Sumber : Google |
Saya yakin dan percaya ramai orang di
dunia ini suka menonton filem. Filem bukan sahaja sebagai wadah untuk
mendapatkan hiburan, malah sebagai wadah untuk menyampaikan hasil seni,
propaganda, kritikan, dan pemikiran. Filem juga merupakan salah satu daripada
cabang cabang yang ada dalam media massa selain daripada akhbar, radio,
majalah, dan televisyen.
Walaupun filem (kadang kala) dianggap
sebagai sebuah medan hiburan semata-mata, tetapi filem juga tetap ada
pengaruhnya. Oleh sebab itulah mengapa filem sentiasa dikaji dan diberi
perhatian. Setiap filem yang dihasilkan oleh seseorang pengarah pasti mempunyai
sesuatu pengisian dan tujuan. Cuma pengisian dan tujuan itu perlu diselidik
sama ada ia baik ataupun bukan.
Bekas pemerintah tertinggi Korea Utara
– mendiang Kim Jong Il (bapa Kim Jong Un) misalnya, gemar menghasilkan filem filem
propaganda untuk menunjukkan ‘kehebatan’ dan ‘keindahan’ ideologi komunis di
Korea Utara. Melalui filem juga, mendiang mahu menunjukkan kekuatan tentera dan
kemakmuran negara yang dimiliki oleh Korea Utara ke seluruh pelusuk dunia. Filem Pulgasari
misalnya, adalah antara filem propaganda yang dihasilkan oleh mendiang untuk
menunjukkan keburukan kapitalisme yang amat dibenci oleh pemerintah Korea
Utara.
Bukan hanya mendiang Kim Jong Il
sahaja, pengarah pengarah di Amerika Syarikat juga tidak kurang menghasilkan
filem filem propaganda untuk ditonton oleh penduduk dunia. Selain untuk
menunjukkan kehebatan yang ada di negara mereka, filem juga digunakan untuk
menanam rasa benci penduduk dunia terhadap musuh musuh mereka seperti Rusia,
Iran, Korea Utara, Vietnam dan sebagainya. Filem Rambo : First Blood II (lakonan Sylvester Stallone) misalnya,
adalah contoh filem propaganda yang dihasilkan oleh pengarah Amerika.
Bagi yang cekap membaca ‘kilat dan
kilau’ sesebuah filem itu dihasilkan, pastilah tidak mudah untuk dipedayakan.
Kita boleh tahu apakah tujuan sebenar sesebuah filem itu digarap. Sama ada
untuk tujuan hiburan, atau ada niat lain yang disembunyikan, semuanya terpulang
kepada kita bagaimana untuk mentafsir sesuatu metafora yang wujud di dalam sesebuah
filem yang dihasilkan.
Filem bukan sahaja diguna untuk
tujuan hiburan dan propaganda semata-mata, malah untuk menyampaikan pemikiran
dan kritikan juga. Malaysia adalah antara negara yang berani menghasilkan filem
filem yang bersifat kritikan. Tetapi filem filem begini tidak banyak
dihasilkan. Dan tidak banyak juga pengarah yang sanggup mengarahkannya. Filem Kaki Bakar (arahan U-Wei Haji Shaari)
dan filem Kembara Seniman Jalanan
(arahan Nasir Jani) misalnya, adalah antara filem yang sarat dengan kritikan
sosialnya. Cuma masyarakat sahaja yang mahu atau tidak mahu menonton filem filem
sebegini di pawagam yang ada di dalam negara.
Saya bukanlah penonton filem yang tegar.
Tetapi menonton filem adalah antara perkara yang saya gemar. Menonton filem
filem yang berkualiti amat bagus sekali. Terutama untuk membentuk pemikiran dan
mencambahkan intelektualiti.
Filem yang bagus bagi saya adalah
filem yang terdapat banyak nilai nilai murni. Ini kerana kita boleh mendapatkan
banyak pengajaran daripada filem itu sendiri. Sama ada nilai murni itu
dipersembahkan secara terang-terangan atau tersembunyi, ia terpulang kepada
pengarah yang mempunyai bakat seni. Saya fikir tidak perlulah saya sebut filem
mana yang mempunyai banyak nilai murni itu kerana ia begitu banyak sekali.
Filem yang baik bagi saya juga adalah
sarat dengan kritikan (tidak kisahlah kritikan kepada siapa pun) dan mempunyai
pemikiran. Filem filem begini bagus untuk ditonton bagi menajamkan fikiran.
Filem filem begini akan membuat kita berfikir sentiasa. Menonton filem filem
begini tidak boleh dalam suasana hiburan semata-mata, tetapi perlu ditonton
dalam suasana intelektual juga. Barulah metafora dan pemikiran di dalam
sesebuah filem itu dapat kita lihat dan rasa. Filem Jogho (arahan U-Wei Haji Shaari), Apokalips X (arahan Mamat Khalid) dan Gedebe (arahan Namron) adalah filem yang wajar ditonton oleh
masyarakat Malaysia.
Filem sejarah juga sangat bagus untuk
ditonton bagi mengetahui sejarah lampau sesuatu peristiwa seandainya kita ini
malas membaca. Meskipun ada kalanya filem filem sejarah ini memaparkan plot dan
naratif yang berbeza dari sejarah asalnya, tetapi sedikit sebanyak ia boleh
memberi sedikit pengetahuan kepada kita juga. Antara filem sejarah yang saya
suka tonton adalah Tanda Putra
(arahan Shuhaimi Baba), The Iron Lady
(lakonan Meryl Streep), dan The King’s
Speech (lakonan Colin Firth).
Filem yang mengandungi elemen lucah,
seks, mencarut, mempromosikan LGBT, dan sebagainya adalah antara filem yang
wajar dihindari. Ini kerana, filem filem sebegini boleh merosakkan pemikiran
dan hati. Memang tidak dinafikan bahawa filem filem sebegini sering diberi
perhatian. Terutama oleh anak anak muda yang hanya mementingkan keseronokkan
dan hiburan.
Pengarah dan penerbit di Malaysia
jangan sesekali menghasilkan filem filem sebegitu. Kerana ia bukan sahaja tiada
nilai, malah tiada mutu. Memanglah dengan menghasilkan filem filem sebegitu
untungnya beratus ribu (mungkin juga berjuta), tetapi ia akan membuatkan
masyarakat menjadi keliru dan terus haru biru.
Kita juga perlu sekat filem filem
daripada luar yang kotor ini daripada terus ‘bermaharajalela’ di negara kita.
Kita tidak boleh membiarkan filem filem sebegini (seperti filem Beauty and The Beast misalnya) daripada merosakkan pemikiran anak bangsa kita.
Cukup cukuplah anak bangsa kita terus dirosakkan dengan pemikiran yang entah
apa apa. Janganlah dirosakkan lagi mereka dengan filem pula!
Siapa kata filem tidak boleh
merosakkan fikiran seseorang manusia? Jika dahulu berbikini, mencarut, dan seks
bebas adalah perkara yang sangat tabu dalam kalangan masyarakat Amerika. Namun,
akibat pengaruh daripada filem, perkara itu tidak lagi dianggap tabu atau salah
di Amerika.
Filem adalah sesuatu yang
menyeronokkan kerana ia bersifat hiburan. Selain menghiburkan, ia juga boleh
menajamkan fikiran. Tetapi tidak mustahil juga pada masa yang sama filem boleh
merosakkan fikiran kita semua. Maka berhati-hatilah dengan filem yang hendak
kita tonton di pawagam yang ada di dalam negara. Kerana bukan semuanya sesuai
ditonton oleh masyarakat Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.