Sumber : Google |
Mana mana pengikut gerakan Islam,
pasti tahu apa itu usrah dan pasti juga mengikuti kumpulan usrah. Sudah menjadi
satu kemestian kepada mana mana pengikut gerakan Islam untuk mengikuti
perjalanan usrah. Usrah yang dijalankan oleh seorang naqib dan diikuti oleh
beberapa orang anggota usrah itu ada banyak tujuan sebenarnya. Antaranya adalah
untuk menambah kefahaman tentang agama, mendekatkan diri kepada Allah dan
Rasul-Nya, menghubungkan anggota usrah dengan Al Quran dan Sunnah sentiasa,
memperbaiki iman dan taqwa para anggota, merapatkan ukhuwah sesama anggota, dan
sebagainya. Boleh dikata mengikuti perjalanan usrah ada banyak manfaatnya.
Apa yang dimaksudkan dengan usrah?
Usrah jika dari segi bahasa bermaksud keluarga. Tetapi dari segi istilahnya
usrah bermaksud satu program tetap, yang dianjurkan oleh kumpulan yang beriman,
dan bekerjasama untuk memahami dan menghayati agama Islam.
Pengalaman saya dalam usrah masih
awal dan mentah. Tidak banyak yang saya boleh cerita tentang usrah. Cuma yang
saya ingin kata, sejak saya mengikuti usrah buat kali pertama, saya sudah jatuh
cinta dengannya. Setelah saya mengikuti perjalanan usrah, banyak perkara baru
yang saya temui dalam hidup saya.
Usrah bagi saya bukan hanya
mendekatkan diri saya tentang perkara perkara asas dalam agama sahaja, malah dalam
kehidupan juga. Walaupun diskusi dan intelektualiti itu tidak selalunya ada
(bergantung kepada naqib yang menjalankan usrah), tetapi saya tetap berpuas
hati dengannya. Dengan usrahlah saya boleh kenal ramai kawan. Bukankah kawan
dalam usrah itu boleh membentuk persaudaraan? Secara tidak langsung saya telah
membina banyak jaringan ukhuwah dan persahabatan.
Usrah bukan sahaja tempat untuk membahaskan
wacana keilmuan, malah ia boleh juga menghilangkan tekanan. Setelah seharian
belajar, dengan usrahlah kita boleh melepaskan tekanan setelah bertemu naqib
dan juga kawan. Kadang kadang dengan usrah juga banyak masalah yang melanda
diri boleh diceritakan. Cuma bergantung kepada diri sahaja yang malu atau segan
untuk menceritakan.
Pada hemat saya, usrah yang baik
haruslah bercirikan diskusi dan intelektualiti. Mungkin dengan usrah minda kita
boleh terbuka seluas-luasnya kerana banyak perkara yang kita boleh dapat
daripadanya. Usrah mungkin boleh menjadi medan diskusi tentang apa sahaja
perkara terutama tentang kehidupan dan agama. Dalam usrah saya fikir mungkin
kita tidak boleh terhad untuk bercakap tentang Islam semata-mata. Politik,
sosial, ekonomi, sejarah, isu semasa, dan sebagainya pun saya fikir kita boleh
bincang juga. Namun, landasan atau paksi diskusi itu tetap mengikut acuan Islam
sahaja. Tetapi semuanya terpulang kepada naqib yang menjalankannya. Dan
terpulang juga kepada kemampuan anak anak usrah yang ingin membahaskannya.
Jika hendak bercakap tentang
intelektualiti, menghadam karya karya yang besar seperti Mengapa Saya
Menganut Islam (Fathi Yakan), Iman, Islam, Jihad (Al-Maududi), Usul
20 dan Dakwah Kita (Hassan Al-Banna), Keadilan Sosial Dalam Islam
atau Tafsir Fil Zilail (Syed Qutb), Salah Faham Terhadap Islam (Muhammad
Qutb), Petunjuk Sepanjang Jalan Dakwah (Mustafa Masyhur) dan sebagainya
dalam usrah adalah amat bagus sekali. Tetapi bagi saya asas asas agama seperti
iman, ibadah, akidah, dan sebagainya perlu dahulu dipelajari. Jika asas asas
ini sudah dikuasai, barulah boleh beralih ke arah keilmuan Islam yang lebih
tinggi dan lebih berintelektualiti.
Ada sesetengah pengikut gerakan usrah
mengatakan, buku buku seperti On Liberty (John Stuart Mill), The Age
of Reason (Jean Paul Sarte), Future Shock and Third Wave (Alvin
Toffler), A History of Western Philosophy (Bertrand Russel) dan
lain lain bagus untuk digunakan. Menurut mereka, buku buku yang ditulis oleh
tokoh tokoh Barat ini (sudah semestinya bukan Islam) akan menjadikan minda
anggota usrah lebih kritis dan lebih terbuka. Saya tidak tahulah setakat mana
idea ini boleh diterima. Tetapi saya agak risau jika buku buku ini bercanggah
dengan pegangan dan tradisi Islam yang telah kita percaya sejak sekian lama.
Mungkin naqib usrah boleh baca buku itu terlebih dahulu sebelum dalam usrah buku
buku tersebut mana mana naqib ingin guna.
Bagi saya perjalanan usrah boleh
menjadi apa sahaja. Usrah boleh jadi wacana bedah buku atau bedah filem juga.
Ini bagi memastikan bahawa anak anak usrah boleh berfikir dan mempunyai fikiran
yang kritis sentiasa. Maka, anak anak usrah boleh mempunyai banyak pengetahuan
di mindanya. Tetapi seperti yang telah saya sebut di atas tadi, wacana bedah
buku atau bedah filem itu tidaklah lari daripada paksi Islam yang kita cintai.
Misalnya, mungkin kita boleh berbahas tentang novel Tivi yang didakwa
sebagai sebuah sastera Islam oleh penulisnya (Shahnon Ahmad) walaupun ramai
juga sasterawan yang menentangnya. Di situ kita boleh membuat penaakulan adakah
benar novel itu telah mencapai konteks sastera Islam. Tetapi ini semua
bergantung kepada keterbukaan dan kemampuan naqib usrah yang menjalankan usrah
dan anak anak usrah yang berada dalam usrah.
Saya bergelumang dalam usrah dalam
tempoh yang tidak lama yakni baru dalam setahun setengah sahaja. Tetapi apa
yang saya perolehi begitu banyak sebenarnya. Saya bukan mahu mengubah
perjalanan atau sistem usrah. Bagi saya, sistem usrah yang saya anuti sekarang
begitu banyak faedah. Cuma artikel ini hanya untuk memberi cadangan atau
pandangan untuk kebaikan dan kemajuan usrah. Dan segala pandangan dalam artikel
ini juga tidak lain dan tidak bukan hanya untuk memajukan umat Islam yang
mengikuti usrah. Teruskan berusrah dan janganlah mufarakah dari jemaah usrah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.