“Abang Shuib dah
balik Hamad?” Soal Fauziah yang duduk di kerusi rotan berlapikkan bantal tipis
di ruang tamu rumah Hamad itu. Rumah Hamad agak kecil sedikit berbanding dengan
rumah Hafizah dan sangat kecil jika hendak dibandingkan dengan rumah Norin.
Namun, dia masih bersyukur dapat tinggal di situ kerana sekurang kurangnya dia
ada tempat untuk berteduh daripada duduk di tepi jalan.
“Dah bu...” Hamad menjawab pendek.
Acuh tak acuh. Dia menyalakan sebatang rokok dan menyedutnya rakus. Kemudian
dia menghemburkan asap putih ke udara.
“Kau apa khabar Mad? Lama ibu tak
jumpa kau. Dah lama kau tak jenguk ibu. Masa ibu kat kampung pun kau tak balik.
Masa ibu kat rumah Hafreez pun kau tak datang jenguk. Kenapa Mad? Kau bencikan
ibu juga ke macam kakak kakak kau?” Fauziah bertanya juga walaupun dia sudah
tahu jawapannya. Razali tidak ada di situ kerana dia sedang menunaikan solat
Zohor. Farah pula sedang sibuk melakukan sesuatu di dapur.
“Malas nak cakap bu. Saya takde la benci
ibu tapi ibu fikirlah apa yang ibu buat dekat saya dulu tu betul ke tak.” Jawab
Hamad tanpa memandang wajah ibunya. Matanya asyik tertancap di peti televisyen
yang entah menayangkan rancangan apa.
“Ibu duduk sini ibu kena terimalah
cara saya sebab ni rumah saya. Jangan nak memandai mandai buat itu ini. Lagi
satu duduk rumah saya ni takde la mewah macam duduk rumah abang Shuib. Jangan
ibu cerita itu ini kat sedara mara kita pula yang saya ni miskin la, makan tak
cukup la, rumah kecil la, rumah panas la...saya tak dengar semua tu.”
“Sampai hati kau tuduh ibu macam tu. Takkan
la ibu nak cakap macam tu kat saudara mara kita. Ibu syukur sangat dapat
tinggal rumah kau ni.”
“Eleh, macam saya tak tahu pula
perangai ibu tu. Bab bab nak membuka aib anak anak ni nombor satu.” Hamad
mencebik. Fauziah diam cuma. Dia tidak ada ayat untuk membalas apa yang Hamad
perkatakan kerana apa yang diucap oleh Hamad itu ada benarnya.
“Okeylah, ibu rehat dulu. Farah dah
siap masak tu. Jap lagi kita makan tengah hari sama.” Ujar Hamad dan lantas
bangun untuk menuju ke biliknya. Fauziah menghantar pemergian Hamad itu dengan
pandangan mata. Kemudian pandangannya beralih ke peti televisyen yang sedang
menayangkan sebuah rancangan kewanitaan di TV1. Setitik air jernih jatuh dari
tubir matanya.
......................................................................................................................
Seusai makan malam, Fauziah
menghampiri Farah yang sedang leka melipat baju sambil menontotn televisyen.
Anaknya, Iman yang berusia sembilan tahun itu sedang leka menyiapkan kerja
sekolah di sisinya. Fauziah mengambil sehelai baju dalam timbunan baju yang ada
kemudian melipatnya bersama sama dengan Farah.
“Eh ibu...ibu tak payah buat la. Susah
kan ibu je.” Farah melarang dengan lembut setelah menyedari kehadiran Fauziah
di situ.
“Takpe Farah, ibu bosan. Tolong tolong
kau lipat baju ni takde la bosan sangat.” Balas Fauziah. Farah mengangguk tanda
bersetuju.
“Ayah mana bu?”
“Ayah kau dah tidur dah lepas solat
Isyak tadi. Dia kata dia penat sangat. Mungkin sebab penat berkemas kot pagi
tadi masa sampai kat rumah kau.” Farah sekadar mengangguk. Dia terus melipat
baju yang bertimbun itu sambil menonton televisyen.
“Farah, ibu nak tanya, biasa ke Hamad
pulang lewat macam ni? Dah pukul 9.30 ni, dia tak sampai sampai lagi pun kat
rumah.”
“Biasa sangat bu. Tapi biasanya dia
balik takde la lewat sangat. Pukul sebelas biasanya dia dah sampai rumah dah.
Kenapa bu?”
“Takde apa. Saja tanya. Kadang kadang
ibu kesian dengan hidup kau berdua. Yalah, kau tengoklah kak ngah Norin dan kak
long Hafizah tu. Diaorang tu senang senang belaka. Hamad dengan kau pula yang
hidup susah. Berkali kali dulu ibu pesan kat Hamad dulu supaya belajar rajin
rajin. Masuk univerisiti. Tapi dia tak nak. Nak juga ikut kawan kawan dia
berpeleseran tak tentu hala. Kalau dia belajar betul betul dulu, mesti dia dah
senang macam kak long Hafizah dan kak ngah Norin tu.” Fauziah bercerita dengan
panjang lebar. Farah sekadar tersenyum mendengar kata kata ibu mertuanya.
“Dah la tu bu. Tak payah dikenang lagi
kisah yang lama. Kitaorang bersyukur dapat hidup macam ni. Asalkan kitaorang
boleh makan dan boleh ada rumah yang selesa pun dah cukup dah. Cuma tu la,
kitaorang terpaksa berhutang sana sini sebab nak bayar tu, nak bayar ni.” Ada
riak sedih dalam nada suara Farah itu.
“Kau pun kerja kan Farah? Takkan tak
cukup kot sampai kena hutang sana hutang sini? Duit hasil bawa teksi si Hamad
tu pun tak mampu ke nak tampung hidup korang tiga beranak? Ibu bukan apa,
selalu sangat ibu dengar si Hamad tu jumpa Hafreez kat pejabat nak pinjam duit.
Ibu kesian tengok dia.”
“Saya kerja bu. Jadi promoter
kat pusat membeli belah kat Jalan Bukit Bintang tu. Tu la yang saya pelik
dengan abang Hamad tu. Dia bawa teksi sampai malam tapi bila tanya mana duit,
dia cakap dah habis bayar itu ini. Bayar maintenance teksi la, permit
teksi la, apa la. Saya pun tak tahu. Sebab tu duit saya je yang banyak habis
nak beli segala keperluan kat rumah ni. Duit dia jarang sangat keluar. Saya
bukan nak mengungkit bu cuma saya rasa pelik je. Sepatutnya sebagai suami dia
yang kena keluar duit lebih, bukan saya.”
“Hmm...takpelah Farah. Kau doa la
banyak banyak semoga hidup kau senang. Ibu akan selalu mendoakan hidup korang
dua akan kekal sejahtera sampai bila bila.” Kata Fauziah akhirnya dan terus
menyambung membantu Farah melipat baju yang menimbun itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.