Isnin, 30 Januari 2017

CARA MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU DENGAN BERKESAN




Image result for bahasa melayu
Sumber : Google


Mengapa bahasa Melayu sukar dimartabatkan? Mengapa bahasa Melayu sering dipinggirkan? Inilah yang pejuang-pejuang bahasa sering persoalkan. Bahasa Melayu terdapat dalam Perlembagaan tetapi acapkali dianaktirikan. 

Seperti kata Datuk Rahman Shaari (bekas pensyarah Universiti Malaya) dalam kolumnya di akhbar Sinar Harian, bahasa Melayu sukar dimartabatkan kerana ia tidak digunakan dalam bidang pekerjaan. Bahasa Inggeris menjadi bahasa utama yang digunakan oleh ramai majikan. Dan sebab itulah bahasa Melayu umpama mati tak mahu, hidup pun segan!

Seandainya semua (ulang : semua) majikan memilih bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam sektor pekerjaan, baik dalam mesyuarat mahupun dalam temuduga, pastilah bahasa Melayu ini akan ramai orang suka dan akan ramai orang guna.
Tetapi sayangnya tidak ramai majikan mahu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di syarikat mereka. Majikan yang berbangsa Melayu barangkali mereka guna tetapi tidak dengan majikan yang bukan berbangsa Melayu lebih lebih lagi yang ultrakiasu. Mereka lebih suka menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda mereka dalam urusan seharian di pejabat mereka. Maka bahasa Melayu pun sukar dimartabatkan pula. 

Kerajaan pula dilihat tidak tegas dalam memartabatkan bahasa Melayu. Sepatutnya kerajaan mewajibkan semua sektor baik kerajaan mahupun swasta untuk menggunakan bahasa Melayu. Kewajiban itu hendaklah tertakhluk dalam semua perkara seperti temuduga, urusan surat menyurat, mesyuarat dan sebagainya. Barulah bahasa Melayu boleh dimartabatkan dengan serta merta.

Kita ambil contoh temuduga misalnya. Jika semua syarikat menjalankan temuduga dalam bahasa Melayu dan melihat penguasaan tertingi dalam bahasa itu sahaja, pasti semua graduan lepasan universiti akan belajar bahasa Melayu tidak secara sambil lewa. Apa yang berlaku pada hari ini adalah kebanyakkan temuduga yang dijalankan adalah menggunakan bahasa Inggeris. Maka, bercemperalah semua graduan untuk belajar dan menguasai bahasa Inggeris. 

Seandainya bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam sektor pekerjaan, baik swasta mahupun kerajaan, pastilah semua rakyat Malaysia (baik yang Melayu mahupun yang bukan Melayu) akan belajar bahasa Melayu dengan penuh kesungguhan. Dan pastilah mereka akan menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian. Ini kerana, bahasa Melayu itu sudah pun mempunyai nilai ekonomi. Bahasa Melayu terus dianaktiri kerana dipercayai tidak mempunyai nilai ekonomi. 

Pihak yang boleh meletakkan nilai ekonomi itu adalah pihak kerajaan. Pihak kerajaan berupaya untuk meletakkan nilai ekonomi dalam bahasa Melayu itu jika mereka bertegas agar bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam sektor pekerjaan.

Kerajaan boleh melaksanakan perkara tersebut dengan menggunakan kuasa perundangan. Kerajaan perlu menggubal akta-akta baru yang boleh mendakwa majikan yang tidak menggunakan bahasa Melayu di syarikat mereka dalam menjalankan sebarang urusan. Meskipun cadangan ini dilihat keterlaluan, tetapi inilah salah satu cara yang paling ampuh dan berkesan untuk bahasa Melayu itu dimartabatkan dan tidak dianaktirikan.  

Sebab itulah ramai orang menentang syarat lulus bahasa Melayu untuk pegawai perubatan diserap masuk secara kontrak di hospital kerajaan itu dilonggarkan. Ini kerana, itulah langkah berkesan untuk membolehkan bahasa Melayu itu dimartabatkan. Walaupun usaha itu belum mencukupi, tetapi sekurang-kurangnya usaha ke arah itu masih ada lagi. Ujar pepatah : kalau tak dapat rotan, akar pun jadi. 

Bahasa Melayu bukan hanya bermasalah dalam sektor pekerjaan sahaja. Dalam banyak perkara pun begitu juga. Jika kita merentasi jalan raya untuk ke mana mana, lihatlah bahasa apa yang digunakan pada papan-papan iklan di sini sana? Adakah bahasa Melayu semata-mata? Atau ada bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain juga? Tepuk dada dan tanyalah selera.  
     
Sampai bila pun bahasa Melayu sukar dimartabatkan jika kerajaan tidak tegas untuk memartabatkannya. Bertegas supaya penggunaan bahasa Melayu dalam sektor pekerjaan adalah antara salah satu cara. Jika kerajaan culas bertindak sekarang, bahasa Melayu suatu hari nanti pasti akan hilang. Dan tidak mustahil ia akan berlaku pada masa akan datang.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.