Apabila matahari
sudah meninggi, barulah Hafizah tersedar dari tidurnya. Dia terpisat pisat di
atas katil di biliknya. Matanya terkelip kelip kerana silau disimbah cahaya
matahari pagi nan garang. Dia bangkit dari pembaringannya. Dia melihat jam yang
terletak di dinding bilik itu. Jam sudah menunjukkan pada pukul sepuluh pagi.
Dia benar benar buntu pagi itu. Dia
menjadi sungguh keliru. Tersangat keliru. Kepalanya berdenyut serta merta. Tiba
tiba dia teringat yang hari itu adalah hari Rabu. Dan dia sepatutnya perlu
berada di kelas sekarang, mengajar pelajar pelajarnya subjek bahasa Melayu.
Tetapi dia masih buntu mengapa dia masih berada di bilik itu? Apa yang telah
berlaku kepadanya semalam sampai dia boleh jadi begitu? Tidak pernah sekalipun
sepanjang dia bergelar guru, dia boleh terlajak tidur seperti itu. Dia benar benar buntu dan keliru. Kebuntuan
dan kekeliruan diadun cantik dalam kotak pemikirannya saat itu.
Dia memandang di sekitar biliknya. Dia
melihat kain bajunya yang terlipat kemas di dalam almari telah bertaburan di
atas lantai. Dia menjadi bingung dengan keadaan itu. Dia juga melihat kad
pengenalan dan kad banknya juga bertaburan di atas lantai. Isi isi yang
sentiasa ada dalam beg tangannya juga bertaburan di atas lantai. Melihat
keadaan itu, dia bukan lagi menjadi buntu ataupun keliru, tetapi juga sudah
mula menjadi bingung. Bingung sebingung bingungnya. Apa yang dah terjadi
semalam? Bisik hati kecilnya yang dilanda kata tanya yang tidak henti
henti.
Tiba tiba dia berasa sangat sakit di
pergelangan tangannya. Dia meneliti pergelangan tangannya itu. Ada kesan biru
pada pergelangan tangan tersebut. Kemudian pandangannya singgah di kakinya yang
terdedah bermula dari peha hinggalah ke ibu jari kaki. Kemudian dia melihat
kesan tompokan darah pada cadar katil miliknya. Dan tidak semena-mena,
pengalaman pahit dan ngeri pada malam tadi akibat dirogol dan dirompak menerjah
masuk ke dalam memorinya. Mengenang perkara itu, dia lantas menjerit. Menjerit
sekuat-kuat hatinya. Menjerit dan dicampur dengan raungan yang paling kuat. Dia
menangis teresak-esak di situ.
Agak lama juga dia berada dalam
keadaan itu. Setelah segalanya reda, dia mencapai telefon pintarnya yang biasa
dia letakkan di bawah bantal. Mujur kedua dua perompak itu tidak menjumpai atau
mungkin terlupa akan telefon pintar itu. Jika tidak, telefon pintar berjenama
Asus itu pun dikebas sama.
Apabila dia membuka sahaja telefon
pintarnya, terdapat sepuluh panggilan tidak dijawab terpapar di skrin sesentuh
telefon pintar itu. Semuanya dari kerani di sekolah dan rakan rakan
seguruannya. Sudah tentu mereka tertanya tanya, mengapa dia tidak datang
mengajar pada hari itu tanpa memberi sebarang sebab. Bukan itu sahaja, terdapat
beratus mesej dari aplikasi Whatsapp yang tidak sempat dibukanya. Dia tidak
menghiraukan semua itu. Lantas dia mencari nombor telefon milik Norin. Dia
segera menghubungi Norin untuk meminta bantuan. Apabila Norin menyambut
panggilan telefon darinya, segera dia cerita pengalaman ngeri campur pahit yang
terjadi kepadanya semalam.
.....................................................................................................................
“Long, mari makan sikit. Pembantu
rumah aku ada masak bubur untuk kau ni.” Kata Norin sambil meletakkan dulang
yang di atasnya terdapat semangkuk bubur ayam yang menyelerakan dan segelas air
masak. Dia duduk di sebelah Hafizah yang termenung jauh di tepi kolam renang
yang terletak bersebelahan dengan rumah agam milik Norin itu. Hanya mereka
berdua sahaja di situ. Shuib sedang sibuk di pejabat manakala Khairil pula
sedang berada di universiti.
“Long...kau okay tak?” Tegur Norin
sambil menggerakkan sedikit badan Hafizah. Hafizah lantas tersedar dari
lamunannya yang panjang itu. Dia mengukir sebuah senyuman terpaksa buat Norin.
“Aku okay.” Jawabnya pendek.
“Sabarlah long. Benda dah jadi, nak
buat macam mana. Kita dah buat report polis. Pasti polis akan cari kedua
dua perompak yang durjana tu.” Kata Norin untuk memulihkan semula semangat
Hafizah yang hilang entah ke mana itu akibat peristiwa ngeri malam tadi. Hafizah
hanya diam sahaja. Dia terus termenung sejak pulang dari hospital dan dari
balai polis tadi. Dan apabila sudah sampai di rumah Norin pun, Hafizah masih
begitu. Dia masih termenung.
“Long, kau tak boleh macam ni long.
Kau kena kuat. Kau tak boleh terus termenung je. Nanti makan diri kau nanti.
Mari makan sikit meh.” Norin menasihati. Dia mengambil bubur ayam yang panas
itu lalu diceduknya sikit dengan menggunakan sudu. Lalu disuanya ke mulut
Hafizah namun Hafizah langsung tidak mahu membuka mulut sebaliknya wanita itu
sekadar diam membisu.
“Aku dah mula sedar sesuatu Norin.” Tiba
tiba Hafizah berkata.
“Hmm...apa yang kau dah sedar?” Soal
Norin.
“Aku dah tahu kenapa semua ni jadi kat
aku.” Ujar Hafizah lagi.
“Hmm...kenapa?” Norin sudah mula bosan
dengan kelakukan Hafizah. dia menarik semula tangannya yang memegang sudu itu
dari mulut Hafizah.
“Semuanya sebab dosa dosa aku pada ibu
dan ayah. Aku derhaka pada diaorang Norin. Aku dah sakiti hati diaorang banyak
kali. Aku berdosa pada diaorang.” Ucap Hafizah sambil menitiskan air mata.
Norin yang memandang sekadar terpinga pinga. Dia tidak pasti apakah kata kata
yang keluar dari mulut Hafizah itu ikhlas atau tidak. Adakah Hafizah
sudah berubah? Jika ya, takkan sepantas itu? Bisik hati kecil Norin.
“Kau janganlah fikir macam tu. Ini
semua takdir la. Takde kena mengena dengan orang tua berdua tu. Lagipun kau
fikirlah, diaorang buat kita teruk kot dulu. Memang padan pun kita buat macam
tu pada diaorang. Kalau diaorang layan kita dengan baik dulu, aku yakin semua
ni takkan berlaku. Kalau kita yang salah, diaorang pun salah juga. Diaorang pun
kena minta maaf pada kita sebab layan kita macam sampah dulu. Apa yang kita
buat ni sebagai balasan atas apa yang diaorang dah buat pada kita. Tu je.” Kata
Norin dengan panjang lebar.
“Aku tahu Norin, diaorang memang layan
kita macam kita ni anak tiri tapi kita kena ingat, diaorang tu tetap ibu bapa
kita. Walau macam mana jahat sekalipun diaorang tu, kita tak boleh kurang ajar
dengan diaorang sebab diaorang dah lahirkan dan besarkan kita. Kita boleh
berjaya sampai sekarang semua sebab diaorang. Ya, diaorang layan kita macam
sampah tapi kita tak boleh sesekali balas apa yang diaorang dah buat pada kita
dulu. Kita adalah anak dan tugas kita adalah berbakti kepada diaorang, bukannya
buang diaorang macam yang kita buat sekarang.” Hafizah mengesat air mata yang
mengalir di pipinya sebentar tadi.
“Suka hati kau la long nak cakap apa.
Aku malas la nak cakap pasal diaorang. Buang masa tahu tak. Lebih cakap pasal
benda lain. Kalau kau dah insaf, rasa nak bertaubat, kau buat sorang sorang.
Jangan ajak aku. Aku takkan sesekali maafkan diaorang dalam hidup aku setelah
apa yang diaorang dah buat pada aku dulu. Bubur ni kau makan, lepas makan kau
baliklah. Aku ada kerja, aku tak boleh lama lama kat sini.” Norin lantas
meletakkan mangkuk yang berisi bubur ayam itu ke atas dulang. Kemudian dia
masuk semula ke dalam rumah untuk bersiap siap keluar bekerja.
Hafizah sekadar memandang sahaja
langkah Norin meninggalkan dirinya. Dan sekali lagi air matanya tumpah. Dia
sedih akan nasib buruk yang menimpa dirinya. Dia sedih akan sikap derhakanya
terhadap kedua dua orang tuanya dan dia sedih kerana keluaganya musnah kerana
dendam. Ya, dendam kesumatlah yang menyebabkan diri dan keluarganya kucar kacir
sehingga sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.