apakah sikap berbaik-baik antara parti dalam PN ini akan kekal sehingga PRU akan datang. Dikhuatiri apabila tiba masa PRU dan apabila tiba jumlah pembahagian kerusi, mereka bergaduh sesama sendiri kerana tidak berpuas hati.

PAS dan UMNO dilihat gabungan yang cantik membentuk MN. Apabila mereka bersama PPBM dan sekutunya membentuk PN, gabungan itu sudah tidak dilihat cantik lagi.

Tidak diketahui adakah parti-parti yang membentuk PN ini akan kekal sehingga PRU akan datang. Adakah mereka akan bertanding sesama sendiri atau bertanding bersama melawan PH yang diketuai oleh Anwar dan Mahathir.

Seeloknya MN tidak kekal dalam PN sehingga PRU-15. MN itu sudah dilihat kuat dan berupaya melawan PH. Jika MN kekal dalam PN, dikhuatiri mereka akan bertelagah sesama sendiri untuk merebut kerusi dan banyak kerusi perlu dikorbankan.

Jika benar PPBM ikhlas berjuang bersama MN, elok dibubarkan sahaja PPBM dan masuk semula ke dalam UMNO. Sekalian ahli PPBM itu dari Pengerusi dan Presiden sehinggalah ke akar umbi adalah bekas ahli UMNO belaka.

Sejak dari awal lagi sepatutnya MN tidak menubuhkan kerajaan bersama PN. Tetapi oleh kerana sekalian orang UMNO dan PAS tidak sabar mahu menjadi kerajaan biarpun seketika, mereka tetap juga mahu menubuhkan kerajaan bersama PN.

Sekarang MN sedang menghadapi masalah bersama PN. Tidak diketahui adakah rakyat masih boleh menerima MN ataupun tidak. Jika majoriti rakyat tidak boleh menerima, peluang untuk MN menjadi kerajaan pada PRU akan datang semakin tipis.

Sepatutnya dari awal lagi MN tidak bergabung dengan PN. Bergabung dengan PN itu adalah satu keputusan yang salah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.