Selasa, 31 Januari 2017

SELAMAT BERTUGAS SEMUA…


Image result for selamat bertugas
Sumber : Google


Umum tahu bahawa Pembina UiTM Shah Alam sekarang telah dipimpin oleh jawatankuasa yang baru (diketuai oleh akhi Thaqif sebagai Presiden). Walaupun jawatankuasa tersebut dibarisi oleh muka muka lama tetapi tetap ada juga muka muka yang baru. Rombakan jawatan yang telah dibuat sebelum ini telah meletakkan Pembina UiTM Shah Alam sebagai sebuah pertubuhan yang boleh bersaing dan berdaya maju. 

Kita semua yakin dan percaya bahawa jawatankuasa yang baru ini pasti dapat mengemudi Pembina dengan sebaiknya. Berbekalkan bakat, pengalaman, dan kebijaksanaan yang ada pada mereka, pastilah Pembina dapat melangkah ke hadapan dengan lebih berjaya. 

Kita juga yakin dan percaya bahawa sekalian orang yang duduk dalam jawatankuasa baru itu mempunyai kredibiliti dan integriti. Atas kapasiti itulah mereka diberi kepercayaan untuk mengemudi persatuan yang bukan setahun jagung usianya ini. Maka, sekalian ahli Pembina sama ada yang aktif mahupun yang kurang aktif mestilah memberi sokongan penuh kepada mereka tanpa ada rasa berbelah bahagi.

Tidak banyak sebenarnya yang saya boleh cerita mengenai mereka. Saya mengenali mereka dengan seadanya sahaja. Tetapi melihat pada diri mereka daripada jauh dan melihat gerak kerja mereka seberapa lama, saya yakin mereka adalah orang yang bertanggungjawab dan boleh buat kerja.   

Bagi memimpin sebuah persatuan yang sebesar Pembina ini bukanlah satu tugas yang mudah. Banyak cabaran yang perlu dihadapi dan semestinya ia sangat payah. Hanya orang yang berani, berwawasan, berbakat, bijaksana, dan berkebolehan sahaja yang mampu melakukannya. Kerana mereka sudah bersedia untuk memikul tugas tersebut sejak sekian lama. 

Tugas tugas untuk menjadi seorang pemimpin ini sangat berat dan sangat banyak sebenarnya. Jika tidak bersedia atau tidak mempunyai bakat sebagai pemimpin pastilah sukar seseorang itu melakukan tugas-tugasnya. Sebab itu ramai orang tidak bersedia atau mungkin tidak layak untuk untuk menjadi seorang pemimpin. Dia lebih suka dirinya terus dipimpin. Tetapi berdasarkan gerak kerja yang sedia ada, sekalian jawatankuasa baru ini pastilah terdiri daripada orang orang yang boleh memimpin.

Dengan dipimpin oleh jawatankuasa yang baru, diharapkan Pembina diberi nafas baru dan mempunyai idea yang baru. Program program yang akan dilaksanakan oleh Pembina pun pastilah lebih segar dan bermutu. Ini bertujuan untuk menarik lebih ramai mahasiswa UiTM untuk menyertai Pembina. Maka, dakwah dan tarbiyah yang selama ini terpasak lama dalam batang tubuh Pembina akan tersebar luas di sini sana. 

Berdasarkan maklumat yang saya terima, gerak kerja Pembina sudah berubah dan sedikit berbeza. Perubahan yang dibuat itu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk kebaikkan Pembina juga. Perubahan juga dibuat supaya Pembina boleh mendapat lebih ramai pelapis untuk terus memimpinnya. Semuanya untuk memastikan agar Pembina UiTM Shah Alam akan terus bertahan sampai bila bila.

Semua pihak yang berada dalam Pembina mesti bekerjasama. Tidak boleh diharap kepada jawatankuasa yang baru sahaja untuk buat kerja. Apabila ada kerjasama, pastilah semua gerak kerja dapat berjalan dengan sempurna. Dan pastilah Pembina mendapat keuntungan yang besar daripadanya. Tegas pepatah : bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. 

Kepada semua ahli jawatankuasa yang lama terutama kepada akhi Saiful dan akhi Asyraff khususnya, terima kasih atas segala sumbangan dan bakti kalian kepada Pembina. Tanpa kalian pastilah Pembina tidak akan ke mana mana. Ahli jawatankuasa yang baru ini muncul pun kerana hebatnya ahli jawatankuasa yang lama. Semoga jasa kalian kepada Pembina UiTM Shah Alam diberkati oleh Allah hendaknya. 

Apa apa pun, saya ingin mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada semua ahli jawatankuasa yang baru. Lakukanlah apa sahaja yang terbaik untuk memastikan Pembina terus hebat dan maju. Semoga sumbangan anda semua kepada Pembina dirahmati oleh Allah selalu.   

       

Isnin, 30 Januari 2017

CARA MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU DENGAN BERKESAN




Image result for bahasa melayu
Sumber : Google


Mengapa bahasa Melayu sukar dimartabatkan? Mengapa bahasa Melayu sering dipinggirkan? Inilah yang pejuang-pejuang bahasa sering persoalkan. Bahasa Melayu terdapat dalam Perlembagaan tetapi acapkali dianaktirikan. 

Seperti kata Datuk Rahman Shaari (bekas pensyarah Universiti Malaya) dalam kolumnya di akhbar Sinar Harian, bahasa Melayu sukar dimartabatkan kerana ia tidak digunakan dalam bidang pekerjaan. Bahasa Inggeris menjadi bahasa utama yang digunakan oleh ramai majikan. Dan sebab itulah bahasa Melayu umpama mati tak mahu, hidup pun segan!

Seandainya semua (ulang : semua) majikan memilih bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam sektor pekerjaan, baik dalam mesyuarat mahupun dalam temuduga, pastilah bahasa Melayu ini akan ramai orang suka dan akan ramai orang guna.
Tetapi sayangnya tidak ramai majikan mahu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di syarikat mereka. Majikan yang berbangsa Melayu barangkali mereka guna tetapi tidak dengan majikan yang bukan berbangsa Melayu lebih lebih lagi yang ultrakiasu. Mereka lebih suka menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda mereka dalam urusan seharian di pejabat mereka. Maka bahasa Melayu pun sukar dimartabatkan pula. 

Kerajaan pula dilihat tidak tegas dalam memartabatkan bahasa Melayu. Sepatutnya kerajaan mewajibkan semua sektor baik kerajaan mahupun swasta untuk menggunakan bahasa Melayu. Kewajiban itu hendaklah tertakhluk dalam semua perkara seperti temuduga, urusan surat menyurat, mesyuarat dan sebagainya. Barulah bahasa Melayu boleh dimartabatkan dengan serta merta.

Kita ambil contoh temuduga misalnya. Jika semua syarikat menjalankan temuduga dalam bahasa Melayu dan melihat penguasaan tertingi dalam bahasa itu sahaja, pasti semua graduan lepasan universiti akan belajar bahasa Melayu tidak secara sambil lewa. Apa yang berlaku pada hari ini adalah kebanyakkan temuduga yang dijalankan adalah menggunakan bahasa Inggeris. Maka, bercemperalah semua graduan untuk belajar dan menguasai bahasa Inggeris. 

Seandainya bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam sektor pekerjaan, baik swasta mahupun kerajaan, pastilah semua rakyat Malaysia (baik yang Melayu mahupun yang bukan Melayu) akan belajar bahasa Melayu dengan penuh kesungguhan. Dan pastilah mereka akan menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian. Ini kerana, bahasa Melayu itu sudah pun mempunyai nilai ekonomi. Bahasa Melayu terus dianaktiri kerana dipercayai tidak mempunyai nilai ekonomi. 

Pihak yang boleh meletakkan nilai ekonomi itu adalah pihak kerajaan. Pihak kerajaan berupaya untuk meletakkan nilai ekonomi dalam bahasa Melayu itu jika mereka bertegas agar bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam sektor pekerjaan.

Kerajaan boleh melaksanakan perkara tersebut dengan menggunakan kuasa perundangan. Kerajaan perlu menggubal akta-akta baru yang boleh mendakwa majikan yang tidak menggunakan bahasa Melayu di syarikat mereka dalam menjalankan sebarang urusan. Meskipun cadangan ini dilihat keterlaluan, tetapi inilah salah satu cara yang paling ampuh dan berkesan untuk bahasa Melayu itu dimartabatkan dan tidak dianaktirikan.  

Sebab itulah ramai orang menentang syarat lulus bahasa Melayu untuk pegawai perubatan diserap masuk secara kontrak di hospital kerajaan itu dilonggarkan. Ini kerana, itulah langkah berkesan untuk membolehkan bahasa Melayu itu dimartabatkan. Walaupun usaha itu belum mencukupi, tetapi sekurang-kurangnya usaha ke arah itu masih ada lagi. Ujar pepatah : kalau tak dapat rotan, akar pun jadi. 

Bahasa Melayu bukan hanya bermasalah dalam sektor pekerjaan sahaja. Dalam banyak perkara pun begitu juga. Jika kita merentasi jalan raya untuk ke mana mana, lihatlah bahasa apa yang digunakan pada papan-papan iklan di sini sana? Adakah bahasa Melayu semata-mata? Atau ada bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain juga? Tepuk dada dan tanyalah selera.  
     
Sampai bila pun bahasa Melayu sukar dimartabatkan jika kerajaan tidak tegas untuk memartabatkannya. Bertegas supaya penggunaan bahasa Melayu dalam sektor pekerjaan adalah antara salah satu cara. Jika kerajaan culas bertindak sekarang, bahasa Melayu suatu hari nanti pasti akan hilang. Dan tidak mustahil ia akan berlaku pada masa akan datang.