Sahiri sudah menunggu
di dalam keretanya sudah setengah jam. Sesekali dia menjeling jam di tangannya.
Dia juga melihat jika ada kelibat Melisa muncul di bangunan Suhara Inc itu
namun hampa. “Mana Lisa ni? Kenapa lambat sangat.” Desis hati Sahiril. Kerja
paling dia benci adalah menunggu. Dia tidak suka menunggu. Menunggu hanya
membuang masa sedangkan masa itu emas.
Papa dan mamanya sering
berpesan supaya dia sentiasa menepati masa dan menepati janji yang telah
dibuat. Kerbau berpegang pada talinya, manusia berpegang pada janjinya. Itulah
pesanan Cikgu Badariah yang masih segar di mindanya. Tiba tiba dia terdengar
ada ketukan kecil di tingkap keretanya. Dia melihat Melisa sedang melambai
lambai padanya dari luar kereta.
Lantas dia membuka
pintu kereta untuk membenarkan Melisa masuk. “Sorry lambat. Tadi Datin Suhara nak bincang dengan I pasal
pertunjukan fesyen kat Milan
bulan depan. Tu yang lambat turun. You marah ke?” Melisa memandang ke arah Sahiril
yang kelihatan sugul itu. “Tentu dia marah.” Desis hati kecil Melisa. “No. I tak marah tapi next time
kalau you lambat pastikan you call I.
Jangan buat I tertunggu tunggu macam
orang bodoh. You tahu kan I tak suka menunggu dan membuang masa.” Ujar Sahiril.
Suaranya agak keras.
Takut Melisa melihat keadaan Sahiril pada waktu itu. Biasanya Sahiril tidak
marah marah begitu. Dia seorang lelaki yang penyabar dan lemah lembut. Pasti
ada perkara yang mengganggu fikirannya pada waktu itu. “Okay. I nak minta maaf sekali lagi. I bukan sengaja nak buat macam tu tapi I terpaksa. Lain kali I tak buat lagi. boleh you maafkan I?”
Melisa mempamerkan muka simpati pada Sahiril.
“Okay. Kali ni I maafkan you tapi lain kali jangan buat lagi.” ujar Sahiril. Kemarahannya
sudah mula reda. Dia merupakan seorang manusia yang cepat marah dan cepat
hilang marah. “Baik bos!” Ujar Melisa berseloroh. Sahiril tersenyum memandang
buah hatinya. Sungguh cantik dilihatnya Melisa pada waktu itu. “Kita nak makan
kat mana?” soal Melisa.
“I dah tempah satu restoran yang special
for you. I yakin you pasti
suka makanan kat situ.” Jawab Sahiril. “Sebelum I terlupa boleh tak you
cakap kat Mahani yang papa I setuju
nak ambil dia bekerja. I lupa nak
minta nombor dia masa kita kat Port Dickson hari tu.” Ujar Mahani. “Okay. I tak sangka you ni seorang gadis yang baik. You
sanggup tolong orang yang baru you
kenal. I tak salah pilih you sebagai calon isteri I. ” ujar
Sahiril sambil tersenyum memandang Melisa yang berada di sebelahnya.
“I kesian tengok dia. Muda muda lagi dah jadi ibu tunggal. Bekas
suami dia tu memang tak guna. Ada
isteri dengan anak pun dia boleh buang macam tu sahaja.” Luah Melisa tidak
berpuas hati. “I kenal dengan bekas
suami Melisa tu. Nama dia Bakri. Dulu dia ketua gangster kat Kampung Pantai
Dahan. Sejak hari pertama dia kahwin dengan Mahani saya tahu rumah tangga
mereka takkan bertahan sebab saya tengok Bakri tu seorang lelaki yang tak
bertanggungjawab.” Terang Sahiril panjang lebar.
Tumpuannya masih pada
pemanduan di jalan raya itu. “Kenapa Mahani mesti nak kahwin dengan orang macam
tu kalau dia tahu Bakri tu bukan orang yang baik?” soal Melisa. “Mahani ada
cerita kat I yang dia sebenarnya
kahwin dengan Bakri tu secara paksa. Dia nak lari dari mak dia. Mak dia suruh dia
masuk universiti tapi dia tetap nak pergi Kuala
Lumpur sebab nak bekerja. Jadi mak dia kahwinkan dia
dengan Bakri supaya ada orang yang boleh jaga dia masa kat Kuala Lumpur ni.” terang Sahiril lagi.
“Oh macam tu. Kenapalah
Mahani sebodoh tu? Kenapa dia sanggup gadai masa depan dia? Semua ni berpunca
dari dia juga.” Ujar Melisa. Dia tidak menyangka ada orang seperti Mahani di
dunia ini. “I pun terfikir juga
kenapa Mahani boleh buat macam tu. Tapi apa apa pun semuanya sudah berlaku.
Mahani dah ada kehidupan sendiri sekarang. I
harap hidup dia akan lebih baik pada masa akan datang.” Ujar Sahiril. “I pun harap macam tu juga.” Kata Melisa
akhirnya
..................................................................................................................
Mahani membuka kotak
besar yang berwarna merah jambu itu. Kotak yang terletak sejak sekian lama di
bawah katil itu sudah lama tidak dibukanya. Mahani melihat barang barang di
dalam kotak itu masih ada seperti diari, novel, majalah fesyen dan majalah
sekolah. Dia mengambil salah sebuah majalah sekolahnya dan menyelak helaian
muka surat yang
ada dalam majalah itu.
Mahani melihat gambar
guru gurunya. Dia mencari cari di mana agaknya gambar Cikgu Badariah. Guru
Bahasa Melayu yang amat disayanginya itu. Cikgu Badariah seorang guru yang amat
berdedikasi, tegas dan penyayang. Ramai pelajar menyayangi guru itu. Tidak
hairanlah Cikgu Badariah telah dinobatkan sebagai Guru Paling Penyayang selama
tujuh tahun berturut turut apabila Sambutan Hari Guru diadakan di sekolah.
Cikgu Badariah sudah
dianggapnya seperti ibu. Guru itu sentiasa memberi nasihat yang berguna pada
dirinya. Setelah puas menatap gambar gambar Cikgu Badariah dia beralih pula ke
muka surat yang memaparkan gambar gambar kelasnya. Dia melihat setiap wajah
rakan rakan sekelasnya. Ada Sofea, Sahiril, Farid dan ramai lagi. Semuanya
sudah berjaya dalam bidang masing masing kecuali dirinya.
Dia tidak boleh
meyalahkan sesiapa. Ini semua adalah kesalahan dirinya. Terlalu mengikut hati
dan perasaan. Dia teringat akan perbualannya dengan Cikgu Badariah sebelum dia melangsungkan
perkahwinannya. Pada hari itu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia
diumumkan. Dia adalah antara yang terawal datang ke sekolah. Setelah menerima
slip keputusan yang diberi oleh Cikgu Badariah dia melihat satu persatu gred yang diperolehinya.
Dia mendapat 5A dan 5B.
Dia sangat gembira walaupun keputusannya tidaklah sebagus mana. Itu sudah
memadai kerana dia boleh mendapat keputusan seperti itu. Apa yang paling
menggembirakan dia lulus dengan baik dalam subjek Matematik, Matematik
Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi. Selama ini dia jarang lulus dalam kelima
lima subjek tersebut. Jika dia lulus pun sekadar cukup cukup makan sahaja.
Dia amat gembira dengan
keputusannya itu. Dengan keputusan itu, sudah tentu dia akan mendapat pekerjaan
yang baik dan menjanjikan pendapatan yang lumayan. “Tahniah Mahani! Keputusan
kamu tidak mengecewakan. Di mana kamu hendak meyambung pelajaran selepas ini?”
soal Cikgu Badariah. “Entahlah cikgu, saya sendiri pun tak tahu. Saya ingat
saya tak nak belajar lagi. Saya nak terus kerja saja.” Jawab Mahani.
“Apa? Kenapa pula kamu
nak kerja? Keputusan kamu cukup baik Mahani. Kamu boleh menyambung pelajaran di
universiti.” Cikgu Badariah sedikit terkejut mendengar jawapan Mahani sehingga
suaranya terkuat sedikit. “Saya dah malas nak belajar cikgu. Cukuplah otak saya
dah bekerja keras sepanjang SPM ni. Saya tak nak fikir lagi pasal belajar. Saya
nak cari kerja kat Kuala Lumpur dan saya nak cari duit sendiri.” Mahani memberi
alasan yang dirasakan cukup baik pada waktu itu.
“Kamu dah fikir masak
masak ke?” soal Cikgu Badariah sambil memandang tepat ke dalam anak matanya.
“Ya cikgu. Tekad saya sudah bulat. Saya akan teruskan rancangan saya.” Jawab
Mahani berani. Biarlah apa yang Cikgu Badariah mahu fikir tentang dirinya. Dia
tidak kisah. “Mahani, memang saya bukan ibu atau bapa kamu. Tapi sebagai guru kamu saya rasa keputusan
yang kamu ambil ni salah. Perjalanan hidup kamu masih jauh lagi. Banyak lagi
yang kamu perlu belajar tentang hidup di dunia ini. Kamu balik rumah lepas ni
saya nak kamu fikir balik. Buat sembahyang istikharah. Minta petunjuk dari
Allah. Jangan gadaikan masa depan kamu hanya kerana wang Mahani. Kamu masih
muda. Ingat! ikut rasa binasa, ikut hati mati dan ikut nafsu lesu.” Nasihat
Cikgu Badariah.
Mahani hanya mendiamkan
diri. Apabila sampai di rumah, Salmah amat gembira dengan keputusan yang
diperoleh oleh Mahani. “Tahniah Ani, mak tumpang gembira dengan kejayaan Ani.
Pasti Ani boleh masuk universiti macam kak long. Kamu kena lawan kak long Ani.
Kak long hanya mampu masuk ke politeknik sahaja tetapi kamu pasti boleh masuk
ke universiti.” Ujar Salmah memberi suntikan semangat pada Mahani.
Mahani sekadar
memandang kea arah wanita itu. Dia hanya diam. Apa yang dihajati oleh ibunya
berlainan sekali apa yang dihajati
olehnya. “Kamu nak sambung belajar kat mana Ani? Pasal duit kamu tak payah
risau. Tanah arwah datuk kamu masih banyak lagi. Mak boleh jual tanah kat tepi
pantai tu. Ada orang nak beli dengan harga yang tinggi. Apa yang penting mak
nak kamu masuk universiti dan jadi orang berjaya.” Ujar Salmah teruja.
“Mak, saya cakap mak
jangan marah ye?” pinta Mahani takut takut. Dia bukan takut dimarahi oleh
ibunya tapi dia takut ibunya sedih dengan keputusan yang dia ambil. “Ada pula
mak nak marah kamu. Mak takkan marah sebab mak betul betul gembira. Apa yang
kamu nak? Hadiah?” Salmah memandang muka Mahani meminta kepastian. “Saya ingat
saya tak nak sambung belajar. Saya nak pergi Kuala Lumpur cari kerja.” Jawab Mahani.
Lapang sudah hatinya
selepas meluahkan hajat kepada ibunya.“Apa? Kamu ni kenapa Ani? Syaitan mana
yang dah hasut kamu sampai kamu buat keputusan macam tu? Semua orang berlumba
lumba nak masuk universiti sebab nak belajar tinggi tinggi kamu pula tak nak
kenapa? Kamu tahu tak yang zaman sekarang ni susah nak cari kerja. Kalau
setakat keputusan SPM saja kerja apa yang kamu boleh buat? Kamu jangan nak
mengada ngada.” Ujar Salmah.
Hatinya berasa marah
dengan keputusan Mahani. Entah perangai siapa yang diikutnya dia sendiri tidak
tahu. “Tapi mak saya malas nak belajar. Saya dah penat tengok buku buku ilmiah
ni. Kalau saya sambung belajar dan saya tak lulus pun tak guna juga.” Mahani
tidak mahu mengalah. “Mak tak peduli. Mak nak kamu masuk universiti juga.”
Tegas Salmah lalu beredar dari situ. Mahani sekadar memandang langkah ibunya.
Dia tahu ibunya pasti akan menentang permintaanya.
Sebulan selepas
keputusan SPM diumumkan Mahani telah mendapat tawaran untuk melanjutkan
pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam Diploma Kulinari. Mahani
yang baru pulang dari membeli barang barang keperluan dapur telah dipanggil
oleh Salmah di ruang tamu. “Kenapa mak?” soal Mahani sebaik sahaja melihat
ibunya. “Mak dapat surat yang dihantar oleh posmen tadi. Kamu dapat tawaran
belajar kat UiTM.” kata Salmah.
“Saya dah cakap dengan
mak kan yang saya tak nak sambung belajar. Saya nak cari kerja kat Kuala
Lumpur. Saya nak tolong mak. Cukuplah kak long seorang saja yang belajar.” ujar
Mahani. “Mahani, kamu ni dah kenapa? Kamu dapat tawaran yang bagus tapi kamu nak tolak macam tu
sahaja. Kamu ni memang menolak tuah tahu tak? Kamu jangan nak mengada ngada.
Kamu mesti pergi. Kamu boleh tolong mak lepas kamu dah berjaya nanti. Sekarang
mak nak kamu masuk universiti dan belajar bersungguh sungguh.” Ujar Salmah.
“Saya tetap dengan
keputusan saya. Saya dah besar mak. Saya berhak menentukan masa depan saya.
Saya tetap nak ke Kuala Lumpur sama ada mak setuju atau tidak.” Mahani tidak
mahu mengalah. Dia sudah nekad. “Baik, kamu boleh pergi ke Kuala Lumpur tapi
dengan satu syarat.” Kata Salmah. “Apa syaratnya?” soal Mahani ingin tahu.
“Kamu mesti berkahwin dulu sebelum pergi ke Kuala Lumpur.” Tegas Salmah.
“Apa? Kahwin? Mak, umur
saya baru lapan belas tahun. Saya masih muda. Lagipun saya nak kahwin dengan
siapa?” soal Mahani tidak percaya. Dia benar benar pelik. Bagaimana ibunya
boleh mendapat idea gila tersebut. Langsung tidak munasabah syarat ibunya.
“Sebab umur kamu lapan belas tahunlah mak suruh kamu kahwin. Kalau kamu dah
kahwin hati mak akan senang kalau mak lepaskan kamu ke Kuala Lumpur tu.” Terang
Salmah.
“Habis tu saya nak
kahwin dengan siapa?” soal Mahani lagi. “Bakri!” Jawab Salmah pendek. “Apa? Mak
nak saya kahwin dengan kacang hantu tu. Mak sakit ke sekarang ni?” Bertambah
terkejut Mahani mendengar jawapan ibunya. Kenapa ibunya membuat keputusan yang boleh
dianggap gila itu. “Ya. Mak Bakri nak sangat bermenantukan kamu. Bakri pun
nampaknya sukakan kamu. Mak rasa kamu sangat sesuai dengan Bakri.” ujar Salmah.
“Mak, saya tak nak
kahwin dengan Bakri. Saya tak cintakan dia. Lagipun saya masih muda lagi.
Banyak perkara yang saya mesti belajar.” bantah Mahani. “Mak tak kira. Kalau
kamu nak pergi ke Kuala Lumpur kamu mesti kahwin dengan Bakri. Kalau tak nak
kahwin, kamu mesti masuk universiti. Sekarang kamu pilih. Pilihan ada di tangan
kamu.” ujar Salmah.
“Mak memang kejam.
Sampai hati mak buat saya macam ni.” Luah Mahani. “Apa yang mak buat ni
semuanya demi kebaikan kamu. Tak ada ibu yang nak anak dia dalam kesusahan.” Mahani
buntu. Keputusan apakah yang harus dipilihnya. Inikah bayaran yang harus
dibayarnya hanya untuk mendapat sebuah kebebasan. “Baiklah, kalau begitu kata
mak saya pilih nak kahwin dengan Bakri.” tegas Mahani.
Dia sendiri tidak
percaya yang dia memilih untuk berkahwin dengan Bakri. Hancur hati Salmah
sebaik sahaja mendengar jawapan Mahani. Keras sungguh hati Mahani. Sukar mahu
dilembutkan olehnya. Dia berharap Bakri dapat melembutkan hati Mahani yang
keras seperti batu itu. Dia memikirkan Mahani akan memilih untuk menyambung
pengajiannya di universiti namun harapan tinggal harapan. Harapannya telah
musnah pada anak perempuan keduanya.
Kalau arwah suaminya
masih hidup tentu arwah suaminya menentang. Selepas perbincangan dengan kedua
dua buah keluarga, akhirnya Mahani dan Bakri berjaya diijabkabulkan. Dengan
berat hati Salmah melepaskan Mahani pergi. Mahmudah turut sedih dengan
keputusan yang diambil Mahani. Mahani teringat ketika mereka berdua
berbincang di dalam bilik sebelum majlis
pernikahannya dimulakan.
“Ani, betul ke kau dah
fikir masak masak dengan keputusan yang kau ambil ni?” soal Mahmudah yang duduk
di birai katil pengantin. Bilik Mahani yang dihias cantik itu sungguh harum
seperti disembur dengan minyak wangi. “Ya kak long. Saya dah fikir masak
masak.” Jawab Mahani sambil memandang wajahnya di cermin. “Kenapa?” soal
Mahani. “Kak long rasa apa yang kau buat ni salah. Kau tahu kan yang Bakri tu
kacang hantu. Dia tak sesuai dengan kau. Kau dah lupakan Sahiril ke?” Mahmudah
mendekatkan dirinya dengan Mahani.
Dia menyentuh bahu Mahani dengan lembut. “Kak
long, Sahiril tu langsung tak sesuai dengan saya. Dia tu anak orang kaya. Mak
dia pasti tak suka saya kahwin dengan Sahiril. Lagipun saya tahu Sahiril takkan
sukakan saya. Dia mesti cari gadis yang setaraf dengan dirinya.” Jawab Mahani.
Mahmudah menggelengkan kepalanya. “Keras sungguh hati kau Ani.” Bisik Mahmudah
dalam hati.
“Apa apa pun aku
ucapkan selamat pengantin baru pada kau. Aku harap kau berbahagia dengan plihan
kau.” Ujar Mahmudah. Mereka berdua berpelukan. Bergenang air mata Mahani
apabila teringatkan kisah itu. Tapi apa guna dia menangis lagi. Nasi sudah jadi
bubur. Mahani menyelak lagi helaian helaian majalah itu. Matanya menangkap
gambar Sahiril yang sedang bertarung dalam perlawanan Muay Thai di sekolahnya.
Sahiril yang tidak
berbaju dan memakai seluar pendek berwarna hitam itu sedang menyepak di tepi
kepala lawannya. Sungguh cantik gambar itu. Sudah tentu gambar itu diambil oleh
Farid. Juru gambar majalah sekolah yang kini menjadi seorang wartawan di
syarikat akhbar terkemuka di Malaysia. Pada hari itu, Sahiril dinobatkan
sebagai juara pertandingan tersebut.
Seluruh warga sekolah
amat gembira dengan pencapaian Sahiril. Ramai pelajar di sekolah mereka amat
meminati Sahiril. Mereka selalu memasang impian untuk mendampingi lelaki
sekacak Sahiril termasuk dirinya. Dia teringat perbualannya dengan Sofea
beberapa tahun lalu. “Tampannya budak baru tu. Muka dia macam model. Sifat
maskulin terselah kat muka dia.” Ujar Sofea ketika mereka pulang dari sekolah.
“Yalah. Dia tu kacak
kan? Kalau jadi buah hati aku mesti seronok.” Balas Mahani pula. “Agak agaknya perempuan macam mana Sahiril tu
suka ya?” soal Sofea. “Mestilah perempuan yang kaya dan seksi. Maklumlah dia
kan anak orang kaya. “Betul juga. Mesti dia tak pandang perempuan macam kita.”
Sofea bersetuju dengan pendapat Mahani. Namun sejak perkenalan mereka di kelas
Cikgu Badariah mereka bertiga menjadi rapat.
Sahiril pasti akan
datang kepada mereka berdua jika dia menghadapi masalah dalam pembelajaran dan
orang yang sering dicarinya ialah Mahani. Kadang kala Sofea menjadi cemburu
dengan Mahani kerana Mahani sering mendapat perhatian yang lebih dari Sahiril.
Ada khabar angin mengatakan mereka berdua bercinta. Semakin lama Mahani
merasakan dia semakin jatuh cinta dengan Sahiril.
Walaubagaimanapun,
entah di mana silapnya Sahiril semakin hari semakin menjauhkan diri darinya.
Lelaki itu sudah jarang mahu bercakap atau mahu berjumpa dengan dirinya. Jika
bercakap pun perkara yang penting penting sahaja. Jika ditanya Sahiril pasti
akan mengatakan tidak ada apa apa. Lama kelamaan Mahani sudah berputus asa. Dia
tahu Sahiril bukan untuk
dirinya.
“Ibu, Irfan lapar.” Ujar Irfan yang sedang
berdiri di pintu bilik. Terpancung lamunan Mahani pada waktu itu. “Irfan lapar?
Mari kita pergi makan.” Mahani lantas menyimpan majalah tersebut ke dalam kotak
lalu memasukkan semula kotak itu di bawah katil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.